Hari Lelaki Sedunia: Apa yang ingin disambut?
Malaysia buat pertama kalinya akan menyambut Hari Lelaki Sedunia pada 19 November ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Lundu, Sarawak pada 11 Mac lalu.
Rohani berkata, beberapa pihak mencadangkan supaya hari istimewa itu disambut di negara ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan kaum lelaki sama seperti sambutan Hari Wanita. “Selain itu, kementerian bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan rumah perlindungan lelaki terutama bagi golongan suami yang berdepan dengan krisis rumah tangga,” kata beliau berdasarkan laporan akhbar tempatan pada 12 Mac lalu.
Dalam dunia hari ini, selain sambutan hari raya bagi masing-masing agama, terdapat puluhan, bahkan ratusan hari lain yang disambut masyarakat dunia secara bersama atau oleh kelompok tertentu sahaja, sama ada di peringkat nasional mahupun internasional. Malah ada hari-hari sambutan yang dirasakan tidak masuk akal pun turut diwujudkan dan disambut (sila lihat Jadual di bawah).
Malaysia memang terkenal dengan pelbagai jenis sambutan yang dilakukan dengan penuh meriah, khususnya apabila inisiatif itu datang dari kerajaan sendiri untuk menjayakannya, dengan kos yang bukan sedikit. Pembaziran besar-besaran dan pelbagai bentuk keharaman lain biasanya akan terhasil dari sambutan ini yang menjadi satu pesta!
Kini, Malaysia ingin menyambut Hari Lelaki pula atas alasan menghargai jasa dan pengorbanan kaum lelaki. Entah lelaki mana dan entah jasa dan pengorbanan apa yang dimaksudkan, kita pun tidak tahu!?
Jika yang mereka maksudkan ialah jasa dan pengorbanan kepada pembangunan negara, sesungguhnya lelaki dari Indonesia dan Bangladesh yang menjadi buruh kasar, yang mereka diskriminasikan selama ini dan sering ditangkap dan dihalau balik, lebih banyak menyumbang kepada pembangunan negara, berbanding lelaki Malaysia sendiri!
Jika yang mereka maksudkan ialah jasa dan pengorbanan kepada agama, berapa ramai daripada golongan agamawan lelaki, malah termasuk jabatan agama dan mereka yang bergelar ulama sekalipun, asyik bertelagah sesama sendiri, memfitnah orang itu dan orang ini, menyesatkan orang itu dan orang ini dan menyebabkan umat terpinga-pinga dengan tindakan mereka!
Jika yang mereka maksudkan ialah jasa dan sumbangan kepada bangsa, sesungguhnya apa sahaja sumbangan atau perjuangan untuk memartabatkan bangsa adalah perjuangan yang haram di sisi Islam dan lelaki (mahu pun wanita) yang terlibat dengannya wajib dihukum, bukan disanjung!
Jika yang mereka maksudkan ialah jasa dan pengorbanan lelaki yang terlibat dalam pemerintahan dan pentadbiran negara, berapa ramai daripada mereka yang sebenarnya korup, banyak melakukan penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan tidak pernah menerapkan hukum Islam dalam pemerintahan. Malah golongan inilah yang menyebabkan masyarakat dan negara rosak! Golongan ini wajib dihukum dengan berat di sisi Islam dan bukannya diberi penghargaan!
Ini belum lagi mengambil kira lelaki-lelaki yang terlibat dalam masalah jenayah seperti penyalahgunaan dadah, gengsterisme, penderaan rumah tangga, rogol, gangguan seksual, samun, merompak, mencuri dan bermacam-macam kejahatan lagi. Mereka ini semua lelaki, jadi wajarkah mereka menyambut hari lelaki dan jika wajar untuk apa? Atau wajarkah mereka diberi sambutan penghargaan pada Hari Lelaki?
Atau Hari Lelaki hanya ditujukan kepada lelaki yang baik-baik sahaja, yang membawa maksud lelaki yang jahat-jahat adalah bukan lelaki dan tidak berhak menyambut Hari Lelaki!? Untuk lelaki yang baik itu pun, hanya satu hari sahaja dalam setahun jasa dan pengorbanan mereka dihargai!
Inilah kecelaruan dan kerosakan berfikir mereka yang tidak meletakkan Islam sebagai panduan, tetapi hanya menjadikan akal mereka sebagai panduan! Hasilnya, mereka hanya mengikut logik akal semata-mata tanpa mengambil kira hukum-hakam di sebalik sambutan ‘hari-hari’ tersebut.
Sesungguhnya, pemikiran-pemikiran berdasarkan falsafah Barat yang ada pada pemegang kekuasaan ini-lah yang terus merosakkan rakyat. Mereka mempunyai kuasa dan boleh melakukan apa sahaja, termasuk perkara-perkara yang tidak berfaedah atau bertentangan dengan Islam sekalipun. Dengan kuasa dan wang yang mereka ada, maka berapa ramai daripada kalangan rakyat yang terus menyokong mereka membabi buta kerana mendapat sedikit habuan apabila mentaati mereka. Akhirnya mereka rosak dan rakyat pun turut rosak.
Sesungguhnya kita tidak memerlukan sambutan Hari Lelaki, Hari Wanita, Hari Kanak-Kanak dan sebagainya kerana hal ini tidak pernah diajarkan oleh Islam. Tanggungjawab pemerintah ialah untuk menerapkan hukum Allah, bukannya untuk mencari hari-hari tertentu yang tidak berfaedah untuk disambut. Pemerintah sepatutnya menyediakan diri mereka untuk ‘menyambut’ satu hari yang pasti mereka hadapi iaitu Hari Kiamat!
Wallahu a’lam
Jadual
Sambutan Pada Bulan Januari
- 1 Jan – Sambutan Tahun Baru (New Year’s Day)
- 26 Jan – Sambutan Hari Kusta Sedunia (World Leprosy Day)
- 31 Jan – Sambutan Hari Kanak-Kanak Jalanan (Street Children’s Day)
Sambutan Pada Bulan Februari
- 2 Feb – Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia (World Wetland Day)
- 4 Feb – Sambutan Hari Kanser Sedunia (World Cancer Day)
- 14 Feb – Sambutan Hari Kekasih (Valentine’s Day)
- 21 Feb – Sambutan Hari Bahasa Ibu Antarabangsa (International Mother Language Day)
- 22 Feb – Sambutan Hari Berfikir (Thinking Day)
- 27 Feb – Sambutan Hari Beruang Polar Antarabangsa (International Polar Bear Day)
- 28 Feb – Sambutan Hari Penyakit Luar Biasa (Rare Disease Day)
Sambutan Pada Bulan Mac
- Hari Khamis Kedua Mac – Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia (World Kidney Day)
- 8 Mac – Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (International Women’s Day)
- 14 Mac – Sambutan Hari Pi (Pi Day)
- 14 Mac – Sambutan Hari Tindakan Sungai Sedunia (International Day of Action for River)
- 15 Mac – Sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia (World Consumer Rights Day)
- 20 Mac – Sambutan Hari Burung Pipit Sedunia (World Sparrow Day)
- 20 Mac – Sambutan Hari Kegembiraan Antarabangsa (International Day of Happiness)
- 21 Mac – Sambutan Hari Hutan Sedunia (International Day of Forests)
- 21 Mac – Sambutan Hari Menanam Pokok Sedunia (World Planting Day)
- 21 Mac – Sambutan Hari Penghapusan Diskriminasi Kaum Antarabangsa (International Day for the Elimination of Racial Discrimination)
- 21 Mac – Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (International Day of Forests)
- 21 Mac – Sambutan Hari Down Syndrom Sedunia (World Down Syndrome Day)
- 21 Mac – Sambutan Hari Puisi Sedunia (World Poetry Day)
- 21 Mac – Sambutan Hari Kayu Sedunia (World Wood Day)
- 22 Mac – Sambutan Hari Air Sedunia (World Water Day)
- 24 Mac – Sambutan Hari Tibi Sedunia (World Tuberculosis Day)
- 26 Mac – Sambutan Hari Ungu (Purple Day)
Sambutan Pada Bulan April
- 1 Apr – Sambutan Hari April Fools (April Fools Day)
- 2 Apr – Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia (World Autism Awareness Day)
- 7 Apr – Sambutan Hari Kesihatan Sedunia (World Health Day)
- 12 Apr – Sambutan Hari Antarabangsa Penerbangan Manusia Ke Angkasa (International Day of Human Space Flight)
- 15 Apr – Sambutan Hari Senyap Sedunia (Day of Silence)
- 15 Apr – Sambutan Hari Berdialog (Day of Dialogue)
- 17 Apr – Sambutan Hari Hemofilia Sedunia (World Hemophilia Day)
- 22 Apr – Sambutan Hari Bumi (Earth Day)
- 23 Apr – Sambutan Hari Buku Sedunia (World Book Day)
- 25 Apr – Sambutan Hari Malaria Sedunia (World Malaria Day)
- 25 Apr – Sambutan Hari Penguin Sedunia (World Penguin Day)
- 26 Apr – Sambutan Hari Harta Intelek Sedunia (World Intellectual Property Day)
- 29 Apr – Sambutan Hari Tarian Antarabangsa (International Dance Day)
- 30 Apr – Sambutan Hari Jazz Antarabangsa (International Jazz Day)
Sambutan Pada Bulan Mei
- Hari Ahad Pertama Mei – Sambutan Hari Ketawa Sedunia (World Laughter Day)
- Hari Ahad Kedua Mei – Sambutan Hari Ibu (Mother’s Day)
- Hari Sabtu Kedua Mei – Sambutan Hari Migrasi Burung Sedunia (World Migratory Bird Day)
- 1 Mei – Sambutan Hari Pekerja Antarabangsa (International Workers’ Day)
- 3 Mei – Sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia (World Press Freedom Day)
- 4 Mei – Sambutan Hari Star Wars (Star Wars Day)
- 5 Mei – Sambutan Hari Bidan Antarabangsa (International Midwives’ Day)
- 6 Mei – Sambutan Hari Tanpa Diet Antarabangsa (International No Diet Day)
- 11 Mei – Sambutan Hari Penghargaan Pasangan Tentera (Military Spouse Appreciation Day)
- 12 Mei – Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa (International Nurses Day)
- 15 Mei – Sambutan Hari Keluarga Antarabangsa (International Day of Families)
- 15 Jun – Sambutan Hari Angin Global (Global Wind Day)
- 16 Mei – Sambutan Hari Guru (Teacher’s Day)
- 17 Mei – Sambutan Hari Menentang Homophobia dan Transphobia Antarabangsa (International Day Against Homophobia and Transphobia)
- 17 Mei – Sambutan Hari Masyarakat Berinformasi Sedunia (World Information Society Day)
- 22 Mei – Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa (International Day for Biological Diversity)
- 23 Mei – Sambutan Hari Penyu Sedunia (World Turtle Day)
- 24 Mei – Sambutan Hari Komonwel (Commonwealth Day)
- 25 Mei – Sambutan Hari Kehilangan Kanak-Kanak Antarabangsa (International Missing Children’s Day)
- 25 Mei – Sambutan Hari Tuala (Towel Day)
- 31 Mei – Sambutan Hari Tanpa Rokok Sedunia (World No Tobacco Day)
Sambutan Pada Bulan Jun
- Hari Ahad Kedua Jun – Sambutan Hari Bapa (Father’s Day)
- 1 Jun – Sambutan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa (International Children’s Day)
- 5 Jun – Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (World Environment Day)
- 8 Jun – Sambutan Hari Lautan Sedunia (World Oceans Day)
- 14 Jun – Sambutan Hari Derma Darah Sedunia (World Blood Donor Day)
- 20 Jun – Sambutan Hari Pelarian Sedunia (World Refugee Day)
- 21 Jun – Sambutan Hari Hidrografi Sedunia (World Hydrography Day)
- 21 Jun – Sambutan Hari Yoga Antarabangsa (International Yoga Day)
- 26 Jun – Sambutan Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Perdagangan Haram Antarabangsa (International Day against Drug Abuse and Illicit Trafficking)
Sambutan Pada Bulan Julai
- Hari Jumaat Terakhir Jul – Sambutan Hari Penghargaan Sistem Pentadbiran (System Administrator Appreciation Day)
- 2 Jul – Sambutan Hari UFO Sedunia (World UFO Day)
- 11 Jul – Sambutan Hari Populasi Sedunia (World Population Day)
- 29 Jul – Sambutan Hari Harimau Antarabangsa (International Tiger Day)
Sambutan Pada Bulan Ogos
- Hari Jumaat Pertama Ogos – Sambutan Hari Beer Antarabangsa (International Beer Day)
- Hari Ahad Pertama Ogos – Sambutan Hari Persahabatan (Friendship Day)
- 12 Ogos – Sambutan Hari Gajah Sedunia (World Elephant Day)
- 12 Ogos – Sambutan Hari Belia Antarabangsa (International Youth Day)
- 13 Ogos – Sambutan Hari Tangan Kidal Antarabangsa (International Lefthanders Day)
- 20 Ogos – Sambutan Hari Nyamuk Sedunia (World Mosquito Day)
Sambutan Pada Bulan September
- Ahad Terakhir Sept – Sambutan Hari Sungai Sedunia (World River Day)
- 5 Sept – Sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa (International Day of Charity)
- 10 Sept – Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (World Suicide Prevention Day)
- 11 Sept – Sambutan Hari Patriot (Patriot Day)
- 15 Sept – Sambutan Hari Demokrasi Antarabangsa (International Day of Democracy)
- 16 Sept – Sambutan Hari Tindakan Lapisan Ozon Antarabangsa (International Day for the Preservation of the Ozone Layer)
- 21 Sept – Sambutan Hari Tanpa Pencemaran Bahan Api (Zero Emission Day)
- 21 Sept – Sambutan Hari Keamanan Antarabangsa (International Day of Peace)
- 22 Sept – Sambutan Hari Tanpa Kereta (Car Free Day)
- 26 Sept – Sambutan Hari Kawalan Kehamilan Sedunia (World Contraception Day)
- 27 Sept – Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (World Tourism Day)
- 28 Sept – Sambutan Hari Penyakit Anjing Gila Sedunia (World Rabies Day)
- 29 Sept – Sambutan Hari Kopi Antarabangsa (International Coffee Day)
- 29 Sept – Sambutan Hari Jantung Sedunia (World Heart Day)
Sambutan Pada Bulan Oktober
- Jumaat Pertama Okt – Sambutan Hari Senyum Sedunia (World Smile Day)
- Isnin Pertama Okt – Sambutan Hari Habitat Sedunia (World Habitat Day)
- Khamis Kedua Okt – Sambutan Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day)
- 1 Okt – Sambutan Hari Vegetarian Sedunia (World Vegetarian Day)
- 2 Okt – Sambutan Hari Tanpa Keganasan Antarabangsa (International Day of Non-Violence)
- 4 Okt – Sambutan Hari Binatang Sedunia (World Animal Day)
- 9 Okt – Sambutan Hari Pos Sedunia (World Post Day)
- 10 Okt – Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia (World Mental Health Day)
- 13 Okt – Sambutan Hari Antarabangsa Pembasmian Kemusnahan Semulajadi (International Day for Natural Disaster Reduction)
- 14 Okt – Sambutan Hari Standard Sedunia (World Standards Day)
- 15 Okt – Sambutan Hari Basuh Tangan Peringkat Global (Global Handwashing Day)
- 16 Okt – Sambutan Hari Makanan Sedunia (World Food Day)
- 17 Okt – Sambutan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa (International Day for the Eradication of Poverty)
- 24 Okt – Sambutan Hari Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Day)
- 24 Okt – Sambutan Hari Tindakan Iklim Antarabangsa (International Day of Climate Action)
Sambutan Pada Bulan November
- Sabtu Pertama Nov – Sambutan Hari Kanak-Kanak (Children’s Day)
- Khamis Ketiga Nov – Sambutan Hari Falsafah Sedunia (World Philosophy Day)
- 11 Nov – Sambutan Hari Veteran (Veterans Day)
- 12 Nov – Sambutan Hari Penyakit Paru-Paru Berair Sedunia (World Pneumonia Day)
- 14 Nov – Sambutan Hari Diabetes Sedunia (World Diabetes Day)
- 17 Nov – Sambutan Hari Kelahiran Pra-Matang Sedunia (World Prematurity Day)
- 19 Nov – Sambutan Hari Lelaki Sedunia (International Men’s Day)
- 19 Nov – Sambutan Hari Tandas Sedunia (World Toilet Day)
- 20 Nov – Sambutan Hari Kanak-Kanak Universal (Universal Children’s Day)
- 21 Nov – Sambutan Hari Televisyen Sedunia (World Television Day)
- 25 Nov – Sambutan Hari Penghapusan Keganasan Keatas Wanita Antarabangsa (International Day for the Elimination of Violence against Women)
- 30 Nov – Sambutan Hari Kesedaraan Mencederakan Diri (Self-injury Awareness Day)
Sambutan Pada Bulan Disember
- 1 Dis – Sambutan Hari AIDS Sedunia (World AIDS Day)
- 3 Dis – Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations’ International Day of Persons with Disabilities)
- 5 Dis – Sambutan Hari Tanah Sedunia (World Soil Day)
- 5 Dis – Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day)
- 10 Dis – Sambutan Hari Hak Asasi Manusia (Human Rights Day)
- 11 Dis – Sambutan Hari Gunung Antarabangsa (International Mountain Day)