SN463 – Indeks Syariah – Kulitnya Islam, Isinya Tetap Sekular

PDF

SN Keluaran 21 April 2016

[SN463] Dalam Majlis Perdana Ulama Umara yang diadakan pada 28 Mac yang lepas, Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib telah membentangkan Laporan Indeks Syariah Malaysia bagi tahun 2015. Laporan tersebut merupakan hasil kajian yang telah dijalankan selama 6 bulan yang bermula dari 15 Julai 2015 hingga 15 Januari 2016 oleh Unit Indeks Syariah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama-sama dengan 133 orang penyelidik daripada 5 buah universiti tempatan. Seramai 7587 orang responden yang terdiri daripada kumpulan pembuat dasar, pelaksana dasar dan masyarakat terlibat dalam kajian tersebut. Berdasarkan kajian tersebut, pencapaian keseluruhan urus tadbir kerajaan Malaysia mengikut penilaian Indeks Syariah Malaysia bagi tahun 2015 ialah 75.42% patuh syariah menerusi lapan bidang utama pengukurannya. Dengan kata lain, secara keseluruhannya, 7587 orang responden yang terpilih dalam kajian tersebut bagi mewakili populasi rakyat Malaysia mempunyai pandangan ataupun persepsi bahawa urus tadbir kerajaan Malaysia bagi tahun 2015 mencapai 75.42% patuh Syariah berasaskan kepada prinsip Maqasid Syariah.

Manakala pencapaian mengikut bidang yang dinilai menunjukkan bahawa bidang perundangan Islam mendapat skor yang paling baik iaitu sebanyak 87.19% berbanding dengan bidang-bidang yang lain. Ini bermakna, secara keseluruhannya responden mempunyai pandangan yang paling baik dalam urus tadbir bidang perundangan Islam di Malaysia berbanding dengan bidang-bidang yang lain dari segi mencapai prinsip Maqasid Syariah. Skor bagi bidang-bidang lain yang dinilai ialah; Politik (79.19%), Ekonomi (65,27%), Pendidikan (82.49%), Kesihatan (73.92%), Budaya (66.47%), Prasarana dan Persekitaran (62.31%), dan Sosial (68.52%).

Kaedah Pengukuran Indeks Syariah Malaysia

Idea mewujudkan Indeks Syariah oleh Najib adalah bertujuan untuk mengukur secara saintifik tahap komitmen usaha kerajaan dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam berdasarkan lima prinsip Maqasid Syariah yang utama iaitu memelihara agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta dalam urus tadbir negara. Bagi tujuan tersebut sebanyak lapan bidang utama telah dipilih iaitu Perundangan Islam, Politik, Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Prasarana dan Persekitaran, Budaya, dan Sosial.

Pencapaian indeks keseluruhan dan juga pencapaian indeks setiap bidang diukur berdasarkan analisa terhadap data yang diperolehi daripada maklum balas yang diberikan oleh responden yang terlibat dalam kajian yang dijalankan. Responden dipilih daripada 3 kelompok utama yang mewakili Pemerintah (pembuat dasar), Agensi-agensi Pelaksana dan Masyarakat. Maka dengan itu, tinggi atau rendahnya indeks yang diperoleh bergantung kepada maklum balas yang diberikan oleh responden. Jika tinggi pencapaian indeksnya, maka itu bermakna responden yang terlibat dalam kajian tersebut mempunyai pandangan atau persepsi yang baik terhadap urus tadbir kerajaan berdasarkan prinsip Maqasid Syariah dan begitulah sebaliknya.

Oleh itu, terdapat dua perkara yang perlu dilakukan bagi meningkatkan pencapaian indeks pada kajian tahun seterusnya. Pertama, memperbaiki prestasi urus tadbir bagi item-item yang mendapat skor yang rendah. Kedua, membuat strategi dengan menggerakkan agensi-agensi kerajaan dan para pendakwah untuk ‘mendidik’ rakyat Malaysia khususnya yang berpotensi untuk dipilih menjadi responden dengan pemahaman Maqasid Syariah dalam konteks urus tadbir kerajaan Malaysia. Jika strategi tersebut berjaya dilakukan, maka sudah tentu bacaan indeksnya akan melonjak naik. Namun, adakah penilaian manusia yang bersifat subjektif ini mempunyai nilai di sisi Allah SWT?!

Prinsip Maqasid Syariah

Memandangkan prinsip Maqasid Syariah menjadi teras utama dalam Indeks Syariah Malaysia maka adalah sangat perlu untuk difahami dengan tepat kedudukan Maqasid Syariah dalam melaksanakan syariat Islam. Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya Al-Syakhshiyah al-Islamiyyah [Hizbut-Tahrir, III/357] dan juga al-Muqadimah Al-dustur [Hizbut-Tahrir, I/57], perbahasan mengenai Maqasid Syariah tidak dapat dipisahkan dengan perbincangan antara maslahat dan syariat yang mana syariat tidak didasarkan pada ‘illat (sebab) maslahat. Terdapat empat prinsip dapat disimpulkan sebagaimana dalam perbincangan beliau iaitu:

Prinsip pertama: Maslahat merupakan hikmah (akibat) daripada penerapan syariat, namun bukannya ‘illat (sebab untuk wujudnya hukum) penetapan syariat. Jadi secara dasarnya, terdapat hubungan antara maslahat dan syariat. Hal ini difahami melalui nas-nas al-Quran yang menyatakan bahawa Nabi SAW diutus sebagai pembawa rahmat, iaitu maslahat. Namun demikian, perlu ditekankan bahawa maslahat itu bukanlah ‘illat (sebab) atau motif (al-ba’its) penetapan syariat, melainkan ia merupakan hikmah, hasil (natijah), tujuan (ghayah) atau akibat (‘aqibah) daripada penerapan syariat. Dengan kata lain, perbincangan haruslah berkisar penerapan hukum syarak dan daripada situ barulah nampak maslahat yang boleh dicapai.

Prinsip kedua: Maqasid Syariah (iaitu mewujudkan kemaslahatan) merupakan tujuan daripada syariat secara keseluruhan (ka-kull), bukan tujuan syariat sebagai satu persatu hukum (li kulli hukmin bi ‘aynihi). Dengan kata lain, kewujudan kemaslahatan merupakan hasil daripada penerapan syariat secara keseluruhan, dan bukannya hasil penerapan daripada hukum-hakam tertentu (secara terpisah-pisah).

Prinsip ketiga: Hikmah (akibat) daripada penerapan syariat itu ada kalanya boleh berlaku dan ada kalanya tidak berlaku. Apabila Allah menerangkan bahawa hikmah disyariatkan sesuatu hukum adalah begini, maka maksudnya Allah ingin memberitahu bahawa hikmahnya begini. Misalnya, menyaksikan manfaat adalah hikmah daripada ibadah haji [TMQ al-Hajj (22):28]. Namun secara realitinya, terdapat ramai juga jemaah haji yang tidak menyaksikan manfaat bagi mereka dalam pelaksanaan haji. Mengenai khamar (arak) dan judi, Allah menerangkan bahawa kedua-duanya boleh mewujudkan kebencian dan permusuhan antara sesama manusia [TMQ al-Maidah (5):91]. Namun pada realitinya, terdapat juga peminum arak dan para penjudi hidup dengan baik tanpa sebarang permusuhan atau kebencian di antara mereka. Justeru, daripada prinsip yang ketiga ini, ia mengandungi maksud bahawa tujuan-tujuan hukum (yang disebutkan dalam nas-nas) ini tidak boleh dijadikan sebagai ‘illat (sebab).

Prinsip keempat: Hikmah daripada penerapan syariat hanya dapat diketahui berdasarkan nas syarak dan bukannya berdasarkan akal. Ini adalah kerana yang menetapkan syariat adalah Allah SWT sendiri, maka hanya Allah sahaja yang mengetahui apakah tujuan sebenar disyariatkan. Adalah mustahil bagi kita sebagai makhluk, baik secara aqli (akal) mahupun syarie, dapat mengetahui hikmah (tujuan) sebenar sesuatu hukum kecuali jika kita mengetahuinya melalui nas atau dalil sama ada daripada al-Quran ataupun as-Sunnah. [Syakshiah Islamiah III/366-367]

Jadi sebenarnya, pemahaman Maqasid Syariah yang dijadikan teras dalam Indeks Syariah Malaysia sebenarnya telah tersasar jauh dari pemahaman yang sebenar. Di mana pemahaman Maqasid Syariah yang dijadikan teras dalam Indeks Syariah Malaysia tidak ubah seperti prinsip “Matlamat Menghalalkan Cara” dalam politik sekular. Melalui Indeks Syariah ini, Islam hanya ditunjukkan dengan melalui persepsi manusia dan bukannya diukur dengan sejauh mana pemerintah telah menerapkan hukum-hakam Islam untuk menjamin perkara tersebut. Maka, melalui Indeks Syariah ini, pemerintah cuba mengaburi mata rakyat dan mencanang diri mereka sebagai jaguh dalam melaksanakan syariah dalam pemerintahan. Istilah-istilah ini hanyalah helah yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan menjamin keberadaan mereka ditampuk kekuasaan.

Indeks Syariah vs Tuntutan Syarak

Pengkaji-pengkaji yang jujur pasti akan menemukan bahawa konsep asal maslahat yang dibincangkan oleh Ilmuwan Islam adalah untuk menerangkan kehebatan hukum-hakam syarak, yang mana mereka membentangkan bahawa di mana-mana sahaja wujud syariat maka di situ akan wujudnya Maslahat. Namun kenyataan ini sering diputar-belitkan oleh ulama su’ (jahat), bahawa selama mana ada Maslahat maka di situ ada Syariat. Melalui putar belit kaedah songsang ini mereka mencari-cari maslahat daripada penerapan sistem sekular untuk dipadankan dengan ‘Maqasid Syariah’ mengikut akal mereka.

Sebagai contoh solat dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, sebagaimana Firman Allah SWT

Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” [TMQ Al-Ankabut (29):45]

Hikmah atau Maslahat yang didapati daripada solat adalah menjadi pendinding kepada perbuatan terkutuk, namun adalah naif, kalau ada manusia menggunakan dalil bahawa melihat orang yang tidak melakukan perbuatan mungkar sebenarnya mencapai matlamat ayat di atas, tanpa melihat lagi kewajipan melakukan solat.

Begitu jugalah hakikatnya ke atas pemerintah Islam yang wajib menerapkan hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah SWT, sebagaimana kewajipan Qisas,

Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) kehidupan bagi kamu. [TMQ Al-Baqarah (2):179]

Ayat ini menerangkan bagaimana Qisas dalam Islam dapat menjamin kelangsungan hidup manusia, namun di Malaysia diterapkan Kanun Keseksaan kalau terjadi kes pembunuhan. Adalah amat pelik sekali apabila yang diukur hanyalah Indeks Maqasid Syariah sahaja terhadap sistem sekular, tanpa melihat penerapan Perlembagaan Islam dan Undang-undang Islam dalam negara.

Oleh itu, di manakah sebenarnya kepentingan diwujudkan Indeks Syariah jika pemerintah tidak menjalankan pemerintahan berdasarkan hukum-hakam yang telah diturunkan oleh Allah SWT? Bagaimana komitmen mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam boleh dijadikan indeks, walhal Al-Quran dan As-Sunnah tidak dijadikan sumber rujukan utama dalam menjalankan pemerintahan negara, sebaliknya menjadikan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan hasil ciptaan Suruhanjaya Reid sebagai undang-undang tertinggi negara? Malah, Najib telah menegaskan bahawa Indeks Syariah yang diwujudkan tidak akan sama sekali bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya, apakah Perlembagaan Malaysia yang kufur ini menjadi ukuran dan bukannya Syariah Islam? Hatta, telah berapa banyak wang rakyat telah dilaburkan semata-mata untuk menjayakan projek re-branding pemerintah yang tidak putus-putus terpalit dengan pelbagai skandal pecah amanah dan rasuah?

Jika demikian prinsip asas kewujudan Indeks Syariah Malaysia, maka sebenarnya indeks tersebut tidak lebih dari hanya untuk mengukur komitmen atau kesungguhan kerajaan dalam menerapkan prinsip dan nilai-nilai Islam dalam kerangka yang telah dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Walhal, yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas pemerintah ialah menerapkan segala hukum yang diturunkannya dan bukannya meletakkan hukum Allah SWT lebih rendah daripada hukum ciptaan manusia. Sedangkan, segala keputusan yang dilaksanakan oleh pemerintah haruslah menuruti apa yang telah diperintahkan oleh Allah. Allah SWT berfirman :

Dan barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir [TMQ Al-Maidah (5): 44] (dalam ayat lain disebut orang yang zalim dan orang-orang fasik). Maka, adakah mungkin orang yang menolak hukum Allah dalam pemerintahan boleh dikatakan sebagai memenuhi tuntutan syariah?

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sering kali pemimpin kita menggunakan istilah-istilah Fiqh, Usul-Fiqh dan juga istilah Arab untuk mengaburi mata kita, walhal mereka hanyalah menerapkan sistem taghut (sekular). Sebelum itu, istilah Masyarakat Madani, Islam Sederhana (Moderat/Washatiyyah), Islam Hadhari, dan sebagainya dimanipulasikan sedemikian rupa atas dasar kepentingan pemerintah. Mereka beretorik yang pemerintahan mereka ini mengikuti lunas-lunas Islam, tetapi sebenarnya mereka tetap tegar dengan sistem kufur warisan penjajah. Setiap kali bertukarnya pemimpin, setiap kali itulah mereka akan melakukan proses re-branding sistem sekular yang mereka terapkan dengan istilah-istilah Islam. Melalui pemimpin dan sistem yang buruk ini, penerapan syariah tidak lagi menjadi tujuan mereka, tetapi yang dilakukan ialah bagaimana hendak menjustifikasikan bahawa negara yang mereka terajui ini adalah Negara Islam. Kudis buta ini terus diwarisi dari satu pemimpin ke satu pemimpin yang lain, demi menopang kerusi pemerintahan yang hampir runtuh. Dengan kata lain, inti pati sistem kapitalis-demokrasi tetap berterusan, meskipun jawatan PM bertukar tangan dan pelbagai jenama diperkenalkan. Indeks Syariah ini hanyalah bungkusan untuk memberi jenama baru kepada sistem sekular yang mereka terapkan, setelah jenama lama sudah tidak mendapat tempat dihati rakyat. Justeru, tidak ada jalan keluar lain daripada penyimpangan ini kecuali kita mencampakkan sistem sekular ini dan mengembalikan kehidupan Islam dengan penerapan Islam secara kaffah dalam bingkai Negara Khilafah Islamiyyah ala minhaj nubuwwah. Hanya dengan penerapan Islam secara kaffah, barulah kita akan memperolehi hasil yang inti patinya adalah Islam serta jenama dan bungkusannya pun Islam. Wallahu a’lam.