Ini Fitnah!

DHAKA: Polis Bangladesh menahan 31 lelaki dipercayai terbabit dalam merancang satu serangan keganasan, semalam. Ketua Polis Daerah Kushtia, Masudul Haque Nuruzzaman, berkata lelaki berkenaan adalah anggota kumpulan militan Islam dikenali sebagai Hizb ut-Tahrir. “Di antara 31 lelaki yang ditahan itu termasuk ketua bagi daerah berkenaan yang dilatih di Afghanistan,” katanya.   Nuruzzaman berkata, penangkapan mereka itu susulan daripada operasi khas ketika mereka sedang mengadakan satu perjumpaan di daerah berkenaan, semalam. “Kami mempunyai maklumat perisikan bahawa mereka bercadang melancarkan satu serangan,” katanya.

Beliau juga mengesahkan polis merampas pelbagai bahan cetak seperti buku dan risalah mengenai jihad, selain serbuk belerang untuk membuat peluru, peralatan membuat bom dan senjata api daripada lelaki berkenaan. – AFP
 
Sumber : Berita Harian, 18/04/09

Ketakutan Pemimpin Sekular Terhadap Pejuangan Menegakkan Khilafah

Nampaknya seruan kepada penegakkan kembali Islam di Bangladesh dengan metode menegakkan kembali khilafah melalui perjuangan politik tanpa kekerasan semakin menakutkan pemerintah sekular di sana. Antara tindakan yang terpaksa dilakukan oleh pihak pemerintah sekular di sana ialah dengan menangkap para shabab pengembang dakwah dari gerakan Islam Hizb ut Tahrir atas alasan mereka sedang merancang satu serangan keganasan.

Pelbagai maklumat sokongan disertakan oleh pihak polis Bangladesh untuk membenarkan tindakan yang mereka lakukan itu. Dalam keterdesakan mereka untuk menghalang dakwah terbuka Hizb ut Tahrir yang semakin berpengaruh di Bangladesh, bukti-bukti palsu disertakan dalam menjustifikasi tindakan tersebut. Walaupun mereka mencipta 1001 macam bukti palsu, apa yang jelas, kebenaran tidak akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang pasti akan hancur dan lenyap dengan izin Allah SWT. 

Umumnya, dunia, terutamanya di mana Hizb ut Tahrir bergerak melakukan dakwahnya bersama dengan umat, mengetahui bahawa metode yang diambil oleh Hizb dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat adalah metode dakwah tanpa tindakan fizikal atau kekerasan. Hizbut Tahrir merupakan parti politik yang lahir di Al-Quds Palestin pada tahun 1953 untuk melanjutkan kembali kehidupan Islam melalui metode penegakkan kembali Khilafah Islamiyyah yang akan menyatukan umat Islam di seluruh dunia. Perjuangan yang ditempuh oleh Hizb ut Tahrir sejak ianya ditubuhkan sehinggalah ke hari ini tidak pernah berubah.

Metode yang ditempoh oleh Hizb ut Tahrir adalah sebagaimana tariqah dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di Makkah. Dakwah Hizb ut Tahrir ini telah tersebar ke seluruh penjuru dunia bahkan aktivitinya terus melangkaui barat dan timur mulai dari London hingga Sydney, dari Ankara hinggalah Jakarta. Dakwah Hizb meliputi lebih 40 negara di dunia ini termasuklah negara kafir Britain dan Amerika.  Selama Hizb ut Tahrir melakukan dakwahnya di tengah-tengah umat, Hizb ut Tahrir tidak pernah dan tidak akan pernah melakukan sebarang bentuk kekerasan walaupun ramai pengembang dakwah Islam yang berjuang bersama Hizb telah menjadi mangsa korban kepada kekejaman pemimpin-pemimpin sekular. Dunia telahpun menyaksikan kekejaman yang dilakukan oleh para pemimpin sekular di Uzbekistan, Kazakhstan, Rusia, Turki, Bangladesh, Pakistan, Mesir, Jordan, Syria, Kuwait  dan negara Asia Tengah yang lain terhadap shabab Hizb ut Tahrir. Meskipun begitu, meskipun pelbagai cubaan dan dugaan harus dilalui, Hizb ut Tahrir akan terus berjuang menegakkan kebenaran melalui jalan politik tanpa kekerasan seperti yang ditunjukkan oleh Rasul al-Mustafa. Firman Allah SWT :

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (Deen Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”. [TMQ at Taubah (9) : 32]