GST: Keharaman Yang Membebankan Dan Menindas Rakyat

Meskipun terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menjustifikasikan perlaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) bermula April 2015 nanti, namun saban hari rakyat sudah semakin menyedari dan merasai betapa cukai tersebut akan membebankan kehidupan mereka.

Dalam perkembangan mutakhir, perlaksanaan GST juga dilaporkan boleh mendatangkan impak negatif terhadap industri hartanah, sekaligus memberi kesan terhadap kenaikan harga rumah terutama kepada pembeli rumah mampu milik.

Menurut Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Seri Michael KC Yam, perlaksanaan GST akan menyebabkan tambahan kos lain yang mana para pemaju juga berdepan dengan pelbagai cukai sedia ada iaitu setem duti, cukai keuntungan harta tanah, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan cukai perkhidmatan. Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan Laporan Kajian Industri Hartanah 2013 di Wisma Rehda, Kelana Jaya, pada 10 Mac yang lalu. 1

Sekiranya GST dilaksanakan, rakyat bakal berdepan dengan kesukaran disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup lantaran meningkatnya harga barang keperluan seperti rumah, pakaian dan makanan. Walhal menurut Islam, negara wajib memastikan bahawa setiap individu warganegaranya berkemampuan untuk memiliki keperluan-keperluan asas tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis berikut:

Uthman ibn Affan ra telah melaporkan bahawa Rasulullah saw bersabda bahawa, “Tidak ada hak kepada setiap anak Adam, selain daripada tiga perkara iaitu rumah sebagai tempat tinggal, pakaian, dan makanan minuman”.
[Sunan At-Tirmidhi, No. 2341].

Dalam hadis tersebut dinyatakan kata “anak Adam”, dan tidak dikhususkan kepada umat Islam. Sekiranya rakyat tidak berkemampuan untuk membeli (sebaliknya hanya mampu menyewa rumah), maka rumah tersebut masih belum dimiliki oleh orang yang menyewanya. Maka dengan itu negara mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal yang dimiliki oleh rakyat yang kurang berkemampuan, dan bukannya sekadar memadai membiarkan mereka terus menerus menyewa.
Jelaslah bahawa dengan perlaksanaan GST, negara bukan sahaja gagal memenuhi keperluan asas rakyat bahkan akan menyebabkan kos memiliki keperluan tersebut meningkat. Sekaligus akan menyebabkan rakyat terdesak untuk membuat pinjaman haram yang berasaskan riba semata-mata untuk memenuhi keperluan tersebut.

Dalam masa yang sama, perlu dijelaskan di sini bahawa sesungguhnya amalan mengutip cukai merupakan suatu keharaman dalam Islam. Sebagaimana yang dinukilkan dalam hadis berikut:

“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka”
[HR Ahmad]

Untuk mengetahui bagaimana sebuah Negara Islam (Khilafah) mengurus kewangan tanpa cukai, sila rujuk Sautun Nahdhah  371 keluaran 29 November 2013.2  Wallahua’lam

Sumber:
1) “GST bakal naik harga rumah” – Sinar Harian 11 Mac 2014

2) “SN371 – BAGAIMANA MENGURUS KEWANGAN NEGARA TANPA CUKAI”