Ekstrem Dan Terpesongkah Orang Yang Menolak Demokrasi?

Sungguh tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa demokrasi adalah ibarat sebuah “agama baru”. Apa tidaknya, berapa ramai manusia yang “beriman” dengannya – meratibnya setiap hari malah setiap detik, menjadikannya sebagai ukuran benar atau salah bagi setiap tindakan atau perbuatan, menjadikannya sebagai pengukur kepada baik dan buruk sesebuah negara, sesebuah gerakan malah seseorang individu, bahkan sampai ke tahap menjadikannya sebagai penentu kepada halal dan haram.

Apa sahaja yang sesuai dengan demokrasi akan dinilai baik, manakala yang bertentangan dengannya akan dinilai buruk. Apa sahaja yang selaras dengan demokrasi akan dinilai benar, manakala yang bertentangan dengannya akan dinilai salah. Demokrasi menjadi penentu kepada halal dan haram kerana apa sahaja yang dibenarkan oleh demokrasi akan menjadi halal, manakala apa yang tidak dibenarkan oleh demokrasi akan menjadi haram.

Oleh kerana itulah, judi dan arak adalah “halal” kerana demokrasi membenarkannya. Begitu juga dengan segala jenis riba, cukai, saham, insurans dan sebagainya adalah “halal” kerana demokrasi membenarkannya. Segala kelab malam, disko, konsert, pesta yang bercampur lelaki-perempuan, tidak menutup aurat, ELGIBITI dan sebagainya, semuanya “halal” kerana demokrasi membenarkannya. Semua kemaksiatan dan keharaman ini, malah banyak lagi yang lainnya, wujud secara berleluasa dan dipertahankan dalam sesebuah negara demokrasi kerana “kehalalannya” menurut ajaran demokrasi.

Dalam bab uqubat (hukuman), merubah hukum Allah yang qathie pun tidak menjadi masalah dalam sistem demokrasi. Oleh kerana itu kita melihat hukuman sebat bagi penzina ditetapkan maksimum sebanyak 6 kali sebatan sahaja walaupun Al-Quran menetapkannya 100 sebatan. Hukuman maksimum bagi peminum arak juga adalah 6 sebatan walaupun Al-Hadis memperuntukkan 80 sebatan. Hukuman bagi pencuri pula ialah penjara, walaupun Al-Quran menetapkannya potong tangan. Manakala bagi orang murtad, tidak ada apa-apa hukuman yang akan dikenakan, walaupun Al-Hadis menetapkan hukumannya ialah bunuh. Semua ini terjadi dalam sebuah negara demokrasi, kerana pembuat hukumnya ialah manusia, bukannya Tuhan manusia.

Jika dilihat dalam aspek pemerintahan pula, demokrasi membenarkan orang kafir memegang jawatan pemerintahan, yang diharamkan secara qathie oleh Islam. Begitu juga demokrasi membenarkan wanita, orang fasiq, malah golongan ELGIBITI pun boleh memegang jawatan pemerintahan, walaupun kesemua ini diharamkan oleh Islam dengan sangat jelas.

Memerintah dengan selain daripada hukum Allah merupakan intipati kepada sistem pemerintahan demokrasi. Di bawah demokrasi, hukum Allah sama sekali tidak boleh diterapkan kecuali majoriti ahli parlimen meluluskannya. Di dalam parlimen, Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya tidak ada tempatnya. Parlimen menjadi tempat di mana manusia mengambil hak dan peranan Allah sebagai Al-Musyarri’ (Pembuat Syariat). Dari Parlimenlah keluarnya segala hukum-hakam yang wajib dipatuhi oleh manusia, berserta segala hukuman, yang kesemuanya ditentukan oleh manusia tanpa melihat sedikit pun kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Kafir penjajah telah menetapkan dalam perlembagaan yang mereka “hadiahkan” kepada Tanah Melayu, bahawa perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi persekutuan dan apa jua undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka yang bercanggah dengan perlembagaan adalah terbatal dengan sendirinya. Peruntukan ini telah meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah di bawah atau lebih rendah daripada perlembagaan. Dengan kata lain, jika ada apa-apa cubaan untuk menerapkan undang-undang Islam sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran dan As-Sunnah, namun ia bercanggah dengan perlembagaan, maka yang akan terpakai ialah perlembagaan, bukannya Al-Quran dan As-Sunnah.

Inilah amalan dan ajaran demokrasi di Malaysia, yang dipegang teguh oleh pemerintah dan para pejuangnya termasuk daripada parti/gerakan Islam. Ajarannya menjadi anutan ramai umat Islam walaupun pertentangannya dengan Islam umpama matahari di siang hari. Inilah fakta dan hakikat di depan mata walaupun sangat pahit untuk ditelan.

Hakikat Demokrasi Yang Gagal Difahami

Tidak sedikit para “ulama” dan cendekiawan yang “menganut” ajaran demokrasi, bahkan sanggup menyalahkan dan membodohkan semua orang yang menolak demokrasi. Ada ulama yang sampai mewajibkan umat Islam mengambil demokrasi sekali gus mewajibkan umat Islam untuk mengundi dalam pilihan raya sistem demokrasi. Siapa pun yang tidak mengundi dinilai berdosa menurut mereka, dan dikecam dengan pelbagai kecaman.

Betapa kuatnya “sihir” demokrasi sehingga apabila ada pihak yang menyuarakan bahawa mengundi dalam sistem demokrasi itu adalah haram, terdapat ulama yang sanggup menuduh pihak berkenaan sebagai pelampau atau ekstrem. Lebih parah, golongan yang menolak demokrasi dan tidak mengundi, disifatkan sebagai orang yang buta agama dan terpesong daripada ajaran Islam yang sempurna.

Ada sesetengah ulama mengakui bahawa sistem demokrasi itu berasal dari Barat, namun mereka berpendapat bahawa ia boleh diambil kerana keselarasannya dengan Islam. Lebih jauh, ada ulama yang berpendapat bahawa demokrasi itu sebenarnya berasal daripada Islam itu sendiri, dan Baratlah yang telah menirunya daripada Islam. Atas dasar itu, mereka menyifatkan bahawa siapa sahaja yang menolak demokrasi atas alasan ia berasal daripada Barat, orang yang menolak itu dikatakan ekstrem, sama kedudukannya seperti menolak penggunaan visa dan pasport, yang juga berasal dari Barat.

Sungguh malang apabila ada ulama yang gagal membezakan antara hadharah dan madaniyyah, serta antara pemerintahan (al-hukm) dan pentadbiran (al-idarah) menyebabkan mereka gagal memahami perbezaan hukum antara demokrasi dan visa/pasport. Hasilnya, mereka mengqiyaskan dua perkara yang berbeza dengan meletakkan hukum yang sama ke atas kedua-duanya, padahal hukumnya berbeza, kerana perbezaan manath (fakta) dan waqi’ (realiti) di antara kedua-duanya.

Hadharah bermaksud majmu’ al-mafahim ‘an al-hayah (sekumpulan konsep/pemahaman tentang kehidupan). Manakala madaniyyah bermaksud al-asykal al-maadiyah li asy-ya’ al-mahsusah allati tusta’mal fi syu’un al-hayah (peralatan fizikal berupa benda-benda hasil ciptaan manusia yang digunakan dalam aspek kehidupan) [Nidzamul Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani].

Apa sahaja idea, fahaman, kepercayaan, gagasan, nilai, norma adat-istiadat, hukum serta konsep pemerintahan dan yang seumpamanya, ini semua termasuk dalam kategori hadharah. Manakala madaniyyah pula adalah seluruh peralatan fizikal atau teknologi yang dapat dilihat, dirasai, disentuh dan digunakan seperti telefon, komputer, kereta, kapal terbang, komputer, bangunan dan sebagainya (benda-benda hasil ciptaan manusia).

Sesungguhnya Islam itu ada hadharahnya yang tersendiri dan orang-orang kafir juga ada hadharahnya yang tersendiri. Hadharah kufur adalah haram untuk diambil oleh umat Islam, manakala madaniyyah yang berasal dari orang-orang kafir tidak menjadi masalah jika diambil kerana hukumnya mubah sahaja, kecuali madaniyyah khas seperti salib, baju pendeta dan seumpamanya yang khusus diguna dan menjadi ciri-ciri khas orang-orang kafir.

Ada pun demokrasi dengan segala idea dan konsep yang dibawanya, adalah berasal daripada hadharah kufur yang haram diambil oleh umat Islam. Demokrasi lahir daripada ideologi kapitalisme yang mana akidahnya ialah sekularisme. Ia berasal dari Barat, dan menjadi alat Barat untuk menjajah, menyesatkan memecah-belahkan umat Islam, serta menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar.

Ada pun visa dan pasport, ia adalah madaniyyah, dan bukanlah madaniyyah khas untuk orang-orang kafir sahaja. Ia adalah alat (dokumen) yang digunakan untuk memberi izin masuk ke dalam sesebuah negara. Mengenai hukumnya, ia perlu dilihat terlebih dahulu – jika sesama negara kaum Muslimin seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Pakistan, Iraq, Jordan, Turki dan lain-lain, maka kita sesungguhnya tidak memerlukan pasport atau visa sebagai izin masuk, kerana negara kaum Muslimin adalah negara yang satu. Tidak boleh ada sekatan apa pun untuk seseorang Muslim memasuki dan bertempat tinggal di mana-mana negeri kaum Muslimin lainnya. Inilah hukum Islam mengenainya.

Kaum Muslimin dari negeri mana pun baik Malaysia, Indonesia, Syria, Jordan, Palestin, Sudan, Algeria dan lain-lain, semuanya boleh memasuki Arab Saudi tanpa memerlukan pasport dan visa untuk mengerjakan haji atau umrah. Ini kerana, Mekah dan Madinah, malah keseluruhan tanah Hijaz adalah tanah umat Islam, tanah kita semua. Bahkan keseluruhan dunia Islam merupakan wilayah kita semua yang merupakan wilayah yang satu, dan tertakluk kepada hukum syarak yang satu, tanpa memerlukan izin masuk antara satu wilayah dengan wilayah lainnya.

Rasulullah (saw), Khulafa’ ar-Rasyidin, dan para Khalifah setelahnya tidak pernah menyekat mana-mana Muslim untuk masuk ke dalam Daulah Islam, kerana Daulah Islam adalah negara untuk seluruh kaum Muslimin. Malah orang-orang kafir sekalipun dibenarkan untuk datang dan bertempat tinggal dalam Daulah Islam selama mana mereka bersetuju untuk tunduk kepada hukum-hakam Islam dan membayar jizyah. Inilah hukum Islam mengenai izin masuk sesebuah negara, dan hukum ini tidak pernah berubah, dan tidak akan berubah hingga kiamat.

Ada pun hukum ini berubah sekarang ini, sehingga Muslim memerlukan visa dan pasport untuk memasuki sesama negeri Muslim, adalah hasil penjajahan Barat yang telah memecah-belahkan kaum Muslimin kepada nation-states. Kemudian perpecahan ini dipertahankan oleh para penguasa Muslim yang khianat, yang mengekalkan hukum Barat dan menolak hukum Allah dalam pemerintahan mereka.

Berbeza halnya jika kita berbicara mengenai hubungan negara kaum Muslimin dengan negara kafir, di mana hal ini memang memerlukan izin masuk (pasport dan visa). Ini kerana negara kaum Muslimin dan negara kafir adalah dua negara yang berbeza yang hukumnya juga berbeza, tidak sebagaimana sesama negeri kaum Muslimin. Hukum-hukum mengenai sempadan negara dan izin masuk ini sudah sangat jelas sejak daripada zaman Rasulullah (saw) lagi.

Kaum Muslimin dahulu dinaungi oleh Daulah Islam (pada zaman Rasulullah) dan diteruskan oleh para Khalifah dengan Daulah Khilafah yang begitu besar dan luas merangkumi hampir dua per tiga dunia, yang telah tercatat dalam tinta emas sejarah bahawa tidak pernah ada izin masuk pun diperlukan untuk setiap Muslim berpergian dan bertempat tinggal dari satu negeri ke negeri yang lain. Kaum Muslimin bebas berpergian dan bertempat tinggal di mana-mana sahaja, dan bebas untuk mengerjakan haji dan umrah tanpa sekatan (pasport dan visa) dalam negara Khilafah yang begitu luas.

Hanya setelah Daulah Khilafah dihancurkan oleh Barat dan negara kaum Muslimin dipecah-pecahkan kepada negara yang kecil dan lemah yang kesemuanya bertuankan Barat, barulah wujud sempadan di antara negeri-negeri kaum Muslimin yang mana pemerintah yang sekular lagi zalim telah membeza-bezakan kewarganegaraan dan meletakkan pelbagai sekatan ke atas sesama Muslim berdasarkan sempadan assabiyyah dan wathaniyyah yang ditetapkan oleh kafir penjajah. Dari sinilah mula munculnya izin masuk walaupun sesama negara kaum Muslimin.

Perpecahan ini sesungguhnya merupakan bencana ke atas umat Islam, yang diakibatkan oleh kuffar Barat. Bencana ini masih bertahan sehingga sekarang kerana wujudnya para penguasa yang tunduk kepada Barat, mengambil sistem Barat (demokrasi), berhukum dengan hukum Barat dan berkiblatkan Barat. Atas dasar itu, umat Islam masih terus terpecah-belah dan dihalang (dengan pasport dan visa) untuk keluar masuk walau ke Tanah Suci sekali pun.

Bertambah malang, apabila ada ulama yang seharusnya berjuang untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah bagi mempersatukan semula umat Islam di bawah satu negara, satu bendera dan satu pemerintahan, sebaliknya mereka berjuang untuk mengekalkan sistem demokrasi yang datangnya daripada penjajah, mempertahankan perlembagaan yang diberi oleh penjajah, mengekalkan undang-undang yang diterapkan sejak zaman penjajah, mempertahankan sempadan assabiyyah dan wathaniyyah yang diberikan oleh penjajah, malah mereka mempersalahkan pula orang-orang yang berjuang untuk menghapuskan segala bentuk penjajahan daripada bumi umat Islam.

Penutup

Pemilihan penguasa sememangnya ada dalam Islam, malah sudah sempurna segala hukum dan tatacara praktis mengenainya. Begitu juga dengan pemilihan wakil Majlis Umat (Majlis Syura) yang sememangnya ada dalam Islam dan juga sudah sempurna segala hukumnya. Justeru, kita tidak memerlukan ajaran demokrasi sedikit pun untuk memilih penguasa dan juga anggota Majlis Umat.

Apa yang perlu difahami seterusnya ialah mengenai tujuan memilih penguasa dan anggota Majlis Umat dalam Islam yang sangat jauh berbeza, malah bertentangan, dengan tujuan memilih (pilihan raya) penguasa dan wakil rakyat dalam sistem demokrasi. Dalam Islam, penguasa dipilih dan dibaiat untuk menerapkan KItabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Manakala dalam demokrasi, penguasa dipilih untuk menerapkan hukum selain Islam. Lebih buruk, hukum yang diterapkan itu datangnya dari kafir penjajah.

Melihat kepada pertentangan yang sangat nyata antara demokrasi dan Islam, sungguh aneh bin ajaib apabila ada ulama yang sanggup menuduh pihak yang mengharamkan demokrasi dan pilihan raya dalam sistem kufur yang berasal dari Barat ini, sebagai ekstrem, buta agama serta terpesong daripada ajaran Islam.

Siapakah yang sebenarnya ekstrem di antara orang yang mempertahankan sistem demokrasi warisan penjajah dengan orang yang memperjuangkan tegaknya kembali sistem Khilafah warisan Rasulullah?

Siapakah yang sebenarnya buta agama di antara orang yang mengambil hak Allah sebagai Al-Musyarri’ dengan orang yang berjuang mengembalikan hak Allah sebagai Al-Musyarri’?

Siapakah yang sebenarnya terpesong daripada ajaran Islam di antara orang yang bersumpah untuk mempertahankan perlembagaan dan undang-undang kufur ciptaan penjajah, dengan orang yang bersungguh-sungguh berjuang untuk menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah secara kaffah?

Sungguh betapa pentingnya peringatan Rasulullah (saw) kepada kita untuk kita kenali orang yang dikatakan sebagai “ulama”. Rasulullah (saw) menjelaskan bahawa ada ulama yang merupakan pewaris kepada para Nabi, dan ada ulama su’ di mana darinyalah muncul pelbagai fitnah serta kejahatan. Mereka suka mendekati para penguasa, dan beroleh keuntungan duniawi daripada para penguasa.

Umat Islam perlu mengenali kedua-dua kategori ulama ini agar sentiasa terpandu ke jalan yang lurus serta terhindar daripada segala fitnah. Ala kulli hal, kita sama-sama panjatkan doa kepada Allah (swt) agar ulama kategori yang kedua sedar akan kesilapannya dan kembali menjadi kategori yang pertama sebelum ia kembali bertemu Penciptanya.

Wallahu a’lam.