Hanya sistem pendidikan berteraskan akidah Islam dapat melahirkan anak-anak yang bertakwa

Berita:

Tangguh dulu beri anak gajet

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Ibu bapa dinasihatkan supaya menangguhkan pemberian gajet kepada anak-anak pada usia kecil jika tidak mampu mengawal selia penggunaannya secara menyeluruh.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, pemberian gajet kepada anak-anak yang masih belum mencapai tahap matang tanpa pengawalan ibu bapa mendedahkan mereka kepada pelbagai gejala yang tidak sihat.

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/tangguh-dulu-beri-anak-gajet-1.594279

Komentar:

Ketika kita semua terdedah dengan perkembangan kecanggihan teknologi yang sedang berkembang dengan pesat dan pantas, anak-anak terutama mereka yang sedang menjangkau usia membesar dari 3 – 12 tahun turut tidak terkecuali menghadapinya. Justeru itu, maka lahirlah pelbagai pandangan dan penyelidikan daripada mereka yang pakar termasuk pihak kementerian sendiri berhubung keadaan semasa ini yang menurut mereka boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap proses pembesaran anak-anak jika tidak dikawal dengan baik oleh ibu bapa.

Kita sedia maklum, anak-anak kebanyakannya melalui proses pembelajaran dan pembentukan tingkah laku mereka terhadap apa yang mereka lihat daripada ibu bapa masing-masing. Zaman kini kebanyakan ibu bapa lebih memberi tumpuan kepada gajet, bahkan semasa waktu mereka bersama-sama dengan keluarga. Keadaan sebegini turut diakui oleh mereka yang pakar dalam hal ehwal kekeluargaan. Jadi tidak hairanlah anak-anak akan turut terpengaruh dengan keadaan tersebut.

Berkenaan isu gajet ini pula, ia sebenarnya bukanlah satu-satunya penyebab kepada perkembangan yang tidak baik dalam proses pembesaran anak-anak. Ada banyak faktor lain lagi yang menyumbang kepada masalah ini. Didikan dan asuhan ibu bapa di rumah, lingkungan tempat mereka tinggal, dengan siapa mereka berkawan, perkembangan pembelajaran di sekolah, tumpuan dan sentuhan daripada para guru turut menyumbang kepada permasalahan ini.

Malangnya ada segelintir ibu bapa pula dengan mudah melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka hanya kepada guru-guru yang akhirnya mengeruhkan lagi masalah ini. Peliknya ketika ada guru yang mengambil tindakan terhadap anak-anak mereka kerana masalah disiplin yang sangat teruk, terdapat ibu bapa yang marah dan mengambil tindakan undang-undang terhadap guru tersebut.

Tahun lepas sahaja kita telah beberapa kali dihidangkan dengan pelbagai berita, baik di media cetak mahupun elektronik berkenaan dengan masalah-masalah sosial yang berlaku dalam kalangan anak-anak dan para pelajar. Ada di antara mereka yang terlibat dengan kes buli, bergaduh, merokok, menghisap dadah, mencuri, menyertai kumpulan kongsi gelap, menonton filem lucah, berpasangan lelaki dan perempuan secara bebas, berzina malah terlibat dengan kes bunuh. Persoalannya, siapa yang harus dipersalahkan apabila masalah-masalah ini berlaku? Adakah ibu bapa, guru ataupun negara dengan dasar pendidikannya?

Jika disentuh pula berkenaan sistem pendidikan sekarang yang sedang diterapkan oleh negara, ia hanya akan melahirkan pelajar-palajar yang belajar atas dorongan untuk memperolehi pekerjaan yang baik dan terjamin di masa hadapan. Ibu bapa pula mendorong anak-anak mereka belajar hanya semata-mata untuk mencapai matlamat tersebut, seterusnya melahirkan masyarakat yang  lebih mementingkan kebendaan dan bersikap materialistik.

Islam telah menetapkan sistem pendidikannya berasaskan akidah Islam yang bertujuan melahirkan insan yang bertakwa dan berkeperibadian Islam, bukan sahaja untuk kejayaan di dunia, tetapi untuk memperoleh kebahagian yang hakiki di akhirat nanti. Sistem pendidikan inilah yang akan diterapkan oleh Negara Islam iaitu Daulah Khilafah yang bukan hanya semata-mata bagi membangunkan peradaban yang gemilang di atas muka bumi ini, malah demi menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah negara untuk memberikan hak kepada setiap individu warganegara mendapatkan ilmu dan pendidikan.

Daripada Abdullah bin Umar, dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ فِي أَهْلِهِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا رَاعِيَةٌ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ فِي مَالِ سَيِّدِهِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan pasti akan ditanya tentang kepimpinan kamu itu kelak. Imam (khalifah) itu pemimpin dan pasti akan ditanya tentang kepimpinannya. Lelaki (suami) itu pemimpin dan pasti akan ditanya tentang kepimpinannya.Wanita (isteri) itu pemimpin di rumah suaminya dan pasti akan ditanya tentang kepimpinannya. Pembantu itu pemimpin bagi harta kekayaan tuannya dan pasti akan ditanya tentang kepimpinannya dan setiap daripada kamu adalah pemimpin dan pasti akan ditanya tentang kepimpinannya” [Muttafaqun ‘Alaihi].

Bagi ibu bapa pula, mereka turut mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sangat besar membentuk keperibadian Islam dalam diri anak-anak kerana ini satu amanah yang dibebankan ke atas mereka oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

“Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas fitrah hingga ia fasih (berbicara), maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (HR. al-Baihaqi dan ath-Thabarani)

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia