Fesyen, Malu Dan Aurat…….Muslimah Masih keliru?

Islam tidak menetapkan fesyen asalkan tutup aurat
Oleh Mohd Ali Muhamad Don

Kecantikan bukan pada fizikal sebaliknya ketinggian akhlak, budi pekerti jadi ukuran.

Akhir-akhir ini pelbagai pihak tampil menganjurkan pertandingan ratu cantik dengan mendedahkan aurat menerusi pelbagai nama yang dipromosikan.  Ia nampaknya menarik perhatian segelintir gadis Melayu beragama Islam untuk menyertai pertandingan itu yang turut menawarkan habuan lumayan kepada pemenang.

Pada sudut pandang yang lain penampilan seksi segelintir selebriti tanah air juga semakin hangat diperkatakan.  Begitu pula terdapat sesetengah filem yang seolah-olah cuba mengeksploitasi wanita dengan cara berpakaian yang tidak senonoh dan mencemarkan budaya dan adat ketimuran.  Lebih memeranjatkan lagi apabila terdapat kalangan selebriti yang dinobatkan sebagai artis wanita paling seksi dan paling hangat di Malaysia.

Semua ini mencerminkan betapa hukum dan peraturan agama khususnya berkaitan perintah menutup aurat sudah tidak dipedulikan. Kemungkinan ada yang menganggap bahawa isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan dunia sudah maju zaman juga sudah berubah.

Boleh jadi juga ada yang mengatakan ‘usah jaga tepi kain orang’ atau ia adalah hak peribadi lalu terpulang kepada kebebasan individu untuk membuat penampilan sesuka hati mereka.  Namun begitu, setiap orang yang beriman sewajarnya memahami betapa kewajipan menutup aurat adalah hak Allah SWT yang akan dipertanggungjawabkan nanti.

Ia juga adalah peraturan agama yang sesuai untuk dipraktikkan pada setiap masa dan keadaan.  Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menyumbang kepada pelaksanaan ketetapan ini baik pada sudut pemerintah, masyarakat dan juga setiap individu Muslim.

Lebih unik lagi syariat Islam tidak pernah mensyaratkan hanya pakaian tertentu yang wajib dipakai sama ada oleh lelaki mahupun wanita.  Malah syariat yang murni memberi kebebasan kepada pelbagai bangsa dan keturunan manusia untuk mengenakan apa saja pakaian yang sesuai dengan adat, budaya dan persekitaran mereka.  Asasnya ialah menutup antara pusat dan lutut bagi lelaki dan menutup seluruh badan bagi wanita kecuali muka dan tapak tangan.

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah menegur Asma yang berpakaian nipis, sambil membelakanginya Nabi Muhammad SAW bersabda Wahai Asma; “Sesungguhnya seorang wanita apabila sudah cukup umur (telah baligh), tidak boleh dilihat daripadanya, kecuali ini dan ini, seraya Baginda SAW menunjukkan kepada wajahnya dan kedua belah tapak tangannya”.

Oleh itu, jika dengan hanya berpakaian nipis saja sudah ditegah lalu bagaimana pula dengan realiti pakaian segelintir masyarakat Islam hari ini.

Justeru, setiap individu Muslim perlu menginsafi diri dan berbuat sesuatu berlandaskan peraturan agama. Elakkan daripada mengamalkan budaya ikut-ikutan dengan meniru gaya dan corak berpakaian masyarakat lain yang tidak berlandaskan kepada prinsip hidup beragama yang sebenar.

Lebih daripada itu, setiap Muslimah wajib memiliki sifat malu sebagai pendinding untuk menangkis serangan bertubi-tubi musuh Islam daripada berbagai-bagai kaedah yang ditujukan terutamanya kepada golongan belia Islam agar mereka jauh daripada pegangan agama yang dituntut.

Penulis sendiri berasa malu apabila ada individu bukan beragama Islam yang tidak mengerti peraturan syariat tetapi tahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang beragama. Malah dengan tegas saudara David Teoh seorang penerbit filem terkenal di Malaysia dipetik berkata, seksi bukan penanda aras yang akan menentukan sesebuah filem sama ada bermutu ataupun tidak.

Masyarakat Islam secara umumnya juga perlu memahami bahawa perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat. Berbagai-bagai perkara sumbang yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini menunjukkan bahawasanya sifat malu mula diangkat oleh Allah SWT sedikit demi sedikit menjelang hari kiamat.

Sehubungan itu masyarakat Islam diajak menilai kecantikan bukan dengan fizikal dan gaya penampilan yang seksi lagi menggiurkan. Ia sesuatu yang tidak akan kekal lama dan sirna apabila tiba masanya. Adapun kecantikan akhlak dan budi pekerti mulia yang kekal tertanam dalam hati sanubari individu Muslim adalah sesuatu yang perlu diusahakan agar beroleh rahmat dan pengampunan daripada-Nya.

Sumber: Berita Harian, 2011/04/07



Fesyen, Malu Dan Aurat….Muslimah Masih Keliru??

Memang benar Islam mewajibkan umatnya untuk berpakaian menutup aurat seperti yang disampaikan oleh Rasulullah dalam sabdanya kepada Asma’ binti Abu Bakar: “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita jika dia telah baligh, tidak boleh terlihat darinya kecuali ini dan ini, seraya menunjuk wajah dan telapak tangannya[HR Abu Dawud].  Tuntutan menutup aurat ini telah diketahui umum.  Namun tidak ramai yang tahu bahawa Islam ada menetapkan bentuk pakaian yang wajib dipakai oleh Muslimah di tempat umum.

Ketika seorang wanita ingin keluar rumah ke tempat umum, terdapat kewajipan ke atasnya untuk mengenakan jilbab (sehelai kain yang tidak terpotong dari atas ke bawah).  Firman Allah, “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka[TMQ al-Ahzab (33):59]. (Sila rujuk SN236 atau artikel bertajuk Aurat Wanita Muslimah Menurut Syarak dalam ruangan Fikih Muslimah untuk mengetahui pembahasan mengenai jilbab ini.)  Oleh itu, seorang Muslimah wajib mengikut hukum syarak di atas dalam berpakaian dan bukannya mengikut adat dan budaya.

Sementara itu, sifat malu sebenarnya adalah perisai pada keimanan seseorang Muslim.  Daripada Abi Mas’ud al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara ucapan kenabian pertama (Adam) yang didapati manusia (daripada generasi ke generasi) adalah, “Jika engkau tidak malu maka perbuatlah apa yang engkau inginkan.” [Hadis riwayat Bukhari]. Hadis Nabi SAW yang lain juga ada menyatakan bahawa: “Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.”  [Hadis riwayat Baihaqi].  Jadi, memang benar bahawa jika seorang individu itu sudah tiada sifat malunya,maka dia akan melakukan perbuatan yang menyalahi hukum syarak dan akan terikut dengan budaya dan propaganda fesyen yang dilaungkan oleh musuh-musuh Islam.

Tetapi, perisai yang sebenar untuk menangkis serangan pemikiran daripada pihak kuffar adalah seorang Khalifah yang menaungi Daulah Islam (Daulah Khilafah).  Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Bahawasanya Imam itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.[HR Muslim]

Oleh itu, tidak cukup dengan hanya berperisaikan malu untuk menjamin ketaqwaan seseorang tetapi hakikatnya pemikiran sekular masih lagi dilontarkan kepada umat Islam.  Lama-kelamaan seseorang itu akan letih dan putus asa menahan tipu daya serangan itu dan akhirnya mengalah.  Tetapi, dengan adanya Khalifah, umat Islam akan terhindar daripada serangan itu kerana dialah yang akan menerapkan segala hukum Islam dalam pemerintahannya sehingga musuh Islam takut untuk mempengaruhi kita. Sebagai contoh, Menteri Dalam Negeri Britain, Charles Clark pernah memberikan pernyataan (dalam dialognya dengan para pemikir sayap kanan Amerika, The Heritage Foundation),  “Kita tidak akan pernah bertolak ansur sedikit pun tentang penegakan Khilafah.  Kita juga tidak akan bertolak ansur apa pun tentang pelaksanaan undang-undang (hukum) syariah.”  Jelas, musuh Islam ini takut kepada Khilafah dan hukum-hukum Islam.

Wahai Muslimah yang mendambakan kehormatan!

Sementara kita berusaha ke arah penegakan Khilafah yang juga telah menjadi kewajipan setiap Muslim, tetaplah berpegang teguh pada hukum syarak walaupun kita hidup dalam masyarakat yang tidak Islami. Jika puak kufar memandang pakaian Islam yang menutup aurat muslimah sebagai pakaian yang kolot, menghina dan menindas perempuan, jangan pula kita sebagai individu muslim memandang jilbab ini juga sebagai jumud, ketinggalan zaman dan menyusahkan.  Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menyampaikan khabar gembira kepada kita bahawa: “Islam muncul pertama kali dalam keadaan terasing dan akan kembali terasing sebagaimana mulainya, maka berbahagialah orang-orang yang terasing tersebut.  Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, siapa al-ghuraba (orang terasing) ini?” Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Mereka adalah orang-orang yang melakukan perbaikan ketika manusia sudah rosak.”  [HR at-Thabrani dalam al –Kabir]