Hizbut Tahrir: Parti Islam Terbesar Dan Tersolid Di Dunia

Oleh: Arifin Alfatih (Aktivis Islam, penulis buku "Misi Rahsia Mus'ab bin Umair")

“Hizbut Tahrir mengembang idea dan gagasan melanjutkan kehidupan Islam di mana ia mengajak umat Islam di dunia untuk bersatu dalam satu naungan institusi politik Islam yang mampu menjamin kemuliaan mereka, iaitu Khilafah Rasyidah Islamiyah”

______________________________________________________________________________

Ada beberapa fakta menarik yang perlu kita ungkap mengenai Hizbut Tahrir, parti Islam internasional ini.

Hizbut Tahrir sebagai organisasi Islam internasional dari segi idea, pemikiran dan politik mampu menjadi salah satu gerakan berpengaruh mengungguli gerakan-gerakan lain di seluruh dunia termasuk Indonesia.

Kemampuan mereka melakukan kemudi (manuever) politik, kempen dan mendakwahkan Islam menjadi catatan tersendiri di hati umat dan menjadi perhatian para peneliti.

Aksi Bela Islam 212 yang menjadi satu fenomena adalah salah satu ‘master piece’ di mana Hizbut Tahrir turut berperanan penting dalam menjalin dan mempersatukan umat untuk berdiri dengan gagah membela kemuliaan Islam.

Hizbut Tahrir tidak pernah berbicara mengenai jumlah, meskipun ia adalah sebuah parti Islam internasional dan menjadi parti Islam terbesar di dunia, sebab ia wujud hampir di seluruh negara di dunia, ini adalah fakta.

Hizbut Tahrir mengembang idea dan gagasan melanjutkan kehidupan Islam di mana ia mengajak umat Islam di dunia untuk bersatu dalam satu naungan institusi politik Islam yang mampu menjamin kemuliaan mereka iaitu Khilafah Rasyidah Islamiyah.

Sejak didirikan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani pada tahun 1953 M di Al-Quds, Palestin, arah perjuangannya tidak pernah berubah, ideanya solid, persatuan pemikiran, perasaan dan keinginannya untuk diatur dengan hukum Ilahi tidak pernah rapuh apalagi terhapus.

Hizbut Tahrir menyedari bahawa ia akan berhadapan dengan tentangan kekuatan global daripada musuh-musuh Islam dan lawan politik yang tidak ingin Islam kembali bangkit dan berjaya mengatur dunia.

Oleh kerana itu sejak awal, asas Idea, pemikiran dan parti ini sendiri telah dibangun dengan menggunakan struktur idea, pemikiran yang jernih (al-mustanir) dan konsep organisasi yang didasarkan pada landasan kukuh dari konsep Nubuwwah Ilahiyah.

Bahawa selamanya jika umat berpegang teguh pada Islam, maka tidak akan ada kekuatan yang dapat meruntuhkan dan menghancurkannya, dan Hizbut Tahrir menjadikan Islam sebagai asas dan ideologi perjuangannya. Oleh itu, mereka (musuh) sulit, jika tidak dikatakan tidak akan mampu, untuk menghancurkannya (Hizbut Tahrir) .

Saya pernah membaca artikel yang ditulis oleh seorang peneliti dari Belgium, Bruno De Cordier, seorang cendekiawan dari University of Ghent, Belgium yang menulis secara jujur tentang Hizbut Tahrir dan kekuatan politiknya.

Beliau menulis dan menerbitkan artikel tersebut di laman “New Eurasia” pada tanggal 16/3/2011 dengan judul “Explaining the Persistence of Hizb Ut-Tahrir” (“Menjelaskan Kegigihan Hizbut Tahrir”).

Beberapa poin penting yang disampaikan Bruno De Cordier dalam artikel tersebut sangat penting untuk menjelaskan siapa sebenarnya Hizbut Tahrir.

De Cordier menulis:

“Hizbut Tahrir sebagai kelompok fundamentalis yang mungkin paling banyak dilarang secara rasmi di rantau Asia Tengah dan di tempat-tempat lain.”

Seterusnya beliau mengatakan, “Meskipun Hizbut Tahrir mendapat tekanan, malah penindasan di setiap tempat, Hizbut Tahrir masih aktif melakukan pelbagai aktiviti dan kegiatan besar.”

Bruno juga menegaskan bahawa “perjuangan Hizbut Tahrir bukan sesuatu yang naif, kerana keperluan kepada rasa penyatuan dan adanya objektif bersama di dunia Islam merupakan perkara yang diperlukan.”

Kemudian De Cordier membuat kesimpulan tentang Hizbut Tahrir dengan mengatakan, “Oleh kerana itu, apa yang kita lihat dalam Hizbut Tahrir dan konsep Negara Khilafah Islam yang diperjuangkannya, maka saya yakin bahawa Hizbut Tahrir mencerminkan sebuah lembaga dan sistem alternatif untuk sistem globalisasi.”

Begitu juga dengan seorang sejarawan dan penulis asal Switzerland Jean Francois Mayer, yang juga merupakan pengamat gerakan-gerakan agama kontemporari. Tidak berapa lama sebelum ini beliau melakukan penelitian terhadap gerakan Hizbut Tahrir.

Dalam penelitian tersebut beliau menyimpulkan beberapa hal seperti berikut: “Hizbut Tahrir merupakan satu kes yang unik sebagai sebuah parti Islam internasional, di mana ia memiliki cawangan di pelbagai negara di dunia ini, termasuk di dunia Barat. Apa yang lebih menakjubkan, Hizbut Tahrir di pelbagai negara itu ternyata mengikuti metod dan cara yang sama. Hal itu menunjukkan sebuah langkah yang sangat berani demi menjaga kelestarian ideologinya.”

Selanjutnya beliau menulis, “Hizbut Tahrir bukanlah gerakan ‘pacifist’ (*anti-perang, ed). Akan tetapi, di peringkat ini Hizbut Tahrir tidak pernah menggunakan kekerasan dalam pelbagai aktivitinya meskipun kritikan dan seruannya sangat ekstrem. Sungguh amat menghairankan ramai anggotanya yang benar-benar dapat mengawal emosi mereka meskipun tekanan semakin bertambah”.

Mayer kemudian mengatakan: “Hizbut Tahrir selalu mengungkapkan akan keperluan kepada Khilafah sebagai sebuah penyelesaian bagi seluruh masalah yang menimpa dunia Islam. Hizbut Tahrir menolak secara keseluruhan konsep negara-bangsa (nation-states). Hizbut Tahrir ingin mendirikan negara Islam (Khilafah) yang akan menyatukan seluruh negeri kaum Muslimin, dan pada puncaknya, seluruh dunia.”

Lalu kesimpulan Mayer tentang Hizbut Tahrir ditutup dengan kenyataan, “Boleh jadi masa depannya (Hizbut Tahrir) benar-benar akan cemerlang.”

Berdasarkan paparan penelitian dari Belgium dan paparan sejarawan asal Switzerland di atas, maka kita dapat membuat kesimpulan umum bahawa Hizbut Tahrir adalah salah satu parti alternatif yang akan menjadi tumpuan dan harapan umat dalam usaha menyatukan kekuatan umat Islam di seluruh dunia dalam naungan institusi politik umat Islam iaitu ad-Daulah al-Khilafah al-Islamiyyah.

Hizbut Tahrir menyedari bahawa ia tidak hanya memiliki musuh di depan mata, tetapi juga musuh dalam selimut dan virus-virus yang melemahkan Islam, dan sejauh ini Hizbut Tahrir mampu mengklasifikasi dan mengurai simpul-simpul itu sehingga ia mampu mengambil langkah untuk menghapuskan dan membongkar dengan jelas siapa kawan dan siapa lawan serta siapa yang menjadi musuh bersama (common enemy) Islam sebenarnya.

Sejauh ini, sudah banyak musuh Islam dan lawan politik yang kepanasan melihat kemudi politik Hizbut Tahrir yang kian menunjukkan eksistensinya meskipun dihalang dengan pelbagai tekanan dan penganiayaan.

Pelbagai cara sudah mereka lakukan untuk membunuh, mendiamkan dan melenyapkan Hizbut Tahrir, namun nampaknya usaha mereka menemui kegagalan, sebab Hizbut Tahrir tetap wujud di tengah-tengah umat dan mereka (para musuh Islam) menyaksikan hal tersebut dengan kemarahan yang amat sangat.

Satu hal yang gagal difahami oleh musuh-musuh Islam ialah bahawa usaha mereka untuk menghancurkan dan menghapuskan Islam dari muka bumi adalah tindakan bodoh dan sia-sia belaka. Hizbut Tahrir menggenggam dan mengembang apa yang tidak akan dapat dihapus dan dihancurkan oleh musuh-musuh itu, iaitu Islam!

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahkuKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [An-Nur (24):55].

“Kemudian akan kembali Khilafah yang mengikuti metode kenabian” [HR.Ahmad]

Wallahu a’lam..

 

Artikel Bruno De Codier sepenuhnya:

https://thehizbuttahrirwatch.wordpress.com/category/news-about-hizb-ut-tahrir/hut-america/persistance-of-hizb/

Artikel asal:
https://www.facebook.com/nahdah.islam.7/posts/147681196736421