Hentikan Fitnah!

 

Sempena Persidangan Agung UMNO ke-63 ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya menghentikan perbuatan fitnah, bercakap bohong atau memburuk-burukkan sesama rakan menjelang pemilihan UMNO kerana itu bukan cara mendapat undi untuk mengalahkan calon yang bertanding jawatan-jawatan tertentu. Beliau menegaskan, sebaliknya mereka yang berbuat demikian akan menghadapi risiko diambil tindakan, termasuk oleh pihak berkuasa jika terbukti melakukan perbuatan tidak bertanggung jawab itu. Menurutnya, perbuatan fitnah memfitnah, kata mengata atau memburuk-burukkan seseorang bukan menjadi asas kepada ahli untuk memilih kepimpinan UMNO.

Sumber : Utusan Malaysia Online, 23/3/2009

Hentikan FiItnah!

Begitulah nasihat baik seorang pemimpin kepada ahli-ahli partinya. Namun, sebagai Perdana Menteri Malaysia yang beragama Islam, larangan menfitnah ini janganlah dihadkan kepada ahli UMNO sahaja. Ianya juga mestilah bersifat meluas melingkupi larangan bagi semua agen-agen kerajaan memfitnah individu rakyat yang lain seperti memfitnah para aktivis dakwah dan mereka-mereka yang ikhlas memberi teguran, kritikan, nasihat dan muhasabah kepada UMNO dan kerajaan. Janganlah mereka dilemparkan dengan tuduhan yang bukan-bukan seperti menuduh mereka sebagai ‘orang-orang ganas’, kumpulan ajaran sesat, dituduh hendak menghancurkan negara dsb.

Ini adalah kerana, penglibatan para aktivis dakwah ini dalam menyeru para penguasa agar menegakkan Sistem Khilafah dan menerapkan syariat Islam secara menyeluruh adalah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT. Oleh itu adalah merupakan dosa yang besar bagi agen-agen kerajaan dan mana-mana pihak melemparkan fitnah terhadap para pengembang dakwah yang ikhlas ini.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” [TMQ al-Hujurat : 6]

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” [HR Bukhari dan Muslim].

Penerangan hadis di atas adalah, dosa orang-orang yang menyebar fitnah ini akan menyebabkan pahala-pahala mereka yang terdahulu terhapus sehinggakan seseorang yang menyebar fitnah itu akan menjadi muflis kerana kehabisan pahala di akhirat nanti. Umpama api yang membakar ranting kering, begitu cepat ia merebak namun menjadi debu juga akhirnya.. Nauzubillahi min zalik.