Ibadah Haji – Sebuah Manifestasi Pengorbanan dan Kesatuan Umat Islam (Siri 2/2)
Haji dan penyatuan umat Islam
Ibadah haji pada hakikatnya adalah simbol perpaduan umat kerana untuk menunaikan ibadah ini, semua bakal haji diwajibkan untuk hadir ke padang ‘Arafah serentak selepas waktu asar pada tanggal 9 Zulhijjah untuk menjalani ibadah wuquf. Di sini, umat Islam, tanpa mengira warna kulit dan kedudukan, berkumpul dalam keadaan berihram. Orang berkulit putih atau hitam, miskin atau kaya akan memakai dua helai kain putih rida’ dan izar sebagai pakaian ihram ketika berada di sini dalam keadaan bertaqarrub kepada Allah.
Setiap Muslim akan merasa persamaan mereka di hadapan Allah semasa berihram; apa jua perhiasan yang biasa dipakai, semuanya ditinggalkan. Bahkan, seluruh kaum Muslimin di seluruh dunia disunatkan untuk menjalani ibadah puasa ‘Arafah pada hari tersebut dan merayakan ‘Eidul Adha serta menjalani ibadah Qurban serentak pada tanggal 10 Zulhijjah. Setiap Muslim tunduk kepada Allah (swt) dalam keadaan “sama rata” di saat itu. Di kala Haji Wida’, Rasulullah (saw) bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ! إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، كُلُّكُمْ لِآدَمَ وَآدَمُ مِنْ تُرَابٍ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ أَتْقَاكُمْ وَلَيْسَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ فَضْلٌ إِلَّا بِالتَّقْوَى
“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu, dan bapa kalian adalah satu. Kamu semua berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah yang paling bertakwa. Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab, kecuali dengan takwa”
Semua Muslim Arab dan bukan Arab, dengan berbagai warna kulit yang bukan merupakan pilihan mereka, adalah sama di sisi Allah. Apa yang menjadikan mereka berbeza dari segi kemuliaan hanyalah takwa. Sejarah telah membuktikan bahawa selama lebih 1,300 tahun manusia pelbagai bangsa dan warna kulit telah bersatu dengan teguh sebagai satu umat di atas asas akidah Islam.
Islam telah menunjukkan kaedah penyatuan yang berstruktur dan teratur dengan menghadkan kewujudan hanya seorang sahaja pemimpin umum bagi kaum Muslimin dalam setiap masa. Seluruh umat Islam disatukan di bawah Daulah Khilafah Islamiyyah dan Islam diterapkan secara kaffah di dalam negara ini. Penyatuan umat Islam di bawah payung kekhilafahan ini lebih terserlah lagi setiap tahun ketika musim haji.
Pada hari ini, meskipun umat Islam menunaikan ibadah haji setiap tahun dengan manasik yang menggambarkan penyatuan mereka, namun Khilafah telah lenyap dari dunia Islam. Umat Islam terpecah menjadi lebih 50 buah negara yang berdiri atas dasar nasionalisme. Hakikatnya, sempadan geografi yang wujud antara kaum Muslimin pada hari ini bukanlah datang dari Islam tetapi adalah merupakan paksaan oleh Barat ke atas umat, yang diimplementasi melalui ejen-ejen mereka dari kalangan penguasa kaum Muslimin. Ini boleh dilihat dari pernyataan mereka sendiri seperti yang diungkapkan oleh John Kifner dalam artikelnya Building Modernity on Desert Mirages (Membina Kemodenan di atas Fatamorgana Padang Pasir). Kifner menukilkan,
“…dan daripada semua negara-negara buatan yang diciptakan oleh kuasa-kuasa Eropah yang telah memenangi Perang Dunia I, yang telah melakarkan garisan-garisan rawak di atas peta, tiada yang lebih palsu dari kepingan-kepingan kawasan padang pasir kecil, miskin dan tidak berperundangan yang dikenali sebagai Jordan. Malah benderanya adalah sebuah rekaan – lembaran warna hijau, merah, putih dan hitam yang berkibar di atas pasukan Arab yang diketuai oleh Bani Hashim menentang Empayar Uthmaniyyah – dasar kepada bendera Jordan dan Pertubuhan Pembebasan Palestin – telah dilakarkan oleh pegawai Petugas Luar British bernama Sir Mark Sykes dan dikeluarkan oleh pejabat perbekalan tenteranya di Kairo.”
Selepas Perang Dunia I, muncullah negara seperti Mesir, Arab Saudi, Jordan, Iraq dan lain-lain. Sempadan yang ada merupakan ciptaan penjajah semata-mata di bawah dasar pecah dan perintah mereka. Maka lahirlah negeri-negeri kecil dan lemah yang ’merdeka’ dengan dihadiahkan sebuah perlembagaan oleh Barat. Akibat perpecahan ini, permasalahan dan usaha penyatuan kaum Muslimin telah menjadi semakin rumit.
Sekiranya umat Islam kembali bersatu di bawah Khilafah, segala sumber manusia dan kekayaan alam boleh digarap oleh Khalifah bagi memastikan umat Islam hidup dalam keadaan penuh kesejahteraan dan Islam sebagai sebuah Deen dapat diterapkan secara menyeluruh, dan Islam akan mendominasi dunia buat kali yang kedua. Penyatuan umat Islam di bawah Khilafah untuk kali yang kedua, pasti akan melahirkan satu gelombang penyatuan yang amat dahsyat di seluruh dunia. Ia akan meruntuhkan seluruh tembok nasionalisme yang telah dibina oleh Barat dan tali barut mereka.
Gelombang yang sama juga akan mampu meruntuhkan semua sempadan ciptaan Barat yang dipertahankan oleh pemerintah yang khianat, yang ada sekarang. Negeri-negeri kaum Muslimin yang bergabung di bawah Khilafah adalah umpama cebisan-cebisan anggota badan yang bercantum semula menjadi tubuh yang satu, tubuh gergasi yang akan menghancurkan kekufuran dan mengembalikan kemuliaan yang telah sirna sejak kejatuhan Daulah Khilafah 100 tahun yang lalu.
Sesungguhnya ibadah haji merupakan simbol kepada penyatuan umat Islam. Polisi buruk kerajaan Arab Saudi yang menguasai dua kota suci buat masa ini, mungkin dapat menghalang manifestasi kesatuan politik umat Islam, namun akidah Islam dan roh penyatuan yang terkandung melalui ibadah haji ini tidak akan dapat dipadamkan oleh Saudi. Umat ini adalah umat yang diikat dengan akidah Islam dan kekuatan ikatan ini akan kembali mendominasi dunia secara hakiki, dengan izin Allah.
Meskipun ibadah ibadah haji pada tahun ini terhalang ke atas ramai kaum Muslimin, namun kita mengharapkan agar pengajaran dari pengorbanan, ketundukan dan kesatuan umat Islam ketika menjalankan ibadah haji akan tetap menghidupkan motivasi di dalam diri umat untuk kembali bersatu di bawah Khilafah.
Wallahu a’lam.