Idea Sekularisme Meletakkan Wanita Di Tahap Yang Hina
PENCAPAIAN Venezuela yang sering memenangi mahkota Miss Universe bukanlah satu-satunya aspek yang menjadi lambang kebanggaan negara itu berhubung kecantikan wanita Latin. Malah, mereka juga mempunyai pilihan yang meluas terhadap pembedahan plastik.
Pembedahan mencantikkan tubuh badan menjadi perkara biasa di negara-negara Amerika Selatan. Sehinggakan ia muncul sebagai destinasi kegemaran rakyat asing untuk mendapatkan ‘penampilan baru’ pada harga yang lebih murah.
“Ada wanita yang datang dari Colombia, Amerika Syarikat (AS), Ecuador dan kepulauan Caribbean. Mereka menjalani pembedahan, kemudian menghabiskan beberapa hari untuk melancong,” kata ketua sebuah syarikat subsiadiari silikon implan payu dara, Rosi Oyon.
Sumber: Kosmo Online, 18/01/2010
Dalam ideologi Kapitalis, wanita sememangnya dijadikan barang dagangan yang sangat menguntungkan. Malah, perniagaan dan produk-produk yang berkaitan wanita sangat banyak dihasilkan di seluruh dunia. Mereka dipandang sebagai makhluk yang mana tarikan seksualnya dapat menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda sekaligus sebagai pemuas nafsu kepada lelaki sahaja. Ini berbeza dengan Islam yang menganggap manusia tidak kira sebagai lelaki mahupun wanita sebagai hamba Allah yang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan berdasarkan al-Kitab dan as-Sunnah. Kebahagiaan dari perspektif kapitalis sangat bertentangan dengan Islam, iaitu dengan meraih sebanyak-banyaknya keperluan material yang boleh menjadikan mereka bahagia. Jadi tidak hairanlah jika majoriti wanita di negara-negara Barat beranggapan bahawa kecantikan adalah segala-galanya yang wajib dikejar dan dimiliki, walaupun dengan apa jua cara sekalipun. Ini adalah kerana, ukuran perbuatan mereka tidak disandarkan kepada kayu ukur (standard) yang benar yang datangnya daripada Zat yang Maha Benar, iaitu Allah SWT sebagai Tuhan sekalian alam. Ini berbeza dengan kebahagian menurut Islam yang menganggap bahawa keredhaan Allah sahajalah yang mampu mendatangkan kebahagiaan.
Islam jelas mengharamkan perbuatan mengubah-ubah bentuk kejadian manusia seperti melakukan pembedahan implan pada hidung, dada, dahi dan sebagainya atas dasar tujuan kecantikan. Selama ini, ideologi Kapitalis telah meletakkan wanita di dalam kesengsaraan yang menghinakan. Sudah tiba masanya seluruh dunia khususnya masyarakat barat sedar tentang hal ini dan mengambil Islam sebagai penyelesaian kepada permasalahan kehidupan mereka. Islam memandang mulianya manusia itu pada nilai ketakwaan dan bukan pada kecantikan atau rupa paras seseorang. Dan ketakwaan itulah yang akan menjadi penentu di hari akhirat kelak. Wallahua’lam.