Fikratul Ummah – April 2011
|
Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana dengan izinNya jua Fikratul Ummah bulan April sekali lagi muncul menemui para pembaca kami yang setia dan sentiasa peka tentang permasalahan yang melanda umat Islam secara amnya dan para muslimah khususnya.
Tidak dapat dinafikan, di seluruh belahan dunia hari ini, umat Islam sedang dilanda seribu macam masalah. Dari masalah penindasan, peperangan, pergolakan sehinggalah pada permasalahan aqidah yang justru membawa kepada keruntuhan akhlak terutamanya di kalangan generasi muda Islam. Jika umat Islam minoriti di negara kuffar dilanda masalah penindasan, umat Islam di Timur Tengah pula berdepan masalah pengkhianatan pemimpin Islam yang menjadi agen kuffar Barat. Sementara umat Islam yang kononnya hidup di negara yang berdaulat lagi merdeka dan penuh aman harmoni pula, sedang berdepan dengan masalah yang lebih parah. Masalah yang dimaksudkan tidak lain adalah masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Malaysia tidak terkecuali berdepan dengan masalah kebejatan akhlak di kalangan muda mudinya.
Mengambil kira fenomena yang kian meruncing ini, Fikratul Ummah keluaran April dan InsyaAllah keluaran-keluaran akan datang akan mengupas isu remaja ini dalam pelbagai aspek dengan memberi penumpuan kepada usaha yang dilakukan untuk membendung masalah di kalangan remaja. Usaha yang dimaksudkan ialah silibus pendidikan seks di sekolah-sekolah di Malaysia. Untuk itu, kami di sidang redaksi Fikratul Ummah ingin membawa para pembaca yang dirahmati Allah sekelian meneliti dengan pemikiran yang jernih serta meninjau sejauh manakah keberkesanan yang mampu dicapai dengan pelaksanaan silibus tersebut di sekolah-sekolah.
Dua artikel diangkat dalam keluaran kali ini bagi memberi gambaran kepada para pembaca betapa parah permasalahan yang sedang dihadapi. “Apa Ada Pada Pendidikan Seks” akan membongkar realiti dan kebenaran masalah salah laku seksual yang kian berleluasa. Artikel seterusnya “Warna warni Sejarah Pendididikan Seks Di Malaysia” menyusur sejarah pelaksanaan pendidikan seks di negara ini. Kesinambungan kepada kedua-dua artikel ini akan kami paparkan di keluaran akan datang. Segmen menampilkan doa yang boleh diamalkan ke atas anak-anak atau saudara bagi mengelakkan mereka dari melakukan maksiat. Sementara Fikih Muslimah membincangkan berkenaan dengan hukum berkaitan khitan di kalangan anak perempuan. Semoga prbincangan fikih ini mampu memberi pencerahan kepada para pembaca.
Memandangkan keluaran April ini merupakan bahagian pertama kepada perbincangan mengenai isu-isu pendidikan seks, harapan kami tidak lain, agar usaha ini diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala hendaknya dan semoga kupasan dalam keluaran ini mampu mengikat terus para pembaca agar istiqamah menunggu keluaran-keluaran akan datang, InsyaAllah.
Mukaddimah
Isu gejala sosial yang melibatkan seks bebas, kelahiran anak di luar nikah, pembuangan bayi, penularan penyakit kelamin di usia remaja, AIDS dan sebagainya sudah menjadi semakin parah apabila statistik menunjukkan berlakunya peningkatan dari tahun ke tahun. Malah, yang lebih membimbangkan, jumlah yang berada di carta teratas adalah terdiri dalam kalangan remaja Melayu yang beragama Islam!
Hampir setiap minggu kita mendengar melalui televisyen, akhbar dan majalah tentang kes-kes sosial yang menyesakkan nafas umat. Kes pembuangan bayi yang kebanyakannya ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan, malah ada yang tidak dapat dikenalpasti jantinanya berikutan keadaan bayi tersebut yang telah reput atau digigit anjing menjadi fenomena yang biasa. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan sebagainya antara lokasi biasa di mana bayi-bayi malang ini ditemui. Namun, bayi yang tidak berdosa ini ada juga yang bernasib baik apabila ditemui dalam keadaan masih hidup.
Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak lain yang terlibat bagi membendung gejala yang kian meruncing ini. Pihak kerajaan, pembangkang dan NGO (non-governmental organization) serta masyarakat sendiri masing-masing memberi perhatian serius dalam menangani gejala yang jauh menyimpang dari ajaran Islam ini. Tidak kurang juga cadangan dan penyelesaian yang cuba diketengahkan agar kerosakan yang dihadapi golongan remaja ini dapat dibanteras.
Salah satu langkah kerajaan yang sedang dilaksanakan kononnya bagi menyelesaikan masalah sosial yang berlaku terutama isu buang bayi dalam kalangan remaja adalah melalui pembelajaran di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), iaitu pengenalan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di peringkat sekolah-sekolah termasuk sekolah rendah dan sekolah menengah. Sebelum ini pendidikan seksualiti diterapkan secara menumpang mata pelajaran lain, namun bermula tahun ini pendidikan seks telah diajar secara berasingan dengan mengekalkan penggunaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS). Persoalannya, adakah melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) ini berjaya membendung masalah sosial remaja atau sebaliknya lebih menggalakkan lagi remaja melakukan seks secara bebas di usia muda dek kerana pendedahan yang diberikan di sekolah-sekolah mereka?
Realiti Kes Buang Bayi Hari Ini
Jika dilihat peratusan kes pembuangan bayi bagi tempoh tiga bulan pertama pada tahun 2011 mencecah jumlah sebanyak 29 kes. Suatu peningkatan drastik yang amat memeranjatkan dan semakin membimbangkan kerana ianya berlaku dalam tempoh suku pertama yang masih belum berakhir bagi tahun ini.
Kes buang bayi yang terbaru berlaku di Pulau Pinang apabila mayat bayi ditemui mati dalam keadaan yang menyayat hati pada 18 Mac yang lalu. Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mumtaz Begum Mohd Sultan telah memaklumkan berkenaan berita ini ketika ditemubual di forum anjuran Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam .
Menurutnya, kebimbangan itu berasas jika melihat rekod yang dicatatkan dan dibuat perbandingan dengan tahun lalu. Beliau dipetik sebagai berkata:
“Sepanjang 2010, jumlah kes buang bayi yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia adalah 43 kes”.
“Bagi tahun ini pula, sepanjang tiga bulan pertama sahaja, sudah 29 kes termasuk kes terbaru di Pulau Pinang semalam di mana mayat bayi ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati,” [Utusan 20/3/2011].
Antara kes terbaru juga ialah kes yang melibatkan seorang janda di Ipoh yang melakukan zina bersama kekasih hatinya telah mengandung anak luar nikah. Apa yang amat menyedihkan apabila ibu muda yang telah mempunyai anak hasil perkahwinannya yang sah ini sanggup menggugurkan kandungan haramnya sebanyak tujuh kali sepanjang tempoh empat tahun. “Saya membuat proses pengguguran haram di klinik swasta dengan bayaran RM300 bagi sekali ‘cuci’. Pada mulanya doktor di klinik itu tidak begitu kisah dengan permintaan saya, namun dia mula bimbang apabila saya mahu membuat pengguguran kali kelima.
“Doktor terbabit menasihatkan saya tidak lagi membuat pengguguran janin kerana bimbang ia boleh merosakkan peranakan selain boleh mendapat kanser rahim,” katanya. [Harian Metro Mac 2011].
Banyak lagi sebenarnya kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita, melalui pelbagai cara dan lokasi pilihan yang dijadikan tempat untuk mereka membuang bayi hasil hubungan haramnya dengan si lelaki durjana yang juga tidak mahu bertanggungjawab. Akibatnya, si ibu yang malu akan cemuhan masyarakat ke atas dirinya bertindak di luar batasan kemanusiaan dan nyata sekali menyalahi ajaran Islam. Tidakkah mereka yang membuang bayi ini sedar bahawa Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman di dalam al-Quran;
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” [TMQ al-Isra’ (17):32].
“Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka, kerana kebodohan lagi tidak mengetahui, dan mereka telah mengharamkan apa yang Allah telah rezekikan kepada mereka dengan semata-mata mengada-adakan terhadap Allah. Sesungguhnya mereka telah sesat dan tidaklah mendapat petunjuk” [TMQ al-An’am (6): 140].
Dari Hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam yang bermaksud;
“Daripada Ibnu Mas’ud Radhiallahu Anhu,, beliau bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Salam : Apakah dosa yang paling besar? Baginda Sallallahu Alaihi Wa Salam menjawab : Sekiranya kamu menjadikan tuhan yang setanding dengan Allah, sedangkan Dialah yang mencipta kamu. Aku bertanya lagi : Kemudian dosa apa lagi? Baginda Sallallahu Alaihi Wa Salam menjawab : Sekiranya kamu membunuh anak kamu kerana takut dia berkongsi makanan bersama kamu (kemiskinan). Aku bertanya lagi : Kemudian? Baginda Sallallahu Alaihi Wa Salam menjawab : Sekiranya kamu berzina dengan jiran kamu.” [Imam Bukhari, Shahih Bukhari bahagian. 13, ms 394 no. 4117].
Sebagaimana peringatan Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Al-Quran serta Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Salam, bahawa setiap makhluk ciptaanNya di mukabumi ini adalah amat berharga. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan juga harus dipelihara dengan sebaiknya, inikan pula makhluk Allah Subhanahu Wa Taala yang bergelar manusia. Walau sekecil mana pun anak itu, walau apapun status kelahiran anak malang itu, namun dia tetap berhak untuk merasai kehidupan di dunia ini. Sungguh tiada langsung rasa belas seorang ‘ibu’ itu yang telah bersusah payah menyembunyikan kandungannya yang berat dari diketahui orang, bertarung nyawa antara hidup dan mati demi untuk melahirkan zuriat yang lahir dari rahimnya sendiri, akhirnya dibuang bagaikan sampah!
Inilah yang telah berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini. Maksiat dan aktiviti seksual bebas berlaku di mana-mana. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah ada di antara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan merupakan mahasiswa di IPT. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa. Dari perbuatan keji inilah lahirnya satu janin yang bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah yang mementingkan diri sendiri.
Justeru, tanyakan kepada diri sendiri apakah kita ini ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi pada zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam? Kanak-kanak terutamanya perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup semata-mata untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga.
Amat memualkan malah fakta ini yang tidak dapat dinafikan, kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk membasmi gejala ini. Dari usaha pencegahan sehinggalah kepada usaha pelaksanaan hukuman. Antaranya termasuklah kempen-kempen kesedaran di kalangan remaja, ceramah-ceramah beserta pameran dari badan kerajaan yang tertentu seperti Polis Diraja Malysia (PDRM) dan seumpamanya sehinggalah kepada pelaksanaan hukuman penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini. Ironinya usaha ini seolah-olah tidak memberi kesan dan tidak menampakkan hasil. Jenayah keji ini malah semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi.
Akal yang waras akan bertanya di mana silapnya? Naluri yang penuh keimanan akan bermuhasabah apakah kepincangannya? Hakikatnya ramai yang prihatin malah isu ini telah lama diketengahkan oleh banyak pihak. Namun cukupkah hanya sekadar menangis mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak merata-rata seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa? Cukupkah sekadar manifestasi emosi yang cuak dengan isu pembuangan bayi yang tidak berdosa ini kerana dia adalah ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan daripada dosa insan yang bernafsukan syaitan?
Statistik Dahulu, Kini Dan Selamanya Jika Tiada Penyelesaian Tuntas
Jika dilihat dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mumtaz Begum Mohd Sultan di atas, jumlah buang bayi sepanjang tiga bulan pertama ini mencecah 29 kes.
Sementara statistik kes pembuangan bayi yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan satu trend peningkatan apabila kes yang dilaporkan sentiasa menunjukkan graf menaik dari tahun 2005 – 2011. Dilaporkan sejak tahun 2005 hingga Januari tahun ini sebanyak 517 kes pembuangan bayi dijumpai. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, jumlah itu merangkumi 203 orang bayi lelaki, 164 orang bayi perempuan dan 150 orang bayi yang tidak diketahui jantinanya. Bagi kes yang tidak dikenalpasti jantinanya adalah disebabkan mayat bayi reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan. Dari jumlah 517 bayi itu, sebanyak 230 merupakan bayi yang hidup manakala selebihnya telah meninggal dunia. [Bernama 9/2/2011].
Perkara ini dapat disimpulkan sebagai sentiasa meningkat walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) dan menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008) dan 79 kes (2009). [Berita Harian 14/8/2010]. Pada tahun 2010, kes buang bayi menunjukkan penurunan kerana hanya mencecah 43 kes, namun sepanjang tiga bulan pertama di tahun 2011 jumlah kes sudah mencapai 29 kes. Bagaimana pula sehingga penghujung tahun? Nauzubillah.
Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati purata tiga bayi dibuang setiap dua minggu di negara ini sepanjang 2007 hingga April tahun lalu, membabitkan 312 kes. Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Mohamed Fadzil Che Din, berkata perangkaan itu mungkin lebih tinggi kerana yang disenaraikan itu hanyalah kes yang dilaporkan kepada JKM.
Sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi berusia antara 18 hingga 25 tahun, 20 kes membabitkan individu berusia bawah 18 tahun, 33 kes dilakukan oleh individu 25 tahun ke atas, manakala 403 individu lagi gagal dikesan peringkat umur mereka.
Sejauh Mana ‘Kejayaan’ Pendidikan Seks?
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, bahawa “hasrat murni” kerajaan melaksanakan pendidikan seks ini adalah bertujuan untuk memberi maklumat kepada pelajar dan mengelakkan mereka dari terjebak dalam gejala sosial.
Sebaliknya, melalui laporan-laporan dan statistik-statistik yang dikeluarkan, menunjukkan masih ramai dalam kalangan remaja yang terjebak dalam gejala sosial ini. Tidak cukup dengan kes buang bayi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula berhadapan dengan situasi peningkatan pendaftaran kelahiran bayi-bayi yang tidak sah taraf. Dengan kata lain, anak luar nikah.
Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi 2000 hingga 2008, sebanyak 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa. Lebih menyedihkan, bagi tempoh 1999 hingga 2003 sahaja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.
Dalam perkembangan berkaitan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL, Datuk Dr J Ravindran, berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital terbabit mencatatkan peningkatan pada tahun 2010 berbanding tahun 2009. [Berita Harian 14/8/2010].
Namun apa sebenarnya faktor yang menyebabkan berlakunya gejala seperti ini? Ada yang berpendapat ianya bermula dari rumah lagi. Mungkinkah didikan agama daripada ibu bapa yang kurang terhadap anak-anak mereka atau terlebih didikan? Apa pun ibu bapa tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini. Ini kerana ada antara ibu bapa yang memberi didikan agama yang sempurna kepada anak mereka tetapi apabila meningkat dewasa dan anak-anak membawa haluan mereka sendiri, segala ajaran ibu bapa dilupakan sedikit demi sedikit.
Mungkin juga ianya berpunca daripada kemajuan teknologi dan media cetak dan elektronik pada zaman sekarang yang banyak memberi pendedahan seks dan bahan yang tidak berfaedah kepada remaja. Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, penyebaran VCD dan gambar lucah di dalam internet juga menjadi punca yang turut mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah disamping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.
Oleh itu, sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mengubah sikap mereka. Kegagalan pendidikan seks dalam menyekat masalah zina dan pembuangan bayi telah terbukti. Di negara barat sendiri yang merupakan pencipta idea dan mengamalkan pendidikan seks juga menemui kegagalan apabila melahirkan ramai remaja yang terjebak dengan gejala seks sehingga kadar penyakit kelamin dan kematian meningkat secara mendadak.
Khatimah
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang diperkenalkan di Malaysia walaupun disokong oleh banyak pihak dan ramai yang memandang dari sudut positif, namun hakikatnya tidak mampu mengatasi secara keseluruhan, jauh sama sekali secara tuntas sehingga ke akar umbi.
Apabila ajaran Islam diketepikan dari kehidupan hatta dalam membuat penyelesaian walau sekecil mana sekalipun, ianya akan menjadi penyelesaian yang bersifat sementara sahaja. Kembalilah kepada Deen yang menyeluruh kerana dengan merujuk kepada penyelesaian yang berasal dari selain Islam hanya akan menimbulkan kerosakan kehidupan manusia. Firman Allah Subhanahu Wa Taala:
“Tidakkah kamu melihat orang-orang yang mengira beriman kepada apa sahaja yang diturunkan kepadamu serta apa sahaja yang diturunkan sebelummu? Mereka ingin berhukum kepada ‘Taghut’, sedangkan mereka diperintahkan agar menolaknya. Dan sesungguhnya syaitan ingin menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ An-Nisa (4): 60].
Wallahu a’lam bisshawab.
Dalam kurikulum persekolahan Malaysia, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (seksualiti) diberi penekanan memandangkan gejala sosial yang semakin meningkat dalam kalangan remaja masa kini. Realiti yang dibentangkan dalam artikel sebelumnya setidaknya telah cukup menggambarkan kebenaran fakta tersebut. Peningkatan kadar berlakunya jenayah buang bayi, merebaknya penyakit berjangkit kelamin (sexual-transmitted disease) dan pelbagai lagi masalah gejala sosial menjadi faktor utama pendidikan seks diperkenalkan di Malaysia seperti juga di negara-negara Barat yang telah melaksanakannya. Ini kerana, para pemerhati remaja berpendapat seks bebas dan gejala sosial yang berleluasa berlaku dalam kalangan remaja disebabkan oleh kurangnya pengetahuan tentang seksualiti. Seorang pakar pendidikan, Musgrave (1978) dalam bukunya The Moral Curriculum : A Sociological Analysis menegaskan bahawa agenda penting pendidikan dalam sesebuah negara haruslah merangkumi usaha membangunkan aspek-aspek moral individu dan masyarakat [www.informaworld.com]. Sehubungan itu mereka berpendapat pentingnya pendidikan yang betul mengenai seks diajar di sekolah.
Sejarah Pendidikan Seks Di Malaysia
Pendidikan seks di sekolah-sekolah di Malaysia bukannya suatu silibus yang baru, malah ia telah melalui peringkat pengenalan, pindaan, pengenalan semula disertai dengan pelbagai respon sokongan dan tidak terkecuali bantahan. Pendidikan seks mula diperkenalkan di sekolah menengah pada tahun 1989. Pembelajaran sosial dan kajian kesihatan reproduktif diajarkan dalam pendidikan kesihatan merangkumi kurikulum pelbagai mata pelajaran seperti biologi, sains, sains tambahan, kajian moral dan pendidikan agama [Malaysia says no to sex education 28 April 2010, News Straits Times]
Pada Januari 1991, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyatakan bantahannya dengan cadangan untuk membenarkan filem dan video yang menggambarkan adegan seksual digunakan untuk tujuan pendidikan. Pada September 1992, Jawatankuasa Kabinet tentang AIDS pula mencadangkan pendidikan seks diajar kepada pelajar tingkatan dua dengan penekanan pada pencegahan AIDS. Sebagai langkah penjenamaan semula, pada Oktober tahun yang sama, Kementerian Pelajaran memutuskan untuk tidak menggunakan istilah “pendidikan seks” bagi subjek berkenaan seks kerana ia boleh disalahfahami oleh orang awam. Tetapi ia akan dikenali sebagai “pendidikan kesihatan keluarga” dan hanya diajarkan kepada pelajar sekolah menengah.
Dalam merealisasikan hasrat Kementerian itu, pada Disember 1994, pendidikan seks diperkenalkan sebagai subjek yang disebut “pendidikan kehidupan keluarga” untuk pelajar tingkatan dua hingga lima bermula pada penggal persekolahan 1995/1996. Tambahan pula, terdapat cadangan untuk memperkenalkannya di sekolah rendah. [mpbn.kbs.gov.my]. Seterusnya, silibus pendidikan seks ini mula mendapat bantahan secara terang-terangan apabila pada September 1998, Persekutuan Persatuan Perancangan Keluarga melaporkan bahawa kertas kerja untuk memasukkan pendidikan seks di sekolah-sekolah telah dianggap negatif oleh golongan ibu bapa dan kelompok masyarakat.
Namun, pada April 2000, pendidikan seks tidak dihentikan dan mula diajarkan di Pulau Pinang di bawah projek perintis yang melibatkan pelajar tingkatan tiga di 15 buah sekolah. Untuk memastikan pengenalan silibus ini berjaya, kerajaan mencadangkan untuk memberikan panduan tentang pendekatan mengajar mata pelajaran seksualiti pada awal tahun 2004 kepada guru-guru.
Seterusnya, pada Disember 2006, Menteri Pendidikan melaporkan kabinet telah memberi lampu hijau untuk memperkenalkan pendidikan seks ke dalam sukatan sekolah di semua peringkat. Malah, sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan untuk memberikan latihan, kempen dan bahan promosi untuk pendidikan seks.
Justeru, satu persoalan boleh ditimbulkan, setakat tahun 2006, adakah silibus Pendidikan Seks tersebut telah berjaya menyelesaikan masalah muda mudi sekarang yang semakin sukar dikawal? Muda-mudi yang meletakkan nafsu lebih tinggi dari akal dan akhirnya berlaku kes-kes pembunuhan, pembuangan bayi oleh wanita-wanita muda yang mengandung dek kerana terdorong dengan nafsu? Nampaknya jawapan kepada soalan ini adalah negatif dan buktinya adalah realiti dan fakta-fakta yang telah terpampang di hadapan mata kita saban hari dan saban tahun.
Pada Ogos 2010, Kementerian Pelajaran menyatakan kesediaannya untuk mengkaji cadangan memasukkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam kurikulum sekolah atau sebagai mata pelajaran teras. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebuah jawatankuasa teknikal terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pakar-pakar berkaitan masalah sosial, akan meneliti cadangan itu sebelum keputusan mengenainya dibuat [Cadangan pendidikan reproduktif sebagai mata pelajaran dikaji, Utusan online, 4/8/2010].
Yang terbaru, bermula tahun 2011, Pendidikan Kesihatan akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran dan tidak bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Pendidikan Kesihatan diberi peruntukan satu waktu (30 minit) setiap minggu bermula dengan Tahun 1 pada tahun 2011. [Berita Harian Online, 28/12/2010]. Selain itu, PKRS juga akan diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula Mei tahun ini [Utusan Online, 2/1/2011].
Kesimpulannya, kerajaan Malaysia masih mengamalkan cara lama iaitu try and error (kaedah cuba jaya) dalam usaha mereka untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan dalam masyarakat. Pelik tetapi benar, saban tahun, isu nama yang sesuai untuk dilabelkan pada pendidikan seks ini diperdebatkan. Malah, pihak kementerian masih lagi dalam peringkat berfikir dan meneliti sama ada PKRS ini kekal sebagai kokurikulum atau diserapkan dalam silibus akademik (kurikulum) sedia ada, misalnya dalam mata pelajaran biologi atau sains. Hakikatnya program perintis PKRS telah dilaksanakan di lima sekolah menengah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan serta Pahang sebagai kokurikulum sekolah.
Kementerian pelajaran seperti tidak pernah bersedia dengan rangka kurikulum pendidikan yang terbaik yang mampu menyelesaikan setiap permasalahan rakyatnya apatah lagi mencegahnya. Muhyiddin berkata, dalam membuat keputusan mengenai status PKRS dalam pendidikan sekolah, pelbagai faktor akan diambil kira termasuk latar belakang pelajar yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama serta kandungan buku teks kerana pada masa ini tidak ada bahan mengenai PKRS. Beliau juga berkata guru-guru yang akan mengajar program PKRS juga perlu dilatih supaya mereka dapat menyampaikan pembelajaran berkenaan secara berkesan. Badan-badan kerajaan yang lain pula memainkan peranan yang sangat pasif dalam bekerjasama menyelesaikan masalah berkaitan seks ini padahal punca masalah ini bersumber dari pelbagai cabang kehidupan seperti sosio-budaya, perundangan dan kehakiman, media massa dan elektronik dan lain-lain.
Silibus Pendidikan Seks
Kurikulum Pendidikan Kesihatan terdiri daripada elemen PKRS (75%), pemakanan (15%) dan pertolongan cemas (10%). Kandungan PKRS dalam Pendidikan Kesihatan digubal berdasarkan kepada tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran. Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab dalam menangani situasi berisiko. PKRS merangkumi enam tunjang iaitu perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku serta masyarakat dan budaya. Kesemua enam aspek ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun satu hingga enam.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, antara skop yang akan dimasukkan bagi murid tahap satu ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata ‘tidak’ kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan. Bagi tahap dua yang membabitkan murid tahun empat, tahun lima dan tahun enam, skopnya ialah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah. [Berita Harian Online, 6/12/2010]. Sukatan baru ini juga merangkumi modul mengenai pentingnya membuat keputusan yang tepat sama ada mahu melakukan seks atau tidak. [Malaysia says no to sex education, News Straits Times, 28/4/2010].
Skop silibus pendidikan seks ini sebenarnya menggambarkan bahawa dasar kerajaan tentang pendidikan seks masih jauh dari jelas. Ini kerana persekitaran kehidupan pelajar tidak membantu mereka untuk mengimplementasikan apa yang mereka belajar di sekolah. Sebagai contoh, bagaimana seorang pelajar lelaki itu akan mampu mengawal gejolak naluri seksualnya padahal perempuan-perempuan di sekelilingnya berpakaian mendedahkan tubuh badan? Bagaimana seorang pelajar perempuan mampu menjaga kehormatan dirinya padahal wanita itu sering diiklankan sebagai symbol seks? Bagaimana seorang remaja itu mampu membuat keputusan untuk berkahwin padahal ibu bapa menghalang perkahwinan sebelum tamat belajar dan prosedur-prosedur perundangan merumitkan seseorang yang di bawah umur untuk berkahwin? Usaha mengajarkan pendidikan seks ini hanya seperti melepas batuk di tangga kerana cuma sekadar teori yang digembar-gemburkan sebagai cara yang sesuai untuk dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang telah Barat mulakan.
Asal Usul Pendidikan Seks
Di negara Barat, memang ada subjek pendidikan seks diajar di sekolah-sekolah tetapi penekanannya adalah lebih kepada aspek teknikal seperti bagaimana mengelakkan kehamilan di kalangan wanita, contohnya, penggunaan kondom ketika melalukan seks. Di Belanda misalnya, seks adalah topik perbualan harian masyarakatnya, namun negara ini mempunyai tahap kehamilan remaja paling rendah di Barat dan kadar penyakit berjangkit terendah dalam kalangan remaja. Sekarang Britain dengan tahap tertinggi kehamilan remaja di Eropah, iaitu lima kali lebih tinggi dari Belanda, ingin meniru kejayaan Belanda. Kerajaan Britain telah memilih model Belanda kerana Belanda, tidak seperti negara-negara Scandinavia, juga dapat mengawal kadar pengguguran terendah di Eropah. Di Britain, jumlah kes pengguguran anak oleh remaja berumur bawah 16 tahun meningkat sepuluh peratus dari tahun 2007 kepada 4,376 [The Times Online, 24/11/2008].
Negara Barat mula menyedari pentingnya pendidikan seks selepas melalui zaman kegelapan pada abad pertengahan. Selepas tempoh pengenalan pendidikan seks, Barat telah berlebihan dalam pendekatan dan sikapnya terhadap pendidikan seks dan seks itu sendiri. Barat, melalui pandangan bejatnya mengenai seks, memberikan kesan yang sangat mengerikan dengan prinsip seks bebas. Kadar penghidap AIDS dan jangkitan HIV yang terus meningkat dapat dikaitkan secara langsung dengan sikap liberal Barat terhadap budaya seks bebas itu. Masalah ini sebenarnya telah memaksa Barat untuk mengubah pandangan mereka terhadap seks bebas, namun, hakikatnya tidak. Malah Barat tanpa segan silu terus mempromosikan kerosakan nilai-nilai seks mereka dengan mengatasnamakan ‘seks selamat’.
Barat telah melakukan sedaya upayanya untuk mempromosikan budaya kebebasan ke atas bangsa-bangsa di dunia. Untuk tujuan itu, mereka menggunakan semua sumber daya yang mereka miliki. Melalui sistem pendidikan sekular, Barat memperkenalkan konsep pendidikan seks sebagai elemen penting dari kurikulum pendidikan. Melalui cara ini juga, mereka berharap untuk melahirkan generasi yang telah rosak sejak dari usia muda lagi. Nilai-nilai seks yang telah rosak akan tumbuh dalam pemikiran mangsa-mangsanya dengan mengatasnamakan pendidikan seks. Kanak-kanak dan remaja akan dipengaruhi secara perlahan-lahan dengan nilai-nilai seks Barat di institusi-institusi sekular dengan alasan pendidikan. Budaya ‘katakan tidak kepada seks sebelum nikah’ mewujudkan dorongan terhadap seks secara eksperimentasi dalam bentuk masturbasi, berpasang-pasangan (coupling), melihat bahan-bahan lucah dan amalan-amalan lain yang songsang. Umat Islam juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa sistem pendidikan seks ciptaan Barat ini. Namun banyak pihak tidak sedar akan kesan buruknya melaksanakan sistem pendidikan sekular Barat ini yang jelas jauh menyimpang dari ajaran Islam.
Khatimah
Lihatlah muslimah sekalian! Pendidikan seks yang diajarkan di Malaysia ini tidak lain dan tidak bukan adalah hasil tiruan daripada Barat yang telah terbukti kegagalannya dalam menyelesaikan masalah secara keseluruhan. Kita tidak dapat menafikan langkah yang diambil oleh Barat itu kerana ideologi mereka memang meletakkan akal manusia sebagai sumber hukum. Maknanya, penyelesaian sesuatu masalah itu terletak pada pendapat orang-orang tertentu yang mempunyai hak bersuara dalam kepimpinan mereka. Mereka memandang bahawa kes buang bayi dan penyakit berjangkit kelamin adalah terpisah daripada masalah kehidupan sosial masyarakatnya. Justru, mereka menganggap mereka telah berjaya apabila kadar kes buang bayi di kalangan ibu-ibu muda telah berkurangan. Padahal, masalah itu berpunca daripada pelbagai cabang kehidupan termasuk senario politik negara, keadaan ekonomi semasa, teras sistem pendidikan dan lain-lain. Oleh yang demikian persoalan seterusnya yang patut dibincangkan mengenai penyelesaian masalah ini ialah apakah jalan penyelesaian yang dapat merungkaikan permasalahan ini dari akar umbi? Apakah sebenarnya kayu ukur untuk menentukan kejayaan sesuatu sistem dalam sesebuah negara? Persoalan-persoalan ini akan terus dibincangkan dalam artikel-artikel Fikratul Ummah keluaran bulan-bulan mendatang.
Wallahua’alam