Gaji minimum, harga maksimum!

“Jika boleh, kami akan laksanakan,” kata Abdullah mengenai gaji minimum

KUALA LUMPUR 3 Mei — Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa terkejut dengan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan demonstrasi di depan bangunan Parlimen pada Rabu mengenai isu gaji minimum RM1,200.

Abdullah berkata, MTUC boleh mengadakan sehingga 100 demonstrasi jika itu yang mereka mahu lakukan t

etapi jika kerajaan tidak dapat melaksanakan apa yang dituntut mereka, ia sememangnya tidak dapat dilaksanakan. Beliau berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab yang mahukan sebuah negara yang berjaya, kerajaan mempunyai sebab untuk menangguhkannya dan tidak membuat pengumuman popular. “Saya pun tak tahu (kenapa) pendekatan ini digunakan seolah-olah kita tak peduli. Bukan senang kita nak (buat keputusan).

Kita telah mengkaji isu ini dengan mendalam. “Apa sahaja yang dapat dilakukan dengan segera dan jika ianya baik, pasti kita akan lakukan. Tetapi jika kita berasa sangsi untuk memperkenalkannya sekarang, kita tidak dapat berbuat demikian. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 3/5/08

Ulasan:

Adalah merupakan suatu yang amat menyedihkan apabila kaum Muslimin yang telah dianugerahkan dengan Islam, gagal melihat Deen Allah ini sebagai penyelesaian bagi segenap masalah kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi di saat ini – tatkala negara mengalami krisis kenaikan harga bahan makanan yang semakin meruncing. Yang pasti, krisis ini merupakan justifikasi bagi golongan pekerja untuk menuntut kenaikan gaji dari pihak kerajaan. Tekanan ke atas kerajaan ini bukan sekadar datang dari kelompok pekerja sahaja, malah pihak pembangkang juga turut menggunakan kesempatan ini dengan menabur janji menaikkan gaji minimum sehingga RM 1,500.

Hakikatnya, dalam sistem kapitalis yang busuk ini, meskipun gaji minimum dapat dinaikkan setinggi-tingginya, kesejahteraan rakyat masih belum terjamin. Sistem kapitalis menjadikan harga sebagai alat untuk pengagihan, justru, menaikkan gaji atau menetapkan gaji minimum yang tinggi akan hanya menyebabkan harga barangan terus meningkat seiring dengan kenaikan gaji ini. Apa tidaknya, dengan gaji yang lebih tinggi, permintaan terhadap barang keperluan yang mampu dibeli menjadi semakin bertambah. Secara umumnya, ini akan menyebabkan harga barangan semakin meningkat dan akibatnya, kuasa membeli pekerja ini kembali kepada keadaan sebelum gaji dinaikkan. Ketika itu, kemampuan pekerja untuk membeli barangan yang diperlukan tadi sudah mula menghilang. Situasi unik ini berlaku hanya dalam sistem ekonomi kapitalis yang menjadikan harga sebagai alat untuk menentukan siapa yang berhak mendapatkan barangan keperluan. Kaedah pengagihan yang buruk inilah yang sebenarnya memberikan tekanan ke atas sebahagian kelompok pekerja. Dengan gaji rendah, ditolak dengan kos untuk ke tempat kerja, hutang rumah, kereta dan bil utiliti, berapa ringgit lagikah yang tinggal untuk keperluan makanan keluarga?

Wahai mereka yang memegang kekuasaan! Kalian sendiri tahu bahawa kalian kini berada di dalam dilema akibat dari sistem kufur yang kalian terapkan. Kalian bimbang jika gaji dinaikkan, pelbagai masalah akan timbul, antaranya kos buruh negara akan meningkat dan ini akan menyebabkan pelabur asing mencari negara lain untuk melabur. Kalian bingung ketika berhadapan dengan masalah ini, namun kalian tidak pula pernah berpaling kepada Islam untuk menyelesaikannya. Malah lebih buruk, kalian palingkan muka kalian dari Islam dan kalian rangkul penyelesaian kufur yang pastinya akan membawa lebih banyak kerosakan.

Islam menjamin keperluan rakyatnya dengan menyediakan peluang pekerjaan untuk setiap rakyat yang mampu bekerja. Islam meringankan beban rakyat dengan menjamin hak setiap individu rakyat dalam mendapatkan keperluan asas – makanan, pakaian dan tempat tinggal. Selain itu, hak-hak masyarakat seperti pendidikan, kesihatan dan lain-lain juga dijamin oleh Islam. Selain dari itu, hukum pekerjaan di dalam Islam akan memastikan bahawa setiap pekerja akan mendapat hak mereka yang sewajarnya. Jaminan-jaminan ini secara pasti akan melepaskan setiap individu rakyat, tidak kira dari golongan pekerja mahupun tidak, dari tekanan-tekanan kehidupan yang kini di alami oleh para pekerja yang terpaksa tunduk di bawah sistem kapitalis yang kejam ini.