Gaza Dan Hilangnya Keutamaan Ulama

palestine-occupationHari itu adalah hari ke 29 Ramadhan, tahun 1099. Sedang umat Islam berkumpul untuk bersembahyang di dalam masjid utama di Baghdad, tiba-tiba pintu terbuka dan seorang lelaki yang kelihatan datang dari perjalanan yang jauh menerpa masuk. Berdiri di tengah-tengah dewan solat, dia mula makan di hadapan khalayak ramai. Kesalahan telah dilakukan, tetapi lelaki itu adalah seorang ulama terkenal dan juga hakim, Qadi Sa’ad al-Harawi. Dia datang untuk menyampaikan mesej kepada Khalifah Abbasiyah al-Mustazhir.

Khalifah pada masa itu masih muda dan kurang berpengalaman. Walaupun mengetuai negara yang amat besar, kekuasaannya telah dibebani dengan pelbagai aduan. Apabila Qadi al-Harawi dibawa ke mahkamah al-Mustazhir, dia (Khalifah) masih sibuk menjaga bunga-bunganya tanpa mengambil kira keadaan umat pada masa itu. 1099 adalah tahun di mana tentera Salib merampas Palestin setelah 40 hari mengepungnya, yang kemudiannya menyembelih ribuan (umat Islam Palestin) dan mengubah Al-Aqsa kepada kandang kuda bagi menempatkan kuda-kuda mereka. Qadi al-Harawi dengan tanpa berdolak-dalih dalam kata-katanya:
“Berani kamu berehat-rehat di bawah bayang keselamatan yang melekakan, meneruskan kehidupan dengan sambil lewa seperti bunga di taman, sementara saudara-saudaramu di Syria tidak ada tempat tinggal melainkan di atas pelana unta dan dalam perut burung hering? Darah telah ditumpahkan! Gadis-gadis muda yang cantik telah dimalukan, dan kini terpaksa menutup muka manis mereka dengan tangan-tangan mereka! Patutkah kaum Arab yang gagah membiarkan diri mereka dihina, dan kaum Parsi yang berani diaibkan?…Tidak pernah kaum Muslimin dihina sebegitu rupa,” al-Hawari mengulangi lagi, “tidak pernah tanah-tanah mereka dimusnahkan dengan rakus sebegitu rupa.”

Ia adalah sebuah ucapan yang menitiskan air mata kebanyakan orang dan menggerakkan hati-hati manusia yang berada disitu, termasuklah Khalifah. Seluruh hadirin tenggelam dalam raungan dan ratapan, tetapi al-Harawi tidak memperlihatkan sebarang esakan.

“Senjata lelaki yang paling hina,” dia menjerit, “adalah menumpahkan air mata ketika pedang-pedang sedang berkecamuk dalam kancah peperangan.”

Kata-kata dan perbuatan salah seorang ulama ini tidak ada tolok bandingannya berbanding pada hari ini. Pembaca al-Quran, bintang terkenal TV dan pendakwah di internet telah membuat nama dengan menyebarkan pengetahuan mereka, akan tetapi apabila Gaza menghadapi pembunuhan beramai-ramai dalam bulan Ramadhan, mereka hanya menyepi. Ramai yang terus dengan aktiviti-aktiviti mereka, tanpa menyedari keutamaan (hidup) mereka. Sesetengah hanya turut menyampaikan doa, dengan berhati-hati memilih kata-kata (supaya sedap didengar). Adakah mereka takut kepada kedudukan Raja dan Presiden melebihi Allah, sedangkan mereka membaca al-Quran dengan alunan dan penuh keyakinan? Malangnya ramai dari kalangan para ulama hanya menjaga kedudukan dan martabat mereka berbanding keutamaan (umat Islam). Ulama adalah sebahagian daripada umat. Kedudukan dan kemasyhuran mereka menempatkan mereka dengan tanggungjawab yang lebih tinggi untuk menegur para pemimpin dan para tentera kerana bersikap berdiam diri ketika darah kaum Muslimin ditumpahkan dengan harga yang amat murah.

Sumber: khilafah.com