Hormat Dewan atau Siapa?

altIPOH 12 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dari DAP, Nga Kor Ming mencetuskan kontroversi apabila tidak memakai pakaian istiadat dan bersongkok pada majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12 Perak hari ini. Beliau satu-satunya ADUN yang memakai pakaian long suit berwarna kelabu sedangkan ADUN lain memakai pakaian istiadat dan bersongkok.

“Tindakan beliau itu jelas tidak menghormati Dewan. Sudahlah tidak memakai pakaian istiadat, pada masa sama tidak bersongkok,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib. Katanya, tindakan itu amat dikesali kerana ia seolah-olah tidak menghormati kehadiran Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang merasmikan istiadat pembukaan DUN hari ini.

Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan berkata, sebagai bekas Exco dan telah menjadi wakil rakyat sejak 1999, Kor Ming seharusnya tahu pakaian istiadat yang perlu dipakai pada hari perasmian adalah pakaian nombor satu. “Sepatutnya dia hormat kepada dewan kerana tuanku ada dalam dewan. Tapi hari ini saya nampak beliau pakai long suit, itu pun warna kelabu dan bukan warna hitam,” katanya ketika ditemui di sini. Sementara itu, Kor Ming pada satu sidang akhbar di Wisma DAP negeri selepas itu, menegaskan, pakaian beliau seratus peratus mengikut Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Negeri Perak dan ia merupakan antara pakaian pilihan yang dibenarkan. “Tidak timbul soal saya tidak menghormati sidang DUN dan tuanku (Raja Dr. Nazrin). Jauh di sudut hati saya, saya sangat menghormati sidang DUN dan tuanku,” katanya.

Sumber: Utusan.com

Tujuan asal kehidupan ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Sang Pencipta, Allah SWT. Mengerjakan apa sahaja yang diperintahkan-Nya dan mencegah serta menjauhi apa sahaja yang dilarang-Nya merupakan prinsip asas bagi orang-orang yang berakal. Antara perkara yang diperintahkan Allah SWT adalah hormat kepada ibu-bapa, orang lebih tua dan sesama muslimin. Namun, apa yang berlaku di sini adalah manusia memilih untuk mengadakan suatu majlis legislatif, yang langsung tidak bersandar kepada Islam dan ditetapkan pula suatu undang-undang yang memastikan bahawa ‘majlis’ ini ‘suci’ dan wajib ‘dihormati’. Wajarkah suatu ‘majlis’ yang menolak peranan Allah sebagai ‘musyarri’’ dihormati sebegitu rupa? Di manakah letaknya akal-akal mereka? Bukankah ini mirip ‘pendewaan’ kepada selain dari Allah?