Firaun-Firaun Zaman Kini

 
Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka menjadikan para pendeta dan para rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah…”.(TMQ at-Taubah [9]: 31).

Imam Asy-Syaukani dalam tafsirnya menyatakan bahawa,

“Sesungguhnya mereka mentaati para pendeta/rahib mereka terhadap perintah dan larangan mereka. Para pendeta/rahib itu diletakkan pada kedudukan sebagai ‘tuhan-tuhan’ kerana mereka ditaati sebagaimana tuhan ditaati.” (Asy-Syaukani, II/452).

Penjelasan yang sama telah dinyatakan oleh Hudzaifah bin al-Yamani, Ibnu Abbas (As-Suyuthi, III/354-355) termasuk juga ath-Thabari, az-Zamakh-syari, ar-Razi, al-Alusi, Ibnu Katsir, al-Baghawi, Ibnu ‘Athiyah, al-Khazin dan Ibnu Juzyi al-Kalbi dalam kitab-kitab tafsir mereka.

Pengertian dan pemahaman ayat di atas adalah sesuai dengan penjelasan yang diberikan oleh terhadap Rasulullah SAW kepada Adi Bin Hatim. Dalam kes tersebut, Adi bin Hatim (yang  ketika itu sebagai seorang Nasrani) telah berkata,

“Aku pernah datang berjumpa Rasulullah dengan memakai rantai salib yang diperbuat daripada perak di leherku. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Adi, lemparkanlah patung itu daripada lehermu!”. Kemudian aku melemparkannya. Setelah itu, beliau membacakan ayat: Ittakhadzû ahbârahum wa ruhbânahum min dûni Allâh…(hingga akhir ayat). Aku berkata, ‘Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka (pendeta dan rahib)’. Lalu Rasul membantah, ‘Bukankah para pendeta dan rahib itu mengharamkan apa yang telah Allah halalkan, lalu kalian mengharamkannya. Mereka juga menghalalkan apa yang telah Allah haramkan, lalu kalian menghalalkannya?’ . Aku menjawab, ‘Memang benar.’ Beliau bersabda, ‘Itulah bentuk penyembahan kalian kepada para pendeta dan para rahib kalian.’”
(HR ath-Thabrani daripada Adi Bin Hatim).

Dengan mendalami ayat Quran tersebut bersama-sama dengan penafsiran melalui riwayat hadis di atas, kemudian dihubungkaitkan dengan realiti para pembuat hukum yang ada pada hari ini, kita dapat menyimpulkan bahawa ‘tuhan-tuhan’ selain Allah itu kini bukan hanya terdiri daripada para pendeta/rahib Yahudi dan Nasrani semata-mata, tetapi turut terdiri daripada wakil-wakil rakyat, penguasa dan orang-orang yang terlibat dengan pembuatan hukum selain daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Secara tidak langsung, ayat ini sebenarnya menegaskan tentang keharaman dalam melakukan perbuatan ‘syirik’ (menyekutukan Allah) dengan cara menjadikan manusia (para rahib dan pendeta) sebagai tandingan bagi Allah (sebagai ‘tuhan-tuhan’ selain Allah).

Dalam konteks akidah, syirik termasuk dalam kategori dosa besar di mana ia merupakan dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT (rujuk surah an-Nisa’, ayat 48). Jika perbuatan mempertuhankan pihak lain selain daripada Allah dianggap sebagai syirik dan pelakunya mendapat dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT, bagaimanakah pula dengan sikap mempertuhankan diri sendiri sepertimana yang dilakukan oleh Fir’aun?

Sebagai Tuhan, Dia adalah zat yang wajib untuk disembah dan yang memiliki hak untuk membuat hukum. Firaun pada masa lalu telah mengisytiharkan dirinya sebagai ‘tuhan’ dan mengambil alih peranan tersebut. Bagaimana pula dengan para wakil rakyat dan para penguasa dalam sistem demokrasi pada zaman ini yang mana secara jelas mereka dianggap sebagai satu-satunya pihak yang memiliki autoriti dalam membuat segala hukum? Mereka pada hakikatnya adalah sama dengan ‘tuhan-tuhan’ selain Allah, atau dengan kata lain mereka adalah firaun-firaun masa kini.

Secara zahirnya mereka memang tidak disembah oleh manusia. Namun, jika kita merujuk makna  penyembahan sepertimana yang ditegaskan oleh Nabi SAW terhadap Adi bin Hatim dalam hadis di atas sebagai mentaati seluruh hukum-hukum buatan manusia, maka para wakil rakyat (termasuk para penguasa) juga merupakan ‘tuhan-tuhan’ yang disembah oleh manusia. Ini adalah kerana dalam sistem demokrasi, hukum-hukum yang mereka buat di Parlimen adalah wajib untuk ditaati oleh seluruh rakyat yang telah memilih dan mengangkat mereka sebagai wakil dan penguasa.

Betapa besarnya dosa mereka yang selama ini merasa diri mereka memiliki autoriti dalam membuat hukum yang wajib untuk ditaati oleh masyarakat. Hukum-hukum yang mereka buat langsung tidak bersumberkan daripada Allah SWT. Hukum-hukum Allah tidak pernah mereka bahaskan (berdasarkan nas), jauh sekali untuk ingin menerapkannya. Alangkah biadapnya mereka terhadap Allah SWT kerana berani membuat hukum-hukum sendiri. Sedangkan Allah SWT sahajalah Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Berkuasa yang telah menetapkan seluruh hukum-hukum bagi makhluk-makhlukNya dan hanya  Dialah satu-satunya yang berhak untuk membuat hukum, bukannya mereka (rujuk surah Yusuf ayat 40).

Masihkah umat ini ingin terus mempertahankan sistem demokrasi yang secara jelas menghasilkan tuhan-tuhan palsu yang kemudian mereka taati seluruh hukum-hukum ciptaan mereka?! Mudah-mudahan Allah menjauhi dan melindungi kita semua daripada segala kesyirikan dan kejahatan. Wallahua’lam.