Hanya pemerintahan Khilafah yang dapat beri keadilan yang sebenar

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dalam kenyataannya seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily menegaskan bahawa hanya sistem Islam yang membawa proses dan mewarnai generasi kepada peranan menegakkan keadilan kerana adanya tanggungjawab kepada akhirat. Kenyataan tersebut dibuat dalam Webinar Keadilan Islam ketika mengupas buku Islam Adil Untuk Semua tulisan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Harakahdaily, 24/1/2021).

Ya benar! Hanya dengan menjalankan pemerintahan Islam sahajalah keadilan akan dapat dirasai oleh semua pihak. Dunia kini telah dapat menyaksikan dan merasakan betapa rosak dan hancurnya kehidupan manusia yang menerapkan sistem kehidupan ciptaan manusia iaitu sama ada di bawah ideologi kapitalisme yang sedang berkuasa saat ini mahupun ideologi sosialisme (termasuk komunisme) yang secara umumnya sudah terkubur.

Sesungguhnya hanya Islam merupakan satu-satunya harapan bagi manusia, kerana Islam, termasuklah struktur pemerintahannya adalah sistem yang datang daripada Pencipta manusia itu sendiri iaitu Allah (swt). Sudah pasti Allah (swt) sebagai al-Khaliq (Pencipta) kepada manusia, alam dan kehidupan Maha Mengetahui apakah sistem kehidupan yang terbaik bagi makhluk ciptaan-Nya.

Namun, antara persoalan yang perlu kita fahami dalam membincangkan soal pemerintahan Islam adalah, apakah asas kepada sistem pemerintahan tersebut? Bagaimanakah bentuk dan strukturnya? Apakah prinsip-prinsip yang mendasari sistem tersebut? Dan jawapan kepada semua ini memerlukan kepada suatu pengkajian yang bersifat mustanir (jernih) yang mesti bersumber kepada al-Quran dan as-Sunnah serta Ijma’ as-Sahabat.

Jika kita benar-benar mengkaji sistem pemerintahan Rasulullah (saw) dan yang diteruskan oleh para Sahabat yang ternyata telah bertahan sehingga ke kekhilafahan Uthmaniyyah, jelas bahawa sistem pemerintahan Islam itu ialah Khilafah. Rasulullah (saw) bukan sekadar mewariskan ‘konsep atau nilai-nilai’ keadilan kepada kita selaku umat baginda (saw), namun baginda (saw) mewariskan sebuah ‘sistem’ yang akan menerapkan konsep dan nila-nilai tersebut, yakni sistem Khilafah, sebuah sistem yang unik dan tersendiri dalam aspek kenegaraan, yang tidak sama dengan seluruh sistem ciptaan manusia seperti teokrasi, republik, monarki mahu pun demokrasi.

Justeru, kenyataan yang meletakkan “adanya demokrasi” sebagai salah satu ciri pemerintahan Islam adalah suatu pandangan yang jelas salah dan jauh tersasar dari kebenaran. Demokrasi ialah sebuah sistem pemerintahan yang berasal dari kuffar Barat yang menjadikan manusia sebagai “tuhan” dengan memberikan hak kepada manusia untuk membuat hukum. Demokrasi menjunjung tinggi kedaulatan manusia sebagai asas kebenaran yang diukur dengan suara majoriti. Sedangkan dalam Islam, hak membuat hukum hanya ada di tangan Allah (swt). Kedaulatan adalah milik syarak semata-mata dan kebenaran serta neraca keadilan itu ukurannya terletak pada hukum syarak dan bukannya pada pandangan majoriti.

Khilafah adalah sistem pemerintah Islam yang menjadikan akidah Islam sebagai asas yang mendasarinya. Pemerintahan Islam itu adalah sistem yang berpandukan kepada wahyu dan tidak sama dengan demokrasi dilihat dari aspek mana sekali pun. Bentuk dan struktur Khilafah itu adalah berdasarkan kepada apa yang pernah diterapkan oleh Rasulullah (saw), bukannya berdasarkan akal manusia sebagaimana sistem demokrasi.

Dalam Khilafah juga, akauntabiliti pemerintah turut dijamin dengan keberadaan institusi Mahkamah Mazhalim, yang fungsinya adalah khusus untuk membicarakan kezaliman atau kelalaian pemerintah ke atas rakyat. Mahkamah Mazhalim juga mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatan Khalifah jika ia terbukti fasiq atau wujud sebab-sebab lain yang menjadikannya tidak mampu untuk memerintah. Di samping itu, adanya parti politik dalam negara Khilafah yang turut berperanan sebagai organ muhasabah ke atas Khalifah serta melakukan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat.

Semua ini sekali gus menolak dakwaan segelintir pihak yang menganggap pemerintahan Khilafah itu bersifat kediktatoran mahupun teokrasi yang menjurus kepada kekebalan pemerintah yang tidak boleh dipertikaikan.

Oleh yang demikian, seandainya kita benar-benar ingin melihat dan merasai wujudnya keadilan Islam, maka kita wajib memperjuang dan menerapkan sistem Khilafah, bukan yang lain. Jangan harap untuk kita semua mengecapi keadilan di bawah sistem demokrasi. Bagaimana mungkin untuk seseorang bercakap mengenai keadilan Islam, jika dalam masa yang sama dia menerapkan sistem demokrasi dan mempertahankan sistem kufur yang berasal dari Barat ini habis-habisan?!

Umar Husein,

Pimpinan Pusat HTM