Imam Bukhari: ‘Role Model’ yang Perlu Diikuti bagi Para Ulama dan Pendakwah (Siri 1)
Kepentingan ulama yang berdiri di atas haq (kebenaran) tidak perlu lagi dipersoalkan. Ulama adalah pewaris para Nabi sebagaimana yang disabdakan oleh baginda (saw) dalam hadis baginda yang cukup masyhur. Mereka umpama bintang-bintang yang dipandang tinggi oleh umat Islam, yang dirujuk dalam mencari jalan keluar ketika dilanda pelbagai masalah, khususnya masalah yang sukar dihadapi.
Namun, sebaliknya ada ulama yang jenis suka menikmati kemanisan dunia ini, mendambakan kemasyhuran, jawatan yang tinggi dan ingin menjadi perhatian dalam sebarang masalah. Mereka berasa bangga, tidak malu atau bersalah, ketika mereka dilihat berdiri di pintu para penguasa yang korup. Fatwa mereka jauh daripada kebenaran. Sebaliknya, fatwa-fatwa mereka bersandarkan pada apa yang lebih bermanfaat bagi pemerintah-pemerintah yang zalim dan untuk kepentingan-kepentingan mereka.
Ulama sejati, yang diangkat statusnya menjadi pewaris para Nabi, adalah mereka yang berusaha di dunia ini untuk berjaya dalam dua perkara:
1- Rajin berusaha untuk meneliti, memperoleh dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam.
2- Keteguhan pada kebenaran, mencari keredhaan Allah (swt) dalam ilmu mereka.
Imam Bukhari adalah salah seorang ulama sejati. Beliau tidak membatasi dirinya untuk memperoleh pengetahuan yang sangat besar di dalam agama. Pengetahuan-pengetahuan tersebut bukanlah hipotesis mahupun sesuatu yang tak praktikal. Pengetahuan-pengetahuan tersebut diperoleh dan disebarkannya, sehingga bukan hanya berguna untuk generasinya saja. Malah, ia berguna bagi umat ini hingga Hari Kiamat, dengan rahmat Allah (swt).
Imam Bukhari juga merupakan sebuah contoh ketulusan yang jelas (ikhlas). Beliau tidak peduli dengan godaan yang fana di dunia ini mahupun demi menyenangkan para penguasa. Sebagai gantinya, beliau hanya mempunyai satu keperihatinan, iaitu menggapai redha Allah (swt) dengan menyerukan dan memelihara agama-Nya, sehingga agama-Nya mendominasi atas semua agama yang lain.
Artikel ini memberikan ringkasan mengenai perkara berikut insya Allah:
1- Pengetahuan yang diperoleh oleh Imam Bukhari, betapa rajinnya beliau berusaha memperoleh dan menyebarkan ilmu tersebut.
2- Wawasan dalam hidupnya yang menunjukkan keikhlasan dan cintanya yang tak terbayang terhadap kebenaran dan agama Islam.
Ringkasan riwayat hidup Imam Bukhari berikut ini tidak selayaknya untuk menjelaskan secara lengkap tentang keperibadiannya, karyanya dan ujian yang dihadapinya. Namun demikian, kami berharap agar ringkasan ini dapat memberikan hal-hal yang berguna bagi para pendakwah dan mereka yang mencari ilmu dengan membaca.
Kecintaan dan keghairahan untuk ilmu Islam:
Imam Bukhari dilahirkan pada tahun 194 Hijrah di kota Bukhara, sekarang terletak di Uzbekistan. Namanya Muhammad manakala nama ayahnya adalah Ismail bin Ibrahim. Ayahnya juga seorang ‘alim yang belajar dengan ulama seperti Imam Malik. Namun, Imam Bukhari tidak sempat untuk mengenali ayahnya, dan juga tidak mengetahui apa-apa daripadanya kerana ayahnya meninggal ketika beliau masih kecil.
Menjadi anak yatim tidak menghalangnya daripada mencari ilmu. Pada usia yang muda, beliau telah menghafal al-Quran dan juga hadis. Sebagai seorang anak muda, minatnya telah mendorongnya untuk membangunkan cara membezakan antara hadis sahih dengan hadis yang lemah. Pada usia sekitar lima belas tahun, diriwayatkan bahwa beliau telah mengumpulkan hampir semua pengetahuan tentang hadis yang wujud di Khurasan, sewaktu beliau tinggal di sana. Beliau bahkan menghafal buku-buku ulama seperti Abdullah bin al-Mubarak.
Pada usia enam belas tahun, beliau membuat perjalanan jauh dari Bukhara ke Mekah untuk menunaikan kewajipan haji, bersama dengan ibu dan saudaranya, Ahmad. Namun, setelah menunaikan haji, beliau tidak kembali ke Bukhara bersama keluarganya. Walaupun baru berusia enam belas tahun, beliau percaya bahawa penting baginya untuk tinggal di Hijaz di mana beliau dapat mengakses ulama dan pengetahuan yang tidak ada di Bukhara.
Keputusan untuk meninggalkan keluarganya bagi menuntut ilmu demi kepentingan ummah adalah tanda utama terawal pada keikhlasan dan rasa tanggungjawabnya terhadap ummah. Beliau hidup di era di mana mesin cetak masih belum diciptakan. Sudah jelas baginya bahawa begitu banyak tugas diperlukan di lapangan untuk mengesahkan kesahihan sesebuah hadis Nabi (saw), kerana tidak ada karya lengkap mengenai penyusunan hadis sahih pada masa itu.
Dalam masa dua tahun, yakni pada usia lapan belas tahun, beliau telah menghasilkan karya pertamanya di Madinah al-Munawwarah. Buku ini diberikan judul at-Tareekh al-Kabeer (Sejarah Hebat). Buku ini bukan hanya sebuah buku, sebaliknya merupakan sebuah ringkasan mengandungi sembilan jilid yang menjadi rujukan utama bagi para ulama hadis (muhadissin), kerana buku ini membahas masalah yang lebih kompleks dalam ilmu hadis, ilmu tentang para perawi (‘ilmu ar-rijal) dan ilmu tentang jarh wa ta’dil (ilmu tentang bagaimana menerima saksi perawi hadis). Buku ini dengan segera menjadi rujukan bagi muhaddisin, dan masih menjadi rujukan sehingga sekarang sebagai buku yang memuat biografi hampir 40,000 perawi lelaki dan wanita.
Dari Madinah, beliau mengembara ke banyak kota besar dunia Islam, mencari ilmu dan menyebarkannya. Tidak lama kemudian, beliau menjadi terkenal dan dianggap sebagai alim yang paling berpengetahuan dalam bidang hadis.
Karyanya yang paling terkenal dan disegani ialah al-Jami ‘al-Musnad as-Sahih al-Mukhtaṣar min umur Rasulullah wa sunnanihi wa ayyamihi (Kumpulan Hadis Sahih Nabi yang Terpilih, Amalan dan Masanya). Buku ini juga isebut sebagai “Sahih Al-Bukhari”. Buku ini merupakan rangkuman lebih daripada 600,000 hadis, dengan 23,000 hadis tanpa teks naratif berulang. Beliau mengumpulkan koleksi hadis ini sepanjang hidupnya. Daripada koleksi-koleksi ini, hanya 7,200 hadis, merangkumi 2,600 hadis tanpa teks riwayat yang berulang, dihimpunkan bagi menghasilkan kitab Sahihnya. Kitab Sahihnya disahkan oleh fakta bahawa tidak ada riwayat di dalamnya yang telah diriwayatkan oleh perawi yang lemah.
Karya ini adalah rujukan terpenting dalam hal sunnah Nabi (saw) sehingga ke hari ini.
Walaupun pengetahuannya yang luas dalam bidang hadis, tulisannya tidak terbatas dalam ilmu hadis semata-mata. Sebaliknya, beliau turut menulis dalam bidang yang berkaitan dengan fekah dan dalam isu akidah. Justeru, beliau merupakan ahli hukum yang menerangi keimanan. Hal ini sendiri adalah bukti rasa tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim dan memberikan penjelasan atas kerja kerasnya yang menakjubkan dalam mencari ilmu.
… bersambung