Fikratul Ummah – Februari 2015


 

Muqaddimatul Kalam
Oleh: Maryam Ismail

Assalamu’alaikum wa rohmatullahi wa barokatuh…

Golongan wanita menjadi saff (barisan) pertama dalam pembentukan ummah. Daripada rahim merekalah lahirnya para pendidik, pemimpin umat dan pejuang agama yang tidak kalah hebatnya di mata dunia. Segalanya bermula daripada wanita yang memainkan peranan penting dalam mencetak dan membentuk generasi umat. Merekalah yang menjadi guru pertama bagi anak-anak yang bakal menjadi pelapis generasi yang terdahulu. Kerana peranan-peranan besar ini, wanita dipandang mulia dalam kacamata Islam.

Namun, setelah kejatuhan Daulah Khilafah pada tahun 1924, kita melihat wanita berada dalam keadaan yang sangat terpuruk. Pelbagai bencana melanda wanita dengan segala macam bentyk penganiyaan, keganasan, kelalaian penjagaan hak dan maruah diri. Semua ini telah menyebabkan para wanita bangkit bersuara menuntut agar dikembalikan hak-hak mereka.

Rentetan daripada keterpurukan ini, kita dapat melihat reaksi kebanyakan wanita di seluruh dunia adalah mereka berusaha untuk mencari jalan keluar daripada lingkungan masalah-masalah tersebut. Dan terlihatlah kini lahirnya kelompok-kelompok wanita bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Mereka bergerak secara aktif dengan misi perjuangannya yang satu iaitu untuk membela nasib kaum wanita yang sudah lama terbiar sejak dahulu.

Maka, FU kali ini membawa isu yang khas untuk tatapan para pembaca berkenaan trend perjuangan wanita di seluruh dunia. FU edisi akan datang pula akan merungkaikan sudut pandang Islam terhadap perjuangan mereka untuk mengarahkan pemikiran dan perasaan para pembaca sekalian kepada makna perjuangan untuk perubahan yang sebenar, insyaAllah.

Wallahua’lam..

 


POLITIK
Wanita dan Perjuangan
Oleh: Ustazah Ain Abdul Rahman (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Mukadimah

Survival instinct’, itulah yang dikenali sebagai naluri untuk melestarikan kehidupan, satu naluri yang dianugerahkan oleh Pencipta kepada makhlukNya. Dengan naluri inilah manusia sebagai makhluk, sanggup berjuang dengan apa cara sekalipun untuk membela kehidupan daripada sebarang bentuk ancaman yang mengancam hidupnya baik itu berupa ancaman fizikal, spiritual mahupun emosional.

Harapan kepada sebuah perjuangan adalah untuk mengubah satu keadaan yang mengancam kepada keadaan yang lebih harmoni. Perjuangan wanita untuk memperjuangkan hak dan kewujudannya sebagai makhluk daripada sebarang kezaliman serta penindasan telah berlangsung sekian lama. Perjuangan ini tidak pernah terhenti malah semakin mencabar.

Penindasan dan diskriminasi serta perlecehan terlalu sinonim dengan wanita. Sejarah telah menyaksikan wanita terpaksa bangkit berjuang untuk membela dan mengangkat martabat mereka. Namun, tiada suatu peradaban pun kecuali peradaban Islam yang memberi jaminan terbaik kepada wanita dan mengangkat martabat wanita kepada kedudukannya yang sebenar. Kehidupan yang berteraskan syariat Islam dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman kekhilafahan telah menyaksikan bagaimana peradaban Islam menjamin para wanitanya. Kemuliaan wanita menjadi agenda utama Negara semasa peradaban ini telah berlansung.

Kini setelah kekhilafahan yang terakhir yakni Uthmaniyyah runtuh, wanita kembali ditindas, dicabuli haknya, menghadapi ancaman diskriminasi, diperlekehkan dan tidak diberi layanan yang selayaknya. Wanita justeru diancam dari segenap aspek, fizikal, spiritual mahupun emosi. Kerakusan dominasi Kapitalis memaksa wanita untuk terus berjuang mempertahankan kehormatan dan menggapai kemuliaan yang telah hilang dek zaman dan ditelan arus kemodenan ini.

Beberapa Tokoh Wanita dan Realiti Perjuangan Mereka

Maria Josephine Catherine Maramis atau lebih dikenali sebagai Maria Walanda Maramis merupakan satu nama yang tidak asing di Indonesia, (lahir di Kema, Sulawesi Utara, 1 Disember 1872 – meninggal di Maumbi, Sulawesi Utara, 22 April 1924 pada umur 51 tahun), beliau dianggap sebagai seorang Pahlawan Nasional Indonesia kerana usahanya yang telah memperjuangkan wanita di Indonesia pada permulaan abad ke-20.

Kerana jasanya itu maka tarikh 1 Disember pada setiap tahun masyarakat Minahasa memperingati Hari Ibu Maria Walanda Maramis. Beliau yang dianggap sebagai penyerang adat, pejuang kemajuan dan emansipasi wanita di dunia politik dan pendidikan. Menurut Nicholas Graafland, dalam sebuah penerbitan ‘Nederlandsche Zendeling Genootschap’ tahun 1981, Maria dinobatkan sebagai salah satu wanita contoh Minahasa yang memiliki bakat istimewa untuk menangkap mengenai apapun juga dan untuk memperkembangkan daya fikirnya, bersifat mudah menampung pengetahuan sehingga lebih sering maju daripada kaum lelaki.

Untuk mengenang jasanya, Patung Walanda Maramis telah didirikan di Kelurahan Komo Luar Kecamatan Wenang, lebih kurang 15 minit dari pusat kota Manado. Malahayati, adalah salah seorang pejuang wanita yang berasal dari Kesultanan Aceh. Nama asalnya adalah Keumalahayati. Ayah Keumalahayati bernama Laksamana Mahmud Syah. Datuk di sebelah ayahnya adalah Laksamana Muhammad Said Syah putra dari Sultan Salahuddin Syah yang memerintah sekitar tahun 1530-1539M. Sultan Salahuddin Syah adalah putera dari Sultan Ibrahim Ali Mughayat Syah (1513-1530M), yang merupakan pengasas Kerajaan Aceh Darussalam. Pada tahun 1585-1604, beliau memegang jawatan Ketua Barisan Pengawal Istana Panglima Rahsia dan Panglima Protokol Pemerintah dari Sultan Saidil Mukammil Alauddin Riayat Syah IV.

Malahayati pernah memimpin 2000 orang pasukan Inong Balee (janda-janda pahlawan yang telah terkorban) berperang melawan kapal-kapal dan benteng-benteng Belanda pada 11 September 1599 sekaligus membunuh Cornelis de Houtman dalam pertempuran satu lawan satu di dek kapal dan beliau mendapat gelaran laksamana untuk keberaniannya itu.

RA. Kartini, merupakan seorang pahlawan Nasional dan juga tokoh emansipasi wanita di Indonesia, Raden Adjeng Kartini yang lahir di Jepara, Jawa Tengah, 21 April 1879 dari pasangan Raden Mas Adipati Ario Sosroningrat, bupati Jepara dan M.A. Ngasirah. Sejak pada usia yang masih muda lagi RA. Kartini telah mempunyai keinginan untuk memajukan wanita peribumi. Ini kerana, beliau melihat bahawa wanita peribumi berada pada status sosial yang rendah. Beliau mula belajar sendiri dan menulis surat kepada sahabat-sahabat penanya yang berasal dari Belanda. Salah satunya adalah Rosa Abendanon yang banyak menyokong. Sebahagian besar surat-suratnya berisi keluhan dan kecamannya terhadap budaya di Jawa yang dipandang sebagai penghalang kemajuan wanita. Dia ingin wanita memiliki kebebasan menuntut ilmu dan belajar. Buku yang terkenal dari tulisan RA. Kartini berjudul ‘Habis Gelap Terbitlah Terang’.

Zainab al-Ghazali sangat dikenali kerana beliau dianggap sebagai permata dakwah yang berkilau di era jatuhnya Islam. Zainab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Zaman mudanya sangat aktif dalam pergerakan feminis dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu kerana tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan Islam.

Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwanul Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwanul Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zainab al-Ghazali telah berbai’ah (berjanji taat setia) kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah Daulah Islam.

Indira Ghandi atau Indira Priyadarshini Gandhi (19 November 1917-31 Oktober 1984) ialah Perdana Menteri India selama tiga penggal berturut-turut dari tahun 1966 hingga 1977 serta penggal keempatnya mulai tahun 1980 sehingga dibunuh pada tahun 1984. Beliau ialah perdana menteri wanita yang pertama dan satu-satunya dalam sejarah India. Beliau dikenali kerana menubuhkan satu pemerintahan diktator dengan mengisytiharkan darurat setelah sebuah mahkamah membatalkan pemilihan beliau pada tahun 1975, serta memenangi Operasi Bintang Biru menentang kumpulan militan Sikh yang akhirnya membawa kepada pembunuhan beliau.

Indira yang lahir dalam dinasti Nehru dan berpengaruh dalam politik ini membesar dalam suasana yang diselubungi politik. Beliau berpandangan bahawa wanita akan terbela dengan adanya kuasa di tangan! Pada 1950-an, beliau secara tidak rasminya menjadi pembantu peribadi bapa beliau yang ketika itu menjadi Perdana Menteri India yang pertama. Selepas kematian bapanya pada tahun 1964, beliau dilantik sebagai seorang ahli Rajya Sabha oleh Presiden India dan menjadi seorang ahli kabinet Lal Bahadur Shastri sebagai Menteri Penerangan dan Penyiaran. Setelah dipilih menjadi Perdana Menteri oleh ‘orang dalam’ Parti Kongres selepas kematian Shastri, Gandhi kemudiannya memenangi pilihan raya dan mengatasi lawan-lawannya. Beliau memperkenalkan banyak lagi dasar ekonomi sayap kiri dan memupuk produktiviti pertanian. Kemenangan besar dalam perang menentang Pakistan pada tahun 1971 disusuli satu zaman huru-hara yang menyebabkan beliau mengenakan darurat pada tahun 1975; akibat pemerintahan autoritarian yang berlebih-lebihan, beliau kehilangan kuasa ditangan pembangkang selama tiga tahun.

Sekembalinya ke jawatan perdana menteri pada tahun 1980, beliau semakin banyak terlibat dalam satu konflik menentang golongan pemisah di Punjab yang mengakibatkan beliau dibunuh oleh penjaga keselamatan sendiri pada tahun 1984.

Benazir Bhutto lahir di Karachi, 21 Jun 1953. Beliau merupakan anak sulung dari Perdana Menteri Pakistan yang digulingkan, Zulfikar Ali Bhutto (yang digantung oleh pemerintah militer Pakistan di bawah keadaan yang luar biasa) dan Begum Nusrat Bhutto, seorang suku Kurdi-Iran. Datuk dari sebelah ayahnya ialah Sir Shah Nawaz Bhutto, seorang Sindhi dan tokoh penting dalam gerakan kemerdekaan Pakistan.

Benazir Bhutto merupakan wanita pertama yang memimpin sebuah negeri umat Islam pada masa pasca-kolonial. Bhutto yang sangat berkarisma terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan pada 1988. Namun 20 bulan kemudian beliau digulingkan oleh presiden Pakistan, Ghulam Ishaq Khan yang didukung oleh pihak tentera. Ghulam Ishaq Khan yang secara kontroversial menggunakan Amandemen ke-8 untuk membubarkan parlimen dan memaksa diselenggarakannya pemilihan umum. Bhutto terpilih kembali pada 1993 namun tiga tahun kemudian diberhentikan kerana dituduh terlibat dengan pelbagai skandal korupsi oleh presiden yang berkuasa waktu itu, Farooq Leghari.

Benazir terbunuh pada tanggal 27 Disember 2007 dengan ditembak di bagian leher oleh seorang pembunuh yang kemudian juga meledakkan sebuah bom bunuh diri. Pembunuhan ini terjadi ketika beliau baru saja meninggalkan Liaquat National Bagh di Rawalpindi dalam rangka kempen pilihan raya umum pada awal tahun 2008.

Margaret Hilda Thatcher yang lahir di Grantham, Lincolnshire, Britain, 13 Oktober 1925 ialah Perdana Menteri Britain pada tahun 1979-1990. Beliau merupakan individu yang menjawat jawatan Perdana Menteri Britain yang paling lama dan beliau ialah Perdana Menteri yang memiliki rekod kepimpinan yang terpanjang dalam abad ke-20.

Beliau merupakan satu-satunya wanita yang menduduki jawatan tersebut serta menjadi pemimpin sebuah parti politik besar di Britain dan beliau juga adalah salah satu tokoh penting pada abad ini. Falsafah politiknya kemudian dikenal sebagai Thatcherisme. Sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau memang sudah dikenali sebagai ‘Wanita Besi’ (Iron Lady) di media Uni Soviet kerana penentangannya terhadap komunis.

Maria Corazon Sumulong Cojuangco Aquino (lahir di Paniqui, Tarlac, Filipina, 25 Januari 1933, meninggal di Makati, 1 Ogos 2009 pada umur 76 tahun). Lebih popular dengan nama ‘Cory Aquino’ merupakan Presiden Filipina pada 1986–1992. Beliau ialah wanita Asia pertama menjawat jawatan Presiden wanita di dunia. Wanita ini ialah isteri kepada seorang tokoh yang popular, senator Benigno Aquino Jr. Suaminya terbunuh sesaat setelah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila ketika kembali ke negaranya pada 21 Ogos 1983. Beliau kemudian dicalonkan oleh parti pembangkang untuk menentang kekuasaan otokratik yang dilakukan Presiden Ferdinand Marcos. Beliau juga merupakan susuk tubuh wanita yang berpandangan wanita hanya terbela dan terjamin dengan kuasa di tangan.

Malaysia juga memiliki ramai tokoh perjuangan wanita yang mana kebanyakan penglibatan mereka dalam politik bermula bersama gerakan semangat kebangsaan untuk memerdekakan Malaysia. Cadangan penubuhan Malayan Union pada 1945 bagi menamatkan hak orang-orang Melayu telah membangkitkan penentangan secara besar-besaran. Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut terlibat secara terbuka dalam gerakan politik tanah air. Antara susuk tubuh yang terlibat dalam perjuangan haluan kanan ini adalah seperti Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah bertemu bagi membincangkan mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu.

Manakala pejuang wanita yang bergerak dalam perjuangan haluan kiri pula adalah seperti Suriani Abdullah dan Shamsiah Fakeh. Dorongan utama kesemua wanita ini bangkit dalam perjuangan walaupun berbeza metodnya adalah satu iaitu memperkasa, memperjuangkan hak kemuliaan dan kehormatan yang rakus dilahap adat setempat, sistem yang korup dan peradaban yang memuncakkan darah perjuangan mereka.

Bagaikan Cendawan Yang Tumbuh Selepas Hujan

Realitinya, pertumbuhan gerakan-gerakan wanita ini muncul bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Namun, sehingga saat ini kita perhatikan gerakan-gerakan wanita yang wujud di seluruh dunia ini masih tidak mampu untuk mencapai objektif kewujudan gerakan tersebut secara kolektif. Kelihatannya, masih banyak lagi masalah yang melibatkan wanita terjadi di seluruh dunia malah terasa bagaikan sudah tidak dapat dibendung lagi. Hal ini menyebabkan timbul persoalan dibenak ini, apakah jalan (metod) perjuangan yang diambil oleh para ‘tokoh wanita’ ini merupakan jalan yang benar-benar boleh membawa kepada kemerdekaan yang hakiki???
Bersambung…


TAFSIR
KEJAYAAN DAN KEKUASAAN ADALAH MILIK UMAT ISLAM
Oleh: Ustazah Ummu Hajar (Ahli Lajnah Muballighah MHTM)

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

[Surah an-Nur ayat 55]

Terjemahan

Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah di redhai-Nya untuk mereka,dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada  dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukanKu dengan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”.

Asbabun Nuzul Ayat

Ibnu Jarir ath-Thabari rahimahullah menyatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW sebagai jawapan kepada keluh kesah sebahagian para sahabat. Ini berpunca daripada beberapa kejadian memilukan yang telah menimpa mereka, lantas mereka ditimpa rasa takut yang mencengkam dan menggerunkan akibat gangguan dan hal-hal yang menyusahkan oleh  kaum Musyrikin [Tafsir ath-Thabari: 19/209].

Imam as-Sam’ani asy-Syafi’i rahimahullah pula mengatakan bahawa sebahagian ahli tafsir menyebutkan bahawa para Sahabat Rasulullah bercita-cita untuk menguasai Mekah (yang saat itu sedang dikuasai oleh orang-orang Musyrik), maka Allah menurunkan ayat ini [Tafsir as-Sam’ani: 3/544].

Tafsir Ayat

Para ulama menjelaskan bahawa dalam ayat ini terdapat sumpah Allah yang tersirat daripada ungkapan “لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ” yang diistilahkan oleh pakar bahasa al-Qur’an sebagai jawabul-qasm (jawapan sumpah).  Apakah sumpah Allah tersebut? Allah bersumpah akan menjadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh sebagai Khalifah (penguasa/pentadbir/pemimpin) di muka bumi yang akan mengatur dunia dengan syariatNya.

Allah SWT telah membuktikan sumpah tersebut berlaku ke atas umat-umat sebelumnya, ketika Dia menganugerahkan kekuatan dan kekuasaan kepada Nabi Sulaiman dan Nabi Daud AS dan kepada Bani Israil ketika mereka berhasil mengambil alih kekuasaan daripada tangan-tangan raja yang zalim di Mesir dan Syam. Dia juga bersumpah akan menjadikan Islam sebagai agama yang kukuh dan mengungguli agama-agama lainnya. Rasa aman akan tercipta dan akan menggantikan ketakutan yang menyelimuti kaum Muslimin.

Namun janji Allah tersebut ada syaratnya. Dalam ayat ini dinyatakan ada 3 syarat yang wajib dipenuhi agar janji-janji Allah dapat diperoleh. Pertama; iman dan amal soleh, kedua; beribadah hanya untuk Allah (tauhid) dan ketiga; menjauhi syirik dengan segala jenisnya, termasuklah beramal dengan tujuan selain Allah.

Di akhir ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa barangsiapa yang kufur nikmat (iaitu dengan meninggalkan syarat-syarat yang dituntut) setelah anugerah kejayaan dan keamanan tersebut diraih, maka merekalah orang-orang yang fasik, iaitu yang telah keluar daripada ketaatan kepada Allah dan telah membuat kerosakan.

Adakah Janji Tersebut Telah Berlaku ?

An-Nahhas rahimahullah menjelaskan bahawa janji Allah dalam ayat tersebut telah ditunaikan ketika Rasulullah SAW masih hidup. Ianya terbukti dengan pembukaan kota Mekah dan berbondong-bondongnya manusia di jazirah Arab memeluk Islam [Tafsir al-Qurthubi: 12/297].

Mufassir yang lain mengatakan bahawa ayat ini adalah dalil atas zaman kekhalifahan Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali radhialla’anhum jami’an. Dengan kata lain, janji Allah dalam ayat ini wujud dan berlaku pada masa kekhalifahan mereka. Telah jelas bahawa merekalah kaum yang telah beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman, merekalah generasi terbaik dalam menunaikan ibadah dan amal soleh, mengabdikan diri hanya kepada Allah secara zahir dan batin. Demikianlah pendapat adh-Dhahhak rahimahullah sehingga Abul ‘Aliyah rahimahullah mengatakan, ketika menafsirkan siapakah orang-orang yang dimaksud dalam ayat ini:  هُمْ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  “Mereka adalah para sahabat Nabi Muhammad SAW” [Tafsir Ibnu Abi Hatim: 8/2627, no. 14760].

Ibnul ‘Arabi rahimahullah mengatakan bahawa “Jikalau janji (dalam ayat) ini bukan untuk mereka (para sahabat), tidak tertunaikan kepada mereka dan tidak datang untuk mereka, maka kepada siapa lagi kalau begitu? Sementara tidak ada satupun yang mampu menyamai mereka sampai hari ini dan tidak pula di masa depan” [Tafsir al-Qurthubi: 12/297].

Adakah Janji Tersebut Masih Berlaku ?

Para ulama ahli tafsir seperti al-Qurthubi rahimahullah berpendapat bahawa janji Allah dalam ayat tersebut berlaku umum untuk seluruh umat Muhammad SAW. Beliau juga mengatakan bahawa janji Allah ini tidak terbatas untuk Khulafa’ ar- Rasyidin sahaja, bahkan segenap Muhajirin dan kaum Muslimin yang lain juga termasuk dalam janji-janji ayat ini [Tafsir al-Qurthubi: 12/299].

Al-Imam as-Sa’di rahimahullah mengatakan bahawa janji Allah dalam ayat ini akan sentiasa berlaku sehingga hari kiamat, selama mereka (kaum Muslimin) menegakkan iman dan amal soleh. Janji Allah SWT adalah pasti. Kemenangan orang-orang kafir dan munafik pada masa-masa tertentu, serta berkuasanya mereka ke atas kaum Muslimin, tidak lain adalah disebabkan oleh pelanggaran kaum Muslimin dalam hal keimanan dan amal soleh” [Tafsir as-Sa’di hal. 573].

Beramal Soleh

Ibnu Jarir ath-Thabari menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan “وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ” dalam ayat ini adalah “mereka mentaati Allah dan RasulNya pada perkara yang diperintahkan dan perkara yang dilarang oleh kedua-duanya” [Tafsir ath-Thabari: 19/209].

Dalam konteks kekuasaan, para ulama bersepakat bahawa terdapat empat ciri yang menunjukkan bahawa penguasa atau pemimpinnya layak terhadap janji Allah dalam ayat ini. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa, “Kebaikan seorang penguasa adalah dengan memurnikan ittiba’ (mengikut) pada Kitabullah dan Sunnah RasulNya serta menjadikan orang ramai untuk melakukan hal yang sama.

Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan kebaikan bagi Ahlut Tamkin (orang yang memiliki kekuasaan) dengan adanya empat perkara iaitu menegakkan solat, menunaikan zakat, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar” [Majmu’ al-Fatawa: 28/242]. Apa yang diungkapkan oleh Ibnu Taimiyyah ini didasarkan pada firman Allah,

(iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar…” [TMQ al-Hajj (22):41].

Mengabdi Diri Kepada Allah

Dalam Tafsir ath-Thabari disebutkan bahawa makna يَعْبُدُوْنَنِيْ adalah “mereka menundukkan diri padaKu dengan ketaatan dan mereka menghinakan diri di bawah perintahKu dan laranganKu”. Mujahid rahimahullah mengatakan: يَعْبُدُوْنَنِيْ  iaitu لا يخافون غيري ; “Mereka tidak takut kepada selainKu”. Sedangkan makna لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا adalah “mereka tidak menyekutukan Aku dalam peribadatan mereka kepadaKu dengan sesuatu apapun seperti berhala dan patung-patung akan tetapi mereka memurnikan peribadatan hanya untukKu. Mereka mengkhususkan ibadah tersebut hanya untukKu, tidak untuk segala macam sesembahan selainKu”.

Justeru, jika kita renungkan hakikat makna “يَعْبُدُوْنَنِيْ” lalu kita bandingkan dengan realiti umat Islam saat ini, maka kita akan mendapati bahawa ramai dalam kalangan umat Islam di zaman ini tercicir daripada kemurnian tauhid. Terdapat kaum Muslimin yang terjerumus dalam amalan syirik dan kekufuran dalam bentuk moden, di samping ada yang masih mengamalkan perkara khurafat. Amalan syirik dan kekufuran dalam bentuk moden merangkumi aspek ideologi dan peraturan hidup seperti memberi ketaatan kepada para penguasa yang mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah atau pun mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Tidak ketinggalan juga ada yang ragu-ragu kepada syariat Islam, tidak yakin kepada kebijaksanaan Allah serta tidak mahu menerima hukum-hakam yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah untuk dilaksanakan sebagai sistem kehidupan.

Khatimah

Keyakinan kepada janji kemenangan dan pertolongan Allah perlu sentiasa ditanam dalam dada-dada kaum Muslimin, khususnya para pejuang dan pendakwah Islam. Roda pusingan Islam pasti akan berputar ke atas dan akhirnya roda kejayaan akan berhenti berputar tepat saat Islam dan kaum Muslimin berada di titik puncak kejayaan dan kekuasaan. Justeru itu, marilah kita semua sama-sama menyumbang ke arah kebangkitan dan menghidupkan semula sistem Islam secara keseluruhan dalam kehidupan umat ini. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda,

Kiamat tidak akan terjadi sampai kaum Muslimin memerangi Yahudi. Kaum Muslimin membinasakan mereka sampai-sampai mereka bersembunyi di balik batu dan pepohonan, maka saat itulah batu dan pohon berkata: ‘Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ini Si Yahudi bersembunyi di balikku, kemari! Bunuhlah dia! Kecuali pohon Gorqod, kerana ia adalah pohon Yahudi” [Shahîh Muslim No. 2922].

Berdasarkan dalil-dalil dan penjelasan yang dinyatakan, maka sangat jelas bahawa masa depan dunia ada di tangan Islam. Kemenangan, sudah pasti pada akhirnya milik Islam dan kaum Muslimin! Namun yang menjadi inti permasalahannya adalah, sudahkah kita berusaha gigih agar kita dapat menggolongkan diri ke dalam kelompok  yang dipuji dan dijanjikan kekuasaan seperti yang dinyatakan dalam ayat-55 surah an-Nur ini?

Wallahu’alam..

Rujukan
1. Ash-Shahîhul Musnad min Asbâbin Nuzûl hal. 151, Cetakan Maktabah Ibnu Taimiyyah – Kairo, 1408-H.
2. Mu’jamul Alfaazhil Qur’ânil Karîm: 1/369, disusun oleh sekumpulan ulama yang diketuai oleh Dr. Ibrahîm Madkûr, Cetakan 1409-H, Jumhûriyyah Mishr al-Arabiyyah.
3. Tafsîr al-Baghawi (3/425, Cetakan  Dâr Ihyâ’ at-Turâts, 1420-H, Tahqîq: Abdurrazzâq al-Mahdi).
4. Tafsîr as-Sa’di hal. 573, Cetakan. Mu-assasah ar-Risâlah, 1420-H.
5. English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam.

 


SERIKANDI
KETEGUHAN IBU MENJAMIN KETEGUHAN GENERASI
Oleh: Cik Hidayah Muhammad (Ahli Lajnah Tsaqafiyah MHTM)

Muqaddimah

Apabila kita berbicara tentang perjuangan maka kita tidak akan terlepas juga berbicara tentang generasi-generasi penggerak perjuangan. Apabila kita berbicara tentang generasi-generasinya, maka tidak terlepas pula kita berbicara tentang wanita-wanitanya kerana wanitalah yang akan melahirkan generasi seterusnya. Generasi yang hidup pada masa Rasulullah SAW ialah generasi yang terbaik. Mereka dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana ketakwaan oleh seorang ibu yang bersyakhsiyah Islam. Jika kita telusuri lembaran-lembaran sejarah Islam, maka pasti kita akan menemukan setiap tokoh-tokoh Islam yang memainkan peranan amat besar dalam perjuangan menyebarkan Islam lahir daripada wanita-wanita yang hebat.

Sosok Yang Hebat Lahir Daripada Ibu Yang Mulia

Kisah Zubair bin al-Awwam RA iaitu seorang panglima Islam yang mewarisi sifat dan watak ibunya sesuai untuk dijadikan iktibar. Zubair RA merupakan orang yang pertama menghunuskan pedangnya di jalan Allah. Beliau memeluk Islam pada usia 15 tahun dan antara orang yang pertama masuk Islam. Beliau juga merupakan salah seorang mubasyirin bil jannah (sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga). Beliau juga mendapat gelaran al-Hawari (pengawal setia) Rasulullah SAW. Sebagaimana yang pernah dikisahkan, semasa Perang Uhud, Thalhah bin Abu Thalhah Abdari (pembawa bendera kaum Musyrikin) pada hari itu telah mengajak kaum Muslimin untuk beradu tenaga, maka Zubair RA pun menyahut cabarannya. Mereka berdua bertarung sehingga Zubair RA melompat ke atas untanya dan menariknya jatuh ke atas tanah sehingga dapat mengalahkan Thalhah dan membunuhnya. Lantaran itu Rasulullah SAW telah berkata, “Tiap-tiap Nabi ada pengiringnya, dan pengiringku ialah Zubair.” (Al-bidayah wan-nihayah 4:20).

Tokoh besar ini dilahirkan, dibesarkan dan dididik oleh seorang wanita yang hebat iaitu Shafiyyah binti Abdul Muthalib al-Hasyimiyyah RA. Beliau ialah ibu saudara Rasulullah SAW sekaligus saudara kandung Hamzah bin Abdul Muthalib. Beliau berasal daripada suku Bani Quraisy al-Hasyimiyyah. Ibunya bernama Halah binti Wahb iaitu saudara kandung Aminah binti Wahb, ibu Rasulullah SAW. Ayahnya, Abdul Muthalib bin Hasyim pula seorang pemimpin dan tokoh kaum Quraisy iaitu datuk Rasulullah SAW. Hasil pernikahan dengan al-Awwam bin Khuwalid, mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Zubair bin al-Awwam RA.

Daripada latar belakang inilah karakter Shafiyyah RA dibentuk sehingga beliau membesar sebagai seorang wanita yang berkeperibadian kuat, fasih dalam berbicara dan tajam pemikirannya. Beliau merupakan seorang ahli syair. Beliau juga seorang yang berani dan tangkas dalam menunggang kuda serta mahir menggunakan pedang dan panah layaknya seperti seorang panglima Islam. Oleh itu, tidak hairanlah jika anaknya Zubair RA mengikuti sifat dan karakter ibunya.

Shafiyyah membesarkan Zubair RA dengan didikan yang tegas dan penuh keprihatinan. Beliau mengajar sendiri anaknya cara menunggang kuda dan menggunakan pedang. Jika beliau melihat anaknya enggan maju atau ragu, maka beliau akan memukulnya. Cara Shafiyyah mendidik anaknya pernah ditegur oleh bapa-bapa saudaranya. Mereka berkata, “Bukan seperti itu caranya mendidik dan memukul anak. Pukulanmu lebih mirip dengan pukulan orang yang marah, bukan pukulan untuk mendidik”. Shafiyyah membantah dengan mengatakan, “Siapa yang menganggap aku memukulnya kerana marah, maka anggapan itu salah. Aku memukulnya demi membuatnya semakin mengerti. Agar kelak dia tidak pernah gentar menghancurkan musuh dan pulang daripada medan perang dengan kemenangan”. (Shuwar Min Hayaat Ash-Shahaabah, hal 23).

Keislaman Shafiyyah RA

Ketika Islam mulai menyinari Jazirah Arab dan turunnya wahyu yang memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyerukan Islam kepada kaum kerabat dan keluarganya, di situlah bermulanya kisah keislaman Shafiyyah RA. Allah SWT berfirman,

Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang paling dekat denganmu” [TMQ asy-Syu’ara (26):214].

Aisyah RA meriwayatkan, “Ketika turunnya ayat, ‘Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang paling dekat denganmu,’ Nabi SAW mengumpulkan seluruh ahli keluarganya dan bersabda, “Wahai Fatimah binti Muhammad, Wahai Shafiyyah binti Abdul Muthalib, Wahai Bani Abdul Muthalib, aku tidak dapat membela kalian sedikit pun di hadapan Allah; adapun mengenai harta, silakan minta dariku sesuka hatimu”. [Diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Al-Iimaan, No 205, Ahmad, vol 6 hal. 187 dan An-Nasa’I vol 6 hal. 250].

Nur Islam telah menembusi relung hatinya dan wanita ini telah menyatakan dirinya sebagai pemeluk agama Islam. Sejak saat itu juga Shafiyyah RA mendalami ajaran-ajaran Islam. Tidak hairan jika solatnya dijaga, rajin berpuasa sunat, lidahnya sentiasa berzikir kepada Allah dan selalu memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk membela Islam.

Peranan Shafiyyah RA Di Medan Jihad

Apabila Rasulullah SAW memerintahkan kaum Muslimin untuk berhijrah ke Madinah, Shafiyyah RA dan anaknya Zubair RA juga turut sama berhijrah. Ketika di Madinah, Shafiyyah RA memainkan peranan dalam menyebarkan Islam. Semangat jihad yang tinggi mendorong beliau untuk ikut serta dalam Perang Uhud bersama rombongan wanita lainnya untuk membawa air kepada tentera kaum Muslimin yang dalam kehausan, membantu merawat tentera dan menyiapkan anak panah.

Beliau selalu memperhatikan setiap gerak-geri anak saudaranya (Rasulullah SAW), saudara kandungnya (Hamzah RA) dan anaknya (Zubair RA). Apabila keadaan menjadi kucar kacir disebabkan pasukan pemanah ingkar terhadap perintah Rasulullah SAW, akhirnya pasukan kaum Muslimin kalah. Sebahagian besar daripada pasukan kaum Muslimin lari menyelamatkan diri dan meninggalkan Rasulullah SAW dan sebilangan kecil para sahabat yang tetap bertahan melindungi Rasulullah SAW. Melihat keadaan itu, Shafiyyah pun mengambil tombak dan berteriak kepada pasukan Muslimin yang lari,  “Kenapa engkau telah membiarkan Rasulullah SAW berjuang seorang diri!”. Rasulullah SAW yang melihat Shafiyyah sudah berlari, menyuruh Zubair RA untuk menghalang ibunya supaya Shafiyyah tidak melihat keadaan saudara kandungnya, Hamzah yang sudah pun syahid.

Begitu juga dalam Perang Khandaq, Shafiyyah RA memainkan peranan yang cukup besar. Beliaulah wanita pertama yang membunuh orang Musyrik. Ketika Rasulullah SAW dan pasukan kaum Muslimin menjaga sepanjang parit yang dibuat di sekitar Madinah, Baginda SAW menempatkan kaum wanita di suatu benteng yang dikenali dengan benteng Fari’. Urwah meriwayatkan, “Ketika Rasulullah SAW keluar Madinah untuk menghadapi musuh (dalam Perang Khandaq) maka Baginda SAW menempatkan kaum wanita di benteng milik Hasan RA kerana ia termasuk antara benteng yang paling kuat. Tiba-tiba seorang Yahudi datang dan cuba melihat keadaan dalam benteng itu. Shafiyyah menceritakan, “…Melihat keadaan itu, maka aku langsung mengambil sepotong kayu dan turun dari benteng untuk mendekati orang Yahudi tersebut. Aku membuka pintu benteng, lalu menyerang orang Yahudi dan memukulnya hingga mati” (Thabaqaat Ibnu Sa’ad vol 8, hal. 27).

Meskipun pada ketika itu usia beliau ialah 60 tahun, namun semangat juangnya yang tinggi membuatkannya tidak pernah lelah berkorban untuk memperjuangkan Islam.  Setelah melalui masa-masa yang panjang dihiasi dengan perjuangan dan pengorbanan,  Shafiyyah RA pergi menghadap Allah SWT pada usia 70 tahun.

Khatimah

Catatan sejarah kegemilangan Islam menunjukkan bahawa kebanyakan tokoh-tokoh Islam yang terkenal terdiri dalam kalangan lelaki. Mereka dilahirkan dan dididik oleh seorang ibu yang berkarakter mulia dan agung. Dengan iman yang teguh dan semangat juang yang tinggi, mereka siap berjuang untuk meninggikan kalimah Allah SWT. Keimanan dan semangat ini yang mereka salurkan dalam jiwa pejuang-pejuang Islam. Mereka telah mencipta sejarah tersendiri dengan memainkan peranan penting di medan jihad di samping menjadi seorang ibu yang berjaya mendidik generasi yang hebat.

Seorang penyair mengungkapkan:
Ibu adalah madrasah,
Apabila engkau mempersiapkannya dengan baik,
Bererti engkau telah mempersiapkan suatu generasi yang mulia,
Ibu adalah taman,
Apabila engkau rajin menyiramnya,
Maka ia akan tumbuh subur dan lebat dedaunnya,
Ibu adalah guru,
Guru dari segala guru,
Jasa-jasa besarnya akan menyelimuti seluruh cakerawala.

Wallahua’lam

Rujukan
1. Terjemahan Al-Quran
2. Mahmud Al-Mishri, 35 sirah shahabiyyah jilid 2, hal. 157-165, Al-I’tishom, cetakan ke 8, 2012.
3. Mahmud Mahdi al-istabuli, Musthafa Abu Nashr asy-Syaibi; Isteri, puteri dan sahabat wanita seperjuangan Rasulullah, hal. 153-157, synergi media.


FIKH
WANITA DAN BATAS-BATAS KEPIMPINANNYA
Oleh: Ustazah Sakinah (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Dalam sistem pemerintahan demokrasi hari ini, sebahagian besar wanita salah faham mengenai peranan politik mereka yang hakiki. Mereka masih beranggapan bahawa seorang wanita dikatakan telah memainkan peranan politik tertentu hanya apabila mereka terlibat dan menang dalam pilihanraya, menjadi wakil rakyat dan menduduki posisi dalam parlimen atau menjadi menteri. Malahan, terdapat desakan daripada wakil DAP, Chong Eng (Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita dan Keluarga) dalam sebuah kenyataan media bertarikh 2 November 2014 (Sumber: DAPMalaysia.org) yang menuntut Kerajaan Barisan Nasional untuk mencadangkan pindaan kepada Akta Pilihan Raya bagi melaksanakan kuota 30% calon wanita untuk semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya akan datang. Ini adalah respon daripada trend perwakilan politik wanita yang semakin meningkat dalam sistem demokrasi negara jiran kita, Indonesia sehingga pada tahun 2014 (selepas pelaksanaan reformasi pilihan raya Indonesia sejak tahun 1999), calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya Indonesia meningkat kepada 37%, berbanding hanya 10.7% dalam pilihan raya Malaysia tahun 2013. Menurut Global Gender Gap Report 2014 (Laporan Jurang Gender Antarabangsa 2014), yang baru dikeluarkan oleh World Economic Forum; Indeks Pemberdayaan Politik Wanita Malaysia adalah sangat rendah. Malaysia menduduki tangga ke-132 daripada 142 buah negara, kedua paling teruk di ASEAN sebelum Brunei (tangga ke-142 kerana Brunei tidak mengadakan pilihan raya). Menurutnya, ini adalah satu hal yang memalukan bagi Malaysia.

Sebelum kita membahas lanjut mengenai hukum wanita menjadi pemimpin dalam Islam, perlu difahami bahawa kedudukan ‘wakil rakyat/pemimpin’ dalam sistem demokrasi sekarang adalah berbeza sama sekali dengan ‘wakil rakyat’ dalam sistem Islam (Khilafah). Dalam sistem demokrasi, wakil rakyat akan dipilih melalui pilihan raya untuk ke Parlimen/DUN yang mana mereka akan (i) membuat/menggubal undang-undang (haram hukumnya dalam Islam), (ii) melantik/memberhentikan penguasa dan (iii) mengawasi/memuhasabah (check and balance) pemerintah.  Sementara dalam sistem Islam, Majlis Umat (majlis syura) yang dipilih untuk menjadi ‘wakil rakyat’, bertanggungjawab untuk memuhasabah pemerintah dan menyampaikan aduan dan cadangan yang bersifat tidak mengikat kepada pemerintah (khalifah). Majlis Umat tidak boleh (haram) untuk menggubal dan membuat undang-undang kerana ia semata-mata adalah hak Allah SWT secara mutlak.

Bolehkah Wanita Menjadi Pemimpin?

Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu memahami bahawa struktur pemerintahan Islam (Khilafah) terbahagi kepada dua konteks: (i) pemerintahan (ii) administrasi (pentadbiran). Beberapa jawatan dalam pemerintahan Islam yang termasuk dalam waliyatul-amri (wilayah pemerintah) adalah (1) Khalifah, (2) Muawin tafwidh, (3) Wali, (4) Amil, (5) Jawatan atau orang yang dihukumi sama seperti mereka, seperti Qadhi Mazhalim, Qadhi Qudhat, dan Muawin Tanfidz. Oleh sebab posisi-posisi tersebut berkaitan dengan pemerintahan dan kekuasaan, maka wanita haram menduduki posisi tersebut secara mutlak. Hal ini didasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah, bahawa ia menuturkan,

Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa penduduk Parsi telah melantik Puteri Kisra sebagai ratu (ketua) mereka, baginda lalu bersabda, tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada wanita” [HR Bukhari, No. 4073, 6570].

Adanya dzamm (celaan) dalam kata lan yufliha (tidak beruntung) merupakan qarinah (indikator) bahawa thalab at-tarki jazim[an] (tuntutan untuk meninggalkan dalam hadis tersebut bersifat pasti). Maka dengan itu, haram bagi wanita menjawat jawatan sebagai hukkam (penguasa) yakni Khalifah, Muawin, Wali, Qadhi Qudhat dan Qadhi Mazhalim.

Selain daripada jawatan yang bersifat waliyatul-amri, terdapat skop kepimpinan yang boleh diduduki oleh wanita iaitu yang melibatkan aspek pentadbiran. Misalnya, wanita dibenarkan menjadi Ketua Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Perindustrian atau menjadi kakitangan awam kerana pekerjaan seperti ini tidak termasuk dalam urusan pemerintahan tetapi merupakan urusan kerja pentadbiran yang tidak termasuk waliyatul amri. Bukan itu sahaja, wanita boleh memegang jawatan seperti qadhi hisbah, menjadi anggota Majlis Wilayah dan anggota Majlis Ummah (Majlis Syura).

Wanita boleh bekerja sebagai pegawai negara kerana pekerjaan ini tidak ada hubungannya dengan urusan pemerintahan secara langsung, melainkan termasuk bahagian dari akad kerja (ijarah). Wanita juga boleh mengendalikan urusan peradilan (memegang jawatan hakim) kerana jawatan ini hanyalah mengatasi persengketaan di tengah-tengah masyarakat serta memberikan penjelasan kepada pihak-pihak yang bersengketa tentang hukum syariat yang bersifat mengikat. Wanita juga boleh memegang jawatan sebagai ketua pejabat, pengetua sekolah, pemimpin organisasi persatuan dan sebagainya. Asalkan jawatan itu tidak terkait secara langsung dengan urusan pemerintahan.

Bolehkah Wanita Memilih Pemimpin?.

Hakikat bahawa wanita tidak boleh memegang tampuk pemerintahan tidak bererti bahawa wanita tidak boleh memilih pemimpin. Isu ‘menjadi pemimpin’ dan ‘memilih pemimpin’ adalah aktiviti yang berbeza. Ini kerana aktiviti ‘memilih pemimpin’ tidak menjadikan wanita sebagai penguasa, melainkan wanita hanya sekadar menjalankan hak memilih orang yang akan memerintahnya. Hukum syara’ telah membolehkan seorang wanita untuk memilih pemimpin bagi menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Ummu Athiyah menuturkan bahawa,

Kami membaiat Nabi SAW, lalu baginda membacakan kepada kami ‘Bahawa mereka tidak akan menyekutukan sesuatu pun dengan Allah’ [TMQ Mumtahanah (60):12] dan baginda melarang kami untuk meratap. Maka seorang wanita di antara kami menarik kembali tangannya lalu ia berkata, ‘Seorang wanita telah membahagiakan diriku dan aku ingin sekali membalasnya.’ Baginda tidak memberikan apa-apa komen. Selanjutnya wanita itu pergi, lalu kembali lagi” [HR al-Bukhari].

Baiat terhadap Nabi SAW dalam hadis di atas bukanlah baiat atas keNabian baginda, tetapi baiat untuk mentaati baginda sebagai seorang Ketua Negara (Pemimpin). Hadis ini menunjukkan bahawa kaum wanita berhak untuk membaiat pemimpin dan memilihnya.

Wanita juga berhak untuk menjadi anggota Majlis Umat kerana Majlis Umat hanyalah majlis untuk mengambil dan menyampaikan pendapat. Rasulullah SAW sendiri, pada tahun ke-13 pasca kenabian atau pada tahun yang mana baginda melakukan hijrah, telah datang kepada baginda 73 orang lelaki dan 2 orang wanita iaitu Ummu Ammarah binti Kalb dan Asma’ binti Amr ibn Adi. Mereka telah berbaiat kepada Rasulullah dengan baiat yang bersifat politik iaitu memilih atau dipilih sebagai ahli politik (menjadi wakil dalam Majlis Umat). Maka, selagimana anggota Majlis Umat merupakan wakil dalam hal pendapat, maka wanita juga mempunyai hak untuk memberikan pendapatnya dalam setiap perkara baik yang bersifat politik, ekonomi, mahupun undang-undang dan sebagainya. Islam telah memberikan hak ini kepada kaum wanita sebagaimana hal itu juga telah diberikan kepada kaum lelaki. Allah berfirman ,

Dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu” [TMQ Ali Imran (3):159].

Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka” [TMQ asy-Syura (42):38].

Kalimah dalam dua ayat di atas bersifat umum, iaitu mencakup lelaki dan juga wanita.

Khatimah.

Dalam Islam, politik didefinisikan sebagai suatu pengaturan urusan umat di dalam negeri dan di luar negeri dengan cara menerapkan Islam secara kaffah dan menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Seorang ibu yang mendidik anaknya menjadi pemimpin yang baik, yang seterusnya dia berusaha untuk mengatur urusan umatnya; usaha mulia ini juga dikatakan sebagai aktiviti politik seorang wanita. Sebenarnya, aktiviti politik itu tidak hanya dalam aspek kekuasaan sahaja. Malah, usaha dakwah yang dilakukan oleh wanita, ‘amar makruf nahi mungkar, juga dikira sebagai usaha politik.

Sesungguhnya sangat banyak ayat Allah yang menyebut tentang wanita juga mempunyai hak yang sama dengan lelaki dalam pelbagai sudut yang lain. Contohnya dalam hal ibadah, hak-hak wanita juga terjamin sebagaimana hak lelaki dalam Islam. Selain itu, pada dasarnya, segala yang menjadi hak lelaki, turut menjadi hak wanita baik agamanya, kehormatannya, hartanya, akalnya dan jiwanya terjamin dan dilindungi oleh syariat Islam sebagaimana yang kaum lelaki.

Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik kaum lelaki mahupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun.” [TMQ an- Nisa (4): 124]

Wallahua’lam….

Rujukan
1. Taqiyuddin an-Nabhani, Sistem Pergaulan Dalam Islam.
2. SN 246. Wanita sebagai wakil rakyat. Apa hukumnya?
3. Dr.Rahma Qomariyah, MPd.I “Syariah Merendahkan Wanita?