Kenyataan Media: Pelaksanaan GST yang menindas dan haram!

Pelaksanaan GST yang menindas dan haram!

Walaupun telah banyak kritikan yang dilontarkan oleh banyak pihak, nampaknya kerajaan Malaysia terus berkeras untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) bermula 1 April ini. Kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan sistem cukai baru ini, menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST) sampai ke tahap menggunakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengeluarkan fatwa yang membolehkan GST. Malah, televisyen, radio dan kesemua agensi kerajaan yang berkaitan dikerahkan sepenuhnya untuk memberi penjelasan demi penjelasan ke segenap lapisan masyarakat, khususnya tentang kebaikan-kebaikan GST.

Konsep GST ditiru dari konsep Cukai Nilai Ditambah (Value Added Tax, VAT) yang dilaksanakan di Eropah yang dikatakan jauh lebih baik dari SST. Di bawah GST, cukai sebanyak 6% akan dikenakan di setiap peringkat iaitu dari pengilang, pemborong, peniaga dan pengguna yang sekali gus akan pasti menaikkan harta barangan dan perkhidmatan. Sungguhpun kerajaan berulang kali cuba mengaburi rakyat bahawa pelaksanaan GST tidak akan membebankan, namun realitinya jauh panggang dari api. Setiap akal yang waras tidak akan menerima “penipuan” seperti ini. Hakikatnya, sekarang ini pun harga beberapa barangan keperluan dan perkhidmatan telah diisytiharkan naik biarpun GST masih belum dilaksanakan!

Sudah lama rakyat dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan urus tadbir ekonomi yang buruk, yang berakibat kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kini rakyat bakal berdepan dengan kenaikan baru harga barangan dan perkhidmatan hasil pelaksanaan GST. Justeru, GST tidak lain kecuali merupakan satu lagi langkah kerajaan yang akan terus menindas rakyat yang sudah sedia tertindas.

Jakim pula memainkan peranan untuk “membersihkan” dosa kerajaan dengan mengeluarkan fatwa bahawa GST dihalalkan atas dasar maslahat dan mengelak mudarat. Walhal apa yang dilakukan oleh kerajaan jelas-jelas haram kerana telah merampas harta rakyat tanpa izin atau kerelaan. Allah (swt) berfirman di dalam Al-Quran,

يَـأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَلَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَـطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَـرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنْكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…” [TMQ an-Nisa’ (4):29].

Rasulullah (saw) bersabda, “Harta, kehormatan dan darah seorang Muslim diharamkan ke atas Muslim lainnya” [HR Muslim].

Berdasarkan nas-nas di atas, Islam dengan jelas dan tegas mengharamkan siapa sahaja, termasuk pemerintah, untuk mengambil harta orang lain tanpa kerelaannya. Mengenakan GST, SST atau apa jua bentuk cukai ke atas rakyat jelas merupakan pengambilan harta rakyat oleh kerajaan secara paksa (tanpa kerelaan). Kaedah maslahat yang dijadikan sandaran oleh Jakim bagi menghalalkan tindakan kerajaan ini ternyata jauh tersasar dari kebenaran. Ini kerana kaedah maslahat bukanlah nas syarak dan tidak boleh digunakan apabila bertentangan dengan nas, kerana yang wajib dipakai ialah nas.

Hizbut Tahrir / Malaysia dengan ini mengingatkan kerajaan Malaysia agar membatalkan segera GST kerana ia merupakan sebuah kezaliman dan dosa. Hizbut Tahrir / Malaysia mengingatkan umat Islam bahawa pelaksanaan GST yang haram ini merupakan sebahagian daripada penindasan sistematik yang wujud dalam negara Kapitalis yang wajib dihapuskan dan diganti dengan sistem Islam di bawah Negara Khilafah ala minhaj nubuwwah.

Abdul Hakim Othman
Ketua Maktab I’lamiy, Hizbut Tahrir Malaysia