HTM bantah penculikan jurucakap rasmi HT di Pakistan

KUALA LUMPUR 7 Jun – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah melakukan demonstrasi aman di luar Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini hari ini. Demonstrasi ini merupakan kali yang kedua dilakukan berhubung penculikan jurucakap rasmi Hizbut Tahrir Pakistan, Naveed Butt, oleh rejim Pakistan kira-kira setahun yang lalu yang sehingga kini nasib beliau masih tidak diketahui.

Dua orang wakil HTM dibenarkan memasuki bangunan sebelum pagarnya ditutup bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak Pesuruhjaya. Malangnya Pesuruhjaya Tinggi tidak keluar untuk mengambil memorandum tersebut atas alasan mesyuarat. Wakil HTM cuba menyerahkannya kepada pegawai yang bertugas, namun pegawai berkenaan juga turut enggan menerima memorandum berkenaan.

HTM amat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh Pesuruhjaya dan pegawai yang berkenaan. Bagaimana pun, memorandum bantahan tersebut akhirnya dimasukkan ke dalam peti surat yang terletak di pintu pagar bangunan.

Pada masa yang sama, HTM melaungkan seruan di luar pagar bangunan Suruhanjaya agar pihak rejim membebaskan segera Naveed Butt dan mengingatkan rejim Pakistan yang apabila Khilafah tegak sedikit masa lagi, Khalifah sudah pasti tidak akan membiarkan jenayah yang dilakukannya ini begitu sahaja.
 


 

[youtube:http://www.youtube.com/watch?v=2P6Pmwgo3ec]