Fikratul Ummah – Februari 2014

 

FIKRATUL UMMAH EDISI 63
RABI’UL AWWAL  1435H / FEBRUARI 2014

MUQADDIMATUL KALAM

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah[TMQ Al-Ahzab (33):21].

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh

Sidang pembaca yang dirahmati Allah Subhanahu wa Taala

Syukur ke hadrat Ilahi, FU kembali menemui kita untuk tahun baru 2014 demi melanjutkan usaha dakwah Islamiyah, InsyaAllah. Pastinya kehangatan sambutan Maulidur Rasul yang baru sahaja berlalu masih lagi dirasai oleh segenap lapisan umat. Sehubungan dengan itu, sepotong kalamullah dari surah al-Ahzab menjadi pembuka bicara kami untuk mengingatkan kembali bahawa Rasulullah S.A.W merupakan ikutan yang terbaik buat umat yang telah dijanjikan Allah S.W.T  sebagai umat yang terbaik.

Namun, apakah yang terjadi pada ‘umat yang terbaik’ saat ini?  Kita menyaksikan, di mana-mana sahaja ‘umat terbaik’ ini sering diperlekehkan, dihina malah ditindas dengan kejam oleh musuh Islam. Mengapakan hal ini mudah terjadi? Jawapannya sangat mudah. ‘Umat terbaik’ ini telah meninggalkan ajaran Rasulullah S.A.W, junjungan yang mulia yang seharusnya dijadikan contoh serta ikutan dalam seluruh aspek kehidupan. Walaupun di bibir mengucapkan selawat, salam dan cinta akan Rasul, namun hakikatnya mereka meninggalkan serta tidak sedikit yang menolak ajaran baginda SAW.

Deen-ul-Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W merupakan penyatuan kepada aqidah ruhiyyah (ajaran kerohanian) dan juga aqidah siyasiyah (ajaran kehidupan). Sadisnya, sehingga ke saat ini Barat tidak henti-henti merencanakan makar mereka ke atas umat Islam dengan pelbagai cara yang licik dan tersembunyi sehingga masih ramai di kalangan umat Islam yang masih tidak sedar dan terus lalai dalam arus kehidupan yang ala kebaratan. Maka, FU kali ini ingin membongkar antara makar yang sedang direncanakan oleh Barat saat ini demi menyesatkan lagi umat Islam terutamanya para pemuda yang bakal menjadi pemangkin generasi umat Islam yang utuh pada masa akan datang.

Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan, teruskanlah usaha dakwah demi mencapai redha Allah dan manifestasi cinta kepada Rasulullah S.A.W yang telah menunjukkan jalan kepada kita untuk meraih syurga Allah S.W.T.
Wallahu’alam


DOA MOHON
DIJAUHI ZINA DAN MAKSIAT


اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ، وَطَهِّرْ قَلْبَهُ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkan hatinya dan peliharalah kemaluannya”   [HR Riwayat Ahmad no.22265]


BARAT TAKUTKAN ISLAM, PEMISAHAN GENDER DIPERSOALKAN

Muqaddimah
Islam diserang lagi. Kali ini dengan isu pemisahan gender. Ia berkaitan aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan pelajar Islam di sebuah Universiti di Britain. Aktiviti rutin persatuan tersebut telah dihadiri oleh pelajar-pelajar Muslim. Media menggambarkan keadaan tempat duduk yang diasingkan di antara pelajar lelaki dan wanita sebagai sesuatu yang sukar diterima. Ini disensasikan lagi dengan komen terbuka daripada David Cameron, Perdana Menteri Britain tentang isu ini. Cameron mempertikaikan peraturan untuk mengasingkan tempat duduk berdasarkan gender di Universiti. Beliau menyifatkan pemisahan ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak akan dibenarkan. Akibat campur tangan Cameron, Universities UK (UUK) iaitu sebuah badan yang mewakili universiti-universiti di Britain telah menarik semula garis panduan tentang pemisahan gender dalam kalangan para peserta semasa kuliah.
 [http://www.theguardian.com/education/2013/dec/13/universities-uk-withdraws-advice-gender-segregation]

Di Malaysia, ikhtilat merupakan sesuatu yang sukar dikawal dan semakin membimbangkan. Wanita dan lelaki sama-sama bebas bergaul dengan sesiapa sahaja dan untuk apa jua perkara tanpa memperhatikan halal haramnya. Sama ada di pejabat, sekolah, pasar, stesen bas, perpustakaan dan sebagainya. Percampuran antara lelaki dan wanita itu seolah-olah menjadi sesuatu yang lumrah. Lebih menyedihkan ketika musibah banjir melanda, pihak pemerintah langsung tidak mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi kehormatan dan aurat mangsa khususnya Muslimah. Mangsa-mangsa banjir ini tidak ditempatkan di ruang yang sepatutnya terjaga dan terlindung aurat mereka atau meminimakan kemungkinan terjadinya ikhtilat agar terpelihara aurat mereka. 

Pemisahan Gender dalam Islam
Islam ialah agama dan juga cara hidup (way of life) yang sempurna di muka bumi. Islam mempunyai prinsip yang telah digariskan oleh syara’ berkaitan segala perkara termasuklah hal pengaturan hidup antara lelaki dan wanita. Islam memerintahkan umatnya untuk melakukan infisal, iaitu pemisahan antara lelaki dan wanita. Dalam kehidupan Islam yang dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W di Madinah dahulu, komuniti lelaki dan wanita wajib dipisahkan dalam kehidupan, tidak boleh bercampur. Contohnya, sewaktu keluar daripada masjid, Rasulullah S.A.W memerintahkan kaum wanita keluar lebih dahulu kemudian diikuti oleh kaum lelaki sehingga kaum wanita terpisah daripada kaum lelaki.

Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Hindun binti Al-Harits daripada Ummu Salamah isteri Nabi S.A.W, “Bahawa kaum wanita pada masa Rasulullah S.A.W jika telah mengucapkan salam daripada solat wajib, mereka berdiri. Rasulullah S.A.W dan kaum lelaki diam di tempat selama waktu yang dikehendaki Allah. Maka jika Rasulullah S.A.W berdiri, berdirilah kaum lelaki”.

Keterpisahan keduanya dalam kehidupan Islam adalah bersifat umum, tidak dibezakan sama ada ia kehidupan khusus (di rumah) atau kehidupan umum (di tempat awam). Dalam aktiviti tertentu, Allah S.W.T mengizinkan kaum wanita untuk melakukan jual-beli, mewajibkan mereka untuk menunaikan ibadah haji, solat berjemaah, berjihad melawan orang-orang kafir, memiliki harta dan mengembangkannya dan sejumlah aktiviti lain yang dibolehkan atas mereka.

Walau bagaimanapun, semua aktiviti di atas yang dibolehkan atau diwajibkan oleh syara’ terhadap kaum wanita, harus diperhatikan dengan lebih teliti. Jika pelaksanaannya menuntut interaksi/pertemuan (ijtima’) dengan kaum lelaki, maka dibolehkan adanya interaksi dalam batas-batas hukum syara’ dan dalam batas aktiviti yang dibolehkan ke atas mereka. Ini termasuklah aktiviti berjual beli, akad bekerja (ijarah), menuntut ilmu, kesihatan, paramedik, pertanian, perindustrian dan sebagainya. Ini adalah kerana dalil yang membolehkan aktiviti itu mencakupi kebolehan interaksi kerana adanya aktiviti-aktiviti itu. 

Namun jika pelaksanaan pelbagai aktiviti di atas tidak memerlukan adanya interaksi di antara keduanya seperti berjalan bersama-sama di tempat umum, pergi bersama-sama ke masjid, pasar, mengunjungi sanak saudara dan yang sejenisnya, maka di sini, tidak boleh seorang wanita melakukan interaksi dengan seorang lelaki. Ini kerana, dalil-dalil tentang kewajipan pemisahan lelaki daripada wanita bersifat umum. Tidak ada satu dalil yang membolehkan adanya interaksi antara lelaki dan wanita dalam perkara-perkara di atas dan interaksi itu pun tidak dituntut oleh perkara yang dibolehkan oleh syara’ untuk dilakukan oleh seorang wanita.

Oleh yang demikian, adanya interaksi antara lelaki dan wanita dalam perkara-perkara tersebut di atas dipandang sebagai perbuatan dosa meskipun dilakukan dalam kehidupan umum. Atas dasar ini, pemisahan lelaki daripada wanita dalam kehidupan Islam ialah wajib. Pemisahan keduanya dalam kehidupan khusus ialah pemisahan yang pasti kecuali dalam perkara-perkara yang dibolehkan oleh syara’.

Hukum Ikhtilat
Ikhtilat adalah bertemunya lelaki dan wanita ajnabi di suatu tempat dan terjadi interaksi antara lelaki dan wanita itu. Berdasarkan pengertian ikhtilat itu, suatu pertemuan antara lelaki dan wanita hanya disebut ikhtilat jika memenuhi dua kriteria secara bersamaan, iaitu: Pertama, adanya pertemuan (ijtima’) antara lelaki dan wanita di satu tempat yang sama. Kedua, terjadinya interaksi (ittisal, khilthah) antara lelaki dan wanita.

Jika lelaki dan wanita tersebut berada di dalam sebuah bas yang sama, misalnya dalam sebuah bas awam, namun tidak terjadi interaksi antara keduanya, maka keadaan itu tidak disebut ikhtilat (hukumnya dibolehkan). Tetapi jika antara mereka terjadinya interaksi, misalnya berkenalan dan berbual-bual maka keadaan ini disebut ikhtilat (haram hukumnya).

Sebaliknya jika di antara lelaki dan wanita hanya terjadinya interaksi, contohnya bercakap melalui telefon atau interaksi di alam maya (cyber) maka keadaan tersebut tidak disebut ikhtilat kerana mereka tidak berada di tempat yang sama atau tidak terjadinya pertemuan (ijtima’) di antara keduanya. Namun, harus diingatkan bahawa tetap sahaja perbuatan itu boleh mengundang kepada keharaman sekiranya perbualan telefon atau interaksi di alam maya tadi menjerumus kepada kemaksiatan.

Sesungguhnya ikhtilat adalah jalan yang memudahkan terjadinya berbagai kemaksiatan. Antaranya terjadinya khalwat, iaitu lelaki yang berdua-duaan dengan wanita yang bukan mahramnya. Sabda Rasulullah S.A.W, “Janganlah sekali-kali seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan, kerana yang ketiganya adalah syaitan  [HR Ahmad].

Justeru, terjadinya perzinaan kebiasaannya diawali dengan ikhtilat. Imam Ibnul Qayyim pernah berkata dalam kitabnya At Thuruqul Hukmiyyah, “Ikhtilat antara para lelaki dan wanita, adalah sebab terjadinya banyak perbuatan keji dan merebaknya zina”. Lebih mengerikan, jika zina sudah merebak di suatu negeri, maka akan terjadi kerosakan atau bencana umum bagi negeri itu. Na’uzubillahi min zalik. Sabda Rasulullah S.A.W,

Tidaklah merajalela perbuatan zina di suatu kaum, kecuali kematian pun akan merajalela di tengah kaum itu[HR Ahmad, dari ‘Aisyah RA].

Tinggal satu persoalan lagi iaitu mengapa pemisahan gender ini dijadikan isu oleh pihak Barat? Sementelah aktiviti yang dianjurkan itu adalah aktiviti luaran (kokurikulum) di universiti, lebih-lebih lagi ia dianjurkan oleh persatuan pelajar Muslim. Maka wajarlah apabila seluruh aktivitinya berjalan sesuai dengan ketentuan syariat Islam. Wajar pulalah apabila setiap pelajar yang menghadirinya memahami keadaan terpisahnya tempat duduk lelaki dan wanita. Ini selari dengan pemahaman mereka mengenai larangan ikhtilat (percampuran antara lelaki dan wanita) dalam Islam.

Jika benar pemisahan gender itu tidak wajar dan tidak diterima oleh masyarakat moden, mengapa telah wujud pemisahan premis seperti penjara, tandas, gimnasium, sekolah dan sebagainya yang berasaskan gender di negara-negara Barat? Mengapa pula dalam acara sukan, kategori lelaki dan wanita dipisahkan? Mengapa perlu diwujudkan pasukan lelaki dan pasukan wanita? Bukankah ianya salah satu daripada nilai atau norma yang diterima oleh masyarakat secara umum sejak sekian lama? Sememangnya isu ini justeru tidak perlu ditimbulkan. Namun hakikatnya ia timbul dan menjadi isu yang sengaja dipropagandakan oleh Barat akibat daripada Islamophobia mereka itu!

Hakikatnya, pemerintah Barat termasuk ahli politik serta golongan sekular liberal terus menerus menyerang amalan agama dan keyakinan umat Islam. Pada masa yang sama mereka juga yang melaungkan idea kebebasan yang termasuk dalamnya kebebasan beragama. Di satu sudut yang lain, mereka tidak henti-henti berusaha untuk memberi pandangan negatif terhadap sistem pergaulan Islam. Hal ini tidak lain, bertujuan untuk memaksa kaum Muslimin meninggalkan ajaran Islam dan menggantikannya dengan nilai-nilai liberal sekular Barat. Barat mahu mengajar kaum Muslimin supaya merasa bebas untuk bertingkah laku dan bercampur sesukanya antara lelaki dan wanita. Barat juga mempropagandakan isu pemisahan gender ini sebagai satu bentuk perlanggaran hak asasi dan diskriminasi ke atas wanita. Hakikatnya wanita di bawah sistem sekular (dan liberalisme) Barat telah lama dizalimi dan ditindas serta dieksploitasi daripada segenap aspek.

Khatimah
Telah banyak keyakinan dan prinsip Islam yang telah diserang oleh Barat. Daripada isu larangan berjilbab, sekolah-sekolah Muslim, pengadilan Syariah, perkahwinan, larangan membina masjid, larangan laungan azan sehinggalah kepada isu penutup wajah (niqab) dan terkini, isu pemisahan gender. Media Barat dilihat sengaja mencipta kontroversi dengan memfitnah nilai-nilai Islam. Islam dilabel ekstrem, diskriminatif dan tidak sesuai di abad ke-21.

Wahai Muslimah sekalian, perhatikan kaum Muslimah di Barat, mereka benar-benar tidak berdiam diri ketika akidah dan hukum-hukum Islam diserang oleh pemerintah Barat. Walaupun mereka terdiri daripada golongan minoriti, mereka bangkit dan berdiri untuk mempertahankan Islam sekali gus membuktikan serta menzahirkan kebohongan nilai-nilai Barat. SubhanAllah, jika di Barat Muslimahnya berani menunjukkan identitinya sebagai seorang Muslimah, lantas atas alasan apa Muslimah di sini justeru menerima nilai-nilai Barat dan memandang rendah atau mengambil mudah akan ajaran Islam?

Rujukan:
1.    Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW.
2.    Taqiyuddin An Nabhani, An Nizhamul Ijtima`i fil Islam).
3.    http://www.hizbut-tahrir.or.id/container/uploads/2007/12/sistem-pergaulan-dalam-islam-51-118.pdf
4.    http://hizbut-tahrir.or.id/2013/06/16/bahaya-ikhtilat-menurut-hukum-islam/
5.    http://www.theguardian.com/education/2013/dec/13/universities-uk-withdraws-advice-gender-segregation

 



NAFSIYAH: BAHAGIA MENJADI ORANG YANG TERASING

Saat ini, orang yang berusaha untuk berpegang teguh kepada agamanya dan bersungguh-sungguh dalam mengikuti jejak Nabi S.A.W disifatkan oleh sebahagian yang lain sebagai orang yang terkebelakang, ekstrem, malah ada yang dilabel sebagai orang-orang yang sesat. Kemungkaran pula diterima sebagai kemajuan. Fitnah yang semakin bermaharajalela ini menyaksikan suatu fenomena yang amat ganjil daripada sudut pandang seorang Muslim.

Kita dapat saksikan hari ini, kebatilan tersebar luas tanpa batasan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, khususnya apabila puak sekularis terus melaungkan hak-hak kebebasan dan merencanakan makar terhadap manusia yang berpegang teguh kepada agama Allah. Buktinya, para wanita bebas membuka aurat dan berpakaian tidak senonoh serta jalan berlenggang-lenggok memperagakan kecantikan tanpa ada halangan. Khamar (arak) boleh diperolehi dengan mudah dan judi dihalalkan sehingga manusia berjudi di tempat-tempat terbuka tanpa rasa bersalah lagi berdosa. Hiburan yang fasad (rosak) boleh dilihat di mana-mana tidak mengira siang atau pun malam.

Ini menunjukkan bahawa Islam yang mulia yang sepatutnya menjadi harta paling berharga bagi seorang Mukmin telah terpinggir daripada realiti hari ini, terasing di bumi sendiri, malah dicampak jauh oleh penganut sendiri. Walhal, seorang Muslim diwajibkan untuk sentiasa berpegang teguh dan menggenggam erat hubungannya dengan al-Khaliq iaitu Allah S.W.T. Benarlah sabda Rasulullah S.A.W,

Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali asing seperti semula. Maka berbahagialah orang-orang yang terasing[HR Muslim].

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya an-Nihayah (III/348) yang mana beliau menyatakan bahawa Islam pada awalnya bagaikan sesuatu yang asing, kerana tiada pengikutnya. Pada ketika itu orang yang masuk Islam sangat sedikit bilangannya. Kemudian Islam akan kembali asing seperti awalnya iaitu pada akhir zaman, mereka bagaikan orang-orang yang terasing. Rasulullah S.A.W bersabda “Berbahagialah orang-orang yang terasing” bermaksud Allah memberi syurga sebagai balasan bagi orang-orang yang berada pada permulaan Islam dan pada masa-masa akhir kebangkitan Islam. Khususnya kerana kesabaran menghadapi seksaan orang-orang kafir sama ada pada awal ataupun pada akhir zaman. Juga disebabkan keteguhan mereka kepada agama Allah S.W.T ketika kefasadan berleluasa.

Ini merupakan khabar gembira bagi setiap Muslim bahawa keterasingan seperti gambaran di atas telah dialami oleh utusan-utusan Allah ketika mereka hidup dalam kalangan kaum masing-masing termasuklah Nabi Muhammad S.A.W dan orang-orang yang mengikuti baginda. Firman Allah S.W.T:

 “Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya  [TMQ ar-Ra’d (13):29].

Rasulullah S.A.W juga bersabda, “Sebaik-baik kurun adalah kurun yang mana aku diutus kepada mereka, kemudian kurun setelah mereka, kemudian kurun berikutnya lagi”   [HR Bukhari, no.2508, Muslim no.2533].

Hadis riwayat daripada Abu Daud dan Tirmizi dengan sanad hasan, Rasulullah S.A.W bersabda, “Akan datang suatu masa, bagi orang yang beramal akan mendapatkan pahala 50 orang. Para sahabat bertanya , ‘Ya Rasulullah, 50 orang dari kami atau (dari) mereka? Rasulullah menjawab, ‘Dari kalian’.

Hadis riwayat Imam Ahmad, Daramiy dan Thabrani, Rasulullah S.A.W bersabda, “Abu Ubadah bertanya, ” Ya Rasulullah! Adakah orang yang lebih baik daripada kami? Kami telah masuk Islam bersamamu.” Rasul menjawab, “Ada; iaitu suatu kaum setelah kalian, yang mereka beriman kepadaku padahal mereka tidak melihatku“.  [HR Ahmad]

Abu ‘Umar berhujah mengenai asbab mengapa generasi kurun pertama disebut sebaik-baik kurun. Menurutnya, mereka adalah orang-orang yang terasing dalam keimanannya kerana begitu banyaknya gangguan dan tekanan daripada orang kafir. Juga disebabkan kesabaran mereka atas penderitaan mereka. Abu ‘Umar berkata hal yang sama berlaku bagi orang-orang yang setelah mereka. Jika mereka menegakkan agama, berpegang teguh dengannya, sabar dalam ketaatan ketika maksiat dan fitnah telah tersebar luas, maka dalam keadaan ini mereka juga disebut orang-orang yang terasing (ghuraba’). Maka ketika ini, amal perbuatan mereka mendapat balasan yang berlipat ganda sebagaimana para sahabat.

Walaupun Islam telah terasing, itu bukan bererti kaum Muslimin boleh meninggalkannya. Na’uzubillah. Namun, sikap yang harus di ambil adalah sebagaimana firman Allah S.W.T,

Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang lurus; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah ciptakan bagi manusia (dengan keadaan bersedia daripada semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”  [TMQ ar Ruum(30):30].

Sikap tersebut ditegaskan lagi dalam firman Allah S.W.T, “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam  [TMQ Ali-Imran (3):102].

Dengan demikian, setiap individu Muslim seharusnya kekal berpegang teguh pada syariat Islam ketika penganutnya dipandang asing dalam sistem yang kufur kerana ia adalah suatu hakikat kehidupan bahawa manusia akan ditimpa dengan pelbagai ujian ketika hidup di dunia. Namun Allah S.W.T jua yang melimpahkan rahmat kepada hamba-hambaNya dalam bentuk cahaya kehidupan dan pengampunan ke atas dosa-dosa mereka. Ujian yang dihadapi seorang Muslim lebih ringan jika dibanding dengan kenikmatan yang Allah anugerahkan. Lihatlah Rasulullah S.A.W sebagai contoh, walaupun disakiti oleh orang-orang kafir dengan pelbagai cara, namun baginda tetap mendapat pembelaan daripada Allah S.W.T  dengan dikurniakan kemenangan padahal jumlah orang Islam ketika itu amat sedikit berbanding musuh.

Inilah sikap yang harus diamalkan oleh setiap individu Muslim tatkala dia berusaha untuk berpegang teguh pada hukum Allah. Allah S.W.T memerintahkan supaya hambaNya tunduk patuh kepadaNya walau dalam keadaan yang terasing dan hanya berharap kepada pertolongan daripadaNya dalam setiap keadaan. Allah S.W.T berfirman,
 
“Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi penolongmu dan juga pengikut-pengikutmu dalam kalangan  orang-orang yang beriman.”[TMQ al-Anfal (8):64].

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya[TMQ at-Thalaq (65):2-3].

Maka berbahagialah orang-orang yang tetap berpegang teguh dengan syariat Islam sebagaimana yang telah diperintahkan Allah dan RasulNya. Oleh itu, apabila berhadapan dengan umat yang beraneka ragam, hadapilah dengan keteguhan sebagai seorang Muslim dengan kekuatan dan kemampuan yang ada pada diri yang dibina dengan tsaqafah yang benar. Yakinlah dengan janji Allah S.W.T kepada orang-orang yang beriman sebagaimana yang telah termaktub dalam surah an-Nuur (24) ayat 55,
 
Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka

Wallahu a’lam.

Rujukan :
1.    Terjemahan AlQuran
2.    Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah , GHURBAH AL ISLAM.
 



SERIKANDI TELADAN: SEINDAH MAHAR UMMU SULAIM

Dan berikanlah mas kahwin (mahar) kepada perempuan (yang kamu nikahi) sebagai pemberian yang penuh kerelaan[TMQ an-Nisaa’ (4):4].

Firman Allah S.W.T ini merupakan indikasi bahawa mahar merupakan satu kewajipan yang telah Allah tetapkan bagi kaum Adam untuk diberikan kepada kaum Hawa yang ingin dinikahinya. Mahar adalah hak isteri yang diberikan oleh suami dengan hati yang tulus ikhlas tanpa mengharapkan balasan sebagai penyataan kasih sayang dan tanggungjawab suami atas kesejahteraan rumah tangga yang akan mereka bina kelak.

Islam tidak pernah menghadkan atau menetapkan kadar minima atau maksima dalam menentukan mahar bagi seorang wanita. Malah, Islam sangat menganjurkan agar segala urusan perkahwinan dipermudahkan termasuklah dalam penetapan kadar mahar. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Sesungguhnya perkahwinan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah dilamar dan murah mas kahwin (mahar)nya”   [HR Ahmad 6/82].

Namun, saat ini kita melihat ramai Muslim yang berpusu-pusu mengejar kemegahan dan kemewahan dalam majlis pernikahan mereka. Bagi mereka, semakin tinggi nilai mahar ataupun nilai wang hantaran, semakin tinggi darjat seseorang itu. Lihat sahaja pernikahan yang telah dijalankan oleh sepasang artis terkenal di Malaysia baru-baru ini yang telah menelan belanja lebih daripada RM3 juta dengan maharnya yang sebanyak RM9,300, manakala wang hantaran sebanyak RM23,200. Sungguh amat mendukacitakan apabila perkahwinan yang dituntut oleh Islam menjadi tempat memperagakan kemewahan sekali gus menjadi satu kerisauan kepada umat Islam sekiranya ia menjadi satu ikutan kepada anak-anak muda masa kini.

Kesan daripada sikap ingin bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu boleh menyebabkan pelbagai kemaksiatan berlaku. Sebagai contoh, pihak lelaki yang tidak mampu memenuhi tuntutan daripada pihak perempuan, pasti akan mencari jalan untuk memenuhinya juga dan antara jalan mudah yang dipilih adalah dengan membuat pinjaman yang beriba. Perkahwinan yang pada dasarnya bertujuan ingin mencipta sebuah keluarga yang sakinah mawadah wa rahmah akhirnya mendatangkan murka Allah S.W.T. Apakah wajar kita mencampurkan kebathilan dengan haq? Na’uzubillah min zalik. Apakah dengan kadar mahar dan kos-kos sampingan yang tinggi itu dapat menjamin kebahagiaan sebuah keluarga?

Serikandi Teladan

Justeru, ruangan serikandi teladan kali ini akan menyingkap sebuah kisah sahabiyah yang pasti akan meruntun hati-hati kita. Seorang sahabiyah yang bukan sahaja mendapat tempat yang khusus di hati Rasulullah S.A.W malah Allah S.W.T telah menjanjikan syurga buatnya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis riwayat Bukhari, “Aku masuk syurga lalu aku dengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata, aku berhadapan dengan Al-Ghumaisha’ bintu Milhan”.

Beliau merupakan seorang wanita Ansar yang termasuk dalam kalangan sahabiyah yang mulia dan paling utama. Beliau menghimpunkan ilmu, kebijaksanaan, keberanian, kemurahan hati, kesucian peribadi dan keikhlasan yang tulus semata-mata bagi Allah dan RasulNya. Jiwa wanita yang bijaksana ini telah dipenuhi dengan iman sejak pertama kali beliau mendengarnya, lalu beliau menghadirkan fenomena tersendiri yang menyaksikan kecemerlangan, kemuliaan dan kebaikan dirinya sepanjang zaman. Sahabiyah terbaik ini juga ialah ibu kepada seorang sahabat yang terbaik, yang mendapatkan kedudukan khusus di sisi Rasulullah S.A.W, iaitu Anas bin Malik. Abu Nu’aim Al-Asybahany mengungkapkan jati diri wanita ini dengan berkata, “Ummu Sulaim adalah wanita yang tunduk kepada keputusan orang yang dicintainya, yang biasa membawa tombak dalam peperangan!”

Di kesempatan ini, marilah kita telusuri nasab sahabiyah yang biografinya yang harum semerbak, enak didengar dan menyenangkan hati ini. Beliaulah Ummu Sulaim binti Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram An-Najariyah Al-Ansariyah Al-Khazrajiyah. Beliau juga dikenali sebagai Al-Ghumaisha’ atau Ar-Rumaisha’. Semoga mujahidah yang sabar, khusyuk, mulia, patuh beragama serta berkedudukan ini menjadi teladan buat kita semua.

Mahar Yang Paling Indah
Sesungguhnya sepak terajangnya di medan dakwah tidak dapat disangkal lagi. Sejak hari pertama keIslamannya, Ummu Sulaim telah menyajikan keteguhan peribadi yang mengagumkan dan layak untuk diteladani. Beliau mencintai Islam dengan kecintaan yang sangat mendalam, sehingga beliau tetap teguh di hadapan suaminya (Malik bin an-Nadhar) yang masih musyrik. Kisah menarik ini merupakan kisah yang mengangkat martabat Ummu Sulaim dan menempatkan beliau setaraf dengan para Muslimin di awal dakwah Islam di kalangan kaum Ansar.

Di celah-celah kisah keteguhan hatinya itu, terselit sebuah kisah yang menggambarkan keikhlasan hatinya dalam meletakkan cinta kepada Islam melebihi segalanya. Telah dikisahkan bahawa setelah beberapa lama beliau membesarkan Anas bin Malik bersendirian, suatu hari beliau dilamar oleh Abu Talhah al-Ansary yang masih seorang musyrik ketika mengajukan lamaran tersebut. Ummu Sulaim dituntut untuk mempertimbangkan lamaran lelaki tersebut kerana Abu Talhah merupakan seorang yang berpengaruh dalam masyarakat.

Ketika Abu Talhah menemui beliau buat kali kedua untuk tujuan yang sama, Ummu Sulaim menjawab lamaran tersebut dengan berkata “Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita Muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau”. “Apa yang perlu kulakukan untuk tujuan itu?” tanya Abu Talhah. “Hendaklah engkau menemui Rasulullah S.A.W”, jawab Ummu Sulaim. Abu Talhah segera menemui Rasulullah yang ketika itu sedang duduk di tengah-tengah para sahabat. Ketika melihat kehadiran Abu Talhah, baginda S.A.W bersabda, “Abu Talhah mendatangi kalian dan tanda-tanda keIslaman nampak di antara kedua matanya”. Abu Talhah memberitahu Rasulullah apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para sahabat. Beliau juga bersetuju menikahi Ummu Sulaim dengan mahar keIslamannya. Tentang kisah pernikahan yang diberkati ini, Tsabit bin Aslam Al-Banany, salah seorang tabi’in berkata, “Kami tidak pernah mendengarkan mahar yang lebih indah daripada maharnya Ummu Sulaim, iaitu Islam! [Shifatush- Shafwah, 2/66; Siyar A’lamin-Nubala’, 2/29].

Pernikahan Bukan Titik Terakhir
Status sebagai isteri dan pengatur rumah tangga tidak pernah menghalang Ummu Sulaim untuk meneruskan perjuangannya di medan dakwah dan jihad. Beliau tidak pernah meletakkan status itu sebagai satu penghalang baginya untuk bergerak bersama-sama Rasulullah dan para sahabat yang lain. Tidak dapat diragukan bahawa beliau sering terlibat dalam pelbagai peristiwa penting, malah menyertai sejumlah wanita lain yang ikut berjihad bersama Rasulullah.

Muhammad bin Sirin, seorang tabi’in mulia pernah menyebutkan bahawa Ummu Sulaim menyertai Rasulullah S.A.W di Perang Uhud padahal ketika itu beliau sedang mengandungkan anaknya, Abdullah bin Abu Talhah. Beliau membawa bersamanya sebuah tombak pendek yang diselitkan di pinggangnya. Abu Talhah menemui Rasulullah S.A.W untuk mengkhabarkan tindakan isteri beliau. Namun, hanya senyuman yang terukir di bibir Rasulullah S.A.W mendengarkan tingkah laku sahabiyah yang disayanginya itu. Baginda lantas bertanya kepada Ummu Sulaim tentang kegunaan tombak pendek itu dan dijawab dengan berani oleh beliau, “Jika ada salah seorang antara orang-orang musyrik mendekatiku, maka aku akan menikamnya dengan tanganku sendiri!” Inilah dia salah seorang sahabiyah yang mendapat kemuliaan jihad di sisi barisan kaum Muslimin. Subhanallah!

Khatimah
Wahai akhwati rahimakumullah, ingatlah bahawasanya kebahagiaan sebuah perkahwinan itu bukanlah terletak kepada tingginya nilai mahar. Bukan juga terletak kepada mewahnya majlis walimah yang diadakan. Tetapi, kebahagiaan dan rahmat dalam sebuah perkahwinan itu akan tercipta dengan hadirnya keberkatan dalam jalinan ikatan itu yang bermula saat pengkhitbahan (peminangan) sehinggalah menuju ke alam pernikahan. Dan keberkatan tidak akan hadir tanpa keredaan Allah SWT. Apa yang pasti reda Allah itu akan sentiasa mengiringi setiap hambaNya yang taat dan patuh pada perintah dan laranganNya.

Daripada Abul Ajfa’ As Sulami dia berkata; Aku mendengar Umar berkata; “Ketahuilah, janganlah kalian berlebih-lebihan dalam masalah mahar wanita, ketahuilah, janganlah kalian berlebih-lebihan dalam masalah mahar wanita, kerana jika perbuatan itu terhormat di dunia atau merupakan ketaqwaan kepada Allah, maka orang yang lebih patut dalam hal itu adalah Nabi S.A.W, sementara Rasulullah S.A.W tidak memberikan mahar kepada isteri-isterinya dan juga tidak meminta mahar untuk anak-anak perempuannya melebihi daripada dua belas uqiyah, sesungguhnya seorang lelaki pasti akan diuji dengan mahar isterinya[HR Ahmad No.272].

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1)    Wanita yang Dijamin Syurga. Ahmad Khalil Jam’ah. Darul Falah.
2)    70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka al-Madani, Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah.
3)    Tafsir Wanita Dalam Al-Quran. Syeikh Imad Zaki al-Barudi. Al-Hidayah.
4)    http://english.astroawani.com/news/show/rozita-che-wan-zain-saidin-officially-married-26844 diakses pada 2/1/14
5)    http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20131208/hi_01/Bukan-nak-menunjuk-nunjuk diakses pada 3/1/14

 



HUKUM PERTUNANGAN DALAM ISLAM

SOALAN:
Saya perhatikan sebahagian Muslim sekarang menganggap bertunang itu satu lesen untuk keluar dating berdua-duaan. Tiada segan silu lagi malah lebih teruk lagi apabila ibu bapa juga membenarkan. Apakah pandangan Islam tentang budaya ini?

JAWAPAN:

Muqaddimah
Majlis pertunangan sudah menjadi sebahagian daripada adat masyarakat di Malaysia. Malah, terdapat segelintir masyarakat yang mengadakan majlis pertunangan secara besar-besaran persis majlis perkahwinan. Hal ini, sudah pastinya mengundang pelbagai penyimpangan daripada segi syariat Islam. Persoalan ini adalah penting untuk dibincangkan kerana setiap perbuatan manusia itu terikat dengan hukum syariat Islam. Inilah apa yang dimaksudkan dengan kaedah fikih “al-aslu fi al-af’al tuqayyidu bi hukmillah” (“hukum asal perbuatan manusia adalah terikat dengan hukum Allah”).

Sesungguhnya Islam telah menjelaskan dengan terperinci dalam Al-Quran dan Sunnah berkaitan perihal pergaulan antara lelaki dan perempuan agar umat Islam tetap berpegang kepada hukum-hakam Islam walau dalam apa jua keadaan dan situasi supaya berada di atas landasan yang benar dan tidak hanya menurut hawa nafsu semata-mata.

Khithbah (Peminangan)
Seorang lelaki yang telah berhasrat untuk menikahi seorang wanita, hendaknya meminang wanita tersebut kepada walinya. Apabila seorang lelaki mengetahui wanita yang hendak dipinangnya telah terlebih dahulu dipinang oleh lelaki lain dan pinangan itu diterima, maka haram baginya meminang wanita tersebut. Ini kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda,

 “Tidak boleh seseorang meminang wanita yang telah dipinang oleh saudaranya hingga saudaranya itu menikahi si wanita atau meninggalkannya (membatalkan pinangannya)  [HR Al-Bukhari no. 5144].

Dalam riwayat Muslim (no. 3449) disebutkan,  “Seorang Mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Maka tidaklah halal baginya menawar barang yang telah dibeli oleh saudaranya dan tidak halal pula baginya meminang wanita yang telah dipinang oleh saudaranya hingga saudaranya meninggalkan pinangannya (membatalkan)”.

Peminangan dan pertunangan hanya boleh berlangsung apabila telah disahkan oleh wali wanita tersebut bahawa wanita tersebut tidak atau belum pernah menerima pinangan daripada lelaki lain sebelum ini atau dalam erti kata lain tidak dalam tempoh pertunangan dengan mana-mana lelaki.

Setelah pinangan diterima tentunya akan ada lanjutan perbincangan seperti penetapan tarikh pernikahan, urusan walimatul urus dan lain-lain. Namun tidak bererti setelah peminangan tersebut, si lelaki bebas berdua-duaan dan berhubungan dengan tunangannya. Ini kerana selagi belum berlangsungnya akad nikah, maka kedua-duanya tetap ajnabi, maka tidak seharusnya seorang Muslim mengambil mudah dalam hal ini.

Larangan berkhalwat
Apabila seseorang telah bertunang (telah berlaku peminangan), ia tidak mewujudkan satu hubungan khas umpama orang yang telah berkahwin. Dalam hal ini, perbezaan antara bertunang dan sebelum bertunang adalah daripada sudut ikatan perjanjian yang dibuat sebelum berkahwin. Ikatan perjanjian yang dibuat akan berterusan sehingga mereka berdua berkahwin. Namun begitu, daripada sudut hubungan antara lelaki dan perempuan, sama sahaja hukumnya dengan orang lain yang masih belum bertunang.

Maka hukumnya juga haram bagi pasangan yang bertunang untuk berkhalwat dan mereka juga tidak boleh bersentuhan tangan, bercampur tanpa ditemani mahram, keluar berdua-duaan di tempat-tempat umum dan sebagainya. Rasulullah S.A.W bersabda,

Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan [HR Muslim, dari jalur Ibnu ‘Abbas].

Hukum Lelaki Memandang Wanita
Islam telah menggariskan hukum dalam persoalan lelaki memandang wanita. Bagi lelaki yang telah baligh, maka haram bagi lelaki tersebut melihat susuk tubuh wanita ajnabi, walaupun lelaki yang memandang itu terdiri daripada warga emas sekalipun. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Katakanlah kepada lelaki lelaki yang beriman; “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya;…” [TMQ an-Nuur (24):30-31].
 
Lelaki yang selain daripada mahram kepada wanita hanya diperbolehkan melihat wajah dan dua telapak tangan wanita dan ia diharamkan untuk melihat selain daripada kedua-dua anggota tubuh itu. Ini termasuklah lelaki yang dalam tempoh pertunangan dengan wanita, hukum-hakam yang terkait adalah tetap sama. Sabda Rasulullah S.A.W,

Dari Jabir ibnu Abdullah meriwayatkan, “Aku pernah bertanya pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam mengenai pandangan yang tiba-tiba (tidak disengajakan).  Maka baginda (SAW) menyuruhku untuk memalingkan pandanganku[HR Muslim].

Janganlah engkau ikuti pandangan pertama dengan pandangan berikutnya. Kerana pandangan pertama adalah untukmu, sedangkan pandangan berikutnya bukanlah untukmu [HR Ahmad, dari jalur Buraidah].

Hadis pertama menunjukkan bahawa pandangan pertama oleh seorang lelaki terhadap wanita bukan mahramnya adalah dimaafkan. Namun seorang lelaki dilarang (haram) untuk mengulanginya dengan pandangan kedua yang dapat membangkitkan syahwat.

Selain itu, harus difahami bahawa memandang wajah dan dua telapak tangan wanita ajnabi juga dikira haram sekiranya tiada keperluan untuk memandangnya, walaupun berada dalam keadaan aman daripada fitnah sekalipun.

Demikian juga wanita haram melihat lelaki ajnabi sekiranya tiada keperluan. Keperluan dalam hal ini adalah seperti untuk bermuamalah dan sebagainya yang memerlukan seseorang lelaki memandang wanita atau sebaliknya. Hukum-hakam yang telah ditetapkan seperti ini adalah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T:

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, “hendaklah mereka menahan pandangannya”  [TMQ an-Nur (24): 30].

Sesungguhnya sebagai Muslim seharusnya kita berpegang teguh kepada hukum-hakam Islam yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T dengan sepenuhnya. Kita dituntut untuk menjaga hukum-hakam dan aturan yang berkaitan dengan perhubungan antara lelaki dan wanita terutamanya mereka yang telah bergelar tunangan orang menurut Syariat Islam. Masyarakat Islam hari ini mengambil pendekatan yang mudah iaitu sesuatu perkara itu boleh dilakukan apabila ia telah menjadi kebiasaan masyarakat sekeliling. Tambahan pula, ibu bapa sendiri tidak memantau aktiviti anak-anak.

Khatimah
Berdasarkan nas syarak yang dikemukakan di atas, ini menunjukkan bahawa Islam amat menitik beratkan soal perhubungan antara lelaki dan wanita. Umat Islam disuruh untuk mengambil sikap berhati-hati (ihtiyat) daripada mengambil sikap mudah. Oleh itu, hukum tentang pergaulan semasa tempoh pertunangan ini haruslah diambil berat supaya masyarakat tidak terbiasa dengan amalan-amalan yang rosak dan keliru sehingga memandang perkara itu bukan satu kesalahan. Islam telah mengatur hubungan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram agar kehormatan, harga diri serta kesucian seseorang perempuan itu terpelihara.

Wallahua`lam. 

Rujukan:
•    Al-Quran
•    An-Nizham Al-Ijtima’i fi Al-Islam oleh Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani (Terjemahan)