Hutang dan Nikah pun Dijamin oleh Khilafah
Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah selama tidak lebih daripada 2 tahun, banyak dasar strategik yang dilakukannya. khususnya berkaitan jaminan keperluan dasar dan kesejahteraan masyarakat. Sumber Baitul Mal pada waktu itu, bukan hanya zakat, tetapi juga jizyah, dharibah, khumus rikaz (seperlima harta temuan), ghanimah (harta rampasan perang) dan kharaj. Semuanya dikelola sedemikian rupa, sehingga boleh diagih-agihkan kepada masyarakat, termasuk subsidi secara langsung.
Kepada Wali Iraq, Abdul Hamid bin Abdurrahman, sang Khalifah mengarahkan, “Bahagikan subsidi itu kepada rakyat.” ‘Abdul Hamid pun membalas surat sang Khalifah, katanya, “Saya telah membahagikan subsidi mereka, tetapi harta di Baitul Mal masih berlimpah.” Khalifah Umar bin Abdul Aziz pun mengarahkan, “Kalau begitu, periksalah orang-orang yang mempunyai hutang dengan teliti, hitung benar-benar agar tidak terlepas, lalu bayarlah hutangnya.” Sang Wali pun menjawab surat Khalifah, “Sesungguhnya, saya juga telah membayar hutang-hutang mereka, tetapi harta di Baitul Mal masih berlimpah.” Maka, sang Khalifah pun mengarahkan, “Kalau begitu, carilah para pemuda dan pemudi yang tidak mempunyai harta, dan ingin menikah. Nikahkanlah mereka, dan bayarlah mas kahwinnya.” Abdul Hamid pun membalas titah sang Khalifah, “Saya pun telah menikahkan mereka, tetapi harta di Baitul Mal masih juga berlimpah.”
Khalifah Umar bin Abdul Aziz pun mengarahkan kepada Walinya itu, “Siapa saja yang mempunyai kewajipan membayar jizyah atau kharaj, tetapi mempunyai kesulitan, maka berilah pinjaman sejumlah harta agar boleh mengelolakan tanahnya, kerana aku tidak ingin mereka berterus-terusan dalam penderitaan dalam satu hingga dua tahun.” Mereka pun mendapatkan pinjaman modal daripada Baitul Mal, sehingga tanah-tanah pertanian mereka pun terkelola dengan baik. Pendapatan negara pun meningkat, seiring dengan meningkatnya produktiviti masyarakatnya.
Melimpahnya harta Baitul Mal ini merupakan hasil daripada dasar-dasar ekonomi dan politik yang adil. Menurut Ibn Katsir, ketika Khalifah al-Mu’tadhid (Khalifah Abbasiyyah) wafat (279 H), beliau telah mewariskan dana Baitul Mal sebesar 17 juta dinar atau setara dengan RM20,952,500,000 [dengan nilai RM290 segram emas pada hari ini]. Dana ini sangat besar untuk ukuran zaman itu.
Dengan dana yang begitu besar, tidak ada kesulitan bagi Baitul Mal untuk mendanai seluruh keperluan asas rakyatnya, seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan keamanan. Bahkan, bukan hanya keperluan asas yang boleh dipenuhi oleh negara, namun negara khilafah juga mampu memberikan subsidi, melunasi hutang-hutang, sekali gus membiayai pernikahan mereka yang tidak mampu menikah.
Dasar-dasar ekonomi seperti ini tidak pernah ada dalam sejarah peradaban mana pun, kecuali peradaban Islam yang agung dan mulia. Maka, wajarlah jika Umar bin Abdul Aziz dalam dua tahun sahaja boleh menghapuskan kemiskinan, sehingga tidak ada lagi mustahiq (orang yang layak menerima) zakat lagi, kerana kerja keras dan keadilannya yang luar biasa. Begitulah indahnya sistem Islam, jika diterapkan dengan baik dan sempurna. Hasilnya sungguh luar biasa. [] HAR, dari berbagai sumber
[Disunting dari: http://hizb-indonesia.info/2015/05/25/utang-dan-nikah-pun-dijamin/]