Hinanya cara berfikir seorang duta!

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh melahirkan harapan agar bakal Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama akan dapat membantu dalam proses perdamaian dan menghentikan keganasan tentera Israel yang menduduki negara Palestine.

Katanya, rakyat Palestin menanti-nanti bagi mencapai kedamaian lebih daripada orang lain di dunia ini memandangkan mereka telah merana akibat keganasan dan pelanggaran hak-hak kemanusiaan lebih daripada 60 tahun.

“Kami hanya meminta hak-hak individu kami, kami mahu hidup bebas dan merdeka.

Kami mahukan kasih sayang dan keamanan bagi kawasan kami, anak-anak kami mahu bermain, mereka mahu pergi ke sekolah dan memiliki alat mainan, bukan senjata,” katanya di sini hari ini.

Aboughosh juga berharap Obama akan membantu menyelesaikan masalah teras di negara-negara Timur Tengah demi kestabilan dunia.

Katanya, perjanjian dalam proses perdamaian Isreal-Palestin semasa sidang kemuncak Annapolis tahun lepas, bagi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka adalah sukar dicapai.

Perjanjian Annapolis adalah persetujuan yang dicapai di antara Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert di Annapolis, Maryland, di Amerika Syarikat pada 27 November tahun lepas, dalam usaha untuk mewujudkan keamanan di antara Palestin dan Israel.

“Kami semua menunggu sehingga akhir 2008 untuk menyaksikan kenyataan dan wujudnya sebuah negara Palestin yang merdeka seperti yang dijanjikan Presiden Bush (semasa sidang itu).

“Tapi, malangnya hari ini adalah hari terakhir bagi tahun 2008, hingga infrastruktur rosak dan dimusnahkan oleh pesawat Israel dan pasukan tenteranya.

“Kita dapati runtuhan di bumi Palestin dengan cebisan daging manusia berselerak di semua kawasan di Semenanjung Gaza yang disebabkan oleh bom risikan yang mereka gunakan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 01/01/09

Ulasan:

Alangkah rendah dan hinanya pemikiran yang dimiliki oleh seorang duta, malah apa yang amat dikesalkan adalah kata-kata di atas keluar dari duta Palestin sendiri. Semasa Palestin sedang hebat diserang oleh kuffar Israel, beliau mengharapkan Obama yang merupakan sekutu kuat Isreal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin. Betapa hinanya pemikiran duta Palestin yang sanggup ‘menyembah’ Amerika walhal Amerikalah bapa kepada segala teroris dan Amerikalah yang selama ini telah membunuh jutaan umat Islam.

Obama semasa di dalam kempen untuk menjadi presiden menyatakan dengan jelas dan lantang bahawa sokongannya kepada Israel adalah tidak berbelah bahagi. Sungguh jelek rasanya apabila duta Palestin mengharapkan Obama untuk menyelamatkan Palestin dari Israel!!!

Inilah antara sebab kenapa masalah Palestin tidak pernah selesai, kerana adanya pemimpin yang berpemikiran seperti ini. Mereka masih menaruh harapan kepada kuffar Amerika, sang penyembelih untuk menyelematkan umat Islam.

Duta Palestin ini bukanlah seorang yang buta matanya, namun nampaknya hatinya sungguh buta dan penuh dengan kotoran apabila sanggup merayu kepada Amerika untuk menyelamatkan Gaza. Dia buta bahawa Israel cukup angkuh dan sombong terhadap umat Islam kerana di belakang mereka adalah Amerika. Kekuatan Israel adalah kerana adanya Amerika, dan kekuatan Amerika pula adalah kerana adanya pengkhianatan dari pemimpin kaum Muslimin, termasuklah para duta yang mendukung pemimpin mereka yang khianat ini. Para pengkhianat ini tidak pernah mahu membantu umat Islam, sebaliknya mereka membantu Amerika untuk membunuh umat Islam. Inilah yang menyebabkan Amerika dan Israel selalu menang dan selalu membunuh umat Islam.

Saat ini kita boleh melihat dengan jelas bagaimana US dan sekutu-sekutunya berjaya membodohkan pemimpin umat Islam untuk tunduk kepada mereka. Pemimpin-pemimpin umat Islam yang sedia bodoh sombong pula hanya sekadar melakukan persidangan tergempar di sana-sini bagi membincangkan isu ini tanpa pernah melihat kepada penyelesaian yang datang daripada Islam.

Inilah sebenarnya corak pemikiran yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin sekular umat Islam saat ini. Mereka lebih mengharapkan kufar daripada mengharapkan kepada Allah SWT. Mereka lebih takut kepada gertakan pemimpin kufar barat daripada ancaman azab Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”. [TMQ Al-Munaafiquun (63):9].

Apakah umat Islam terutamanya penguasa-penguasa mereka lupa akan firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan”. [TMQ a-li-‘Imraan (3): 118-120]

Kini bukan masanya untuk persidangan tergempar tetapi sebaliknya yang diperlukan adalah tindakan fizikal dan ketenteraan dari tentera-tentera umat Islam bagi mengajar kebiadapan rejim kufur Israel laknatullah itu. Namun, hingga kini ternyata pemimpin umat Islam masih tetap bacul dan pengecut untuk bertindak.