Islam Sebagai Solusi Membanteras Peningkatan Jenayah Seksual Kanak-kanak
Peningkatan Kes Jenayah Seksual Melibatkan Kanak-kanak di Malaysia (2023-2024)
Dalam tempoh beberapa tahun terakhir, isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia semakin membimbangkan. Pada 2023 sahaja, statistik menunjukkan peningkatan mengejutkan sebanyak 26.5% dalam kes jenayah ini berbanding tahun sebelumnya. Data rasmi merekodkan 1,567 kes pada 2023, meningkat daripada 1,239 pada 2022. Dan ini bukan sekadar angka; setiap kes membawa penderitaan kepada mangsa yang sering kali terlalu muda untuk memahami apa yang sedang mereka lalui.
Bahkan, data tidak berhenti di situ. Dari Januari hingga April 2024 sahaja, sudah 2,059 kes baru dilaporkan, dengan kanak-kanak perempuan menjadi mangsa utama. Kesalahan dan jenayah seksual memberi kesan besar terhadap kesejahteraan psikologi dan fizikal mangsa. Ia bukan sahaja melibatkan penderitaan kepada mangsa, tetapi juga membawa implikasi jangka panjang terhadap kesihatan mental mereka. Kanak-kanak yang terlibat dalam kes-kes ini berdepan risiko trauma, gangguan emosi, dan cabaran dalam pembangunan sosial mereka.
Apakah kita hanya akan melihat angka-angka ini meningkat tanpa bertindak? Bagaimana dengan kes-kes yang tidak dilaporkan? Masalah ini bukan sahaja mencerminkan kegagalan sistem, tetapi juga menunjukkan bagaimana nilai moral dan sosial kita sebagai masyarakat semakin terhakis.
Budaya Semasa dan Faktor Sistemik sebagai Pengaruh Peningkatan Jenayah Seksual
Meningkat dan memburuknya kesalahan serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini sebenarnya tidak boleh dinafikan berkait rapat dengan sistem sosial dan keruntuhan akhlak yang didorong oleh ideologi yang digunapakai sebagai dasar negara hari ini yakni sistem kapitalisme-liberal yang muncul dari dasar sekularisme. Sistem hari ini menanamkan pemikiran liberal yang memberi kebebasan tanpa batas, sehingga mencetuskan gejala tidak bermoral seperti pornografi, hedonisme, dan eksploitasi seksual . Dalam konteks sistem kapitalisme, keutamaan diberikan kepada keuntungan material, menyebabkan nilai moral dan sosial sering dikorbankan. Platform dunia digital, misalnya, bebas menyebarkan kandungan yang merangsang nafsu dan memperkuat budaya eksploitasi seksual demi mencapai keuntungan ekonomi. Tindakan hanya diambil sekiranya terdapat laporan diajukan. Kebebasan dunia digital tanpa kawalan yang efektif ini juga menjadi faktor kanak-kanak semakin mudah menjadi sorotan manusia berhati iblis. Banyak konten di platform digital yang menampilkan kanak-kanak tidak sesuai umur mereka, menyebabkan mereka sering menjadi mangsa “grooming“ atas dalih fesyen, hiburan dan kebebasan kreativiti berekspresi kanak-kanak moden. Padahal inilah bentuk ekploitasi paling banyak dilakukan oleh penjaga sendiri, sehingga mendedahkan kanak-kanak kepada pemangsa. Sekalipun tidak dilakukan oleh penjaga atau orang dewasa lain, kanak-kanak sebagai pengguna dunia digital termuda bahkan tanpa sedar terjebak dalam eksploitasi diri akibat terpengaruh dengan budaya semasa dalam dunia digital. Malangnya, budaya trending dan pengaruh tanpa batas ini tidak dikekang oleh negara, sekalipun sudah acapkali kebimbangan disuarakan oleh sebahagian masyarakat yang cakna.
Dari aspek perundangan pula, kelemahan sistem perundangan juga menjadi penyumbang kepada masalah ini. Undang-undang sedia ada sering kali tidak cukup tegas dalam menghukum pelaku jenayah seksual. Sebagai contoh, Akta Kanak-Kanak 2001 yang bertujuan melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan eksploitasi seringkali menghadapi cabaran dalam penguatkuasaan akibat kekurangan sumber, kelemahan dalam melaporkan kes, dan proses perundangan yang panjang. Hukuman terhadap pelaku jenayah seksual sering kali dilihat tidak memberikan kesan jera kerana ketidaksepadanan antara keseriusan jenayah dengan hukuman yang dijatuhkan.
Tambahan pula, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang bertujuan menangani jenayah seksual juga menunjukkan kekurangan dalam pelaksanaannya, seperti kesukaran untuk mengumpul bukti yang mencukupi dan memastikan pelaku benar-benar dihadapkan ke muka pengadilan. Dalam banyak kes, mangsa kanak-kanak mengalami kesukaran untuk memberi keterangan yang dapat diterima di mahkamah.
Selain itu, ketiadaan penekanan moral berteraskan ajaran Islam yang benar-benar komprehensif dalam sistem pendidikan menyumbang kepada kurangnya keseriusan dalam masyarakat mengenai pentingnya menjaga kehormatan dan keselamatan kanak-kanak. Pada akhirnya ramai memandang remeh muhasabah dan kritikan yang dilontarkan terkait perkara-perkara yang boleh merosakkan dunia kanak-kanak dan remaja. Tidak kurang ramai yang menganggapnya sebagai hak individu memilih acuan bagaimana mendidik anak masing-masing. Akibatnya, nafsu yang tidak dikawal dan ketiadaan rasa tanggungjawab terhadap hukum syarak terus menjadi penyebab utama pelaku terjebak dalam perlakuan keji ini. Ini jelas menunjukkan kegagalan terus-menerus sistem sekular kapitalisme hari ini untuk melindungi golongan yang paling lemah dalam masyarakat.
Islam Sebagai Alternatif Solusi Lebih Baik
Islam menawarkan penyelesaian yang holistik dan komprehensif untuk menangani jenayah seksual, yang melibatkan tiga aspek utama:
Pertama, pembangunan individu yang bertakwa. Pendidikan agama sejak awal usia yang menekankan nilai-nilai Islam, termasuk adab pergaulan, menutup aurat, dan menanamkan rasa malu. Semua ini sering kita dengar dan sebut, namun tidak benar-benar dipraktikkan secara menyeluruh dalam kehidupan harian. Pendidikan agama ini juga perlu bersifat berkesinambungan sepanjang hayat, agar individu muslim yang terus tumbuh dewasa sebagai insan yang bertakwa dan terpelihara daripada anasir-anasir buruk.
Keluarga merupakan kelompok utama dalam berperanan menanamkan keimanan, memantau tingkah laku, dan membimbing ahli keluarga agar menghindari maksiat. Keimanan yang kukuh membantu individu menjauhi perbuatan haram, seperti yang perintahkan Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 30-31 yang menyeru lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan mereka. Memelihara kehormatan bermula dengan menjaga diri daripada hal-hal yang merosakkan maruah diri, bahkan termasuklah tidak menjadikan sesiapa pun sebagai objek seksual, secara langsung mahupun tidak langsung. Serta mewujudkan persekitaran yang memelihara kehormatan manusia, baik perempuan mahupun lelaki, di alam maya mahupun nyata, kanak-kanak mahupun dewasa. Namun, keluarga bukanlah satu-satunya elemen yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pembangunan individu ini.
Kedua, masyarakat perlu menjalankan peranan aktif sebagai kawalan sosial dalam lingkungan. Masyarakat yang peduli menjadi benteng pertama untuk mencegah jenayah seksual dalam lingkungannya. Aktiviti amar makruf nahi mungkar, iaitu mengajak pada kebaikan dan mencegah kemungkaran, mestilah menjadi budaya dalam masyarakat, sehingga masyarakat di dominasi oleh pandangan-pandangan Islam dalam urusan kehidupannya, dan menolak pandangan tidak Islami. Pandangan yang digunapakai akan berpengaruh menjadi budaya dalam masyarakat.
Firman Allah SWT: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (TMQ Ali Imran [3]:104)
Masyarakat juga perlu berani melaporkan kejadian atau tingkah laku mencurigakan berkaitan jenayah seksual kepada pihak berkuasa dan menganggapnya sebagai tanggungjawab bersama. Keberanian ini wajar muncul dari kesedaran dan ketaatan terhadap perintah amar makruf nahi mungkar. Ini juga akan merealisasikan tuntunan hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lisannya; dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (HR. Muslim).
Masyarakat yang berkehendak pada syariat Islam, sudah pasti akan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai asas perilaku, berfikir dan budaya setempatnya.
Ketiga, adalah peranan negara yang berpengaruh dalam membentuk sistem kehidupan rakyatnya. Negara wajib melaksanakan perundangan syariah dalam hal muamalah, sosial, jenayah dan sebagainya, dan menerapkan hukuman dari hukum syariah seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain. Kerana itulah satu-satunya sistem hukuman yang diredhai Allah, memberi keadilan dan mensejahterakan kehidupan manusia. Maka tidak wajar negara mencari-cari keadilan dan sumber perundangan lain dalam menghakimi masalah-masalah manusia termasuklah jenayah seksual kanak-kanak. Ini mesti menjadi keyakinan setiap orang beriman kerana, Allah SWT telah menyatakannya dengan jelas:
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah. (TMQ Al-Maidah [5]:50)
“Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat”. (TMQ al-An’am [6]:155)
Apabila hukum al-Quran dilaksanakan dalam kehidupan manusia, sudah pasti kehidupan mereka akan mendapat keberkahan dan rahmat dari Allah, kerana al-Quran adalah kitab yang membawa keberkahan dan rahmat untuk manusia. Maka undang-undang syariah yang menerapkan hukuman seperti rejam bagi pelaku zina muhsan (yang sudah menikah) atau sebat bagi yang belum menikah menjadi bentuk hukuman yang sudah pasti memberi implikasi yang baik pada masyarakat, sebagai penghukum yang adil dan langkah pencegahan yang efektif.
Dunia informasi, terutama media massa dan paltform digital juga perlu dikawal untuk mencegah penyebaran bahan-bahan yang tidak sesuai seperti pornografi atau konten yang mengeksploitasi atau berisiko. Para pemilik media termasuk platform digital perlu mematuhi peraturan negara dan diberikan tindakan keras sekiranya ia cenderung merosakkan masyarakat berbanding memberikan manfaat. Bahkan negara tidak boleh ragu untuk melarang penggunaannya dalam negara. Dalam sistem Islam, umat digalakkan membangunkan platform digital sendiri yang dikendalikan sesuai tuntunan syariat. Bahkan negara Islam perlu menguasai dunia digital agar dapat menyebarluaskan kemakrufan ke seluruh dunia. Bukan bermodelkan kepentingan kapitalisme sekular, yang bersifat bebas dan menawarkan campur baur hak dan batil dalam satu wadah. Rakyat dalam negara Islam tidak boleh diberikan pilihan sama sekali untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan dengan sengaja. Kandungan dan kepenggunaan media hendaklah diarahkan untuk mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam, selaras dengan tujuan syariat untuk menjaga agama dan akhlak masyarakat.
Sudah tentu kedua aspek ini perlu ditopang dengan persekitaran dalam negara yang mewujudkan nilai ketakwaan. Maka, satu-satunya model negara yang boleh melaksanakan ini semua hanyalah negara Islam yang menerapkan syariat Islam sebagai dasarnya. Itulah negara Khilafah.
Kesimpulan
Keperluan mendesak untuk menangani isu peningkatan jenayah seksual memerlukan langkah penyelesaian bestruktur yang berkesan. Oleh itu, penerapan Islam secara komprehensif sebagai dasar negara adalah kunci utama untuk mencegah dan menyelesaikan isu kesalahan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Namun solusi Islam yang berstruktur ini memerlukan komitmen bersama daripada individu, keluarga, masyarakat, dan negara. Jika kita benar-benar prihatin terhadap masa depan generasi kita, maka kita perlu bertindak sekarang. Lakukanlah perubahan dan bina semula struktur negara berteraskan syariat. Mengabaikan perkara ini bukan sahaja menambah penderitaan mangsa sedia ada, tetapi juga mencerminkan kegagalan kita sebagai penjaga generasi akan datang.
- Aliya Ab Aziz
(Ketua Lajnah I’lamiyyah MHTM)
Sumber berita:
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1318472/mangsa-jenayah-seksual-kanak-kanak-meningkat
- https://www.therakyatpost.com/trpbm/berita/2024/11/28/lebih-2000-kes-penderaan-kanak-kanak-setakat-ogos-2024-majoriti-budak-perempuan-kpwkm/
- https://www.sinarharian.com.my/arti cle/220049/berita/nasional/akses- pornografi-antara-punca-jenayah- seksual-kanak-kanak
- https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2024/09/06/awas-gerakan-pedofilia-dalam-media-sosial-makin-terbuka-tunjuk-minat-terlarang-cuba-semak-9-tanda-tanda-pemangsa-child-grooming