Hukum Kopi Luwak (Civet Coffee)
Apakah hukumnya kopi luwak? Bolehkah ia diminum dan dijualbeli?
Jawapan :
Kopi luwak (civet cofee) adalah biji kopi yang telah dimakan oleh luwak atau sejenis musang (nama saintifik Paradoxurus hermaphrodites). Biji kopi ini kemudiannya keluar bersama-sama najisnya (tahinya), lalu ia dikutip dan diproses untuk menjadi kopi luwak. Dalam proses pencernaan dalam tubuh luwak, berlaku proses fermentasi (penapaian) pada suhu optimum antara 24-26 darjah celcius dengan dibantu oleh beberapa jenis enzim dan bakteria tertentu. Proses fermentasi inilah yang menjadikan kopi luwak berbau harum serta memiliki rasa yang sangat sedap.
Biji kopi yang keluar bersama-sama najis ini masih diselaputi oleh kulit, iaitu kulit luar yang keras mirip seperti tempurung kelapa. Jadi, biji kopi tersebut sebenarnya langsung tidak hancur atau hadam dalam pencernaan luwak tersebut. Malah, sifat biologi biji kopi tersebut juga tidak berubah. Jika biji kopi tersebut ditanam semula, ia akan tumbuh.
Dalam proses pembuatan kopi luwak ini, terdapat 5 langkah utama yang perlu dilalui:
Pertama, penjemuran najis (tahi) luwak di bawah terik matahari (full sun drying) sehingga kadar airnya berbaki kira-kira 20 – 25%. Kedua, memisahkan kulit luarannya melalui proses penumbukan, sama ada secara tradisional ataupun moden sehingga keluar biji kopi mentah (green coffee beans). Ketiga, proses pencucian dengan air yang mengalir. Keempat, proses penggorengan (roasting) secara tradisional ataupun moden. Kelima, proses pengisaran (grinding) untuk mendapatkan bijian kopi yang halus. Demikianlah sekilas fakta (manath) tentang kopi luwak dan langkah-langkah proses pembuatannya.
Daripada sini, terdapat beberapa hukum syara’ yang dapat diterapkan terhadap fakta-fakta tersebut:
Pertama, biji kopi luwak yang keluar bersama-sama tahi itu bukanlah najis, tetapi ia adalah mutanajis. Mutanajis didefinisikan sebagai sesuatu benda yang asalnya suci, lalu ia terkena najis daripada benda yang lain. (Rawwas Qal’ahjie, Mu’jam Lughah Al-Fuqaha`, hal. 309).
Jadi, biji kopi luwak ini asalnya adalah suci, lalu terkena kotoran najis luwak sehingga menjadi mutanajis. Kaedah fiqh menyatakan :
الأصل في الأعيان الطهارة و النجاسة عارضة
Kedua, biji kopi yang mutanajis ini termasuk sebagai benda yang masih boleh disucikan, iaitu melalui proses pemisahan kulit luarannya dan juga proses pencucian dengan air. Para ulama menyatakan bahawa mutanajis mempunyai dua jenis;
(1) yang dapat dikembalikan kepada keadaan asalnya iaitu suci, dengan membersihkannya daripada najis. Contohnya baju yang terkena najis.
(2) yang tidak dapat disucikan, seperti air susu yang bercampur dengan najis. (Mahmud Abdul Latif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Al-Salah, 1/126; Taqiyuddin Al-Husaini, Kifayatul Akhyar, 1/241-241).
Ketiga, sifat biologi biji kopi mutanajis ini langsung tidak berubah. Oleh kerana itu, ia dianggap suci jika sudah dicuci bersih dengan air. Bukti bahawa sifat biologinya tidak berubah adalah jika biji kopi tersebut ditanam, ia masih dapat tumbuh semula. Imam Nawawi RA berkata :
قال أصحابنا رحمهم الله إذا اكلت البهيمة حبا وخرج من بطنها صحيحا فان كانت صلابته باقية بحيث لو زرع نبت فعينه طاهرة لكن يجب غسل ظاهره لملاقاة النجاسة
Kesimpulannya, kopi luwak hukumnya boleh (halal) untuk diminum, dengan syarat dalam proses pembuatannya dilakukan pencucian dengan air sehingga bersih. Kopi luwak juga boleh (mubah) untuk dijual beli kerana ia sudah menjadi benda yang suci. Kaedah fiqih ada menyatakan :
الأصل أن جواز البيع يتبع الطهارة
Muhammad Siddiq Al-Jawi