ISA – Bukan Sekadar Isu Kemanusiaan Semata-mata!

 

altKUALA LUMPUR, 13 April – Salah tanggapan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak menepati standard kemanusiaan adalah tidak betul, kata Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan yang baru, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini. Beliau berkata, ada proses habeas corpus di mana perjalanan undang- undang berfungsi pada seseorang yang ditahan di bawah ISA, membabitkan mahkamah dan untuk membuktikan dirinya bebas daripada semua pertuduhan terhadapnya. “Tetapi bahagian itu belum dihuraikan oleh sesiapa pun.

Mekanisme itu bahawa kita di bawah ISA, terutamanya Seksyen 8 dan 73, boleh dicabar melalui proses habeas corpus di mana sistem ini juga adalah lazim, dan sesungguhnya, mengatakan bahawa ISA tidak menepati standard kemanusiaan adalah salah,” katanya dalam satu temubual Hardtalk yang disiarkan oleh BBC. Mengenai undang-undang membenarkan tahanan tanpa tempoh dan tanpa dituduh atau dibicarakan, beliau berkata, bukan tidak ada tempoh, kerana kerajaan Malaysia menggunakan tempoh penahanan 60 hari seperti Akta Pengganas di Britain di mana suspek ditahan sehingga 21 hari.

Bekas Menteri Luar itu juga ditanya mengenai penahanan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin. Rais menjelaskan bahawa penulis itu ditahan bukan kerana beliau adalah seorang pengganas tetapi atas alasan bahawa Raja Petra Kamaruddin adalah memudaratkan keselamatan undang-undang di negara ini. Ditanya sama ada ISA akan diperbaharui atau dimansuhkan, Rais berkata, beliau percaya bahawa pada satu ketika, akta itu akan secara berperingkat-peringkat menjadi sesuatu lebih sesuai dengan perkara-perkara yang kehendaki oleh masyarakat antarabangsa.

“ISA merupakan undang-undang asal pada 1948 yang diberikan oleh Britain…pada ketika itu, Malaya terdedah kepada perang gerila, persekitaran pada masa itu, jadi ia telah menjadi satu sistem di mana ia kini dipersoalkan oleh ramai orang. “Kita akan terima cabaran itu dan kita akan ke arah itu di mana ISA mestilah dipinda pada masa akan datang,” kata beliau. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia, 14/04/09

Apakah ISA itu layak diukur dengan ukuran aqal manusia?

Inilah contoh seorang yang masih lagi berdegil apabila membiarkan dirinya terus tunduk kepada hukum jahiliyyah dengan meletakkan aqalnya mengatasi hukum syara’.

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 50].

Keabsahan sesuatu hukum itu tidak boleh diukur dengan hawa nafsu atau pemikiran manusia. Tanpa ada sandaran dalil syara’, tidak seorangpun, tidak kira setinggi mana kelulusannya, layak mengabsahkan sesuatu hukum atau perundangan. Untuk penjelasan lanjut berkenaan dengan ISA sila rujuk SN keluaran 174 yang lepas untuk melihat pandangan Islam mengenainya. Rais sendiri mengatakan ISA adalah undang-undang yang diberikan oleh British kepada Malaysia pada tahun 1948. Siapakah British itu yang memberikan mereka hak untuk menetapkan hukum bagi kita?

Hanya Allah Tuhan semesta alam sahajalah yang berhak menetapkan hukum ke atas manusia dalam apa hal sekalipun. Tidak layak dan tidak wajar bagi seorang Muslim menerima, bersetuju dan seterusnya mempertahankan hukum kufur British yang ‘dihadiahkan’ oleh sang penjajah kepada yang dijajah! Renungilah firman Allah SWT:

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ An Nisaa'(4) : 65].

Firman Allah SWT dalam surah yang lain:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan rasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan rasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas dan nyata. [TMQ Al Ahzab (33) : 36].

Ingatlah wahai mereka yang masih tegar mempertahankan hukum taghut! Selamatkanlah diri kalian dari ancaman Allah! Bersihkanlah aqidah kalian dari kotoran yang selama ini telah mencemar dan mengotorinya. Ingatlah, sesungguhnya hanya bagi Allahlah hak untuk menetapkan hukum bagi manusia.