Hanya Khilafah bakal menghentikan kekejaman Israel
Pejabat Jurucakap Hizb ut-Tahrir Indonesia
29th Dhul-Hijjah 1429 AH / 28th December 2008 CE
Biadap! Itulah perkataan yang layak untuk menjelaskan serangan udara Israel ke atas Raffah, di Selatan Gaza, Palestin pada hari Sabtu tanggal 27hb Disember 2008. Tanah Semenanjung Palestin ini yang dibawah kekuasaan Hamas telah menjadi sasaran Israel. Selepas berbulan sekatan dilakukan oleh tentera Israel, rakyat Palestin melalui kepayahan untuk mendapatkan bahan api, elektrik, air dan makanan malahan pada ketika ini, puak rejim Israel telah menghujani kawasan yang tidak mempunyai sebarang sistem pertahanan ini dengan lebih 30 peluru berpandu. Lebih dari 300 orang awam maut sementara 800 lagi cedera. Berpuluh bangunan telah musnah.
Ini adalah antara aksi-aksi yang membuktikan kekejaman pihak zionis Israel. Tidak cukup dengan ini, pihak Israel juga telah mempersiapkan seramai 6500 orang tentera kerahan simpanan bagi tujuan serangan darat ke atas Palestin. Berkaitan dengan serangan-serangan ini, Hizb ut Tahrir Indonesia menyatakan bahawa:
- Kekejaman Israel adalah satu aksi biadap, yang bukan sahaja selayaknya dipersalahkan dan dikutuk sehebatnya, namun sepatutnya dilawan dan didepani dengan kekuatan yang sama. Bantahan-bantahan yang telah diungkapkan oleh masyarakat Islam di beberapa negeri Arab pada hari Ahad (28/12/2008) menunjukkan dengan jelas keinginan mereka untuk membalas serangan Israel dengan aksi yang sama, dan dengan Izin Allah, mereka pasti akan berjaya mengalahkan Israel, namun malangnya pemimpin-pemimpin mereka di Arab telah menyekat mereka dari berbuat demikian. Bahkan, para pemimpin ini juga telah menutup sempadan Palestin-Arab membolehkan Israel terus menjadikan kanak-kanak, wanita dan warga tua sebagai sasaran kekejaman mereka.
- Pihak kuffar Amerika dan negara-negara Barat pula menerima aksi kejam Israel ini, padahal siri aksi serangan ini dengan jelas membuktikan ianya adalah aksi pengganas, yang melanggar hak-hak asasi manusia. Ini mengesahkan bahawa hak asasi manusia adalah satu laungan kosong yang hanya digunakan sebagai maslahat ke atas Amerika dan talibarutnya tetapi tidak untuk rakyat Palestin dan umat Islam. Serangan rakus Israel telah menunjukkan bahawa “Kempen peperangan menentang keganasan” adalah satu penyamaran untuk menyerang Islam. Seandainya benar mereka ingin memerangi pengganas, mengapakah mereka membiarkan serangan ini berlaku dan pihak Israel yang terlibat tidak dianggap sebagai pengganas?
- Menyeru kepada pemimpin-pemimpin di negeri-negeri Islam untuk bersatu dan menggerakkan kekuatan ketenteraan mereka untuk menghentikan kerakusan Israel dan seterusnya melindungi Rakyat Palestin di sana. Jika tidak, para pemimpin ini telah mengkhianati Allah, Rasul dan kaum Muslimin, dengan membiarkan kekejaman ke atas Palestin ini berlaku.
- Menyeru kepada kaum Muslimin untuk benar-benar bekerja bagi menegakkan kembali Daulah Khilafah, kerana hanya dengan Khilafah sahajalah seramai 1.4 bilion umat Islam seluruh dunia dan kekuatan yang ada pada mereka dapat disatukan. Dengan kekuatan inilah, mereka bakal mendapat kekuasaan untuk melindungi diri sendiri sepertimana kekuatan untuk melawan semula apa yang telah dilakukan oleh Israel ke atas Palestin pada ketika ini.