Hudud: Dulu lain sekarang lain

Dulu Pas adalah parti yang banyak mendesak atau yang paling komited dalam membawa isu hudud untuk dibincangkan dalam Parlimen dan dijadikan undang-undang. Perjuangan untuk melaksanakan hudud dan meminda Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 tidak pernah sunyi dari mulut Pas.

Namun hari ini ketika Pas sudah berada di tampuk pemerintahan, nadanya telah berubah dan hal ini bukan sahaja diketahui oleh ahli-ahli Pas, tetapi seluruh rakyat jelata. Dulu hudud adalah keutamaan Pas, tetapi setelah menjadi sebahagian daripada parti pemerintah, hudud nampaknya telah diletakkan di nombor yang tercorot dalam perjuangan.

Kenyataan terbaru salah seorang perwakilan Pas Kelantan dalam Muktamar Pas Ke-66, Datuk Hassan Mohamood, mengukuhkan lagi hakikat yang Pas telah “mencampakkan” hudud ke belakang. Sebagaimana dilaporkan, beliau telah menyatakan semasa berucap di muktamar, bahawa isu hudud tidak perlu dipersoalkan lagi bilakah ia akan dilaksanakan. Ini kerana Pas kini mengutamakan pemerkasaan pentadbiran kerajaan. Beliau mengingatkan ahli Pas agar tidak terpengaruh dengan persoalan bilakah hudud akan dilaksanakan, kerana itu merupakan “suara syaitan”!

Kenyataan ini amat jelas bertentangan dengan banyak kenyataan pemimpin Pas sebelum ini, iaitu sebelum mereka berkongsi kuasa dengan PN. Presiden Pas, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pernah menyatakan yang Pas akan tetap melaksanakan hudud walaupun ditentang (Sinar, 25 April 2015), walaupun ketika itu mereka sedang ditentang hebat oleh parti lain, termasuk parti yang bertahaluf dengannya.

Hakikatnya, jika dibanding kenyataan-kenyataan Pas sebelum dan selepas memegang kuasa, tidak jauh beza dengan parti sekular yang berjuang dalam demokrasi. Kesemua parti yang berjuang dalam demokrasi akan menabur pelbagai janji manis demi meraih sokongan dan undi, atau dengan kata lain demi meraih kepentingan politik mereka. Mereka sudah tidak malu untuk memperdaya ahli-ahli parti mereka dan juga rakyat. Apa yang penting bagi mereka adalah untuk menabur sebanyak mungkin janji manis terlebih dahulu dalam rangka meraih kemenangan. Setelah menang, jika janji tidak ditepati, maka bermacam-macam alasan boleh diberikan.

Dari sudut lain, hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa usaha penerapan Islam dalam sistem kufur demokrasi yang berasal dari Barat ini hanyalah satu khayalan belaka. Selain tidak berkemampuan dan tidak bersedia, parti Islam yang berjuang dalam demokrasi tidak akan dapat merealisasikan penerapan hukum Allah kerana pelbagai sebab, termasuklah halangan daripada Perlembagaan negara, yang mereka sendiri taati!

Tambahan lagi, undang-undang Allah yang ingin dilaksanakan itu “wajib” mendapat persetujuan majoriti manusia di Parlimen, yang menjadikannya bukan lagi undang-undang Allah jika diluluskan sekali pun! Ini kerana undang-undang Allah sesungguhnya tidak tertakluk kepada kelulusan manusia. Ia wajib dilaksanakan tidak kira manusia bersetuju atau tidak. Malah jika keseluruhan manusia tidak bersetuju sekalipun, ia tetap wajib dilaksanakan!

Sebagai Muslim, kita perlu faham bahawa hukum Allah, tidak kira hudud, jinayat, ta’zir atau lain-lain, kesemuanya merupakan hukum syarak yang wajib dilaksanakan tanpa sebarang alasan. Siapakah kita untuk memberi alasan itu dan ini, begitu dan begini, untuk tidak menerapkan hukum Allah? Firman-Nya,

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالاً مُّبِيناً

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata” [Al-Ahzab (33): 36].

Sebagai Muslim, kita harus sedar bahawa sistem demokrasi merupakan sistem kufur ciptaan Barat yang “didesign” bukan untuk menerapkan hukum Allah, sebaliknya untuk menghalang pelaksanaan hukum Allah itu sendiri. Kita telah menyaksikan di seluruh dunia, dan di depan mata kita sendiri di Malaysia, parti Islam mana pun yang naik ke tampuk pemerintahan melalui jalan demokrasi, tidak satu pun yang berjaya menerapkan Islam. Apa yang menyedihkan ialah parti Islam yang bertukar menjadi parti yang tunduk patuh kepada hukum sekular dan mereka memberi alasan demi alasan untuk tidak menerapkan Islam!

Selagi parti Islam bergelumang dengan sistem kufur demokrasi, walaupun niat dan cita-citanya baik iaitu untuk menerapkan Islam, ia hanya tinggal niat dan cita-cita. Islam hanya menjadi slogan dan laungan, dan kekal termaktub dalam manifesto kempen pilihanraya sampai bila-bila, sungguhpun parti Islam itu telah berkuasa!

Sesungguhnya hukum Allah hanya akan dapat diterapkan secara kaffah melalui perjuangan yang benar, perjuangan di luar gelanggang demokrasi, perjuangan yang mengikuti jejak langkah Rasulullah (saw) dan dengan tegaknya negara Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.

Wallahu a’lam.

Editor