Hukum Membina Masjid di Atas Tanah yang Diceroboh
1. Melihat kepada beberapa tempat sembahyang agama-agama lain di atas tanah yang statusnya banyak diragui, seperti yang berlaku baru-baru ini, maka perlunya satu penjelasan bagaimana Islam mengatur persoalan tempat rumah ibadat umat Islam (masjid dan surau). Semua ini agar kejadian sama yang berlaku dalam ajaran agama lain tidak menimpa umat Islam sehingga menjadi konflik dalaman.
2. Apabila meneliti secara zahirnya tempat-tembat ibadat agama lain di Malaysia, kelihatannya ia seolah berada di atas tanah persendirian orang lain, dan dalam masa yang sama penganutnya pula bersikap keras kepala untuk berpindah. Islam sebagai agama dan cara hidup (way of life) yang lengkap telah pun mengatur bagaimana serta ‘di mana’ sepatutnya seorang muslim itu menunaikan solat (sembahyang). Secara umumnya umat Islam boleh sembahyang di mana-mana sahaja kecuali di kamar mandi dan kubur.
3. Namun begitu, bagaimana pula status hukumnya jika kita menceroboh tanah orang lain untuk membina surau atau secara peribadi kita bersolat di atas tanah yang diceroboh? Para ahli fiqh telah membincangkan isu ini dalam satu bab hukum;
الصلاة في الأرض المغصوبة
Solat di atas tanah yang diceroboh (dirampas)
4. Ulama sepakat bahawa haram solat di atas tanah yang diceroboh, namun berbeza pendapat sama ada solat tersebut itu dalam tiga hukum sama ada;
- Batal
- Sah
- Tidak mendapat pahala
5. Mengikut pendapat Imam Ahmad ibn Hanbal, Al-Jubai’ dan sebahagian yang lain pula daripada kalangan ulama’ muktazilah menyatakan solat ini baatilah (batal). Ini sebagaimana yang dinukil oleh Imam Nawawi dalam kitabnya iaitu Syarah Muhazzab. Jadi menurut pendapat ini bermakna solat batal, tidak sah dan tidak ada pahala. Perkara ini memberikan kesan bahawa solat tersebut perlu diulang di tanah yang tidak dicerobohi.
6. Sedangkan menurut pandangan jumhur ulama dan pandangan Mazhab Syafi’e, solat ini sah namun yang menjadi perselisihan adakah ia mendapat pahala? Imam Nawawi menyatakan “Solat di atas tanah yang diceroboh hukumnya haram, solatnya sah mengikut pandangan kami (mazhab syafi’e) sebagaimana pandangan jumhur ulama” [Syarah Muhazzab]. Imam Syirazi pula menukilkan bahawa :
ولا يَجوز أن يُصلَّي في أرض مغصوبة؛ لأن اللَّبْثَ فيها يَحرُم في غير الصلاة، فلأنْ يَحرُم في الصلاة أولى، فإن صلى فيها صَحَّتْ صلاته؛ لأنَّ المَنْع لا يَختَصُّ بالصلاة، فلا يَمنَع صحتها
Tidah boleh untuk solat di atas tanah yang diceroboh, kerana masalah ini bukan persoalan solat sahaja namun mendiami tanah itu sendiri hukumnya haram, maka lebih-lebih lagi haram hukumnya jika bersolat. Namun jika dia solat di atas tanah itu solatnya tetap sah, kerana larangannya bukan khusus untuk solat sahaja, maka ini tidak menghalang dari sahnya solat itu” [al-Majmu’ Syarah Muhadzab, an- Nawawi (3/163)].
7. Persoalan terakhir dalam isu perbezaan pendapat ini ialah adakah jika sah solatnya di atas tanah yang diceroboh itu, pelakunya akan mendapat pahala? Sekali lagi terdapat perbezaan pandangan dalam hal ini, Imam Nawawi berkomentar;
هل في هذه الصلاة ثواب أو لا؟ فمنهم من قال: يَسقُط بها الفرْض ولا ثواب فيها، ومنهم من قال: هو مُثاب على فِعْله عاصٍ بمُقامه.
Adakah solat ini (merujuk kepada solat di atas tanah yang diceroboh) mendapat pahala atau tidak? Maka sebahagiannya berpendapat “Kewajipan solat itu gugur dan juga tidak mendapat pahala” Manakala sebahagian lain pula berpendapat “solat itu mendapat pahala, tetapi perbuatan melakukannya di atas tanah ceroboh merupakan maksiat”.
8. Inilah sepintas lalu berkenaan hukum solat dan mendirikan surau atas tanah persendirian yang diceroboh. Ulama bersepakat bahawa HARAM melakukan solat atas tanah yang diceroboh, namun mereka berbeza pendapat dalam masalah sama ada solat itu batal, sah atau mendapat ganjaran pahala.
9. Jelas sekali bahawa Islam telah meletakkan garis panduan untuk rumah ibadahnya, sedangkan agama lain di Malaysia seolah-olah mereka tidak ada peraturan yang jelas untuk menangani harta persendirian orang lain dengan masalah ibadah mereka.
10. Dicatatkan dalam sejarah para sahabat yang agung, bahawa Umar al-Khattab ra telah menyelesaikan masalah antara walinya di Mesir ketika itu iaitu Amru bin Ash dengan seorang Yahudi tua. Pertikaian berlaku apabila Amru bin Ash merampas tanah si Yahudi tua itu untuk tujuan untuk mendirikan masjid. Si Yahudi tua telah datang mengadu pada Khalifah Umar al-Khattab lalu beliau mengirim tulang busuk kepada walinya Amru bin Ash dengan digores di atas tulang itu huruf ‘alif’ dengan mata pedang. Umar al-Khattab telah memenangkan Yahudi tua itu di atas perlakuan Amru bin Ash. Catatan sejarah Islam ini dapat dijadikan pengajaran dan membuktikan bahawa walaupun atas nama mendirikan masjid, niat yang suci tersebut tidak menghalalkan pencerobohan dan perampasan terhadap harta persendirian.
Ustaz Korie
Aktivis HTM