HTM desak Modi hentikan penindasan ke atas umat Islam di India
KUALA LUMPUR 6 Mac – Di saat tragedi politik masih belum reda di Malaysia, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) tidak lupa kepada nasib yang menimpa saudara-saudara seakidah di India, khususnya di New Delhi yang sekarang ini sedang dibantai oleh ekstremis Hindu dengan restu Perdana Menteri India, Narendra Modi. HTM telah menggerakkan umat Islam untuk melakukan bantahan ke atas Modi dengan menganjurkan perhimpunan aman di Suruhanjaya Tinggi India di Jalan Pahang hari ini.
Perhimpunan aman yang bermula di sebuah masjid berdekatan itu diketuai oleh Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman. Lebih kurang 200 orang peserta berarak dari Masjid Jamiul Ihsan dengan membawa banner dan sepanduk di samping melaungkan kata-kata “Hidup Islam, Hancur Kuffar, Hancur Kezaliman” dan “Ukhuwwah Islamiyyah” yang diselang seli dengan laungan Takbir di sepanjang jarak 250 meter ke Suruhanjaya Tinggi berkenaan.
Dalam memorandum yang berkenaan, HTM mengutuk sekeras-kerasnya kejahatan yang dilakukan oleh Modi dan ekstremis Hindu di India ke atas kuam Muslimin, serta mendesak Modi supaya menamatkan serta-merta sebarang bentuk penindasan dan diskriminasi ke atas umat Islam di India. HTM juga memberi peringatan kepada Modi bahawa Khilafah yang sedang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir dan umat Islam di seluruh dunia bakal berdiri tidak lama lagi, dan lebih baik bagi Modi menghentikan segera segala kezalimannya ke atas umat Islam sebelum Modi dihentikan oleh Khilafah yang bakal muncul.
Antara mesej tegas yang terkandung dalam memorandum yang disampaikan itu termasuklah gesaan supaya Modi mengembalikan semula hak umat Islam India yang sedang dinafikan oleh rejimnya menerusi Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang amat jelas mendiskriminasi umat Islam yang telah hidup sejak sekian lama di bumi India.
Walau bagaimanapun, tiada wakil daripada Suruhanjaya Tinggi India yang tampil untuk menerima memorandum bantahan tersebut. Abdul Hakim dalam ucapannya selepas itu menyatakan kekesalannya atas perkara tersebut sambil menyifatkan yang keengganan wakil untuk menerima memorandum tersebut sebagai suatu tindakan yang bacul yang membuktikan kesalahan rejim India ke atas kaum Muslimin di sana. “Mereka seharusnya menerima memorandum ini dengan profesional walaupun mereka tidak bersetuju” ujar Hakim dalam sidang media sejurus selesai perhimpunan.
Semasa berucap di perhimpunan tersebut, Jurucakap HTM itu juga turut menempelak kerajaan yang langsung tidak bertindak, walaupun sebatas mengeluarkan kecaman terhadap apa yang menimpa kaum Muslimin di India. Dalam masa yang sama kerajaan turut digesa agar menutup Suruhanjaya Tinggi India dan mengusir Pesuruhjaya mereka.
Ustaz Hakim turut menyampaikan mesej bahawa tentera kaum Muslimin, apatah lagi di Pakistan wajib bergerak untuk membantu saudara-saudara seakidah yang sedang ditindas oleh kekuatan sebuah negara di India. “Jihad wajib dilancarkan oleh pasukan tentera umat Islam” laung beliau dengan penuh semangat yang disambut dengan Takbir oleh para peserta.
Demonstrasi bersurai setelah berhimpun selama kira-kira setengah jam dalam keadaan tertib tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
HTM dengan ini merakamkan terima kasih kepada seluruh peserta yang hadir dan juga kepada anggota PDRM yang bertugas di sepanjang perhimpunan aman tersebut.