Fikratul Ummah – Januari 2015

 


Muqaddimatul Qalam
Oleh: Ketua Pengarang

Assalamu’alaikum wa rohmatullahhi wa barokatuh..

Allah SWT berfirman, “Katakanlah, ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran” [TMQ az-Zumar (39):9].

Pembaca yang budiman,

Firman Allah SWT di atas telah memberikan gambaran yang jelas kepada kita akan kepentingan menuntut ilmu. Dengan ilmu, seseorang itu dapat membezakan antara yang haq dengan yang batil. Dengan ilmu juga seseorang itu boleh mencipta sebuah sejarah peradaban yang agung. Keupayaan ini hanya boleh digapai oleh manusia yang telah dikurniakan akal fikiran. Inilah yang membezakan kedudukan manusia dengan makhluk Allah SWT yang lain sehingga Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang berilmu dan menggunakan akalnya dengan sempurna.

Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘bawa resmi padi, makin tunduk makin berisi’. Maksud daripada peribahasa ini adalah seseorang itu jika semakin banyak ilmu, membuatkan dirinya semakin merendah diri. Dan selayaknya semakin banyak kita mengkaji ilmu, semakin mendekatkan diri kita kepada Rabbul ‘Izzati dan tunduk patuh kepada setiap aturanNya. Itu yang membezakan antara orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu. Namun, realiti pada hari ini menunjukkan keadaan yang sangat jauh berbeza. Pelaku-pelaku maksiat dalam masyarakat saat ini melibatkan semua golongan termasuklah para intelektual dan mahasiswa. Mengapa hal ini berlaku?? Apakah salah pada ilmu itu atau pada cara didikan yang diberi?

Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut lagi, teruskan pembacaan anda dalam majalah FU edisi kali ini yang akan menjelaskan punca utama dan harapan baru untuk umat kembali kepada darjat orang yang berakal dan berilmu yang sentiasa mematuhi perintah Allah SWT.

Wallahu’alam..


DOA MOHON ILMU YANG BERMANFAAT

اَللَّهُمَّ اِنْفَعْنِي بِمَا عَلَّمْتَنِي وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي وَارْزُقْنِي عِلْمًا يَنْفَعُنِي وَزِدْنِي عِلْمًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَأَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ حَالِ أَهْلِ اَلنَّارِ
Ya Allah, manfaatkanlah untuk diriku apa yang telah Engkau ajarkan kepadaku dan ajarilah aku dengan apa yang bermanfaat bagiku dan limpahkanlah rezeki berupa ilmu yang bermanfaat bagiku. Tambahkanlah ilmu kepadaku. Segala puji bagi Allah dalam keadaan apapun dan aku berlindung kepada Allah dari keadaan penghuni neraka” [HR Tirmidzi dengan sanad hasan dari Abu Hurairah RA].


SUNTIKAN RACUN SEKULAR-KAPITALIS DALAM SISTEM PENDIDIKAN
Oleh: Pn. Rahmah Nadzri (Ketua MHTM Perak/Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Belajar rajin-rajin ya… Besar nanti cari kerja yang bagus. Boleh beli kereta dan rumah besar”. Itulah antara kata-kata perangsang segelintir ibu bapa kepada anaknya agar berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Tidak sedikit daripada orang tua yang menjadikan pendidikan sebagai batu loncatan untuk anak-anaknya berjaya daripada aspek material. Berjaya ke menara gading, menjawat jawatan tinggi, bergaji lumayan, memiliki rumah dan kereta mewah seakan menjadi penanda aras  kejayaan dalam hidup seseorang.

Pendidikan yang materialistik ini merupakan gambaran kehidupan sekular yang terbukti gagal menghasilkan individu yang berkeperibadian Islam. Apabila sistem kehidupan sekular dijadikan asas kehidupan, maka tujuan pendidikan yang ditetapkan juga jauh tersasar daripada apa yang ditentukan oleh akidah Islam. Produk yang dikeluarkan adalah sekadar individu-individu yang berfahaman materialistik dan sekular. Oleh kerana itu, tidaklah menghairankan apabila lahirnya ramai pelajar cemerlang dalam pencapaian akademik, namun keperibadian Islam tidak terpancar dalam kehidupan sehariannya.

Realiti Dalam Sistem Pendidikan Sekular

Pertama, kerosakan akhlak pelajar. Pelajar melawan guru, membuli rakan-rakan sebaya di asrama mahupun bilik darjah, menghisap rokok, menagih dadah, mencabul rakan serta terlibat vandalisme merupakan barisan realiti yang acapkali dilaporkan di sekolah. Sekolah yang pada awalnya merupakan institusi melahirkan individu-individu yang berkeperibadian Islam, justeru sebaliknya menjadi institusi yang mencetak mereka yang rosak akhlaknya, hilang malu dan terlibat dalam pelbagai bentuk jenayah yang menakutkan.

Kedua, pendidikan juga dilihat sebagai satu bidang yang boleh diniagakan dan dikomersialkan sehinggakan ia hanya dapat dikecapi oleh mereka yang mempunyai wang dan berkemampuan. Sedangkan pendidikan merupakan hak setiap warganegara. Oleh kerana itu negaralah yang sewajarnya mengelola bidang pendidikan baik dari segi pembiayaan mahupun kurikulumnya. Ini kerana baik atau buruknya sistem pendidikan itu secara langsung mengakibatkan baik atau buruknya sesebuah negara itu.

Ketiga, pendidikan juga dinilai sebagai satu bentuk pelaburan dengan menganggap pendidikan haruslah mampu untuk mengembalikan pulangan yang menguntungkan. Pulangan yang dimaksudkan bukanlah diukur dengan lahirnya individu yang berkeperibadian mulia, namun dinilai dengan jawatan yang tinggi dalam kerjaya serta banyaknya aset yang mampu dimiliki dan menjadi kebanggaan masyarakat.

Transformasi Pendidikan Acuan Kapitalis

Saban tahun pelbagai transformasi pendidikan dilaksanakan dengan pelbagai tujuan dan target yang hendak dicapai. Terbaru adalah transformasi kurikulum pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Pelan ini memberi penekanan kepada konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kementerian Pendidikan Malaysia akan memberikan tumpuan pada peningkatan prestasi sistem pendidikan negara. Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) adalah pentaksiran peringkat antarabangsa yang merupakan instrumen yang digunakan sebagai penanda aras kualiti pembelajaran Sains dan Matematik. PPPM menyasarkan Malaysia mencapai sekurang-kurangnya purata antarabangsa dalam pentaksiran berkenaan pada tahun 2015. Menjelang tahun 2025 pula, PPPM menyasarkan agar Malaysia berada pada kedudukan satu pertiga teratas dalam kedua-dua pentaksiran TIMSS dan juga PISA.

Dari satu segi, ia ternyata memberi manfaat kepada pelajar dengan membiasakan mereka berfikir secara kritis dan kreatif serta tidak hanya menghafal suatu fakta untuk berjaya dalam peperiksaan. Namun dalam masa yang sama, ia tidak memberikan tumpuan kepada pembentukan keperibadian seseorang pelajar. Antaranya, sama ada pelajar itu mempunyai kebolehan untuk menilai sesuatu perkara itu berdasarkan tolok ukur halal atau haram iaitu kefahaman dalam menjadikan hukum syarak sebagai standard dalam perbuatan sehariannya. Malah, apa yang ditekankan adalah daripada aspek kedudukan negara Malaysia di peringkat antarabangsa berdasarkan prestasi dan pencapaian akademik semata-mata. Jika hal ini yang dikejar saban tahun, maka tidak hairanlah produk yang terhasil daripada sistem pendidikan negara tidak lain adalah mereka yang hanya cemerlang dalam bidang akademik namun belum tentu tampil dengan syakhsiyah Islam yang sepatutnya.

Guru sebagai pendidik juga tidak terkecuali menerima impaknya dengan polisi pendidikan negara yang tidak konsisten dan acapkali berubah. Dengan penerapan sistem pendidikan kapitalis, para guru ternyata dibebankan dengan kerja dan pelbagai kursus sehingga tugas murni membimbing anak didik mereka tidak lagi menjadi keutamaan. Bahkan para guru disibukkan dengan bermacam-macam kerenah birokrasi dan penanda aras pencapaian (KPI) sehingga menyebabkan fokus mereka lari daripada melaksanakan amanah utama iaitu mendidik pelajar menjadi generasi yang taat kepada penciptaNya dan berakhlak mulia. Para guru perlu memastikan kesemua murid lulus cemerlang dalam peperiksaan dengan menjadikan bilangan A dalam peperiksaan sebagai satu-satunya kayu ukur kejayaan seseorang murid.

Keunikan Polisi Pendidikan Dalam Islam

Hal ini berbeza dengan polisi pendidikan Islam. Polisi pendidikan Islam dalam sistem Khilafah memberikan penekanan terhadap pembentukan keperibadian Islam yang melahirkan individu Mukmin serta membentuk masyarakat yang Islami. Keperibadian Islam akan mendorong seseorang itu menjadikan hukum syarak sebagai satu-satunya kayu ukur perbuatan serta mencapai keredaan Allah itu sebagai matlamat kehidupan dan bukannya demi mengejar manfaat material semata-mata. Malah Islam meletakkan kewajipan kepada pemerintah (Khalifah) dalam mengatur segala aspek berkaitan pendidikan termasuklah kurikulum, tujuan dan strategi pendidikan, kaedah pengajaran serta pembiayaan pendidikan agar dapat dikecapi warganegaranya dengan mudah dan lancar. Rasulullah SAW bersabda,

Seorang imam (khalifah) adalah pemelihara dan pengatur urusan rakyat dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas urusan rakyatnya” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Polisi pendidikan Islam merupakan satu usaha yang berstruktur dan sistematik. Ia tidak cenderung berubah-ubah atau ditukar ganti. Sistem Pendidikan Islam bertujuan untuk mencetak individu yang mempunyai keperibadian Islam yang luhur. Inilah kesan daripada keimanan seorang Muslim. Seorang Muslim yang terhasil daripada sistem pendidikan Islam sudah tentu memiliki cara berfikir (aqliyah) dan cara bertingkahlaku (nafsiyah) yang diasaskan kepada akidah Islam. Selain itu, ia bertujuan untuk mencetak individu yang dapat menguasai tsaqafah Islamiyah dengan baik. Tsaqafah Islam yang terdiri daripada bahasa Arab, sirah Nabawiyah, ulumul Quran, tahfidzul Quran, ulumul hadis, ushul fiqh dan lain-lain wajib dipelajari agar pengkajian dan penerapan ilmu yang berbentuk umum tidak membahayakan akidah kaum Muslimin.

Selain itu, polisi pendidikan Islam juga mampu menghasilkan individu yang dapat menguasai cabang ilmu yang berkaitan dengan sains dan teknologi agar umat Islam dapat memajukan peradaban dengan pelbagai inovasi yang kreatif untuk memudahkan umat menjalankan kewajipannya sebagai seorang manusia dan warganegara Daulah. Di samping itu juga, ia mampu melahirkan generasi Islam yang berkemahiran tinggi dan unggul demi memenuhi tuntutan Allah SWT ke atas setiap Muslim.  Rasulullah SAW bersabda,

Menuntut ilmu itu merupakan kefarduan ke atas setiap Muslim” [HR Baihaqi].

Khatimah

Ternyata dalam Daulah Islam, polisi pendidikan menjadi satu keutamaan dalam membentuk masyarakat yang bertamadun. Ini kerana melalui pendidikan, potensi insan yang bersyakhsiyah Islam akan dilahirkan demi menjamin kelestarian Daulah. Potensi insan yang dicetak hasil daripada sistem pendidikan berasaskan akidah Islam inilah yang akan meneruskan perjuangan dan penerapan hukum syarak dalam seluruh aspek kehidupan. Bukankah tokoh-tokoh dan ilmuan Islam yang berjaya dan terkemuka lahir daripada sistem pendidikan Islam di bawah naungan Daulah Khilafah?

Tidaklah menghairankan pada masa Khilafah Islam, lahirnya para tokoh pendidik yang hingga kini begitu terasa sumbangan ilmu mereka bagi peradaban umat. Para tokoh pendidik ini bukan hanya menjadi pendidik umat, malah turut menjadi ulama dan juga ilmuwan yang memberikan banyak manfaat bagi kehidupan umat. Siti Aisyah, Fatimah az-zahra, Imam Ghazali, Imam Syafi’i, Ibnu Sina, ar-Razi, Ibnu Rusyd adalah contoh daripada beberapa nama dalam kalangan tokoh pendidik yang banyak memberi sumbangan bagi umat dan kemajuan peradaban Islam.

Muslimah sekalian, ayuh kita bersatu pemikiran dan tekad untuk berjuang menegakkan Daulah Khilafah iaitu satu-satunya sistem yang mampu membentuk generasi insan yang cemerlang dalam mencapai target hidup di dunia dan akhirat yang benar.

Rujukan:
1.    Tarikh Daulah Khilafah Islam (Al-Baghdadi, 1996; Sistem Pendidikan Islam).
2.    Muhammad Ismail Yusanto, et.al, 2004, Menggagas Pendidikan Islami
3.    H. Fahmi Lukman, M.Hum., 2002; Syari’at Islam dalam Kebijakan Pendidikan.
4.    Al-Quranul Kareem dan Hadis Rasulullah SAW
5.    http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-BM.pdf
6.    Kebocoran Soalan UPSR: Natijah kerosakan sistemik


ILMU YANG BERMANFAAT
Oleh: Ustazah Husna (Ahli Lajnah Muballighah MHTM)

Keutamaan Ilmu Dan Kemuliaan Orang Yang berilmu (Ulama’)

Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menerangkan keutamaan ilmu dan kemuliaan orang-orang yang berilmu. Di antaranya, Allah SWT berfirman,

Allah menerangkan (kepada sekalian makhluknya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan yang sama), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” [TMQ Ali-‘Imraan (3):18].

Jelas daripada ayat di atas, menunjukkan kesaksian itu dimulai daripada diriNya sendiri, diikuti oleh para malaikat dan orang-orang yang berilmu. Ini membuktikan kemuliaan dan keutamaan orang-orang yang berilmu dan beramal. Selain itu, dalam ayat-ayat yang lain, Allah SWT menegaskan maksud serupa dengan firmanNya,

“…supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat” [TMQ al-Mujadalah (58):11].

Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahui?” [TMQ az-Zumar (39):9].

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hambanya hanyalah orang-orang yang berilmu” [TMQ Fathir (35):28].

Maka sesuatu hukum dalam segala hal hendaklah sentiasa dikembalikan kepada orang-orang yang berilmu pengetahuan. Malah, martabat orang-orang yang berilmu itu berada di bawah martabat para nabi dalam menerangkan hukum Allah SWT.

Dalam hadis-hadis juga ada menjelaskan tentang keutamaan ilmu pengetahuan. Rasulullah SAW bersabda,

Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT kebaikan, maka dia akan dijadikan fakih (pandai) dalam agama dan diilhamkan olehnya kepandaian dalam perkara itu” [HR Thabrani].

Para alim ulama adalah pewaris para nabi” [HR Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban].

Jelas, bahawa tiada lagi pangkat yang lebih tinggi daripada pangkat para nabi dan tiada kemuliaan yang lebih tinggi daripada kemuliaan pewaris nabi iaitu ulama. Cuba direnungi bersama di sini, betapa tinggi nilai ilmu pengetahuan sehingga hampir disamakan dengan darjat para nabi. Sebaliknya, betapa rendahnya sesuatu amalan yang diamalkan tanpa ilmu pengetahuan di mana sesuatu amalan jika dilakukan tanpa ilmu, pastilah bukan dinamakan ibadat sebagaimana Rasulullah SAW bersabda,
Dan sesungguhnya keutamaan orang-orang yang berilmu di atas orang yang beribadat seperti keutamaan bulan purnama di malam Lailatul Qadar atas seluruh bintang-bintang” [HR Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Hibban].

Renungilah wasiat Luqman kepada anaknya, “Wahai anakku, gaulilah para alim ulama dan rapatilah mereka itu dengan kedua-dua lututmu, sebab sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati dengan cahaya hikmat sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat daripada langit”.

Buah Ilmu Yang Bermanfaat

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya (manusia) yang paling takut kepada Allah hanyalah para ulama” [TMQ Fathir (35):28].

Ibn Mas’ud RA mengulas berkenaan ayat di atas, “Kafa bi khasy-yatillLah ‘ilma”. (Cukuplah takut kepada Allah sebagai [buah] ilmu).

Salah seorang ulama’ salaf berkata, “Laysal-‘ilmu bi katsratir-riwayah walakinal-‘ilma bikatsratil-khasy-yah”. (Ilmu itu tidak sama dengan banyaknya periwayatan, tetapi dengan banyaknya rasa takut kepada Allah SWT).

Ulama lain berkata, “Man khasyiyalLah fa huwa ‘alim wa man ‘ashahu fa huwa jahil” (Siapa sahaja yang takut kepada Allah, dialah orang berilmu. Siapa sahaja yang bermaksiat kepada Allah, dia adalah orang bodoh).

Hal ini mudah difahami kerana sesungguhnya ilmu yang bermanfaat dapat dilihat melalui dua perkara. Pertama: Mengenal Allah (ma’rifatulLah), nama-namaNya yang indah (al-asma’ al-husna), sifat-sifatNya yang tinggi dan segala tindakanNya yang agung. Inilah yang menjadikan seseorang yang berilmu memuliakan dan mengagungkan Allah, takut dan khuatir kepadaNya, cinta dan berharap kepadaNya, tawakal dan reda terhadap qadha’Nya, serta sabar atas segala ujianNya yang menimpa dirinya.

Kedua: Berusaha untuk mengetahui segala syariat (perintah dan hukum) yang Allah suka dan redai; memahami setiap yang Allah benci dan murkai sama ada ia berkaitan dengan keyakinan, perbuatan yang nampak mahupun yang tersembunyi, serta ucapan. Hal ini menjadikan orang berilmu bersegera menunaikan perintah yang mendatangkan cinta dan reda Allah terhadap dirinya serta menjauhi perbuatan yang boleh mendatangkan kebencian dan murka Allah ke atas dirinya.

Jika ilmu menghasilkan ‘buah’ seperti ini kepada pemiliknya, bererti ilmunya adalah ilmu yang bermanfaat. Ketika ilmu bermanfaat pada diri seseorang, saat itulah kalbunya dipenuhi rasa takut dan ketundukan kepada Allah; wibawa dan kemuliaannya rendah di hadapanNya; takut dan cinta kepada Allah menyatu dalam kalbunya dan dia selalu mengagungkanNya.

Ketika kalbu merasa takut kepada Allah serta tunduk dan pasrah kepadaNya, maka saat itulah jiwa merasa puas (qana’ah) dan kenyang dengan harta yang halal walau sedikit. Itulah yang menjadikan dirinya bersikap zuhud terhadap dunia (Ibn Rajab, Fadhl ‘Ilmi as-Salaf ‘ala al-Khalaf, I/7).

Al-Hasan berkata, “Ilmu itu ada dua macam. Pertama: Ilmu yang hanya di lisan. Inilah yang akan Allah pertanyakan kepada anak Adam. Kedua: Ilmu yang menghujam dalam kalbu (yang kemudian diamalkan, pen.). Itulah ilmu yang bermanfaat”.

Atas dasar itu, para ulama salaf berkata, “Ulama itu ada tiga macam. Pertama: Ulama yang mengenal Allah dan memahami perintahNya. Kedua: Ulama yang mengenal Allah tetapi tidak memahami perintahNya. Ketiga: Ulama yang memahami perintah Allah tetapi tidak mengenal diriNya. Yang utama tentulah yang pertama. Mereka adalah para ulama yang takut kepada Allah seraya mengamalkan dan menerapkan syariah (hukum-hukum)Nya” (Ibn Rajab, Fadhl ‘Ilmi as-Salaf ‘ala al-Khalaf, I/7).

Ilmu yang bermanfaat tentu adalah ilmu yang digali daripada al-Quran dan as-Sunnah. Jika ilmu tidak digali daripada kedua-duanya, tentu ilmu itu tidak bermanfaat, bahkan berisiko mendatangkan kemudaratan; atau mudaratnya lebih banyak daripada manfaatnya.

Ilmu Yang Tidak Bermanfaat

Antara tanda ilmu yang tidak bermanfaat adalah yang menjadikan pemiliknya merasa bangga, angkuh dan sombong. Ia menuntut ilmu semata-mata demi meraih martabat dan kedudukan yang bersifat duniawi. Ia berniat ingin menyaingi para ulama, merendahkan orang-orang awam dan berupaya menarik perhatian manusia kepada dirinya (riya’ dan sum’ah) dengan ilmu yang dimilikinya. Orang seperti ini memiliki ciri-ciri antara lain: enggan menerima dan tunduk pada kebenaran, sombong terhadap orang yang menyatakan kebenaran terutama daripada orang yang dianggap rendah oleh masyarakat, serta tetap dalam kebatilan kerana khuatir masyarakat berpaling daripada dirinya jika ia merujuk pada kebenaran.

Ini tentu berbeza dengan sikap para ulama salaf yang kerana ilmu-lah mereka bersikap rendah hati (tidak sombong) baik secara lahiriyah mahupun batiniyah. Justeru, di antara tanda-tanda orang yang ilmunya bermanfaat adalah mereka tidak menganggap diri mereka memiliki kedudukan istimewa, tidak suka merasa dirinya suci, enggan dipuji dan tidak sombong terhadap sesiapapun.

Lebih daripada itu, al-Hasan berkata, “Sesungguhnya yang disebut orang faqih (ahli agama) adalah orang yang zuhud terhadap dunia, merindukan kehidupan akhirat (syurga), faham agama dan selalu sibuk dalam beribadah kepada TuhanNya”.

Ibn Umar juga berkata, “Orang yang ilmunya bermanfaat itu, jika ilmunya bertambah maka bertambah pula sikap tawaduk, rasa takut dan ketundukannya kepada Allah SWT” (Ibn Rajab, Fadhl ‘Ilmi as-Salaf ‘ala al-Khalaf, I/8).

Kedudukan Ilmu (Al-Quran) Dalam Realiti Umat Hari Ini

Namun sayangnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian sahabat Rasulullah SAW, “Ilmu yang pertama kali dicabut oleh Allah adalah (yang melahirkan) rasa takut kepada Allah SWT”. Ini senada dengan satu riwayat yang diungkapkan oleh Imam Malik ketika menuturkan hadis daripada Yahya bin Said yang berkata bahawa Abdullah bin Mas’ud pernah berkata kepada seseorang,

Sesungguhnya engkau berada pada suatu zaman yang di dalamnya ramai para fuqaha dan sedikit para pembaca al-Quran yang menjaga hukum-hukumnya dan tidak terlalu fokus pada huruf-hurufnya ….kelak akan datang kepada manusia suatu zaman yang di dalamnya sedikit para fuqaha dan ramai para pembaca al-Quran yang menjaga huruf-hurufnya tetapi mengabaikan hukum-hukumnya” [Imam Malik, Al-Muwaththa’, II/44].

Ada tiga perkara yang dapat difahami daripada hadis ini iaitu:

Pertama, Ibn Mas’ud tidak bermaksud menyatakan orang-orang yang membacakan al-Quran pada zamannya sedikit. Namun yang dimaksudkan adalah orang-orang yang membaca al-Quran pada zaman sahabat lebih ramai memfokuskan kepada memahami isi kandungan al-Quran dan mengamalkannya.Tidak seperti sekarang yang lebih ramai memfokuskan pada bacaan dan hukum-hukum tajwid, tetapi mengabaikan untuk mengamalkan setiap perintah dan meninggalkan laranganNya.

Kedua, akan datang suatu zaman (yang berbeza dengan zaman Ibnu Mas’ud atau zaman sahabat Nabi SAW), yang pada ketika itu orang-orang yang memahami Islam secara mendalam amatlah sedikit. Kebanyakan mereka adalah yang boleh dan biasa membaca al-Quran tetapi tidak memahami isinya secara mendalam. Jangan disalah faham berkenaan hadis ini. Hadis ini bukanlah untuk merendah-rendahkan para pembaca, hafiz dan hafizah tetapi hendak menyatakan sedikitnya para fuqaha daripada kalangan mereka kerana tujuan akhir mereka hanya sebatas membaca dan menghafaz al-Quran, bukan memahami isinya apatah lagi mengamalkan dan menerapkan setiap hukum-hukum di dalam al-Quran.

Ketiga, akan datang suatu zaman yang di dalamnya huruf-huruf al-Quran benar-benar dijaga, tetapi hukum-hukumnya ditelantarkan. Ertinya, para pemelihara mushaf al-Quran, jumlahnya ramai. Namun kebanyakan mereka tidak memahami isi al-Quran. Ini jelas bertentangan dengan zaman sahabat Nabi SAW, yang pada ketika itu mereka dipimpin oleh para pemimpin yang berhukum dengan al-Quran dan menerapkan al-Quran kepada mereka secara kaffah (Al Muntaqa Syarh al Muwaththa’, I/429).

Kesimpulan daripada hadis di atas adalah pertama, ia adalah dorongan kepada setiap Muslim untuk membaca dan memahami al-Quran atau mendalami Islam. Kedua, mengamalkan isi al-Quran termasuk terus berusaha mendorong para pemerintah untuk menerapkan hukum-hukum syara’ secara keseluruhan di tengah-tengah kehidupan ummat.

Kesimpulan

Seorang Muslim wajib untuk sentiasa meningkatkan motivasinya untuk menuntut ilmu yang bermanfaat kepadanya, khususnya yang berkaitan dengan al-Quran, as-Sunnah dan tsaqafah Islam. Ini semua akan mampu melahirkan manusia yang bertanggungjawab sebagai hamba Allah dan menyedari bahawa ilmu yang dicari bukan setakat teori, malah sesuatu yang boleh menjadi pemacu kepada keterikatan yang sepenuhnya terhadap hukum-hukum yang telah disyariatkan kepada manusia. Orang yang berilmu tidak akan berdolak-dalih atau bertoleransi dalam menjadikan  hanya Islam sebagai mualajah lil masyakil insan (pemecah permasalahan kehidupan manusia). Seorang Muslim yang memiliki tsaqafah Islam yang benar akan dapat melahirkan generasi yang memiliki pemikiran-pemikiran yang cemerlang, memiliki semangat yang tinggi dan berkobar-kobar, sanggup menggadaikan jiwa di jalan Islam kerana Allah SWT.

Wallahu’alam..


BERANI MENYATAKAN KEBENARAN
Oleh: Cik Hidayah Muhammad (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Muqaddimah

Banyaknya propaganda-propaganda yang dilancarkan oleh Barat terhadap wanita khususnya wanita Islam menyebabkan identiti mulia sebagai seorang Muslimah hilang sedikit demi sedikit. Barat mempropagandakan isu qadhiyyatul mar’ah (permasalahan wanita) yang menurut mereka perlu dibahas kembali untuk diperjuangkan mengikut acuan mereka. Islam pula diletak dalam ‘kandang pesalah’ yang dikatakan menjadi punca permasalahan wanita. Jadi wanita yang kurang pemahaman tentang Islam dan keliru tentang peranannya akan mudah percaya malah bersama-sama memperjuangkan propaganda Barat itu.

Islam sebagai rahmatan lil alamin diturunkan oleh Allah SWT telah mengangkat kedudukan wanita daripada kehinaan dan menempatkannya pada kedudukan terhormat. Islam memandang wanita sebagai penyeri hidup bagi lelaki. Menjadi ibu untuk mendidik generasi-generasi penerus dan pembela agama Allah. Islam juga memuliakan wanita dengan peranannya sebagai seorang isteri. Penghormatan Islam kepada wanita terlihat dalam al-Quran yang merakamkan satu surah khusus yang membahas tentang wanita dan dinamakan sebagai surah an-Nisa’ (kaum wanita).

Ketinggian martabat wanita dibuktikan oleh sejarah Islam yang menyaksikan kelahiran generasi-generasi hebat pada zaman Rasulullah SAW. Para sahabiyyah mencipta sejarah mereka tersendiri. Mereka adalah isteri solehah yang sentiasa menjaga kehormatan diri dan keluarganya. Mereka juga adalah ibu yang melahirkan dan mendidik generasi yang hebat. Tidak sedikit juga yang terdidik menjadi wanita cerdas, mempunyai kekuatan dan ketajaman pemikiran, bersemangat dalam menuntut ilmu dan pemberani di medan jihad.

Berani Demi Kebenaran

Serikandi teladan yang layak dijadikan contoh kali ini adalah seorang sahabiyyah yang bernama Asma’ binti Yazid bin As Sakan al-Anshariyah. Beliau termasuk antara wanita yang paling awal memeluk Islam daripada kalangan Anshar. Amr bin Qatadah menyatakan, “Wanita yang pertama kali berbaiat kepada Rasulullah ialah Ummu Saad bin Muaz, Kabsyah bin Rafi, Ummu Amir bin Yazid bin As Sakan dan Hawa binti As Sakan RA” (Ad-durrul munstur, 8/143; thabaqat, 8/12).

Asma’ binti Yazid datang bersama serombongan kaum wanita kepada Rasulullah SAW untuk berbaiat pada tahun pertama hijrah dan berjanji untuk taat. Rasulullah SAW menerima baiat kaum wanita berdasarkan perintah firman Allah SWT,

Hai Nabi! Apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tidak akan mempersekutukan sesuatupun dengan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya dan mereka tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ al-Mumtahanah (60):12].

Kisah keislamannya bermula daripada sentuhan dakwah Mus’ab bin Umair yang bermula di perkampungan Anshar yang paling baik, Bani Abdul Ashal iaitu perkampungan seorang sahabat, Saad bin Muaz RA yang keislamannya menjadi barakah bagi kaumnya dan pengikutnya. Diriwayatkan bahawa pada petang hari beliau memeluk Islam, tiada seorang lelaki atau wanita pun di tengah-tengah Bani Abdul Ashal melainkan telah menjadi Muslimin dan Muslimat.

Asma’ binti Yazid berkahwin dengan seorang sahabat daripada kalangan Anshar iaitu Abu Said al-Anshry RA. Beliau memiliki keutamaan dari segi ketajaman akal, agama yang teguh, keberanian, kesabaran dalam menuntut ilmu dan termasuk di antara wanita yang paling banyak meriwayatkan hadis. Beliau juga mendapat gelaran khatibatun nisa (jurucakap bagi wanita) daripada kalangan Anshar.

Ibnu Hajar RA berkata tentang Asma’ bin Yazid, “Dialah Asma’ bin Yazid bin As Sakan bin Rafi in Imru’ul-Qais al-Anshariyyah al-Ausyiah. Beliau dikenali dengan sebutan Ummu Salamah terkadang Ummu Amir, termasuk wanita yang berbaiat dan mujahidah yang hidup pada permulaan Islam di Madinah, meraih keuntungan menjadi sahabat Rasulullah SAW sekaligus memperolehi keredaan Allah dan RasulNya.

Kelebihan-Kelebihan Asma’ Bin Yazid RA

Asma’ binti Yazid juga dikenali sebagai sahabiyyah yang paling mendalam ilmu dan agamanya. Hal ini diakui oleh Ibnu Abdil Barr RA yang menyebutkan, “Dia (Asma’) termasuk wanita yang paling cerdas akalnya dan kuat agamanya” (Al-Isti’ab, 4/233). Beliau juga seorang wanita yang rajin bertanya kepada Rasulullah SAW tentang masalah-masalah wanita. Salah satu pertanyaan Asma’ ini diriwayatkan oleh al-Akhtib al-Baghdady RA yang menceritakan, “Asma binti Yazid bertanya kepada Rasulullah SAW tentang cara untuk mandi junub setelah haid. Maka baginda menjawab, “Hendaklah engkau mengambil daum sidrah yang direndam air, lalu engkau membasuh kepala dan engkau dapat menggosoknya dengan gosokan yang keras sehingga air mengenai seluruh bahagian kepala dan tubuhmu. Kemudian, hendaklah engkau mengambil cebisan kain yang diberi minyak wangi lalu engkau bersuci dengannya”. Asma’ kemudian bertanya lagi, “Bagaimana caraku bersuci dengannya?” Rasulullah SAW kemudian bersabda, “Subhanallah! Yang penting engkau bersuci
Aisyah RA memberi isyarat kepada Asma’ yang bermaksud ertinya engkau harus mencari bekas-bekas darah” (Al- Asma’ Al-Mubhamah fil Anba’ Al-Muhkamah hal 68).

Dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Asma’ ini, Ummul Mukminin Aisyah RA memberikan pujian kepada wanita Anshar dengan berkata, “Sebaik-baik wanita adalah wanita Anshar, yang tidak terhalang oleh rasa malu untuk menanyakan masalah agama dan memahaminya”.

Asma’ binti Yazid juga mempunyai kisah tersendiri yang diselitkan dalam isi al-Quran. Abu Daud, Ibnu Hatim dan al-Baihaqi meriwayatkan dalam sunannya daripada Asma’ bin Yazid dengan berkata, “Aku ditalak pada zaman Rasulullah SAW yang pada ketika itu belum ada lagi ketetapan iddah bagi wanita yang ditalak. Maka ketika itulah Allah menurunkan ayat tentang iddah kerana talak, “Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru” [TMQ al-Baqarah (2):228]. Ini merupakan ayat yang pertama mengenai iddah bagi wanita yang ditalak” (Tahdzibut-Tahdzib, 12/339; Siyar Alamin Nubala, 2/297; Alamum Nisa).

Beliau meriwayatkan 81 hadis daripada Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah. Adapun yang meriwayatkan daripadanya ialah Muhaji bin Abu Muslim, Ayahr bin Hausyab, anak saudaranya, Mahmud bin Amr al-Anshary dan lain-lain. Ini menjadikan Asma’ antara sahabiyyah yang paling banyak meriwayatkan hadis selepas Aisyah RA dan Ummu Salamah RA.

Asma’ juga mempunyai karakter yang bersemangat dalam jihad. Keluarga Asma’ terdiri daripada keluarga para syuhada. Ayahnya Yazid bin As Sakan al-Anshary, abangnya Amir bin Yazid dan bapa saudaranya Ziyad bin As Sakan al-Anshary gugur dalam pertempuran Perang Uhud. Asma’ sendiri bergabung bersama pasukan kaum Muslimin semasa perang Khandaq di mana beliau berperanan mengirimkan makanan kepada pasukan Rasulullah SAW selain ikut serta dalam perang Khaibar. Beliau juga ikut serta dalam perjanjian Hudaibiyyah dan terlibat dalam baiat Ridwan.

Khatimah

Begitulah kisah dan kelebihan Asma’ binti Yazid RA, semoga Allah SWT meredai beliau sebagai seorang yang cerdas, perawi hadis, mujahidah dan wanita yang solehah. Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat dan kebijaksanaan dan keikhlasan kepada kita agar kita mampu meneladani perjuangan generasi sahabiyyah seperti Asma’ binti Yazid RA.

Rujukan:
1.    Terjemahan Al-Quran
2.    Ahmad Khalil Ama’ah, Puteri Sahabat Rasulullah
3.    Mahmud Mahdi al-Istabuli, Musthafa Abu Nashr asy-Syaibi; Isteri, Puteri dan Sahabat Wanita Seperjuangan Rasulullah, hlm 160-161, Synergi Media.


HUKUM MENUNTUT ILMU AGAMA
Oleh: Cik Farisha Aris (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Soalan:

Adakah berdosa seseorang itu jika dia mengabaikan pelajaran agama kerana sibuk mempelajari ilmu dunia?

Jawapan:

Sebahagian daripada kita mungkin menganggap bahawa hukum menuntut ilmu agama hanya sunnah sahaja iaitu diberi pahala bagi yang mempelajarinya dan tidak berdosa bagi yang tidak mempelajarinya. Padahal terdapat beberapa keadaan yang mana hukum menuntut ilmu agama ialah wajib atas setiap Muslim (fardhu ‘ain) sehingga berdosalah setiap orang yang meninggalkannya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim” [HR. Ibnu Majah. Dinilai shahih oleh Syaikh Albani dalam Shahih wa Dha’if Sunan Ibnu Majah no. 224].

Dalam hadis ini, Rasulullah SAW dengan tegas menyatakan bahawa menuntut ilmu itu hukumnya wajib atas setiap Muslim, baik lelaki mahupun perempuan dan bukan bagi sebahagian orang Muslim sahaja. Daripada Ibnu Mas’ud RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda,

Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah  kepada orang ramai; – pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah kepada orang ramai; pelajarilah al-Quran dan ajarkanlah kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu” [HR Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni].

Hadis di atas telah menjelaskan betapa pentingnya mempelajari ilmu-ilmu agama dan seterusnya mengajarkannya kepada orang lain. Rasulullah SAW ialah pesuruh Allah SWT yang ditugaskan untuk menyampaikan ilmu-ilmu agama. Baginda menyuruh umatnya belajar dan mengajar segala jenis ilmu pengetahuan yang disampaikannya kerana dengan kecuaian belajar dan mengajar maka ilmu pengetahuan akan beransur-ansur hilang, sehinggakan perkara-perkara fardu juga diperselisihkan dan tidak ditemukan orang yang boleh menyelesaikannya.

Sebagai seorang Muslim, kita mestilah mempunyai ilmu pengetahuan tentang setiap perbuatan yang ingin dilakukan. Hal ini agar kita mengetahui hukum-hakam terkait perbuatan tersebut dengan sempurna menurut syariat  Islam. Menurut kitab al-Furuq dan “Tahzib al-Furuq” bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya-‘Ulumuddin dan Imam asy-Syafi’i dalam kitabnya ar-Risalah menerangkan bahawa tidak seharusnya seseorang melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui terlebih dahulu hukum-hukum Allah SWT mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu. Misalnya orang yang hendak berjual beli atau bermuamalah, mereka wajib mempelajari hukum Allah SWT mengenainya dan orang yang hendak menyewa, memberi sewa, mengupah dan mengambil upah juga wajib mempelajari hukum Allah SWT mengenainya. Demikian juga bagi orang yang hendak bersolat, wajib mempelajari hukum Allah SWT hal-hal berkaitan solat.

Oleh yang demikian, telah nyata bahawa wajib bagi seorang Muslim mempelajari hukum-hakam Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya agar tidak menyalahi syariat Islam.

Kepentingan Menuntut Ilmu Syar’i

Penting untuk diketahui bahawa ketika Allah SWT atau RasulNya menyebutkan kata ‘ilmu’ dalam al-Quran atau as-Sunnah, maka ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu syar’i (ilmu agama). Sebagai contoh, firman Allah SWT,

Dan katakanlah,‘Wahai Rabbku, tambahkanlah kepadaku ilmu” [TMQ Thaaha (20):114].

Maka Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata, “Firman Allah Taala (yang ertinya), ‘Wahai Rabbku, tambahkanlah kepadaku ilmu yang mengandungi dalil yang tegas tentang keutamaan ilmu. Ini kerana sesungguhnya Allah SWT tidaklah memerintahkan Nabi-Nya  untuk meminta tambahan sesuatu kecuali (tambahan) ilmu. Adapun yang dimaksudkan dengan (kata) ilmu di sini adalah ilmu syar’i. Iaitu ilmu yang akan menjadikan seorang mukallaf yang mengetahui kewajipannya yang berupa masalah-masalah ibadah dan muamalah, juga ilmu tentang Allah SWT dan sifat-sifatNya, serta apa-apa hak yang mesti dia tunaikan dalam beribadah kepadaNya, dan mensucikan Kitaabul Ilya daripada pelbagai kekurangan” (Fathul Baari, 1/92).

Daripada penjelasan Ibnu Hajar rahimahullah di atas, jelaslah bahawa ketika hanya disebutkan kata ‘ilmu’ sahaja, maka yang dimaksudkannya adalah ilmu syar’i. Begitu pula orang-orang yang dipuji kerana memiliki ilmu dan yang disebut sebagai ulama ialah orang-orang yang memiliki ilmu syar’i iaitu ilmu tentang syariat atau agama Allah SWT yang dibawa oleh utusanNya. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam hadis Abu Darda, bahawa Nabi SAW bersabda,

Dan sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Para nabi tidaklah mewariskan dinar, dan tidak pula mewariskan dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mendapatkannya maka dia telah mendapatkan bahagian yang sangat mencukupi” [HR Abu Dawud & yang lainnya, dihasankan oleh asy-Syaikh al-Albani].

Selain itu, tanda yang menunjukkan bahawa seseorang diinginkan untuk mendapatkan kebaikan daripada Allah SWT dengan mendapatkan kenikmatan syurgaNya adalah kefahamannya terhadap agama Allah SWT. Hal ini sebagaimana tersebut dalam hadis daripada Muawiyah RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda,

Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan sebahagian daripada umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah, tidak ada sesiapa pun daripada kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah” [HR Bukhari & Muslim].

Ini bermakna bahawa ketidakfahaman seseorang terhadap agamanya menunjukkan bahawa dirinya bukanlah orang yang dikehendaki oleh Allah SWT untuk mendapatkan kebaikan, meskipun dia mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi, kesihatan serta ilmu pengetahuan yang lainnya. Bahkan apabila ilmu pengetahuannya tentang dunia tersebut memalingkan dirinya daripada mempelajari agama Allah SWT sehingga tidak menerima ajaran yang ada di dalamnya, maka dirinya telah menular sifat orang kafir yang disebutkan dalam firman Allah SWT,

Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan  pengetahuan yang ada pada mereka. Dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu” [TMQ al-Mu’min (40): 83].

Ganjaran Allah SWT Bagi Mereka Yang Menuntut Ilmu

Menuntut ilmu ialah jalan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dan jalan menuju syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan. Nabi SAW bersabda,

Barangsiapa berjalan dalam rangka menuntut ilmu maka akan dimudahkan jalannya menuju syurga” [HR Muslim].

Hadis ini menunjukkan bahawa antara jalan harus ditempuh untuk mencapai syurga tidak lain adalah dengan cara menuntut ilmu. Barangsiapa menempuh jalan lainnya atau menyangka bahawa dirinya akan mendapatkan kenikmatan syurga meskipun tanpa menuntut ilmu, maka akan sia-sialah usahanya meskipun dengan bersusah-payah dia menjalaninya. Allah SWT berfirman,

Katakanlah: ‘Apakah akan Kami beritahukan kepada kalian tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?’ Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya” [TMQ al-Kahfi (18):103-104].

Dengan demikian, kita mengetahui bahawa kegiatan dan kesibukan seseorang dalam menuntut ilmu memiliki keutamaan yang sangat besar dan orang yang melakukannya pada dasarnya sedang dalam perjalanan menuju ke syurga.

Khatimah

Sesungguhnya dengan menuntut ilmulah, seseorang akan mengenal RabbNya dan akan teguh di atas landasan agama yang mulia. Justeru itu, dengan menuntut ilmu, Allah SWT akan menyelamatkan seseorang daripada kegelapan syirik dan kemaksiatan serta kesesatan bid’ah dan keracunan pemikiran. Begitu pula, Allah SWT akan menyelamatkannya daripada kegelapan dan kesulitan serta dijauhkan daripada seksaNya pada hari kebangkitan.

Wallahu’alam.

Sumber Rujukan:

1)    Al-Quran
2)    www.mykhilafah.com
3)    Tafsir Ibnu Kathir; Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur; 2007