Fenomena “dakwahtainment”
Mutakhir ini menyaksikan perkembangan program-program keagamaan semakin mendapat tempat sama ada di alam maya mahupun nyata, yang secara umumnya kelihatan bagus. Namun demikian, kita turut merasa risau atau kadang-kadang meluat dengan apa yang kita saksikan, khususnya apabila melihat kepada para daie (pendakwah) yang “beraksi” dalam program-program tersebut. Kita juga turut merasa risau melihat respons orang yang didakwahi (umat) dalam hal ini.
Melihat kepada fenomena di zaman serba moden dan canggih ini, yang mana usaha untuk mencari nama, populariti dan kegilaan kepada viral sudah semakin menjadi-jadi, hal ini nampaknya telah turut menjangkiti bidang keagamaan / dakwah. Untuk meraih semua itu, pelbagai cara dan modifikasi program keagamaan telah dilakukan oleh pihak-pihak yang terbabit, sehingga munculnya program-program dakwah yang disekalikan dengan “hiburan”.
Program-program TV rata-rata kini menyasarkan para daie yang bukan sahaja pandai menyampaikan agama, tetapi pandai berlakon, bergaya, berketerampilan menarik, petah berkata-kata dan macam-macam lagi layaknya seorang artis. Malah terdapat acara-acara pertandingan dan mencari bakat dalam usaha melahirkan “daie selebriti” di tengah-tengah masyarakat.
Fenomena ini cukup marak sekarang, sehingga telah muncul apa yang boleh dinamakan sebagai “dakwahtainment”, satu istilah yang mungkin belum popular di negara ini, tetapi sudah agak popular di negara jiran.
Sudah cukup banyak rancangan-rancangan yang kini telah mencampur-baurkan antara dakwah dan hiburan. Tidak sedikit para daie yang tertarik dan menceburkan diri dalam program seperti ini yang nampaknya telah berjaya menarik dan menjadi trend anak-anak muda yang mempunyai kelulusan agama. Hal ini telah menjadi jalan pintas untuk pendakwah mencari nama, peminat dan pengikut, persis para artis yang mencari hal yang sama melalui industri hiburan.
Fenomena ini telah memunculkan daie-daie muda yang gaya hidup mereka sudah tidak ubah seperti selebriti, dan berapa ramai daripada mereka yang mendapat pulangan duniawi yang agak lumayan hasil “bakat” dan kemampuan mereka beraksi di depan kamera yang setanding dengan artis-artis popular.
Akhirnya, dunia dakwah diwarnai dengan kemunculan daie-daie selebriti yang diangkat oleh pelbagai media, namun malangnya content ceramah mereka miskin daripada kebenaran, dan terlalu jauh daripada membangkitkan umat. Mereka hanya menyampaikan dakwah dalam hal-hal yang biasa-biasa sahaja, yang disukai oleh pendengar atau peminat, dan lebih penting, mereka tidak akan menyentuh apa yang tidak disukai oleh pemerintah.
Tatkala bulan Ramadhan, di mana program-program keagamaan di TV semakin rancak, daie-daie selebriti ini sering mendapat laluan untuk menghiasi pelbagai rancangan dakwah. Umat Islam akhirnya dihidangkan dengan pelbagai dakwahtainment yang semakin lama semakin terhakis daripada tradisi keilmuan yang murni. Program dakwah hanya diminati apabila adanya unsur hiburan, sehingga umat dibius dengan perasaan mencari ilmu sambil berhibur atau berhibur sambil mencari ilmu.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa program-program dakwahtainment seumpama ini adalah lebih baik berbanding program-program entertainment yang jelas mengandungi kemaksiatan. Jadi, tidak perlulah ia dipermasalahkan, malah sebaliknya perlu digalakkan.
Kita perlu faham bahawa munculnya fenomena dakwahtainment ini menunjukkan bahawa kapitalisme dalam dunia hiburan telah meresap hingga ke bidang dakwah yang menjadikan dakwah seakan-akan sebuah “industri” yang berjalan sesuai dengan nilai-nilai kapitalisme. Kita melihat bahawa dunia dakwah sudah diresapi dengan unsur material (keuntungan), diukur dengan kehendak pasar, dimodifikasi agar dapat menyaingi dunia hiburan, dan adanya ikon-ikon tertentu yang dinaikkan sesuai dengan permintaan. Dengan cara inilah minda para daie dibentuk, dan minda umat diadjust agar selaras dengan kehendak pasar.
Maka dengan itu, dalam dakwahtainment, kita tidak akan mendengar para daei menyampaikan mengenai kewajipan pemerintah untuk menerapkan Islam secara kaffah; kewajipan pemerintah untuk melaksanakan uqubat (jinayat, hudud, ta’zir dan mukhalafat); kewajipan pemerintah untuk menghapuskan perbankan ribawi; kewajipan pemerintah untuk membuang sistem demokrasi yang datangnya daripada kafir penjajah; kewajipan pemerintah untuk berjihad melawan entiti haram Yahudi; kewajipan pemerintah untuk menyelamatkan kaum Muslimin yang dizalimi di seluruh dunia; kewajipan pemerintah untuk mempersatukan kaum Muslimin di bawah satu bendera dan satu negara; serta banyak lagi perkara-perkara seumpamanya yang tidak akan kita dengari.
Ini kerana, esensi daripada dakwahtainment hanyalah hal-hal ringan yang bersifat “menghibur”, atau perkara-perkara sunat dan makruh atau apa-apa perkara yang disenangi oleh pendengar, dan lebih penting, yang tidak berseberangan dengan kehendak pemerintah.
Sedangkan esensi daripada dakwah yang sebenar ialah untuk melakukan amar makruf nahi mungkar, menyampaikan peringatan, menyampaikan khabar gembira dan khabar ancam, meninggikan agama Allah, menjadikan umat ini sebagai umat yang terbaik dan negara umat Islam sebagai negara yang terbaik yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah dan seterusnya menjadi super power dunia. Inilah esensi daripada dakwah, yakni persis sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah (saw).
Kita harus ingat bahawa dakwah memerlukan bukan sahaja keikhlasan dan keberanian para daei dalam menyampaikan kebenaran; medan dakwah juga bukan untuk para daie menjadikan manfaat atau populariti sebagai asas; dan bukan juga untuk mereka menyampaikan perkara yang sedap didengar sahaja; tetapi lebih jauh daripada itu.
Sesungguhnya dakwah itu wajib mengikuti thariqah (jalan) Rasulullah (saw), apatah lagi dalam keadaan Islam tidak dilaksanakan secara kaffah seperti sekarang. Pada hari ini umat Islam tidak memiliki Khilafah, dan kaum kafir menyerang Islam dari segenap sudut sama ada secara pemikiran mahu pun fizikal. Maka dakwah seharusnya terfokus ke arah tersebut demi mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah, mengalahkan musuh-musuh Islam serta mengembalikan kekuatan serta kemuliaan Islam sebagaimana dahulu, dengan tegaknya al-Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.
Wallahu a’lam.