HTM cawangan JB adakan diskusi cara tegak Negara Islam

KEMPAS  1 Julai – Bertempat di Dewan Utama Khilafah Centre, Hizbut Tahrir Malaysia Cawangan Johor Bahru telah mengadakan suatu Diskusi Ilmu yang bertajuk “Meneladani Rasulullah Membina Negara Islam”. Majlis yang bermula pada pukul 9.15 pagi itu mendatangkan dua orang ahli panel iaitu Sdr Wazir Jaafar dan Sdr Farhan Yahya.

Wazir menjelaskan metode meletakkan sunnah sebagai rujukan dalam perjalanan hidup dan mengambil sirah sebagai perjuangan menegakkan Negara Islam yakni Khilafah. “Umat Islam sering mengambil sirah hanya sebagai sejarah atau cerita-cerita teladan yang mana pengajaran hanya diambil dari kisah-kisah ibadah dan amalan individu, sedangkan di dalam sirah terdapat cara Rasulullah berpolitik, berdakwah dan mendirikan Negara Islam dengan method yang diwahyukan oleh Allah, yang pasti membawa kemenangan”, ujar Wazir semasa membentangkan tajuk Mendudukkan Posisi As-Sunnah Dalam Kehidupan.

Dalam pembentangan kedua yang bertajuk Meneladani Rasulullah Dalam Mendirikan Negara Islam pula, Farhan telah menjelaskan bagaimana Rasulullah membentuk akidah dan syakhsiyah para sahabat, lalu membentuk sebuah kutlah (kumpulan) dakwah untuk menyebarkan Islam, melakukan penggulatan pemikiran dengan penduduk Mekah, melakukan strategi-strategi politik, serta strategi mengambil alih kekuasaan mutlak tanpa sebarang kompromi dan tanpa kekerasan. Farhan menjelaskan bahawa kesemua tahapan ini diikuti satu persatu oleh Hizbut Tahrir tanpa penyimpangan sedikitpun daripada apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Sesungguhnya cara yang benar di dalam menegakkan Negara Islam hendaklah bercermin kepada sirah Rasulullah, bukannya bercermin kepada sistem demokrasi ciptaan Barat. Inilah yang seharusnya disedari dan diikuti oleh umat Islam agar tidak terus terjerumus ke dalam dosa dan kesalahan dalam usaha mulia menegakkan sebuah Negara Islam yang bergelar Khilafah.