Hidup Sejahtera Di bawah Naungan Khilafah

Selama tiga belas abad, kaum Muslimin menikmati kemakmuran yang tiada tandingannya dengan penerapan peraturan-peraturan Islam di bawah Daulah Khilafah. Kemakmuran ini tidak hanya terbatas pada kemajuan di bidang ilmu pengetahuan dan ubat-ubatan, seperti yang kita sering dengar, melainkan juga pada semua aspek kehidupan termasuk kesejahteraan sosial, kesihatan dan pendidikan. Bahkan di masa kelemahannya, kesejahteraan warga Daulah Islam tetap terjaga, baik Muslim maupun non-Muslim, kerana salah satu fungsi utama negara (menjaga kesejahteraan rakyat) itu tetap dipertahankan .

Hal ini bukanlah suatu yang menghairankan kerana Allah (swt) berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam” [Al-Anbiya (21): 107].

Pemeliharaan Kesihatan

Dalam Negara Islam, kesihatan individu sangat dititikberatkan kerana hal ini merupakan salah satu hak asas manusia, selain daripada keamanan dan pekerjaan. Rasulullah (saw) bersabda:

“Siapa pun yang dalam satu harinya bebas dari penyakit, aman dari gangguan orang lain, dan memiliki makanan pada hari itu, maka hal itu adalah seperti memiliki dunia dan seisinya” [HR at-Tirmidzi dan Ibnu Majah].

Islam memberikan kesihatan percuma kepada rakyat dan penjagaan kesihatan dalam negara merupakan tanggung jawab Daulah Khilafah terhadap semua warganya – baik rakyat yang kaya, miskin, Muslim ataupun non-Muslim. Rasulullah (saw) bersabda:

“Imam (Khalifah) adalah pemelihara dan dia bertanggung jawab atas pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari]

Memberikan kesihatan percuma kepada masyarakat merupakan suatu hal yang dicontohkan oleh Rasulullah (saw) ketika wujudnya Daulah Islam di Madinah. Ibnu Ishaq mencatatkan dalam kitab sirahnya bahawa sebuah khemah telah dibangunkan di masjid dan diberi nama khemah Rufaidah (sempena nama seorang muslimah bernama Rufaidah binti Sa’ad dari suku Aslam), digunakan untuk memberikan diagnosis dan perawatan secara percuma tidak kira kaya ataupun miskin. Ketika Saad ibnu Muadz (ra) terkena panah dalam Peperangan Khandaq, Rasulullah (saw) mengatakan kepada para sahabat untuk membawanya ke khemah Rufaidah. Rufaidah dibayar gaji oleh Negara melalui harta rampasan perang sebagaimana yang disebutkan oleh al-Waqidi dalam kitabnya yang berjudul al-Maghazi.

Penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada warganegara terus berlanjutan sepanjang sejarah Islam dan kaum kafir sendiri yang menjadi saksi akan hal ini. Sebagai contoh, Gomar, salah seorang pemimpin ketika masa Napoleon, sewaktu perang yang dilancarkan Perancis (1798-1801) untuk menduduki Mesir, menggambarkan pelayanan kesihatan dan kelengkapan kesihatan berusia 600 tahun yang dia lihat,

“semua orang yang sakit boleh pergi ke Bimaristan (hospital) bagi orang miskin dan kaya, tanpa perbezaan. Para doktor berasal dari pelbagai daerah dari wilayah timur, dan mereka juga mendapat bayaran yang baik. Terdapat farmasi yang penuh dengan ubat-ubatan dan peralatan, dengan dua jururawat yang melayani setiap pesakit. Mereka yang memiliki gangguan fizikal dan mental diasingkan dan dirawat secara terpisah. Mereka kemudian ditenangkan dengan cerita-cerita dari orang-orang yang telah sembuh (baik secara fizikal mahupun mental) dan akan dirawat di bahagian rehabilitasi. Ketika mereka selesai dirawat, setiap pesakit akan diberikan lima keping emas sehingga para pesakit tersebut tidak perlu bekerja segera setelah mereka meninggalkan hospital.”

Seorang orientalis Perancis, Prisse D’Avennes, menggambarkan hospital yang sama dengan mengatakan,

“wad-wad pesakit terasa dingin kerana menggunakan kipas besar yang terpasang dari satu sisi ruang hingga ke sisi yang lain, atau terasa hangat kerana bau wangian yang dihangatkan. Lantai-lantai bilik pesakit itu ditutupi oleh cabang-cabang (Hinna) pohon delima atau pohon aromatik lainnya.“

Kesejahteraan

Kesejahteraan masyarakat ditunjukkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam kitab Sahih Muslim yang menyatakan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

“Siapa pun yang meninggalkan harta, maka harta itu bagi orang yang mewarisi, dan siapa pun yang meninggalkan anak yang lemah maka dia adalah untuk kami (menguruskannya)” [HR Muslim]

Dalam hal ini, Negara bertanggung jawab untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pakaian bagi rakyat yang tidak mampu, apa pun sebabnya. Kesejahteraan rakyat di bawah kekuasaan Islam adalah hasil daripada penerapan hukum Allah (swt). Contoh di mana Khilafah menunaikan tanggung jawab terhadap rakyat boleh dilihat melalui tindakan Abu Bakar (ra), sebagai Khalifah saat itu, yang melayani seorang perempuan tua lagi buta yang tinggal di pinggiran Madinah. Umar Al-khattab (ra) juga ingin melayani orang tua tersebut, namun telah mendapati bahawa Abu Bakar (ra) telah pun memasak makanan, membersihkan rumah dan mencuci pakaian untuknya.

Layanan dan tanggung jawab yang sama telah dilakukan oleh Umar (ra), ketika menjadi Khalifah di mana beliau memikul sendiri karung gandum dan kembali menuju ke rumah seorang perempuan dan anak-anaknya yang tinggal di luar Madinah, lalu memasak makanan untuk mereka. Beliau (ra) menolak tawaran pembantunya untuk memikul karung tersebut dengan mengatakan, “Adakah kamu akan memikul dosa-dosaku dan tanggung jawab yang dibebankan ke atasku pada Hari Perhitungan kelak?”

Rawatan kesihatan juga terpakai untuk anak-anak kecil. Ketika masa pemerintahan Khalifah Umar, beliau akan memberikan upah setiap kali seorang anak selesai masa menyusu. Namun, suatu hari Umar (ra) mendengar seorang bayi menangis kemudian dia menyatakan kepada ibu anak itu, “Bertakwalah kepada Allah atas bayi anda dan rawatilah dia”. Kemudian ibu itu menjelaskan bahawa dia berhenti menyusui anaknya lebih awal agar dia dapat menerima upah dari Negara. Keesokan harinya, setelah fajar, Umar menyemak kembali pelaksanaan itu dengan membayar upah pada saat kelahiran kerana Umar (ra) takut bahawa Allah (swt) akan meminta pertanggungjawaban dan beliau berkata sambil menangis “bahkan atas bayi-bayi ya Umar!” – yang bererti bahawa beliau takut akan diminta pertanggungjawaban kerana tindakannya itu telah merugikan anak-anak.

Dalam Daulah Islam, haiwan turut dilindungi oleh Sang Khalifah. Ibn Rusyd al-Qurtobi meriwayatkan dari Malik bahawa Umar (ra) melewati seekor keldai yang dibebani dengan longgokan batu. Melihat bahawa haiwan itu nampak menderita, maka beliau mengeluarkan dua longgokan batu yang diambil dari bahagian belakang. Pemilik keldai itu, seorang wanita tua, datang kepada Umar dan berkata, “Wahai Umar, apa yang engkau lakukan dengan keldaiku? Apakah kamu memiliki hak untuk melakukan apa yang engkau lakukan?” Umar menjawab, “Apa pendapatmu yang membuatku ingin mengisi jabatan ini (Khalifah)?”

Apa yang dimaksudkan oleh Umar (ra) ialah – apabila beliau mengambil tanggung jawab memegang jawatan sebagai Khalifah, beliau bertanggung jawab untuk melaksanakan semua hukum Islam, termasuk yang melibatkan haiwan, sebagaimana hadis Rasulullah (saw) yang diriwayatkan oleh Abu Daud, dari Abu Hurairah (ra):

“Berhati-hatilah kamu agar tidak membebani bahagian belakang haiwan, kerana dengannya Allah (swt) telah membuat mereka dapat membawamu ke tempat-tempat yang sukar bagimu untuk mencapainya, dan menciptakan bumi sehingga kamu dapat memenuhi keperluanmu di atas muka bumi.”

Mafhum dari hadis ini ialah kita hendaklah mengasihi binatang dan tidak membebani mereka.

Layanan baik oleh Khalifah seperti yang disebutkan di atas, berlaku pada masa Khilafah ar-Rasyidah hinggalah kepada kehancuran Khilafah pada tahun 1924. Ibnu al-Jawzi melaporkan dalam bukunya mengenai masa hidup Umar Ibn Abdul Aziz, bahawa Umar bertanya kepada para gabenor di seluruh negeri untuk menghitung jumlah semua orang-orang buta, orang-orang berpenyakit kronik, dan orang-orang cacat. Beliau kemudian memberikan seorang pembantu bagi setiap orang buta dan dua orang pembantu bagi setiap orang berpenyakit kronik atau orang cacat, di seluruh negeri Islam yang terbentang dari sempadan China di Timur hingga ke Maroko di Barat, dan dari Rusia di Utara hingga ke Lautan Hindi di Selatan.

Ibnu al-Jawzi juga meriwayatkan bahawa Umar meminta para gabenor itu untuk membawa kepadanya orang-orang miskin dan yang tidak mampu. Apabila mereka datang, Umar memberikan semua keperluan mereka yang diambil dari harta Baitul-Mal. Beliau kemudian bertanya, siapa di antara mereka yang mempunyai hutang dan tidak mampu membayarnya. Beliau kemudian membayarkan hutang-hutang mereka secara penuh menggunakan dana yang diambil dari Baitul-Mal. Lalu beliau bertanya, siapakah yang ingin menikah tetapi tidak mampu, lalu beliau membayar perbelanjaan untuk pernikahan mereka.

Kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di bawah kekuasaan Islam adalah sedemikian baiknya selama masa pemerintahan Khilafah Umar Ibnu Abdul Aziz, sehingga negara tidak menemukan orang-orang miskin yang berhak untuk mendapatkan zakat.

Ibnu Jarir meriwayatkan bahawa pada masa Khalifah al-Walid Ibnu Abdul Malik, Khilafah membangun dan mengelola masjid-masjid, membina jalan, memenuhi keperluan rakyat, memberi wang kepada orang-orang cacat dan orang-orang sakit, dan memerintahkan mereka untuk tidak mengemis melainkan meminta kepada Negara jika mereka tidak memiliki sesuatu untuk mencukupi mereka. Beliau adalah khalifah pertama yang membangun institusi hospital. Beliau menugaskan seorang pembantu bagi setiap orang cacat, seorang pembantu bagi setiap orang buta, membayar gaji bagi para imam masjid, dan membangun tempat rehat bagi para pendatang dari luar dan pelancong ke dalam Daulah.

Selama masa Khilafah Ummayah dan Abbasiyah, rumah rehat telah didirikan di sepanjang laluan para pelancong dari Iraq dan negeri-negeri Syam (sekarang Syria, Jordan, Lebanon dan Palestin) ke Hijaz (kawasan Mekah), lengkap dengan kemudahan air, makanan dan tempat tinggal untuk mempermudahkan perjalanan mereka. Sisa-sisa kemudahan ini masih dapat dilihat pada hari ini di negeri-negeri Syam. Catatan mengenai wakaf untuk beberapa buah hospital di negeri-negeri Syam membuktikan hal ini. Sebagai contoh, adanya catatan tentang hospital waqaf an-Noori di Allipo (Syria) yang menyebutkan bahawa bagi setiap orang sakit mental ditugaskan dua orang pembantu yang bertanggung jawab untuk memandikannya setiap hari, menggantikan pakaian yang bersih, dan membantunya melakukan solat (jika mereka dapat melakukannya) dan mendengarkan Al-Quran, dan menemaninya berjalan / berada di ruang terbuka untuk bersantai.

Khilafah Utsmaniyah juga menjalankan kewajipan ini. Perkara ini dapat dilihat di dalam pelayanan masyarakat iaitu dengan membangun jalur laluan Istanbul-Madinah yang dikenali dengan nama “Hijaz” pada masa Sultan Abdulhameed II untuk memudahkan perjalanan para jemaah ke Mekah serta untuk meningkatkan ekonomi dan politik di daerah yang jauh dari negara Arab. Sementara itu, kaum Muslimin berlumba-lumba untuk menyumbang dan menjadi sukarelawan untuk membangun laluan kereta api tersebut. Khilafah Utsmaniah menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada orang ramai.

Ini hanya sebuah gambaran mengenai bagaimana kehidupan masyarakat di bawah kekuasaan Islam satu ketika dahulu pada masa pemerintahan Khilafah. Semoga Allah (swt) membantu kita semua untuk berusaha mewujudkannya kembali dan menjadikan kita untuk menyaksikannya dan menikmati keberadaan untuk kali yang kedua. Amiiin.

Disunting daripada artikel asal:

(RZ Aulia; www.khilafah.com)

http://hizb-indonesia.info/2010/06/22/hidup-sejahtera-dibawah-naungan-khilafah/