Ganjaran Untuk Hal Yang Sia-sia

harimau-mudaHabuan RM30,000 buat pemain Harimau Muda
PETALING JAYA – Selepas skuad bola sepak berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA dengan penuh dramatik menumpaskan Indonesia di hadapan 100,000 penyokong fanatik Garuda, kejayaan mereka telah mendapat pengiktirafan daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

Sultan Ahmad yang berasa bangga akan kemenangan tersebut menitahkan akan memberi ganjaran sebanyak RM30,000 bagi setiap pemain dan pegawai yang telah berjuang mengharumkan nama negara sehingga berjaya meraih emas dua kali berturut-turut.

Pengumuman itu telah disampaikan oleh pengurus pasukan bola sepak negara ke Sukan SEA XXVI Indonesia yang juga Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Wisma FAM pada sidang media mengenai Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, semalam.

”Tuanku selaku Presiden FAM akan memberi sumbangan peribadi RM30,000 bagi setiap pemain dan pegawai yang memenangi pingat emas Sukan SEA pada perlawanan akhir.

”Ganjaran ini bukannya datang dari FAM tetapi merupakan daripada tuanku sendiri yang amat berbesar hati melihat kejayaan pasukan negara.

”Tuanku juga sedia maklum yang kejayaan kali ini berlainan yang kita capai dua tahun lalu semasa era Datuk K. Rajagobal selaku jurulatih dan Datuk Subahan Kamal (pengurus) kerana ini menunjukkan pembangunan bola sepak sedang berterusan.

”Bukan itu sahaja, kejayaan ini membuktikan pingat emas yang kita menangi dua tahun lalu bukan atas faktor nasib semata-mata malahan skuad kali ini tidak pernah tewas sepanjang saingan Sukan SEA dan paling manis di samping meraih emas di Stadium Gelora Bung Karno,” katanya pada sidang media.

Skuad Harimau Muda berjaya mendiamkan 100,000 penyokong setia Indonesia apabila sepakan penalti terakhir ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar mencecah jaring bagi memastikan ibu segala pingat emas menjadi milik Malaysia.

Selain daripada mendapat ganjaran RM30,000, anak-anak buah Ong Kim Swee juga menerima satu lagi perkhabaran gembira apabila mereka semua akan diterbangkan ke Sydney, Australia pada pertengahan bulan Disember ini.

”Bagi meneruskan kesinambungan kejayaan, tuanku juga bersetuju agar membawa skuad Harimau Muda dibawa menjalani latihan luar negara dan pilihan kali ini adalah di Australia.

”Mereka akan berada di sana selama dua minggu dan menjalani perlawanan persahabatan dengan sekurang-kurangnya tiga kelab elit Liga Australia

”Cadangan ini juga mendapat sokongan penuh daripada MSN (Majlis Sukan Negara),” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia 23/11/11

Ganjaran Untuk Hal  Yang Sia-sia

Perlawanan akhir bola sepak sukan sea edisi 2011 telah berakhir yang telah dimenangi oleh pasukan Malaysia selaku juara bertahan edisi yang lalu. Bagi penyokong fanatik Negara Malaysia, sudah tentunya akan bersorak gembira meraikan kemenangan ke atas musuh tradisinya, Indonesia. Bagi penyokong fanatik Indonesia pula, kekecewaan yang besar sudah tentunya menyelibungi Negara Garuda tersebut. Mungkin jika kalah kepada pasukan lain, tidaklah terlalu kecewa. Tetapi kekalahan kali ini sudah tentunya sukar diterima, kerana kalah kepada musuh tradisi.

Dari peristiwa ini, kita dapat melihat betapa racun ashobiyyah, khususnya yang melibatkan acara sukan sukar dibendung. Ditambah dengan penglibatan Negara masing-masing yang memainkan peranan besar menanamkan semangat nasionalisme ini. Padahal Assobiyyah sudah jelas keharamannya berdasarkan sabda Nabi saw:

“Bukanlah dari kalangan kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”
[HR Abu Dawud].

Jika keharaman assobiyyah ini telah jelas hukumnya, maka segala jalan yang membawa kepadanya juga adalah haram. Ini berdasarkan kaedah syarak yang berbunyi, “Sebarang wasilah yang membawa kepada keharaman, maka ia adalah haram”. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [TMQ Al- Isra (17):  27]

Imam asy-Syafie telah mendefinasikan pembaziran itu dengan pengertian “membelanjakan harta bukan pada jalan kebenaran”

Menurut Imam at-Thabari berkaitan isu membazir ini, menghambur-hamburkan harta di jalan kemaksiatan kepada Allah adalah wali-wali syaitan.

Pandangan 2 Imam yang mukhtabar ini boleh disimpulkan bahawa definisi pembaziran itu ialah membelanjakan harta pada kemaksiatan kepada Allah, kepada perbuatan atau transaksi haram dan untuk kerosakan.

Alangkah baiknya jika wang ribuan dan jutaan ringgit tersebut dibelanjakan untuk perkara-perkara yang makruf. Bukankah masih ramai lagi orang yang fakir dan miskin untuk dibantu. Bukankah masih banyak lagi infrastruktur perlu diperbaiki dan dibaikpulih oleh pemerintah. Dan yang paling penting, alangkah mulianya jika wang tersebut dibelanjakan untuk meninggikan syiar Islam.