Fenomena Pengguguran Bayi Melampau Abad Moden

Jika masyarakat jahiliyyah di Mekah pada zaman dahulu terkenal dengan amalan mereka yang teruk dan rosak, begitu jugalah dengan keadaan yang berlaku di abad moden saat ini. Salah satu amalan buruk jahiliyyah yang dilakukan oleh masyarakat Mekah pada saat itu adalah membunuh bayi perempuan yang masih hidup. Pada waktu itu, kelahiran bayi perempuan dianggap sebagai satu bentuk keaiban bagi sesebuah keluarga. Ini tidak jauh bezanya bahkan lebih teruk lagi dengan apa yang berlaku dalam masyarakat jahiliyyah dalam abad moden ini. Dengan segala kebejatan akhlak masyarakat dalam pelbagai aspek, ditambah pula dengan penerapan sistem yang tidak memihak kepada mereka dalam pelbagai perkara menyebabkan masyarakat pada hari ini ditimpa dengan pelbagai tekanan hidup yang melampau.

Menurut perangkaan rasmi negara China, hampir 330 juta pengguguran telah dilakukan dalam tempoh 40 tahun yang lalu sejak langkah pengekangan pertambahan penduduk dilaksanakan. Data di laman web Kementerian Kesihatan China pada awal tahun ini melaporkan daripada tahun 1971 sehingga 2010, sejumlah 328.9 juta pengguguran telah dilakukan di China yang mempunyai 1.35 bilion penduduk. Walaupun dasar tersebut memberi pengecualian terhadap sebahagian keluarga di kawasan pedalaman, etnik minoriti dan pasangan yang masing-masing merupakan anak tunggal, namun gesaan agar dasar itu dihapuskan semakin meningkat ekoran tenaga kerja yang semakin berkurangan dan peningkatan bilangan warga emas di China.
 


 
Situasi sebegini bukan hanya di China, malah di Amerika Syarikat, dua agensi utama iaitu Federal Centers for Disease Control (FCDC) dan Alan Guttmacher Institute (AGI) telah mengumpul data-data pengguguran bayi yang telah dilakukan yang menunjukkan bahawa jumlah nyawa yang dibunuh dalam kes pengguguran bayi di Amerika adalah hampir 2 juta orang. Jumlah lebih banyak daripada jumlah nyawa manusia yang dibunuh dalam sesebuah perang yang melibatkan negara tersebut. Sebagai contoh, jumlah warga Amerika Syarikat yang terbunuh dalam setiap peperangan yang pernah berlaku adalah: Perang Vietnam seramai 58,151 orang, Perang Korea 54,246 orang, Perang Dunia II 40,7316 orang, Perang Dunia Pertama 11,6708 orang, Civil War (Perang Sivil) 498,332 orang. Secara keseluruhannya, dalam sejarah dunia, jumlah kematian yang disebabkan oleh pengugguran (abortion) adalah jauh melebihi jumlah orang yang meninggal dalam kesemua peperangan tersebut.
Selain itu, akhbar detikHealth di Indonesia menyatakan bahawa 10 peratus daripada remaja yang melakukan hubungan seks sebelum usia 15 tahun telah menyumbang kepada kelahiran anak luar nikah. “Hasil daripada itu, sekurang-kurangnya 2.2 sehingga 4 juta remaja wanita telah melakukan pengguguran bayi setiap tahun di negara-negara membangun,” kata Alejandra Trossero, Pengarah Program IPPF (International Planned Parenthood Federation) East & South East Asia and Oceania Region, dalam acara Journalist Workshop di Hotel Santika, Yogyakarta (18/10/2011).

Fenomena penguguran bayi melampau abad moden ini telah memberikan gambaran yang sangat jelas kepada kita bahawa tiada pilihan lain untuk umat Islam pada saat ini melainkan untuk menukar sistem yang sedia ada kepada sistem yang lebih baik dan dapat memberikan 1001 kebaikan dan rahmat bagi seluruh umat manusia. Sistem ini tidak lain dan tidak bukan adalah sistem Islam iaitulah Negara Khilafah Islamiyyah yang pernah mencatatkan tinta emasnya di sepanjang lebih daripada 1300 tahun penerapannya di atas muka bumi.

“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” [TMQ Al-Anbiya (21): 107].
 

Sumber: Kosmo, 19/03/13