Harapan Ramadan: Muslim Yang Bertakwa Dan Sistem Yang Patuh Syariah
Ramadan telah beberapa hari berlalu dan kini berada pada fasa pertengahan. Kita sebagai umat Islam sangat bersukacita dan memanjatkan sebanyak-banyak kesyukuran kerana masih diberikan peluang oleh Allah SWT untuk melalui bulan yang penuh berkat ini. Puasa adalah Rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam. Matlamatnya adalah untuk menggapai takwa. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”
(TMQ Surah Al-Baqarah: 183)
Frasa لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ditafsirkan oleh ulama menjadi tiga pendapat. Pertama, agar kalian terjaga daripada perbuatan-perbuatan yang Allah SWT haramkan atas kalian. Kedua, agar kalian menjadi lemah sehingga kalian bertakwa (bermaksud disebabkan sedikitnya makan, maka syahwatnya akan melemah, dan ketika syahwat lemah, maksiatnya akan menjadi kurang). Ketiga, agar kalian terjaga daripada perbuatan orang-orang sebelum kalian (Yahudi dan Nasrani). (Al-Waie, September 2011).
Dengan ketakwaan, maka diri kita mudah untuk menghindari dosa dan diangkat darjat. Oleh yang demikian, sangat wajar apabila puasa memberikan ruang yang lebih baik dan suasana yang lebih kondusif untuk umat Islam meningkatkan darjatnya di hadapan Allah SWT.
Sikap Manusia
Ada suatu fenomena yang menarik yang dapat kita saksikan setiap kali masuknya Ramadan. Suasana ketakwaan dan ketaatan komuniti Muslim menjadi sangat indah dan menawan. Masjid yang sebelum ini jarang dikunjungi sehingga boleh menjadi ‘gelanggang bermain’ anak-anak kecil dek kosongnya dewan solat kini menjadi sangat hidup dan ruang menjadi sangat terhad. Al-Quran menjadi santapan setiap kesempatan. Hibah dan sedekah menjadi amalan yang sangat menonjol, terutama ketika menyediakan juadah berbuka dan menajanya. Rancangan-rancangan di kaca televisyen juga dilebihkan kepada yang mempunyai nuansa keagamaan walaupun masih terlalu banyak hiburan. Orang yang biasa berbuat kebaikan menambah kebaikannya dan sebahagian orang yang masih beramal buruk, sedikit sebanyak cuba menahan diri dengan apa yang mereka mampu atau fahami. Banyak lagi perkara lain yang berkaitan yang boleh kita amati sepanjang bulan ini.
Perubahan ataupun fenomena begini bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan. Ia sesuatu yang perlu dihargai. Bahkan, segala bentuk peningkatan amal kebajikan itu memang digalakkan dan menjadi amalan para pendahulu kita salafu al-soleh. Inilah ‘kuasa’ dan kelebihan Ramadan, bulan yang memang mempunyai fadhilah yang cukup besar dan padanya terdapat amal ibadah yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah ﷺ:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَاناً واحْتِساباً ، غُفِرَ لَهُ ما تَقَدَّمَ مِنْ ذنْبِهِ
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampuni dosa-dosanya yang telah lalu “
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan istimewanya lagi kerana terdapatnya Lailatul Qadr seperti firman Allah SWT:
:إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ * لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهر
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al Quran) pada malam al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan.”
(TMQ Surah Al-Qadr: 1-3)
Muslim yang inginkan kebaikan pasti tidak akan melepaskan peluang yang jarang datang sebegini rupa.
Namun berlawanan dengan fenomena ini, masih ada sebahagian umat Islam yang tidak terlalu peduli dengan Ramadan. Datang dan perginya tidak terlalu dihiraukan. Mereka menjalani hari-hari di bulan ini seperti biasa. Lebih malang lagi jika terdapat pula yang istiqamah bermaksiat atau menggandakan maksiat di bulan yang mulia ini. Ini adalah kelompok yang mengalami kerugian bahkan keadaan mereka teramatlah mendukacitakan. Golongan ini perlu diperingatkan setidaknya dengan pandangan Imam Ibnu Muflih dalam Adab al-Syar’iyyah ketika menukilkan pandangan gurunya:
“Perbuatan maksiat yang dilakukan pada hari-hari istimewa atau tempat yang istimewa, nilai kemaksiatannya dan hukumannya dinaikkan sesuai dengan kadar keistimewaan waktu dan tempat tersebut.” (konsultasisyariah.com)
Bagaimana keadaan kita jika setiap hari kita konsisten dengan amal keburukan? Apakah tidak kita fikirkan betapa nilai dosa kita menjadi lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain?
Muslim taat dan sistem yang celaru
Sebagai Muslim yang meraikan Ramadan, hakikatnya, terdapat maksiat yang cukup besar yang kerap kita terlepas pandang. Mungkin juga kita tidak merasakan perkara tersebut sebagai maksiat walaupun ianya cukup besar. Maksiat ini sentiasa berlaku walau sebaik dan sebanyak mana sekalipun amal kebajikan kita secara per individu. Mungkin ada yang bertanya, benarkah wujud maksiat yang sedemikian? Jawapannya, ya, wujud. Hal ini disebabkan normalisasi maksiat dalam keadaan yang terorganisasi. Dan maksiat ini menimpa semua secara kolektif, terkena pada individu, masyarakat dan negara.
Maksiat besar yang utama ini adalah tidak diterapkannya syariat Islam secara menyeluruh dalam kehidupan kita. Apa yang diterapkan adalah sistem sekular-kapitalis. Mungkin ini kelihatan sekadar dakwaan, namun hakikatnya, kita memang merasai bahawa cara hidup, millah, ideologi bagi negara dan masyarakat lebih mengacu kepada sistem buatan manusia berbanding wahyu. Bahasa lainnya, tidak patuh syariah, tidak patuh agama. Dalam pemerintahan, kita menggunakan sistem federal-demokrasi, dalam sistem ekonomi lebih kepada kapitalisme, sistem pendidikan masih mengacu cara pendidikan Barat, sistem kehakiman meninggikan hukum buatan manusia daripada hukum Pencipta manusia dan banyak lagi.
Menyebut sistem-sistem yang dikatakan tidak patuh syariah ini barangkali janggal bagi sebahagian orang ataupun terlalu umum. Dalam perincian, memang banyak perkara yang masih patuh syariah, namun asas bergeraknya sistem negara kita adalah non-syariah. Kita pergi kepada satu contoh untuk lebih mudah memahami hakikat ini. Sama ada bulan Ramadan atau tidak, aktiviti pinjaman dengan bunga (riba) tetap berjalan di institusi perbankan dan kewangan. Riba adalah perkara haram dan termasuk dosa besar. Besarnya dosa riba sehingga Allah SWT mengisytiharkan perang terhadap pengamal riba. Namun riba malah diwajibkan dalam perbankan konvensional serta sah dari segi undang-undang. Ketika mahu membeli kereta atau rumah, masyarakat akan pergi ke institusi perbankan dan membuat pinjaman dengan riba.
Cuba kita renungkan ancaman daripada Rasulullah ﷺ ini:
عَنْ جَابِرٍ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ
“Dari Jabir RA beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ melaknat pemakan riba, yang memberikannya, pencatatnya dan saksi-saksinya. Rasulullah ﷺ mengatakan, mereka itu sama.
(Hadis Riwayat Muslim)
Dan Sabda Baginda ﷺ lagi:
دِرْهَمٌ رِبَا يَأْكُلُهُ الرَّجُلُ وَهُوَ يَعْلَمُ أَشَدُّ مِنْ سِتَّةٍ وَثَلاَثِيْنَ زَنِيَّةً
“Satu dirham riba yang dimakan oleh seseorang dan ia mengetahuinya, maka hal itu lebih berat dari pada tiga puluh enam perzinaan.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tabrani)
Jadi, bagaimana nasib empat golongan ini ketika Ramadan? Di antara mereka mungkin terdapat orang-orang yang taat, rajin amal ibadahnya, baik akhlaknya, kuat sedekahnya, istiqamah qiyamullail, sudah menyempurnakan kesemua Rukun Islam, namun masih termasuk dalam salah satu golongan yang terlaknat kerana riba. Bagaimana pula nasib negara dan pemerintah yang menerapkan ekonomi riba dalam negara, menjalankan segenap aspek aturannya, mewartakan undang-undang menghalalkan dan mewajibkannya? Ini semua tidak terlepas daripada kategori maksiat dan dosa besar. Ramadan silih berganti namun perkara mungkar sedemikian masih berlaku sehingga hari ini, pada skala negara bahkan antarabangsa. Hal ini sangat berkait rapat dengan sistem ekonomi kita yang berasaskan Kapitalisme. Itu baru satu keadaan.
Jika kita pergi kepada aspek berbeza, dalam pelbagai sudut, pasti kita akan menjumpai banyak masalah lain yang kita tidak sedar. Ataupun kita sebenarnya sedar namun kurang peka dan peduli bahawa masalah tersebut berhubung kait dengan akidah dan syariat kita. Penerapan sistem yang tidak patuh syariah berakibat kepada normalisasi maksiat secara struktural. Secara individu, maksiat tentu masih dapat kita hindari. Kita masih boleh berusaha menjadi Muslim yang bertakwa baik dalam sistem yang benar ataupun salah. Namun demikian, tidak ada jaminan pada takwa masyarakat, dek sistem yang tidak positif dalam penerapan syariat. Maksiat dalam masyarakat dan negara tetap berlaku sehingga boleh mempengaruhi amal perbuatan individu kita. Takwa individu akan sentiasa mendapat ancaman yang lebih besar, terstruktur dan terorganisasi.
Normalisasi idea sistem berasaskan wahyu
Dalam keghairahan kita mengejar amal yang melibatkan ibadah khusus, terlebih lagi yang selalu dikaitkan dengan Ramadan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghindari maksiat terstruktur. Kita mahukan negara dan masyarakat bebas maksiat, patuh syariat. Aktiviti dakwah, amar makruf dan nahi mungkar perlu dipergiat. Ramadan sewajarnya menjadi momentum untuk mempropagandakan kebaikan dengan lebih intensif – biar menjadi syi’ar yang menewaskan bentuk syi’ar–syi’ar jahiliah. Jika Barat dan para tali barutnya begitu berleluasa menyebarkan idea-idea kekufuran, bahkan berjaya memaksakan sistem kufur ke atas umat Islam, kita sebagai Muslim tidak boleh mengalah.
Maksiat terstruktur yang dilihat normal perlu diubah. Sistem yang rosak perlu diganti. Umat Islam perlu melakukan normalisasi terhadap pemikiran-pemikiran sistem Islam yang kelihatan asing di dunia kini. Penyelesaian masalah yang melibatkan sistem perlu dilawan dengan sistem juga. Di sinilah relevannya idea penerapan sistem Islam dalam bingkai Khilafah. Syariat Islam itu wujud dalam bentuk individu, masyarakat dan negara. Penerapan yang menyeluruh tidak akan sempurna tanpa negara yang berasaskan Islam. Buat waktu ini, usaha perlu diarahkan untuk membentuk kesedaran umum masyarakat terhadap Islam, sebagai al-Deen, millah (cara hidup) sehingga wujud pula pandangan umum bahawa Islam itu mu’alajah lil masyakil insan (penyelesaian segala bentuk permasalahan manusia).
Apabila pemikiran-pemikiran Islam ini telah membentuk konsep pemahaman, menjadi tolok ukur dan padanya wala’ (kesetiaan) masyarakat dihalakan, maka ketika itu, perubahan yang diharapkan insyaAllah akan menjadi lebih mudah. Semoga Ramadan kali ini bukan sahaja memotivasikan kita beramal dalam lingkungan keselesaan kita sahaja, namun menjadi daya penggerak untuk membangkitkan diri dan masyarakat. Pada ketika itu, yang lahir bukan sahaja individu yang bertakwa, namun juga sistem yang berteraskan wahyu, patuh syariah dan diredhai Allah SWT.
Budiman Abu Miqdad
Lajnah Tsaqafiyah HTM
Rujukan:
- An-Nawiy, Fathi Syamsuddin Ramadhan, “Memelihara Spirit Ramadhan Dan Idul Fitri”, Dalam Al-Waie, 133, September 2011, p11.
- https://konsultasisyariah.com/25103-maksiat-di-bulan-ramadhan-dosanya-lebih-besar.html,(25 May 2018)
- Sautun Nahdah, bil. 237, “Mahukah Anda Berzina Dengan Ibu Sendiri?”, 5 November 2010, <https://ht-malaysia.com/sn237-mahukah-anda-berzina-dengan-ibu-sendiri/> (26 May 2018)