“Haram” poligami kecuali dengan izin mahkamah

Mahkamah lulus Bang Mat kahwin empat

KUALA TERENGGANU 30 Jun – Selepas empat kali naik turun mahkamah, hasrat pemandu lori, Mohamed Nor Awang, 57, untuk berkahwin kali keempat akhirnya tercapai apabila permohonannya untuk berpoligami lagi diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hakim Shaikh Ahmad Ismail membuat keputusan tersebut mengikut Seksyen 21 Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu selepas mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat termasuk keterangan serta pengakuan tiga isteri pemohon yang membenarkan suami mereka yang dipanggil ‘Bang Mat’ berkahwin empat.

Menurut hakim itu, dalam membenarkan perkahwinan tersebut beliau turut mengambil kira kehendak bakal isteri keempat Mohamed Nor iaitu Suzi Sulong, 34, yang tidak mahukan lelaki lain sebagai suami kecuali pemandu lori berkenaan.

Beliau juga membuat keputusan itu selepas mendapati Mohamed Nor yang telah mempunyai 18 anak tetap dengan keputusannya untuk menikahi Suzi berdasarkan kesungguhannya hadir ke mahkamah sebanyak empat kali untuk perbicaraan selain tidak mahu melihat pemandu lori itu tertekan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja.

“Atas dasar kepentingan pihak-pihak terlibat iaitu Encik Mat, keluarga isteri dan bakal isteri yang telah berumur 30-an, mahkamah terpaksa memberi ‘ruksah’ iaitu mahkamah perlu menimbangkan keperluan Encik Mat untuk mendapatkan seorang lagi isteri.

“Setelah saya dengar keterangan Encik Mat dan isteri-isteri yang ada, saya buat kesimpulan Encik Mat mampu jalankan tanggungjawab walaupun pada mata kasar orang lain melihat Encik Mat tidak cukup (pendapatan) tetapi bagi isteri-isteri, ia mencukupi dan mereka sanggup bekerjasama membantunya.

“Berpandukan Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu, saya meluluskan permohonan Encik Mat untuk berkahwin dengan perempuan yang diidam-idamkan itu… tahniah,” kata Hakim Shaikh Ahmad.

Pada perbicaraan hari ini, Mohamed Nor membawa dua saksi iaitu Abdul Halim Daud dan Mat Chik untuk menyokong permohonannya berkahwin kali keempat, bagaimanapun ia tidak diterima oleh mahkamah kerana tidak kukuh.

Sebelum itu, ketika memberi keterangan, pemandu lori itu mengakui berasa kecewa kerana tidak dapat berkahwin.

Ketika ditanya oleh hakim apakah yang akan terjadi jika permohonannya untuk berpoligami lagi tidak diluluskan mahkamah, Mohamed Nor berkata, jiwanya tertekan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja kerana sering teringatkan Suzi.

“Saya rasa serabut sebab nak nikah tak boleh kerana mahkamah tidak beri,” ujarnya.

Apabila ditanya mengapa untuk perkahwinan kali keempat ini beliau membuat permohonan di mahkamah berbanding pernikahan kedua dan ketiga yang dibuat di Thailand, pemandu lori itu menjawab bahawa bakal isteri setuju dengan rancangan pernikahan itu dan keluarganya merestui perkahwinan tersebut.

Menurut Mohamed Nor, kesemua isterinya disediakan sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik serta kenderaan untuk kemudahan menghantar anak ke sekolah.

Hakim kemudian menasihatkan Mohamed Nor supaya menjaga kesemua isterinya dengan baik dan sempurna kerana mereka adalah amanah Allah.

Pemandu lori itu yang ditemani isteri pertama dan ketiganya, Wan Rukiah Mat Yusof, 52, dan Noraini Daud, 40, ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu beliau tidak menyangka mendapat kebenaran tersebut daripada mahkamah.

“Saya lega,” ujarnya.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan keluarga Suzi untuk menetapkan tarikh pernikahan mereka yang akan diadakan sebelum kedatangan bulan Ramadan.

Sumber: Utusan Malaysia 01/07/08

Ulasan:
 
Di bawah sistem sekular yang diamalkan di Malaysia pada hari ini, siapa tidak tahu yang poligami adalah satu permohonan yang paling sukar untuk dibenarkan oleh undang-undang? Selain perlu keizinan dari isteri yang pertama (atau kedua), ‘mahkamah’ adalah satu institusi yang ‘berkuasa penuh’ untuk memberikan kelulusan! Kenapa? Ini kerana undang-undang buatan manusia yang diluluskan secara majoriti oleh Dewan Undangan Negeri telah menentukan sedemikian.

Di dalam Islam, Negara (pemerintah) berfungsi untuk menjaga rakyatnya, sebagai mana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Namun dalam sistem sekular sekarang, fungsi pemerintah antara lainnya adalah untuk ‘membuat undang-undang’. Justeru, perkara-perkara yang menyangkut bab Al-Ahkam Al-Sultaniah ini sering diselewengkan dan disalahgunakan oleh pihak-pihak yang berkuasa atas alasan untuk menjaga kemaslahatan. Sebagai Muslim, kita mestilah jelas dalam perbincangan hak dan tanggungjawab Negara terhadap rakyatnya, kerana ia terkait dengan taklif (bebanan) hukum yang wajib difahami oleh setiap pihak.
 
Dalam hal poligami ini, dua perkara yang perlu dilihat di sini, iaitu:-

Pertama: Negara terkadang telah merampas hak individu atas alasan kononnya untuk menjaga kemaslahatan rakyatnya. Dalam bab poligami, Islam datang membenarkan bahawa hukum poligami itu mubah. Namun sayang hukum yang mubah ini telah menjadi “haram” selagi tidak mendapat keizinan dari Mahkamah Syariah. Begitu juga dengan hukum talak, seseorang lelaki yang ingin menceraikan isterinya bebas berbuat demikian, berdasarkan hadis-hadis Nabi yang jelas dan sorih tentang lafaz talak di tangan suami. Hal ini merupakan perkara yang maklum minaddin bi-dharurath (perkara umum yang diketahui dalam agama). Namun dalam “undang-undang syariah” yang ada sekarang, lafaz talak ini “haram” dilafazkan kecuali di hadapan Kadi, bahkan akan didenda jika tetap melafazkannya di luar mahkamah. Inilah akibatnya apabila ‘akal’ menjadi sumber hukum, perbuatan terpuji dan tercela (al-hasan wa al-qabih) dinilai mengikut penilaian akal semata-mata. Tidak pernah ada kita temui dalam mana-mana perbincangan mazhab-mazhab besar yang lampau, bahawa seseorang itu mesti mendapat kebenaran dari Kadi untuk melakukan poligami. Tidak pernah juga kita temui kejadian di mana ucapan talak oleh seorang suami yang dilakukan di luar mahkamah, dikenakan denda oleh pihak Mahkamah pada zaman Nabi atau zaman salaf.
 
Kedua: Dalam pada Mahkamah Syariah leka dan disibukkan dengan undang-undang tambahan ciptaan sendiri ini, mereka terus terlalai untuk menerapkan dan menghukum manusia dengan undang-undang Islam, walaupun pada hukuman yang asas sekalipun, seperti sebat 100 kali untuk zina, potong tangan untuk pencuri, ataupun, hukuman bunuh untuk liwat dan sebagianya. Apa yang menjadi pegangan Kadi dalam sistem sekular pada hari ini ialah undang-undang 3-5-6 semat-mata (3 tahun penjara, RM5000 denda, 6 kali sebatan).

Wahai tuan Kadi, sampai bilakah undang-undang kufur buatan manusia ini akan dimartabatkan oleh Tuan?