Indeks patuh syariah, kerajaan tak patuh syariah
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia yang dianggap pelengkap tadbir urus Islam di negara ini. Ia telah dicanangkan sebagai Indeks pertama seumpamanya yang pernah dibangunkan di dunia. Ia akan digunakan untuk menjustifikasikan keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah.
Indeks tersebut telah dibahagikan kepada lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial. Bagaimana indeks ini diukur dan apa asas pengukuran lapan bidang tersebut masih belum dinyatakan.
Persoalannya, apa yang Najib ingin buktikan dengan pelancaran dan pemakaian indeks ini? Bahawa kerajaan sudah banyak menerapkan Islam? Dan sekali gus cuba memperbodohkan rakyat bahawa Malaysia sudah mengamalkan Islam?
Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja bidang perundangan sebagai contoh, kanak-kanak pun tahu yang Malaysia masih belum melaksanakan uqubat Islam termasuklah hudud yang sentiasa hangat diperkatakan. Undang-undang yang diamalkan adalah undang-undang sivil buatan manusia yang telah diwarisi dari penjajah British. Hukuman “syariah” pula hanyalah hukuman 356 (3 tahun penjara, 5 ribu denda dan 6 kali sebatan).
Di bidang politik pula, sistem pemerintahan yang diamalkan masih lagi sistem demokrasi yang juga diwarisi sepenuhnya dari penjajah kuffar, bukannya sistem Islam iaitu Khilafah. Ini jauh menyimpang dari wahyu dan tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW.
Sementara dalam bidang ekonomi, ekonomi Malaysia masih berteraskan ribawi yang merupakan dosa besar yang Allah dan RasulNya isytiharkan perang kepada pengamalnya. Ini belum lagi mengambil kira pasaran saham, insurans, koperasi, judi, arak dan banyak lagi keharaman lainnya yang sudah sebati dalam sistem perekonomian negara. Dari segi pengagihan kekayaan alam yang sepatutnya menjadi milik seluruh warganegara (mulkiyyah al-ammah), sampai sekarang ia masih dibolot oleh pemerintah dan kroni.
Jadi, lakonan apa yang sebenarnya cuba dimainkan oleh kerajaan dengan pelancaran indeks ini?
Sememangnya tidak salah untuk mengukur sesuatu menggunakan indeks. Namun apabila hukum Allah cuba dinilai dari segi indeks, masalah dan kesalahan akan wujud apabila “standard” yang digunakan ialah akal manusia, bukannya wahyu. Contohnya dalam bidang ekonomi, mungkin kerana banyaknya institusi perbankan Islam dan produk yang “Islami” akan meninggikan indeks syariah negara, tetapi realitinya jauh panggang dari api kerana institusi perbankan Islam yang ada hanyalah sebuah transformasi nama dan pemutarbelitan hukum muamalah Islam yang hakikatnya tidak ada beza dengan perbankan konvensional.
Sesungguhnya ukuran kebenaran (hukum Allah) bukan bersandarkan kepada setinggi mana kajian atau data saintifik yang dicapai. Apa yang menentukannya adalah dalil dan nas yakni apakah ia bertepatan dengan dalil dan nas atau tidak. Jika pelaksanaan hukum syariah itu bertepatan dengan dalil atau nas, maka ia benar, jika tidak, maka ia adalah salah, walaupun indeks menunjukkan sebaliknya.
Di bidang ekonomi contohnya, pertumbuhan ekonomi yang positif bukan sekali-kali menjadi penentu yang ia adalah Islami, walaupun ia baik menurut ukuran ekonomi Kapitalis. Ini kerana, Islam menilai kesihatan ekonomi bukan berdasarkan KDNK, tetapi berdasarkan sejauh mana rakyat, secara individu, dapat memenuhi keperluan asas mereka. Jika ada walaupun seorang, yang tidak dapat makan atau tidak mempunyai tempat tinggal dalam negara, maka pemerintah dikira berdosa kerana tidak menjalankan kewajipannya berdasarkan nas.
Pendek kata, kalau piawaian ekonomi Kapitalis yang digunakan, walau setinggi mana pencapaiannya, hatta sampai kepada 100% sekalipun, ia masih belum memenuhi kehendak Islam dan kehendak Allah SWT kerana ekonomi Kapitalis itu sendiri adalah bertentangan dengan ekonomi Islam.
Jadi, Najib sebenarnya tidak perlu mengaburi pandangan rakyat dengan indeks syariah ini. Ya beliau boleh sahaja menipu rakyat bagi menutup kesalahan dan dosanya yang tidak menerapkan hukum Allah, tetapi beliau sekali-kali tidak akan dapat menipu Allah dengan apa yang beliau lakukan.
“Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri mereka sendiri sedang mereka tidak sedar” [TMQ al-Baqarah (2):9]