HTM serah memo desak kerajaan buka semula masjid
Jumaat minggu ini merupakan minggu ke-12 masjid di seluruh negara ditutup untuk solat Jumaat sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun selepas banyak desakan dilakukan, di samping luahan kekecewaan dan ketidakpuasan hati banyak pihak yang hampir setiap hari kedengaran, namun kerajaan sekular ini tetap sahaja tidak mempedulikan semua itu.
Sejak minggu lepas, beberapa buah masjid telah dibuka untuk solat Jumaat, tetapi terhad kepada bilangan jemaah yang amat sedikit, itu pun hanya Imam dan AJK masjid sahaja yang dibenarkan.
Atas dasar itu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah bertindak untuk menyerahkan memorandum kepada hampir seluruh Jabatan Agama Islam Negeri, bagi mendesak mereka membuka semula masjid dengan kadar yang segera bagi membolehkan seluruh umat Islam menunaikan fardhu Jumaat. Dalam memo tersebut, HTM menjelaskan mengenai keharaman pemerintah menutup masjid di samping melampirkan SOP yang dicadangkan untuk diambil, sebagai langkah keselamatan ke atas setiap jemaah.
Hampir semua Jabatan Agama Islam Negeri menerima memorandum dengan baik, namun itu bukanlah suatu petanda yang memuaskan selagi rumah-rumah Allah (swt) tidak dibuka seperti sedia kala.