Skim Pemilikan Rumah: Sebuah manipulasi beban hutang bukan subsidi..!

KUALA LUMPUR: Maybank lslamic Bhd melancarkan produk HouzKEY, skim inovatif sewa beli hartanah (RTO) pertama seumpamanya di Malaysia. Ia memberikan penyelesaian alternatif kepada pembeli rumah pertama dan bagi mereka yang ingin menaik taraf rumah sedia ada.

Skim itu tidak memerlukan bayaran pendahuluan tetapi menawarkan harga pembelian tetap untuk pelanggan. Produk perintis HouzKEY ini terbuka kepada isi rumah yang berpendapatan minimum RM5,000 dengan ciri khas termasuklah pembayaran sewa rata untuk lima tahun pertama.

Sumber: www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2017/11/354391/houzkey-mudahkan-proses-milik-kediaman

Kemampuan untuk mendapatkan kediaman atau tempat tinggal merupakan salah satu daripada isu utama yang sangat menghimpit kehidupan masyarakat khususnya yang telah berkeluarga. Ditambah pula dengan kos sara hidup yang kian meningkat, harga barangan yang tidak stabil turun naiknya serta kos utiliti harian yang bukan sahaja ditanggung oleh mereka yang bekerja malah hampir kesemua lapisan masyarakat sama ada di bandar mahupun desa.

Setiap tahun kerajaan negeri mahupun persekutuan telah memperuntukkan sejumlah subsidi khas bagi membantu rakyat memiliki kediaman atau tempat tinggal namun krisis ini terus berlanjutan sehingga ke hari ini.

Pelbagai skim dan inisiatif telah dilancarkan melalui agensi-agensi kewangan dan perbankan yang telah dilantik, namun masih ramai yang tidak mampu membeli dan mendapatkan kediaman mereka kerana faktor-faktor perbelanjaan yang telah sedia terbeban ke atas mereka.

Hal ini demikian kerana, tindakan yang diambil oleh kerajaan tidaklah benar-benar menyelesaikan masalah ini sebaliknya skim-skim yang ditawarkan oleh kerajaan itu hanya menyebabkan masyarakat lebih terbelenggu dengan hutang yang akan hanya menambah kepada jumlah hutang yang sedia ada.

Isu harga rumah yang melonjak terlalu tinggi bukanlah isu yang hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi berlaku di kebanyakan negara-negara yang menganuti sistem Kapitalisme, termasuklah negara-negara maju. Penerapan sistem Kapitalisme telah menyebabkan harga tanah semakin meningkat, pasaran rumah dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar dan juga hutang-hutang yang disediakan supaya rakyat yang miskin akan berasa “mampu” untuk membeli rumah pada harga tidak masuk akal yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat besar sahaja.

Jabbar Al-Bujesi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia