Fikratul Ummah – Mac 2009
Jika 3hb Mac diingati oleh umat Islam sebagai detik hitam runtuhnya Daulah Khilafah Uthmaniyyah setelah dimakamkan secara rasminya oleh Mustafa Kamal Atarturk laknatullah 85 tahun silam, 8hb Mac pula adalah hari yang dianggap agung kepada kaum wanita di seluruh dunia melalui sambutan Hari Wanita Sedunia yang didakwa suatu hari penting terhadap perjuangan meraih kesetaraan atau kesaksamaan, keadilan, keamanan dan kemajuan kepada kaum wanita. Ironinya, di bulan ini juga, sebahagian kaum wanita yang menyanjungi dan turut sama meraikan Hari Wanita Sedunia adalah kalangan yang turut sama meraikan Maulidur Rasul pada tanggal 12hb Rabi ul Awwal. Kedatangan Utusan Allah sebagai pembawa peringatan dan khabar gembira tidak dikaitkan langsung dengan kesejahteraan dan ketinggian darjat dan martabat kaum wanita yang diangkat dengan Islam selaku rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi sekelian alam).
Syukur Alhamdulillah. Fikratul Ummah bulan ini mengangkat dua isu: Sempena 8 Mac: Ada Apa dengan Hari Wanita Sedunia dan Istimewa Maulidur Rasul: Potret Kemuliaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam Junjungan Mulia. Tema Hari Wanita Sedunia diangkat untuk menunjukkan kepada umat Islam sejarah Hari Wanita, juga untuk menjelaskan bahawasanya pelaksanaan Islam secara kaffah akan memastikan kaum wanita yang dianggap warga kelas kedua mendapat layanan istimewa, malah sebahagian hukum hakam Islam itu sendiri sebenarnya ‘memanjakan’ wanita. Manakala artikel berjudul Istimewa Maulidur Rasul: Potret Kemuliaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam Junjungan Mulia diangkat untuk menerangkan hakikat mencintai Utusan Allah ini dan menjelaskan peranan Muslimat untuk membuktikan kecintaan mereka. Selain dua artikel di atas, Fikratul Ummah turut menyajikan Bahagian Ketiga artikel terjemahan “Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah”
Adalah diharapkan agar artikel-artikel yang dipaparkan pada Fikratul Ummah edisi Mac 2009 ini akan memberikan kefahaman kepada Muslimat khususnya, perancangan keji puak Kuffar-Barat untuk menyesatkan umat Islam melalui solusi dangkal mereka. Selain itu, harapan kami agar Muslimat akan dapat melihat bagaimana keindahan Islam dapat mengangkat darjat dan kemuliaan mereka melalui hukum-hakam terkait dengan kaum Hawa dan juga melalui kecintaan kepada Rasulullah Sallalahu Alahi Wa Sallam yang dibuktikan dengan pemahaman peranan mereka sebagai ummu wa rabatul bait seiring dengan kewajipan melakukan kerja dakwah.
Wallahu ‘alam bisshawab.
8hb Mac adalah Hari Wanita Sedunia yang diiktiraf oleh kelompok-kelompok wanita di seluruh dunia. Tarikh ini turut diperingati oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mana ia adalah cuti umum di sesetengah Negara. Apabila wanita di seluruh benua yang seringkali dipisahkan oleh sempadan negara, etnik, bahasa, budaya, ekonomi dan perbezaan politik bersatu untuk menyambut hari ‘mereka’, mereka dapat mengimbas kembali suatu tradisi yang mewakili sekurang-kurangnya 9 dekad perjuangan untuk meraih kesaksamaan atau kesetaraan (equality), keadilan (justice), keamanan (peace) dan kemajuan (development).
Sejarah
Hari Wanita Sedunia adalah kisah wanita biasa yang berjaya melakar sejarah. Ia berakar umbi pada perjuangan selama berabad-abad untuk kaum Hawa ini turut serta dalam masyarakat setaraf dengan kaum Adam. Dalam zaman Greek Kuno, Lysistrata mengadakan mogok seks untuk mengakhiri peperangan semasa Revolusi Perancis, wanita-wanita Paris menyeru pembebasan (liberty), kesaksamaan (equality) dan persaudaraan (fraternity) yang mana mereka telah berarak untuk memaksa Versailles memenuhi keinginan mereka untuk mendapat hak mengundi (suffrage).
1909: Bersempena dengan pengisytiharan yang dilakukan oleh Parti Sosialis Amerika, Hari Wanita Kebangsaan pertama telah diraikan di seluruh Amerika Syarikat pada 29hb Februari. Para wanita terus meraikannya pada hari Ahad terakhir bulan Februari 1913.
1910: Sosialis Antarabangsa telah mengadakan mesyuarat di Copenhagen dan mengisytiharkan Hari Wanita di peringkat antarabangsa sebagai penghargaan terhadap gerakan yang memperjuangkan hak-hak wanita dan membantu mencapai women suffrage sejagat. Usul itu telah diterima sebulat suara oleh persidangan yang dihadiri oleh 100 wanita dari 17 buah Negara peserta, termasuk 3 orang pertama yang dilantik sebagai ahli Parlimen wanita Finland. Tiada tarikh tertentu untuk meraikannya.
1911: Natijah dari resolusi di Copenhagen pada tahun sebelumnya, Hari Wanita Sedunia telah diraikan untuk pertama kalinya di Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland pada 19hb Mac dengan penyertaan lebih dari sejuta wanita dan lelaki dalam perarakan. Selain hak untuk mengundi dan memegang jawatan kerajaan, mereka meminta hak untuk bekerja, menjalani latihan vokasional dan mengakhiri diskriminasi. Kurang dari seminggu kemudian, pada 25hb Mac berlaku insiden penuh tragik Kebakaran Tiga Segi (Triange Fire) di kota New York yang mengorbankan lebih 140 nyawa pekerja wanita, majoriti dari kalangan mereka adalah imigran Itali dan Yahudi. Kejadian ini memberi impak besar terhadap undang-undang buruh di Amerika Syarikat, dan kondisi pekerjaan yang menyebabkan musibah yang berlaku sejurus selepas sambutan Hari Wanita Sedunia.
1913-1914: Sebagai sebahagian gerakan keamanan yang tercetus di ambang Perang Dunia Pertama, wanita-wanita Russia meraikan Hari Wanita Sedunia pada hari Ahad terakhir dalam bulan Februari 1913. Di lain-lain tempat di Eropah, lebih kurang pada 8hb Mac tahun berikutnya, kaum wanita mengadakan perarakan dan bantahan menentang peperangan atau untuk menyatakan solidariti terhadap kaum sejenis mereka.
1917: Kematian dua juta askar Russia dalam peperangan menyebabkan wanita Russia sekali lagi memilih hari Ahad terakhir dalam bulan Februari untuk melancarkan mogok bagi mendapatkan ‘roti dan keamanan’. Pemimpin-pemimpin politik menentang waktu yang dipilih untuk melakukan mogok tetapi tidak diendahkan oleh para wanita. 4 hari kemudian Kaisar telah menyerahkan takhta pemerintahan dan kaum wanita diberikan hak mengundi. Hari Ahad bersejarah itu jatuh pada 23hb Februari menurut kalender Julian yang pada masa itu diguna-pakai di Russia, tetapi ia jatuh pada 8hb Mac menurut kalendar Gregorian yang diguna-pakai di lain-lain tempat.
Semenjak tahun-tahun terawal itu, Hari Wanita Sedunia telah memainkan peranan dalam membentuk sebuah dimensi global terbaru kepada wanita di negara-negara membangun dan di negara-negara maju. Gerakan-gerakan wanita antarabangsa yang semakin bertambah telah diperkukuhkan dengan empat persidangan wanita-wanita dari negara-negara anggota PBB di peringkat global yang bertujuan untuk melakukan usaha-usaha secara sistematik untuk mendapatkan hak-hak wanita serta penyertaan kaum Hawa ini dalam kemajuan ekonomi dan politik. Semenjak itu, Hari Wanita Sedunia juga telah dijadikan momentum untuk meneliti pencapaian yang diraih, menyeru kearah perubahan dan meraikan tindakan berani dan keazaman yang ditunjukkan oleh wanita biasa yang memainkan peranan luarbiasa dalam sejarah hak-hak wanita.
[Sumber:http://www.kelantan.uitm.edu.my/prostar/index.php/nukilan/64-hariwanitasedunia]
Di tanah air, menurut laporan Suara Keadilan Online di laman web www.suarakeadilan.com pada 8hb Mac 2009, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Inovasi & Teknologi Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail telah menyampaikan perutusan Barisan Kepimpinan Wanita Pakatan Rakyat sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2009. Perhimpunan yang dilakukan sempena hari yang dianggap bersejarah kepada kaum wanita ini serentak dengan sambutan setahun Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran 5 buah negeri iaitu pada 8hb Mac 2008 adalah bertemakan ‘Kembalikan kepada wanita nikmat rasa selamat dan aman di Malaysia’. Tema yang diutarakan ini bertitik tolak dari realiti ngeri yang mewarnai kehidupan wanita Malaysia. “Setiap hari di Malaysia berlaku sebanyak 8.2 kes keganasan rumahtangga, 6.7 kes rogol, kes-kes gangguan seksual yang tidak dilaporkan, keperluan wanita Orang Asli yang tidak dipenuhi dan keperluan wanita kurang upaya yang masih tidak difahami,” jelas Rodziah.
Malangnya, pemimpin wanita dari Pakatan Rakyat ini mendakwa kemelut meruncing yang melanda wanita ini turut berpunca dari kegagalan parti pemerintah. “Mengarusperdanakan gender (Gender Mainstreaming) yang menjadi asas kepada kejayaan Dasar Wanita Negara dan pencapaian cita-cita Millenium (the Millennium Goals) masih belum berjaya sepenuhnya dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia pimpinan Umno-Barisan Nasional,” katanya. Sebagai penutup kepada perutusan ini, beliau menyatakan kebersamaan pakatan Rakyat hari ini adalah pernyataan bahawa PR akan terus memberikan komitmen terhadap memenuhi hak-hak wanita dan kesetaraan gender (women’s rights and gender equality).
Apakah kesediaan ‘memberikan komitmen terhadap hak-hak wanita dan kesetaraan gender’ akan dapat mengubah nasib wanita yang dizalimi?
Sejarah kelahiran Hari Wanita Sedunia yang turut diraikan oleh wanita Malaysia ini menunjukkan peri pentingnya meraikan dan menyambut satu hari yang dianggap ‘agung’ demi untuk meraih kesaksamaan atau kesetaraan (equality), keadilan (justice), keamanan (peace) dan kemajuan (development). Malangnya, solusi yang diambil masih dalam kerangka pemikiran Sekuler-Kapitalis.
Penyelesaian menurut Sekuler-Kapitalis
Dalam kalangan umat Islam yang menganut fahaman liberal, ada pihak yang mendakwa bahawa wujudnya ketidakadilan dan ketidaksetaraan gender dianggap berpunca dari ajaran Islam. Dari kacamata mereka, pelbagai permasalahan yang menimpa wanita pada masa kini disebabkan wujudnya diskriminasi dan ajaran Islam yang mendiskredit kaum Hawa seperti hukum pewarisan, poligami, batasan aurat dan kepimpinan lelaki. Antara usaha ke arah ini adalah penganjuran Musawah Global Meeting 2009 yang diadakan pada 13-17hb Februari 2009 dan telah berlangsung di Hotel Prince, Kuala Lumpur. Objektif Musawah yang diilhamkan oleh Sisters In Islam (SIS) sejak tahun 2007 adalah seperti berikut: Musawah is designed to bring together scholars and activists who wish to work within a holistic framework to ensure that Muslim women are treated as human beings of equal worth and dignity in the law, in the family and the community. Since so much of the injustice against Muslim women and the resistance to law reform are justified in the name of Islam, we feel that it is important that Musawah’s key focus as a knowledge building movement be on acquiring knowledge and understanding why equality and change are possible and necessary within Islam (Musawah disusunatur sedemikian rupa untuk menyatukan para cendekiawan dan aktivis yang mahu berusaha dalam kerangka holistic untuk memastikan wanita-wanita Islam dilayani seperti manusia yang punya harga diri dan maruah setara di sisi undang-undang, dalam keluarga dan masyarakat. Memandangkan berlaku terlalu banyak ketidakadilan terhadap wanita dan tekanan untuk melakukan reformasi undang-undang tidak bertentangan dengan Islam, kami merasakan bahawa sangat penting bahawa fokus utama Musawah sebagai sebuah gerakan untuk membina pengetahuan mencari ilmu pengetahuan dan pemahaman mengapakah kesetaraan dan perubahan tidak mustahil dan sangat perlu dari dalam Islam [Sumber: Wanted:Equality and Justice in the Muslim Family, www.musawah.org]
Islam ‘memanjakan’ Wanita
Sebahagian umat Islam yang mempunyai tanggapan bahawa Islam menyebabkan wanita dianggap warga kelas kedua sebenarnya tidak mengkaji agama ini dengan mendalam. Banyak dalil yang menunjukkan bahawa agama Islam sangat memanjakan kaum Hawa ini.
Pertama: Hukum Pewarisan. Islam menetapkan hukum waris dalam Surah An-Nisa: Bahagian untuk seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua anak perempuan iaitu perempuan mendapat setengah bahagian dari lelaki. Ayat berkenaan dengan waris ini adalah qat’ie. Pemahaman yang salah akan menyebabkan seseorang beranggapan bahawa anak lelaki mendapat lebih bahagian, manakala anak perempuan yang mendapat bahagian yang kurang dianggap menjadi mangsa diskriminasi. Apa yang sering menjadi punca salah faham ini adalah kurangnya penjelasan tentang tanggungjawab dan kewajipan anak lelaki yang mana dia tidak hanya bertanggungjawab menafkahi isteri, tetapi juga kaum kerabat sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah(2) ayat 215: Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapak, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya”. Maka, bahagian warisan lebih besar kerana tanggungjawab juga lebih besar. Anak perempuan juga, walaupun hanya menerima separuh dari bahagian yang diterima anak lelaki, akan tetapi, bahagian yang diterima adalah untuk dirinya sendiri. Alangkah hebatnya Islam kerana memanjakan kaum wanita. Sudahlah bahagian yang diterima untuk dirinya sahaja, nafkah dirinya turut ditanggung oleh saudara laki-laki yang menerima dua bahagian itu tadi. Jika dikira secara matematik, sudah tentu kaum wanita yang paling beruntung !
Kedua: Hukum Poligami. Poligami adalah satu hukum berstatus mubah (harus) yang sering dianggap menganiaya atau menzalimi kaum wanita. Pandangan masyarakat yang menganggap wanita yang berkongsi suami sebagai berstatus rendah menyebabkan pelaku poligami sering dipandang serong. Jika mereka kelihatan bahagia, sang suami dituduh memakai minyak guna-guna. Jika mereka kelihatan sengsara, bukan bantuan yang dihulurkan sebaliknya sumpah seranah yang dihamburkan. Hakikatnya, poligami mampu menyelesaikan banyak permasalahan yang melanda masyarakat. Berbanding status mistress atau perempuan simpanan yang dianggap hina, poligami mengangkat status wanita kerana semua isteri-isteri dan anak-anak mendapat hak yang sama. Poligami juga adalah jalan keluar kepada lelaki yang memiliki keinginan syahwat yang tinggi terutamanya apabila sang isteri sakit yang mana ia akan dapat mengelakkan lelaki dari terjerumus ke lembah perzinaan. Justeru kasih sayang tidak perlu dileraikan kerana masalah kesihatan dan lelaki dapat memenuhi nalurinya dengan jalan yang diredhai Allah.
Ketiga: Allah menetapkan kaum lelaki sebagai pemimpin atas kaum wanita sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah An-Nisa ayat 34: “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka [laki-laki] atas sebahagian yang lain [wanita], dan kerana mereka [laki-laki] telah menafkahkan sebagian dari harta mereka”. Ia ditunjukkan dengan kedudukan saf wanita di belakang saf lelaki. Rasulullah bersabda: ‘Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.’ [HR Muslim]
Kaum lelaki menjadi qawwam (pemimpin) atas kaum wanita bukan bermakna mereka lebih hebat (superior). Sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kita tidak sepatutnya mempertikaikan hukum Allah atas alasan yang direka-cipta dari logik akal manusia yang mengatakan bahawa kesetaraan (equality) bermakna lelaki dan wanita mesti diatur dengan hukum yang sama dalam semua aspek kehidupan. Sebaliknya, sebagai Mukminat, kita hendaklah menerima suatu hukum seadanya sebagaimana yang dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. [Kerana] bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita [pun] ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” [TMQ An-Nisa (4):32]
“Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” [TMQ An-Nahl (16): 97]
“Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu(adalah keturunan) sebahagian yang lain.” [TMQ Ali Imran(3):195]
Kesimpulan
Allah menciptakan manusia semata-mata untuk beribadah kepada-Nya sebagaimana maksud firman Allah: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”[TMQ Az-Zariyat(51):56]. Penyembahan di sini bukan sekadar melaksanakan ibadah khusus semata-mata sebaliknya berusaha melaksanakan seluruh hukum hakam dalam sebuah negara sebagaimana perintah-Nya: “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya” [TMQ Al-Baqarah (2):208]. Penerapan seluruh hukum-hakam ini akan memastikan keadilan diberikan kepada semua gender sama ada lelaki atau wanita, bangsa, orang dewasa, kanak-kanak, bayi, orang yang berakal waras serta yang kurang siuman. Realiti masa kini yang mana kaum wanita dianggap mangsa diskriminasi sehingga mereka perlukan satu hari khusus untuk menzahirkan perjuangan mereka adalah natijah dari penerapan sistem Kufur yang bermaharajalela di seluruh dunia setelah keruntuhan Daulah Khilafah Uthmaniyyah yang telah dimakamkan oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah pada tanggal 3hb Mac 1924. Realiti masa kini yang mana hanya sebahagian hukum-hakam Islam dilaksanakan tidak boleh dijadikan alasan bahawa hukum-hakam Islam hendaklah dikaji dan ditafsirkan semula supaya ia tidak lagi dianggap menindas kaum wanita.
Justeru, kewujudan Islam dalam sebuah negara (Daulah Islamiyyah) sahajalah yang akan dapat memberi kesejahteraan kepada seluruh ras manusia sama ada lelaki atau wanita, sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam. Kewujudan negara Khilafah ini bukan sahaja membawa kebahagiaan kepada umat Islam di dunia, malah usaha ke arah mendirikannya semula Insyallah akan menjadi amal soleh yang akan memberi kebahagiaan berkekalan di Akhirat kelak.
Wallahu ‘alam.
Potret Kemuliaan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam Junjungan Mulia
Tiada siapa yang mampu menyangkal bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah watak utama yang membentuk peradaban umat ini. Melalui manusia agung ini, sebuah masyarakat baru dilahirkan. Kerananya, umat manusia terselamat dari kehancuran dan mengeluarkan mereka dari sisi kegelapan jahiliyyah menuju cahaya keimanan. Di tangan baginda, ketamadunan manusia dicorakkan; di mana akidahnya yang benar telah terbukti mampu melahirkan revolusi ke arah kebangkitan sebuah negara Islam yang jauh lebih manusiawi dibandingkan tamadun lain yang terbit sebelumnya.
Peranan baginda bukan sekadar seorang Rasul penyampai wahyu dari langit, tetapi juga sebagai ahli politik, pemimpin negara dan Amirul Jihad. Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah pemimpin segala bidang. Baginda pemimpin umat di masjid, di dalam pemerintahan, juga di dalam medan pertempuran. Baginda mengubah jiwa manusia yang biadab menjadi beradab. Beliau juga seorang politikus yang berhasil menyatukan suku-suku bangsa hanya dalam waktu kurang dari seperempat abad. Baginda juga merupakan pemimpin rohani yang mana aktiviti peribadatannya telah menghantarkan jiwa pengikutnya ke alam kelazatan samawiyyah dan keindahan suasana Ilahiyyah.
Betapa watak ini terlalu istimewa di mata umat Islam sehinggakan para sahabat sendiri tidak mampu menggambarkan kemuliaan peribadi baginda Rasul. Ketika seorang Yahudi bertanyakan kepada Khalifah Umar bin al-Khattab radiallahu anhu tentang akhlak Rasulullah, beliau tidak mampu menjawabnya dan menyuruh pemuda tersebut hadir kepada Bilal radiallahu anhu. Soalan yang sama diajukan kepada Bilal, namun persoalannya masih tidak mampu untuk dirungkaikan. Pemuda tersebut segera mendatangi Saidina Ali karamallahu wajhah yang merupakan sepupu, sahabat dan menantu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Soalan yang sama dikemukakan, namun Ali malah bertanya semula kepada pemuda tersebut, “Lukiskan keindahan dunia ini, akan aku gambarkan kepadamu, akhlak Rasulullah!” Pemuda Yahudi menyatakan bahawa beliau tidak mampu untuk melakukannya. Ali kemudiannya menjelaskan, “Kamu tidak mampu melukiskan keindahan dunia ini, padahal Allah Subhanahu wa Taala telah menyaksikan betapa dunia ini sangat kecil melalui firmanNya, “Katakanlah: Keindahan dunia ini sangat kecil” [TMQ An-Nisa’ (4):77]. Ertinya, untuk menggambarkan keindahan dunia yang sangat kecil ini sahaja telah sedemikian sulit, apatah lagi untuk menggambarkan kemuliaan dan keluhuran peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.
Hal yang sama turut diakui oleh Thomas Carlyle melalui tulisan beliau di dalam “On Heroes and Hero Workshop” sebagai berkata, ”Dia (Rasulullah) datang seperti sepercik sinar dari langit yang jatuh ke padang pasir yang tandus, dan kemudiannya meledakkan butir-butir debu menjadi percikan yang membakar angkasa dari Delhi (timur) ke Granada (barat)”. Bahkan Michael Hart menempatkan Rasulullah sebagai manusia paling berpengaruh sepanjang sejarah kehidupan manusia, mengatasi nama-nama hebat seperti Isaac Newton dan Jesus.
Lantaran kedudukan baginda sebagai manusia teragung, maka tidak hairanlah jika kecintaan kepada Baginda merupakan suatu kepastian dan kewajipan kepada setiap umat Muhammad. Ini dijelaskan melalui firman Allah Subhanahu wa Taala: “Demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan” [TMQ An-Nisa (4): 65]
Perkara yang sama turut dilisankan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri: “Tidaklah beriman salah seorang di antara kalian sehingga dia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada orang tua, anak, bahkan manusia seluruhnya” [HR Bukhari bab Hubbur Rasul sallallahu ‘alaihi wasallam minal iimaan]
Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan kepentingan mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sehingga dia dijadikan parameter untuk mengukur kadar keimanan seorang Muslim. Kecintaan ini pula hendaklah melebihi kecintaan seseorang kepada sesiapapun, hatta ahli keluarga, malah dirinya sendiri. Hal ini disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Taala: “Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” [TMQ At-Taubah: 24]
Kesungguhan untuk mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini terpateri kuat dalam peribadi para sahabat. Antara buktinya, adalah suatu kisah yang terakam kemas dalam sejarah sebagaimana yang diceritakan oleh seorang sahabat, Anas bin Malik radiallahu anhu dalam sebuah riwayat.
“Di tengah-tengah berkecamuknya peperangan Uhud, tersebar desas-desus di antara penduduk Madinah bahwa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam terbunuh, sehingga terdengarlah esak tangis di setiap penjuru kota Madinah. Maka keluarlah seorang wanita dari kalangan kaum Ansar dari rumahnya, di tengah-tengah jalan dia telah dikhabarkan bahawa ayahnya, anaknya, suaminya dan saudara kandungnya telah terbunuh di medan perang. Ketika wanita ini meredahi sisa-sisa kancah peperangan, dia melewati beberapa jasad yang bergelimpangan, “Siapakah ini?” tanya beliau “Mereka ialah ayahmu, saudaramu, suamimu dan anakmu!”, jawab orang-orang yang ada di situ. Beliau malah segera menyahut, “Apa yang terjadi kepada Rasulullah?” Mereka menjawab, “Itu ada di depanmu.” Segera beliau bergegas menuju Rasulullah dan menarik bajunya seraya berkata, “Demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak akan mempedulikan (apapun yang menimpa diriku) selama engkau selamat!” [Disebutkan oleh al-Haitsami dalam Majma’ az-Zawaid (VI/115)], dan dia berkata, “Diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam al-Ausath dari syaikhnya Muhammad bin Su’aib dan aku tidak mengenalnya, sedangkan perawi yang lain adalah terpercaya.” [Diriwayatkan pula oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah (II/72, 33)].
Subhanallah! Inilah kisah salah seorang ibu kaum Muslimin, Ummu Saad bin Muadz sehingga membuatkan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menadah tangan berdoa buatnya, “Ya Allah, singkirkanlah kesedihan hati mereka, hiburkanlah mereka kerana musibah yang menimpa mereka dan baguskanlah pengganti bagi orang-orang yang mereka tinggalkan”
HAKIKAT MENCINTAI RASULULLAH SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
Di dalam kitab Min Muqawwimat An-Nafsiyyah Al-Islamiyyah, Al-Azhari menyebutkan, “Erti cinta seorang hamba kepada Allah dan RasulNya adalah dengan mentaati dan mengikut perintah Allah dan RasulNya”. Cinta di dalam ertikata ini ialah kewajipan yang terikat dengan pengamalan syariat yang telah diwajibkan oleh keduanya. Maksudnya, ketika seorang Muslim menyatakan bahawa kecintaannya yang tertinggi adalah terhadap Allah dan RasulNya, dia wajib untuk menzahirkan kecintaannya dengan mentaati seluruh perintah dan menjauhi seluruh larangan keduanya. Hal ini antaranya didasarkan pada firman Allah Subhanahu wa Taala: “Katakanlah, jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam)” [TMQ Ali-Imran (3) :31].
“Apa saja yang telah dibawa oleh Rasul untuk kalian, ambillah, dan apa saja yang dilarangnya atas kalian, maka tinggalkanlah” [TMQ Al-Hasyr (59): 7].
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka.” [TMQ Al-Ahzab(33): 36].
Saidatina A’isyah radiallahu anha ketika ditanya oleh Sa’ad bin Hisyam mengenai peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menjawab, “Sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah Al-Quran” [HR Ahmad]. Perkataan ini berkait rapat dengan ayat 4, Surah Al-Qalam. (“Sesungguhnya, engkau berada di atas khuluq yang agung”). Di dalam Tafsir Jalalayn (1/758) Imam Jalalain menyebutkan bahawa perkataan khuluq di dalam ayat tersebut sebagai deen (agama, jalan hidup). Maka, ayat tersebut membawa maksud, Sesungguhnya engkau (Rasulullah) berada di atas agama/jalan hidup yang agung, iaitu Islam. (Lihat juga, Ibn Katsir, Tafsir Ibn Katsir, 4/403). Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa meneladani Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah dengan cara mengamalkan keseluruhan isi Al-Quran, yang tidak hanya menyangkut aspek ritual dan akhlak semata, tetapi mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia.
Persoalannya kini, bagaimana mungkin ‘kita’ dikatakan mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, tetapi dalam masa yang sama kehidupan kita dipenuhi ajaran yang dibawa oleh kaum Kuffar? Dalam berekonomi ‘kita’ masih meneladani Adam Smith dan David Richardo; dalam politik ‘kita’ merujuk Machievelli dan Mountesque; dalam kehidupan sosial dan perubahan masyarakat, ‘kita’ mencontohi konsep Karl Marx, Lenin dan Stalin; dalam aspek pendidikan dan psikologi ‘kita’ bercermin pada hukum dan prinsip yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud! Atau setidak-tidaknya, disebabkan ketidakpedulian terhadap sistem dan aturan Kufur yang diterapkan hari ini, ramai yang tidak menyedari bahawa kehidupan sehari-harinya tidak dipandu oleh perintah Allah dan RasulNya. Maka, jadilah dia kelompok yang ‘redha’ dengan kekufuran dan hidup hanya untuk memikirkan dirinya sendiri!
Bukankah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda, “Barangsiapa yang bangkit di pagi hari tetapi tidak memikirkan keadaan umat ini, maka dia bukanlah sebahagian dari umatku” [Riwayat Al-Baihaqi dalam “Shuab Al-iman”, At-Thabari, Abu Nuaim dalam hilyah dan Al-hakim]. Bukankah Rasulullah tidak sekadar mengajari kita cara untuk mengucapkan syahadatain serta melaksanakan solat, puasa, zakat dan haji secara benar; tetapi baginda juga mengajarkan bagaimana sepatutnya kita mencari nafkah, melakukan transaksi ekonomi, menjalani kehidupan sosial, pendidikan serta melaksanakan aktiviti politik dan pengaturan masyarakat di samping menerapkan hukum-hukum uqubat kepada pelaku jenayah berdasarkan apa yang disyariatkan oleh Al-Khaliq?
PERANAN MUSLIMAT
Kepungan teknologi moden telah mencorakkan gaya baru yang sebati dalam diri anak-anak pada hari ini tanpa mengira tingkat usia. Kita mendapati terlalu banyak watak idola yang dilahirkan melalui rahim media elektronik dan media cetak yang bercorak hiburan semata. Wabak hedonisme dan wahn telah merasuk umat Islam sehingga tanpa disedari, akidah, pemikiran, perasaan dan gaya hidup mereka lebih condong dipengaruhi oleh masyarakat Sekular-Kapitalis. Di sini, timbul satu persoalan; yang manakah yang lebih melapangkan dada ibu bapa; si anak (i) mencontohi tokoh pujaannya yang memiliki segudang kekurangan, kelemahan dan bergelumang kemaksiatan, atau (ii) apabila si anak meneladani peribadi mulia yang sempurna dan layak menjadi teladan, malah menghimpunkan segala sisi kebaikan?
Suatu realiti yang sangat menyedihkan iaitu apabila manusia yang sepatutnya dijadikan model ikutan bagi umat Islam telah dilupakan atau sekadar dianggap tokoh yang mana kebanyakan ajaran yang dibawanya semata-mata terhad dalam lembaran sejarah. Betapa mereka sudah tidak mengenali satu-satunya manusia yang layak menjadi contoh ikutan dalam seluruh aspek kehidupan iaitu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Betapa sirah Junjungan Besar ini hanya dijadikan sebagai bahan bacaan di sekolah-sekolah, yang hanya sekadar nama atau sekilas biografi baginda sahaja. Malah, jika pun diambil sebagai pedoman, hanya sekadar mencontohi aspek-aspek ibadah dan akhlak baginda Rasul.
Justeru, seorang ibu yang beriman sentiasa mengharapkan kebaikan bagi anak-anaknya. Bukan hanya sebatas kehidupan di dunia, tetapi sehinggalah mereka kembali di hadapan Rabbnya kelak. Dari rahim ibu-ibu yang bertakwa inilah, lahirnya benih-benih khaira ummah yang mendepankan kecintaan kepada Allah dan RasulNya. Ibu yang prihatin akan membekalkan anak-anaknya dengan benteng pertahanan iaitu akidah dan keimanan yang mendalam kepada Allah dan RasulNya.
Seorang ibu yang bijaksana akan sentiasa memerhatikan kecenderungan dan menjaga anak-anaknya agar peribadi dan syakhsiah mereka terbentuk sesuai dengan syariat Islamiyyah. Mereka tidak akan sanggup menyaksikan anak-anaknya bergaya dan berperilaku sebebasnya. Mereka tidak akan sanggup membiarkan generasi muda ini tenggelam dalam arus Sekularisme yang mana segala sisi kehidupannya diatur oleh akal manusia semata-mata dan mengenepikan aturan agamanya sebatas ritual ibadah dan akhlaq yang sempit.
Ibu yang bertanggungjawab akan menyedari tentang peranan mereka sebagai guru pertama dan utama bagi sang anak. Merekalah yang berperanan untuk mendidik dan membimbing anak-anak mereka, bak ranting muda yang mudah ditiup angin ini dengan didikan agama yang terbaik.
Sementara itu, tiada bimbingan dan contoh terbaik untuk diteladani selain dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Maka, ibulah insan terpenting yang berperanan untuk memperkenalkan kepada sang anak terhadap huswatun hasanah ini, sehingga timbullah rasa kecintaan yang mendalam terhadap baginda Rasul. Dari sini jugalah, mereka akan terdorong untuk meneladani baginda, sama ada melalui ucapan, perilaku dan segala hal yang diajarkan oleh baginda Rasul. Sesungguhnya, anak-anak kecil ini perlu didedahkan tentang kewajipan mencintai dan mencontohi peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, sepertimana firman Allah Subhanahu wa Taala dalam al-Quran: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan Allah dan hari akhir serta banyak berzikir kepada Allah” [TMQ Al-Ahzab (33) : 21].
Tanggungjawab mendidik generasi muda agar mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini bukanlah persoalan yang boleh dipandang remeh. Ini kerana, kecintaan kepada Baginda merupakan tanda kesempurnaan iman seseorang. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam mengingatkan tentang hal ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Anas bin Malik radiallahu anhu: “Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kalian sehingga diriku menjadi seorang yang lebih dia cintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia” [HR Bukhari, No 15, dan Muslim No 44]
Jika kita renung sejenak tentang kehidupan anak para sahabat, kita bakal menyaksikan kecintaan mereka yang begitu besar terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Ini semua terjadi kerana didikan para ibu terbaik ketika itu yang memahami dengan sangat jelas tentang hal tersebut. Baginda menjadi seorang manusia yang paling mereka utamakan dan paling berharga dalam kehidupan mereka. Mereka memiliki izzah dengan mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.
Anas bin Malik menuturkan kisah mengenai dirinya: “Seseorang pernah datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bilakah hari Kiamat terjadi?’ Beliau pun bertanya kepadanya, ‘Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapi Hari Kiamat?’ Dia menjawab, ‘Kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya.’ Maka beliau bersabda, ‘Engkau bersama orang yang engkau cintai.’ Anas berkata, ‘Tidak ada sesuatu pun yang menggembirakan kami setelah Islam lebih dari ucapan Nabi: ‘Engkau bersama orang yang engkau cintai’. Aku mencintai Allah, Rasul-Nya, Abu Bakr dan Umar, maka aku pun berharap akan bersama mereka walaupun aku belum beramal seperti amalan mereka.” [HR Al-Bukhari no. 6171 dan Muslim no. 2639]
Perhatikan juga sebuah kisah yang tercatat dalam Ash-Shahihain tentang dua pemuda yang sangat mendalam kecintaannya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Dengan kecintaan itulah yang membangkitkan keberanian mereka dalam Perang Badar untuk membunuh musuh-musuh Allah dan RasulNya yang sebelumnya telah mengganggu dan menyakiti Rasulullah. Kisah ini dituturkan oleh Abdurrahman bin Auf radiallahu anhu yang menyaksikan sendiri perilaku kedua pemuda tersebut: “Ketika aku berdiri di tengah-tengah barisan pasukan dalam Perang Badar, aku melihat ke kiri dan kananku. Ternyata aku berada di antara dua pemuda Ansar yang masih belia umurnya. Aku pun berangan-angan aku lebih kuat daripada keduanya. Lalu salah seorang di antara mereka menggamitku sambil bertanya, “Wahai pakcik, apakah engkau mengenal Abu Jahal?” Aku menjawab, “Ya! Apa perlumu dengan Abu Jahal, wahai anak saudaraku?” Dia berkata, “Aku pernah diberi tahu bahwa dia selalu mencela Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, tidak akan berpisah diriku dengannya sehingga mati salah seorang di antara kami yang paling cepat ajalnya.” Aku pun merasa kagum akan hal itu. Kemudian pemuda yang seorang lagi turut menggamitku dan mengatakan padaku hal yang serupa. Tidak lama setelah mereka bertanya padaku, aku melihat Abu Jahal sedang bergerak ke sana ke mari di antara pasukan. Aku pun berkata pada mereka berdua, “Lihat! Itulah orang yang kalian tanyakan padaku tadi.” Keduanya pun bergegas menyerang Abu Jahal dengan pedang mereka lalu menebasnya hingga berhasil membunuhnya. Setelah itu mereka pergi menghadap Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan memberitakan peristiwa itu pada beliau. “Siapa di antara kalian yang membunuhnya?” tanya beliau. Masing-masing dari keduanya menjawab, “Saya yang membunuhnya!” “Apakah kalian sudah membersihkan pedang kalian?” tanya beliau lagi. “Belum,” jawab mereka. Beliau lalu mengamati kedua pedang mereka, kemudian berkata, “Kalian berdua telah membunuhnya. Sementara barang-barang yang digeledah dari Abu Jahal menjadi milik Mu’adz bin ‘Amr ibnul Jamuh.” Kedua pemuda itu adalah Mu’adz bin ‘Afra` dan Mu’adz bin ‘Amr ibnul Jamuh. [HR. Al-Bukhari no. 3141 dan Muslim no. 1752]
Subhanallah! Betapa hebatnya kecintaan anak-anak muda Islam yang dididik dengan kecintaan yang sangat hebat kepada Nabinya. Ini hanyalah sebahagian kecil dari sekian banyaknya kisah anak para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Mereka mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tidak terbatas dengan melindungi fizikal baginda, malah yang lebih penting dari itu ialah kepatuhan mereka kepada ajaran dan perintah Allah dan RasulNya. Ajaran deen inilah yang diwarisi dan diamalkan walaupun setelah kewafatan Rasulullah. Tiada siapapun yang mampu menafikan peranan Muslimat di sebalik kegemilangan generasi terdahulu. Ibu-ibu seperti Asma binti Abu Bakar, Ummu Sulaim radiallahu anha, Ummu Ruman radiallahu anha, Asma’ binti Yazid dan puluhan lagi sahabiyyah agung telah melakarkan kegemilangan dan anak-anak mereka menjadi bukti betapa tangan-tangan lembut yang menghayun buaian, mampu menggegarkan dunia !
Di sinilah peranan Muslimat sangat vital dalam memastikan syariat Allah dan RasulNya kembali tertegak. Menjalankan peranan sebagai ibu dan pengurus rumahtangga adalah aktiviti yang sangat mulia kerana inilah yang akan menentukan keberhasilan rumah sebagai institusi umat yang pertama dan utama, yang melahirkan anak-anak yang berkualiti sebagai penerus generasi. Peranan ini akan dituntut pertanggungjawabannya di hadapan Allah kelak. Tanggungjawab Muslimat bukan terbatas sebagai ummu wa rabbatul bait semata-mata. Di sisi lain, kewajiban dakwah adalah sama, tidak mengira lelaki atau wanita. Keduanya wajib untuk menyampaikan, menyebarkan dan memperjuangkan Islam agar semakin ramai umat Islam yang menyedari kewajiban menerapkan hukum-hukum Islam.
Dalam keadaan masyarakat yang terperangkap dalam sistem Kufur Sekular-Kapitalis hari ini, Muslimat wajib untuk terjun ke medan dakwah dengan menjawab persoalan-persoalan masyarakat dan memperjuangkan tertegaknya syariat dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dakwah ini ialah dakwah yang bersifat siyasah (politik). Muslimat perlu digerakkan agar dakwah sesama Muslimat mampu membangkitkan pemikiran golongan ini serta sedar dan lebih memahami syariat Islam.
KHATIMAH
Peringatan Maulidur Rasul yang baru berlalu sewajarnya dijadikan momentum kepada umat Islam untuk terus berusaha melahirkan kembali sebuah masyarakat baru. Fakta yang perlu disedari dari kelahiran manusia agung ini ialah peranan baginda dalam membidani kelahiran peradaban dan tamadun terbaik sepanjang sejarah umat manusia. Kegemilangan Islam dirasai di segenap penjuru alam dan ia benar-benar terbukti sebagai rahmatan lil ‘alamin. Aturan-aturan Islam ‘hidup’ dan dibumikan melalui Daulah Khilafah Islamiyyah yang diasaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.
Semenjak awal perjuangan dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, kaum Muslimat telah mempersembahkan sumbangan yang sangat besar dalam mencetak generasi sahabat yang terbaik. Mereka menukilkan kisah-kisah tersendiri yang kekal terpahat dengan tinta emas sepanjang zaman. Mudah-mudahan kita mampu untuk meneladani wanita-wanita terbaik ini, sehinggalah janji Allah Subhanahu wa Taala terhadap umat ini akan kita nikmati.
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik [TMQ An-Nur (24):55].
Wallahu a’lam bishawab.
Wanita Dalam Zaman Moden
Wanita Muslimah menjadi sasaran propaganda kejam negara-negara kufur Kapitalis Barat. Mereka ingin mengeluarkan Muslimah dari kesuciannya dan hubungan sucinya dengan pihak lelaki untuk menjadi barang dagangan dan tempat memuaskan nafsu syahwat semata-mata. Sesungguhnya propaganda ini telah lama bermula sejak mereka mula menyerang umat dan usaha mereka semakin meningkat akhir-akhir ini, terutamanya selepas peristiwa 9/11. Bagaimanakah masyarakat dunia sebelum Islam dan zaman moden memandang wanita? Apakah perancangan Amerika Syarikat dan sekutunya, iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam isu ini?… Inilah yang akan kami jelaskan InsyaAllah Ta’ala.
Pada awal era tersebut hingga sebelum runtuhnya daulah Khilafah pada tahun 1924 Masehi, kaum wanita Muslimah hidup dalam naungan hukum-hukum syarak yang memuliakan dan meninggikan kedudukannya. Mereka dipandang dengan pandangan yang mulia.
Sementara wanita bukan Islam sama ada di Barat atau Timur, kedudukan mereka berbeza mengikut perbezaan agama, sistem dan adat yang mendominasi mereka. Wanita di Eropah adalah berbeza dengan wanita di Asia Tenggara, Afrika, Australia atau Amerika Latin.
Di Eropah, kaum wanita di beri beberapa hak dan keistimewaan, tetapi ia kurang dari lelaki. Di sana terdapat jurang yang nyata antara lelaki dan wanita. Kaum lelaki menguasai segalanya di bawah naungan kerajaan peninggalan agama Nasrani yang tunduk kepada kekuasaan Gereja. Keutamaan mereka adalah mempertahankan institusi raja-raja lebih daripada memelihara hak wanita atau lelaki. Keadaan wanita adalah seperti lelaki yang perlu berusaha untuk mendapatkan keredhaan gereja dan orang yang bertanggungjawab ke atasnya. Mereka melihat kaum wanita ini dengan pandangan yang rendah dan hina.
Keadaan terus berlangsung demikian sehingga Kapitalisme mencetuskan revolusi industri. Maka mulailah para Kapitalis menyerukan pembelaan hak-hak wanita.
Manakala wanita di belahan dunia yang lain berada dalam keadaan yang lebih teruk dari keadaan wanita di Eropah. Di Afrika wanita adalah hina dan ia dipandang dengan pandangan yang rendah dan mereka boleh diperhambakan. Lalu dijual dan dibeli untuk bekerja dalam satu-satu pekerjaan sama ada di rumah, ladang atau sebagainya. Di negara yang lain pula keadaan wanita sama dengan keadaan di Afrika kecuali isu hamba abdi.
Sementara wanita Muslimah sebelum runtuhnya Khilafah berada pada kedudukan yang baik, memiliki hak dan penghormatan yang lebih banyak. Ini menyebabkan mereka berhadapan dengan dengki dan ancaman tipudaya Barat yang menghendaki keburukan untuk mereka. Berlakulah usaha untuk merosakkan wanita Muslimah kerana ia akan membawa kerosakan kepada seluruh masyarakat Islam. Barat menyedari bahawa merosakkan wanita tidak akan berjaya melainkan dengan menggoncang pegangannya dan iltizamnya kepada hukum-hukum syarak yang dikhususkan untuk wanita. Dengan demikian mudahlah menjauhkan mereka dari kemuliaan dan melemparkan mereka kepada kehinaan. Barat mengkaji dengan bersungguh-sungguh untuk mencari cara yang dapat merealisasikan hal tersebut dan menyampaikan kepada munculnya seruan kepada persamaan antara lelaki dan wanita. Barat juga telah mendorong mereka untuk menuntut hak-hak mereka. Percubaan pertama telah dilakukan ketika Napoleon Bonaparte menakluki Mesir pada tahun 1798 Masehi. Beliau berusaha untuk menggesa Muslimat menentang sistem yang diterapkan ke atas mereka iaitu Islam. Pada era Muhammad Ali al-Kabir dan para penggantinya, Daulah terbuka kepada Barat. Beberapa utusan dikirim ke Eropah. Ruang pengutusan misionaris juga terbuka untuk memasuki negara yang berada di bawah pemerintahannya. Kaum Nasrani menguasai kawasan Syam dalam kesempatan ini dengan pertolongan para misionaris tersebut. Mereka bergerak cergas dalam bidang kewartawanan dan kesenian termasuklah di Lubnan dan Mesir. Perhatian yang lebih diberikan kepada Mesir dengan menempatkan isu wanita di sana sebagai isu yang besar oleh pihak Barat. Mereka mengerah segenap upaya di sana dan menggunakan semua teknik yang keji untuk merealisasikan tujuan-tujuan mereka. Di sana, mereka mewujudkan semua perkara yang dapat merosakkan manusia bahkan mereka menyebarkan keburukan mereka melalui filem dan drama seks bersiri dan sebagainya. Ia menyebabkan tersebarnya kekejian di banyak negara di dunia Islam. Di Mesir, Qasim Amin membuka pintu seruan yang keliru yang mengajak kepada pembebasan wanita yang disahut oleh orang-orang yang berkepentingan. Mereka membuka sekolah-sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan demikian juga tersebarnya sekolah-sekolah asing di Mesir. Pada awalnya orang-orang kaya dan para pemerintah menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah ini kerana menginginkan anak-anak mereka mengikut orang Barat. Selanjutnya ia diikuti oleh masyarakat umum yang lainnya.
Di samping itu, Barat menjaga usaha untuk merosakkan wanita Muslimah dan menunjuk-nunjuk dengan seruan pembebasan mereka, sesungguhnya di tempat lain di dunia ini, iaitu di negara bukan Islam sejak kedatangan ideologi Kapitalisme mula berusaha untuk mendapatkan hak-hak mereka dengan dorongan dari seruan-seruan yang jelas menuntut keadilan dan pembebasan mereka dari penguasaan gereja dan kaum lelaki. Ramai sejarawan yang melaporkan bahawa pada tahun 1792 Masehi adalah permulaan gerakan wanita Eropah, iaitu merupakan tahun tersebarnya buku (Mary Wilson) di British yang bertajuk “Mempertahankan hak-hak wanita” yang mendapat sambutan kaum wanita di banyak negara Eropah.
Pada tahun 1859 Masehi telah diterbitkan buku “Asal-usul Spesis” oleh Darwin dan disebarkan di dalamnya teori mengenai evolusi yang menggugat akidah Nasrani yang mengatakan bahawa benda-benda adalah tetap dan tidak berubah. Darwin datang dengan mengatakan: “Di sana tidak terdapat tujuan yang tetap pada benda-benda dan bahawasanya manusia wujud sebagai hasil daripada proses evolusi yang lambat yang mengambil masa jutaan tahun”. Darwin juga menyentuh mengenai institusi keluarga dengan berkata: “Keluarga dengan konsepnya yang lama adalah sesuatu yang indah pada masa lalu dan munasabah untuk peringkat tertentu dari evolusi, dan konsep ini tidak penting lagi pada hari ini dan tidak juga indah, bahkan tidaklah penting untuk adanya keluarga secara mutlak kerana keperluan-keperluan masyarakatlah yang membentuk keluarga.”
50 tahun selepas Darwin, muncul orang yang lebih ekstrim iaitu seorang Yahudi (Sigmund Freud) yang mengatakan “Seks adalah segalanya dan segalanya datang dari seks.” Orang yang mempunyai dua jantina digalakkan agar keluar dari kongkongan yang dipaksakan ke atas mereka. Dia menyeru mereka agar mempraktikkan pemuasan seks. Lalu terbitlah buku-buku mengenai seks dan syair-syair yang disusun supaya pembaca menikmati nafsu seks dan muncullah lakonan dan pementasan yang mengeksploitasi tubuh wanita dan kewanitaannya yang mewujudkan suasana baru bagi wanita di Eropah.
Keadaan baru ini telah terefleksi pada undang-undang yang diterapkan di negara-negara Barat dan yang dahulunya terdapat kekangan terutamanya yang melibatkan wanita. Mereka mula mengadakan seminar-seminar untuk mengkaji undang-undang ini dan mengubahnya sehingga undang-undang mereka yang baru kosong dari sebarang nilai spiritual atau akhlak mahupun kemanusiaan. Kebahagiaan menurut mereka adalah mendapatkan setinggi-tinggi kepuasan jasmani yang antaranya adalah menikmati seks. Wanita menjadi tidak mempunyai nilai jika mereka hodoh, menderita penyakit, tidak berupaya atau telah tua. Nilai wanita terletak pada umurnya yang muda, kecantikannya serta daya tarikan seksualnya. Mereka mula mengamalkan kebebasan individu. Melepaskan diri dari ikatan kekeluargaan ataupun ikatan yang lain, lalu amalan yang rendah dan hina itu diiktiraf oleh undang-undang. Mereka memuaskan nafsu di rumah-rumah murah yang dilindungi oleh polis dan undang-undang. Mereka meminta bangsa dunia untuk mengikut amalan mereka dan mula memasarkan kebebasan ini kepada sebahagian besar bangsa di dunia dengan nama demokrasi, khususnya kepada bangsa yang dijajah di dunia Islam. Mereka melihat Mesir dengan serius kerana kepentingannya dan bahaya kedudukan geografinya kerana ia bersambung dengan negara Syam di satu sempadan dan Sudan dan beberapa negara Utara Afrika di sebelah yang lain. Ia juga mempunyai pengaruh ke atas seluruh umat Islam. Oleh yang demikian, ketika British menjajah Mesir, mereka memberi perhatian khusus terhadap isu wanita, antaranya mereka boleh merosakkan wilayah negara Islam melalui filem-filem wayang dan pementasan, nyanyian dan buku-buku yang memasuki setiap rumah. Sempurnalah usaha mereka untuk merosakkan wanita di negara ini oleh mereka yang digelar reformis dari kalangan para pemikir dan sasterawan yang menyambut seruan yang sesat ini di atas nama pembebasan wanita.
Pegawai British di Mesir (Lord Kromer) telah menyatakan sejauh mana keprihatinan Inggeris terhadap wanita Muslimah ketika dia mengatakan dalam laporannya yang ditujukan kepada ahli politik Britain: “Sesungguhnya situasi wanita di Mesir dan di negara Islam adalah halangan terhadap usaha meninggikan tahap pemikiran dan personaliti, yang perlu untuk membantu masuknya tamadun Barat ke dalam negara umat Islam. Jika tamadun ini mahu memperolehi faedah yang sebaik mungkin maka di hadapan kita tiada lain melainkan program pendidikan terhadap wanita”, Beliau (Lord Kromer) perintis terhadap perubahan wanita Mesir. Pada tahun 1898 Masehi beliau menulis: “Sesungguhnya lambatnya kemajuan (Mesir) adalah disebabkan pandangan umum yang menyebabkan tidak wujud kepedulian yang serius terhadap pendidikan anak perempuan.”
Kemudian dia kembali semula pada tahun 1900 Masehi dan menulis: “Sesungguhnya perubahan terhadap pandangan umum rakyat Mesir dalam tahun-tahun lalu terutamanya isu pendidikan wanita merupakan sesuatu yang menarik perhatian.” Oleh yang demikian, kita dapati orang Inggeris telah membuka pintu kepada para misionaris untuk membuka sekolah-sekolah asing di Mesir, yang jumlahnya mencapai lebih dari 50 sekolah pada tahun 1892 Masehi. Selepas itu dibuka pula sekolah-sekolah swasta yang jumlahnya mencapai 40 buah sekolah. Pelajar wanita keluaran sekolah ini telah menguasai kemahiran pendidikan dan pembelajaran dengan asas-asas Barat. Sebahagian mereka memasuki universiti-universiti asing supaya apabila kembali ke Mesir akan membawa pemikiran dan peradaban Barat yang menentang agama dan nilai-nilai utamanya. Maka pada tahun 1919 Masehi, para penunjuk perasaan wanita telah keluar mengelilingi jalan-jalan Kaherah yang menuntut pegawai British agar memberikan wanita Mesir kebebasannya. Jumlah penunjuk perasaan adalah 300 orang yang diketuai oleh Safiyyah Zaghlul isteri kepada Sa’ad Zaghlul dan Huda Sya’rawi isteri kepada Sya’rawi Basya.
Melihat kepada kepentingan media maka tidak terhadlah aktiviti pengutusan dengan membina sekolah-sekolah untuk anak-anak perempuan bahkan muncul keperihatinan untuk menerbitkan akhbar dan majalah yang khusus mengenai wanita yang penyebarannya ditujukan secara meluas kepada kaum wanita terutamanya keluaran dari sekolah-sekolah asing. Kebanyakan penyelia akhbar dan majalah ini dari kalangan Nasrani Lubnan. Dan sekitar tahun 1892-1906 mereka telah berjaya menerbitkan lapan majalah wanita seperti Majallah al-Fatat, al-Firdaus, al-Hasna’, az-Zahrah, Fatat as-Syarq, Anis al-Jalis dan sebagainya.
Ada juga majalah yang diterbitkan mengenai wanita bukan muslim di Lubnan dan Turki. Tujuan majalah ini semuanya adalah sangat jelas iaitu menjauhkan wanita Muslimah dari nilai-nilai agamanya dan pendidikannya. Barat telah berjaya dalam merealisasikan tujuan ini sehingga ke tahap tertentu. Para pemerintah yang dilantik oleh Barat di negara-negara umat Islam mentaati pimpinan mereka dan menyumbang kepada kerosakan para pemuda-pemudi kaum muslimin, lalu mereka mewujudkan persatuan yang bercampur-aduk antara lelaki dan wanita termasuk di pejabat-pejabat kerajaan.
Sementara itu wanita Barat, situasi mereka pada zaman moden nampak secara zahirnya elok di hadapan orang yang tidak mengetahui hakikat hidup mereka sebenarnya. Zaman revolusi industri telah membawa mereka keluar dari rumah untuk bekerja, dan membebaskan diri dari penguasaan lelaki. Mereka menganggap bahawa ikatan asas bagi wanita dengan lelaki adalah keperluan materialnya kepada lelaki, lalu membolehkannya bekerja dan memperolehi pendapatan yang membolehkannya memutuskan ikatan dengan lelaki. Ini memberi peluang dan memudahkan mereka untuk melepaskan diri dari kehidupan berkeluarga dan dunia perkahwinan. Ini bersesuaian dengan ideologi Kapitalisme yang berdiri di atas empat asas kebebasan itu dan yang paling menonjol adalah kebebasan individu.
Wanita Barat telah diberikan kesempatan untuk menyertai lelaki dalam semua perkara dan mempunyai hubungan seksual tanpa ikatan mahupun batasan. Dalam BBC NEWS edisi internet pada 13/6/2002 telah dikeluarkan kajian bagi Majalah Top Sante yang dilakukan terhadap responden yang terdiri daripada 5 ribu wanita bekerja. Hasilnya 28% daripada mereka melakukan hubungan seksual dengan teman-teman lelaki mereka di tempat kerja dan ¾ responden terdedah kepada gangguan seksual oleh teman sekerja lelaki. Lima dari responden bersedia untuk melakukan hubungan seks dengan ketua-ketua mereka di tempat kerja demi untuk merealisasikan impian mereka dalam jawatan. Natijah dari hubungan-hubungan seksual di luar rumahtangga, dan dari kesibukan wanita di tempat kerja untuk memperolehi sesuap nasi telah mendedahkan wanita kepada gejala pengguguran anak. Sebagai contoh, kes pengguguran anak di Amerika Syarikat dari tahun 1973 hingga 1998 Masehi telah mencatatkan lebih dari 38 juta kes.
Pandangan terhadap wanita telah menjadi pandangan manfaat seksual semata-mata. Wanita dan gambar-gambar telanjangnya telah muncul di kaca-kaca televisyen, iklan-iklan perniagaan, tempat-tempat membeli-belah dan tempat-tempat hiburan yang menawarkan hiburan yang diharamkan, arak, kelab-kelab perjudian dan rumah-rumah pelacuran. Ini membawa kepada munculnya banyak masalah sosial yang bahaya di Barat. Antaranya tersebarnya ibu-ibu tunggal tanpa nikah dan anak-anak luar nikah yang nisbah mereka di salah sebuah negara Barat berjumlah 50% daripada jumlah penduduk. Demikian juga menularnya penyakit kelamin yang bahaya yang terhasil dari perlakuan seks di luar institusi perkahwinan seperti: penyakit AIDS, Herpes, Gonorrhea dan sebagainya. Setiap gadis dan teruna mempunyai pasangan, demikian juga anak perempuan yang suci yang tinggal di rumah menjaga kesucian dan kegadisannya merupakan satu perkara yang jarang lagi berlaku. Tersebar dalam kalangan mereka pencabulan, tekanan dan keganasan keluarga serta sumbang mahram. Di sesetengah negara digubal undang-undang yang membenarkan seks luar tabii seperti liwat dan homoseksual dan perkahwinan sama jenis antara dua lelaki atau wanita diiktiraf. Ditambah pula dari semua itu isteri menjadi seperti suami yang bertanggungjawab terhadap keluarga – ini jika ia memiliki keluarga- di luar rumah seperti menjamin nafkah dan menghantar anak-anak dan suami ke sekolah dan tempat-tempat kerja di samping tugasnya di dalam rumah. Maka adakah ini hak-hak dan syariat yang mereka serukan? Dan mereka mahu pasarkan di kalangan umat Islam?!
Bersama tersebarnya keruntuhan akhlak dan meluasnya hubungan seksual yang keliru berbanding hubungan yang benar antara lelaki dan wanita di Barat, telah muncul pula kesedaran kebangkitan di atas asas Islam dalam negara umat Islam. Seruan agar kembali kepada agama Islam serta beriltizam dengan hukum-hakamnya mula menggema dan menjadi fenomena umum di dunia Islam yang menyebabkan kemarahan Kuffar dan bertambahnya umat Islam. Lalu mereka kembali kepada gerakan mereka yang awal dahulu iaitu memperdaya Islam dengan dakwaan pembebasan wanita Muslimah dari ikatan mereka dan persamaan hak dengan lelaki. Amerika Syarikat mengetuai mereka menanam pemikiran ini dengan segenap kekuatan, kuasa dan cara-cara yang mereka miliki berupa cara yang menarik mahupun menakutkan. Mereka terbahagi kepada dua pihak, berpegang kepada dua arah yang terpecah tugas dalam memberi perhatian kepada hal-ehwal wanita Muslimah dan kedua-dua arah tersebut adalah: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai persatuannya dan Amerika Syarikat sendiri, sebagai pembawa panji sekular dan demokrasi.
[Bersambung]
(Al-Wai’e. Bil. 227. Tahun ke-20. Zulhijjah 1426 H)