Ghani Hanya Berani Tegur Rakyat Tapi Tak Berani Tegur Najib

abdul-ghaniMB tegur rakyat berjudi

JOHOR BAHARU 3 Feb. – Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menegur rakyat Johor yang ghairah berjudi di Singapura sejak akhir-akhir ini. Beliau berkata, kerajaan negeri sudah maklum mengenai kelakuan ramai penduduk terutama di Johor Baharu yang sering ke Singapura untuk berjudi. “Pihak kasino (di Singapura) dilihat menyediakan pengangkutan bas pelancongan percuma sehingga ke bandar-bandar kecil seperti Kluang dan Pekan Nenas bagi mengumpan penduduk untuk datang berjudi di kasino negara itu,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Wisma Persekutuan Tiong Hua Johor Baharu hari ini. Beliau menasihati rakyat supaya tidak terjerat dengan tabiat berjudi yang boleh meruntuhkan ekonomi dan institusi keluarga. Isu judi dibangkitkan oleh Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Baharu, Lim Ik Kim yang berucap sebelum Ghani di majlis tersebut. 

Beliau menggesa kerajaan negeri supaya mengawal dan memantau penduduk Johor yang pergi ke Singapura untuk berjudi. “Kami menganggap ini sebagai masalah sosial yang sangat serius kerana sejumlah besar yang terlibat meminjam wang dengan Ah Long untuk menjelaskan hutang judi mereka,” kata Lim. Selain itu, beliau berkata, masyarakat Cina di Johor Baharu dijangka menghadapi kekurangan kawasan jirat dalam tempoh lima tahun lagi berikutan pertambahan penduduk tempatan dan migrasi penduduk dari negeri lain.  Katanya, kebanyakan tanah jirat milik persatuan Tiong Hua yang dibuka sejak 1960-an di daerah Johor Baharu sudah hampir habis digunakan.  “Oleh itu kita berharap agar kerajaan negeri dapat memperuntukkan kawasan tanah seluas 40 hektar bagi tanah perkuburan baru masyarakat Tiong Hua di sini,” katanya. Lim berkata, antara kawasan yang dilihat sesuai untuk tujuan tersebut ialah di Ulu Tiram ataupun di Kulaijaya. – BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia 04/02/11

Ghani Hanya Berani Tegur Rakyat Tapi Tak Berani Tegur Najib

Apakah krisis ketagihan berjudi sudah sampai ke peringkat kritikal di Johor sehinggakan Menteri Besar Abdul Ghani Othman terpaksa membuka mulut bersuara bagi mengingatkan rakyatnya agar meninggalkan amalan tersebut, kerana aktiviti itu katanya boleh meruntuhkan ekonomi dan institusi keluarga? Malangnya teguran itu hanya sekadar melibatkan kegiatan judi di Singapura, sebagai amalan yang perlu dijauhi sedangkan dalam masa yang sama Menteri Besar tidak menyentuh isu perjudian di Johor itu sendiri di mana aktiviti dan tempat-tempat judi itu bebas beroperasi. Apakah kerana perpindahan aktiviti rakyat Johor yang suka berjudi ke Singapura itu sudah mula menyebabkan sumber pendapatan di Johor khususnya dan Malaysia amnya semakin mengecil yang menyebabkan beliau mula bersuara? Persoalan yang sepatutnya turut bermain dalam pemikiran Ghani ialah bagaimana pula dengan operasi pusat-pusat judi dan kedai-kedai judi yang bersepah di sana-sini di Malaysia saat ini, termasuklah di Johor sendiri? Premis-premis ini kesemuanya turut menyediakan dan memudahkan rakyat untuk melakukan aktiviti haram tersebut. Apakah ada perbedaan antara berjudi di Singapura dengan berjudi di Malaysia sehinggakan Menteri Besar bersikap begitu? Faktanya aktiviti judi di Malaysia adalah hampir sama dengan tempat-tempat lain saat ini, di mana ianya dianggap ‘halal’ sekiranya mendapat lesen dari pemerintah untuk beroperasi. Apa yang pasti adalah, dengan lesen-lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan sekular yang ada pada hari ini, ia akan memberikan sumber pendapatan kepada pemerintah. Inilah rosaknya sistem kapitalisme. Negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme ini tidak pernah mempertimbangkan persoalan sumber pendapatan halal ataupun haram bagi sesebuah negara. Lihat sahajalah kedai-kedai nombor ramalan dan pusat judi yang terbesar di Malaysia, iaitu di Genting Highland. Semuanya bebas beroperasi hanya kerana adanya lesen di mana lesen inilah yang boleh menghalalkan yang haram dan sebaliknya mengharamkan perkara yang halal. Ini sudah pasti menguntungkan pemerintah sekular yang ada pada hari ini sedangkan secara terang dan nyata keharaman judi itu dijelaskan di dalam al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. [TMQ Al-Maidah (5) : 90].

Untuk itu sewajibnya Ghani selaku seorang muslim yang berkuasa saat ini  di Johor, berfikir dan berusaha menghapuskan segala bentuk aktiviti judi yang saat ini begitu subur di negeri dan di negara yang dipimpin oleh beliau dan Najib. Apakah Gani takut dengan kekuasaan yang apa pada Najib sehingga mulutnya terkunci untuk menegur kemungkaran yang dilakukan oleh ketuanya itu??