Islam sebenar itu seperti apa?

 

altTunjuk semangat Islam sebenar

PUTRAJAYA 22 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam negara ini memperlihatkan semangat Islam sebenar kepada rakan- rakan bukan Muslim sempena bulan Ramadan ini.

Perdana Menteri pada masa yang sama menggalakkan rakyat yang berkemampuan supaya melebihkan bersedekah kepada mereka yang memerlukan pada bulan Ramadan yang merupakan bulan untuk bersedekah.

“Sewajarnya kita memenuhi tanggungjawab ke atas limpahan rezeki yang diterima dengan membantu mereka yang memerlukan di kalangan kita.

“Saya sering memikirkan keberkesanan hasil tindakan bermurah hati dan perhatian yang diberikan ke atas mereka yang kurang bernasib baik. Fikirkan manfaatnya jika kita berusaha mengembangkan sifat dermawan sepanjang tahun,” katanya dalam laman web www.1malaysia.com.my.

Najib berkata, beliau menyanjungi kemesraan dan keakraban yang dikongsi semua rakyat Malaysia pada bulan Ramadan di mana rakan-rakan Cina dan India turut bersama menikmati waktu berbuka puasa.

“Sama ada bersesak-sesak di gerai-gerai makanan, di rumah atau makan malam di salah satu bufet yang banyak terdapat di mana-mana sahaja, mereka yang bukan Islam di seluruh Malaysia berkongsi keramahan rakan Muslim mereka.

“Saya benar-benar tersentuh dengan sikap mereka yang hormat menanti waktu azan dilaungkan dan solat dilakukan sebelum mula menjamu selera.

“Ini adalah contoh yang baik bagaimana menghargai dan meraikan kekayaan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama di Malaysia,” katanya.

Najib berkata, pada Ramadan kali ini beliau merancang berbuka puasa bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara.

“Setiap tahun, saya dan isteri sentiasa menunggu untuk menerima jemputan berbuka puasa yang banyak dianjurkan di seluruh negara.

“Pada hari pertama Ramadan, saya akan berbuka puasa dan bertarawih bersama keluarga, tetapi hari-hari berikutnya saya merancang berbuka bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia: 22/08/09

Ulasan:

Islam Sebenar Itu Seperti Apa?

Seperti biasa kedatangan Ramadhan setiap tahun akan menghairahkan pemimpin sekular untuk bercakap tentang Islam dan mengaitkannya dengan Ramadhan. Nampaknya Perdana Menteri Malaysia juga tidak mahu ketinggalan menggunakan kedatangan Ramadhan kali ini untuk menyeru umat Islam agar menunjukkan semangat Islam sebenar. 

Persoalannya, apakah semangat ‘Islam sebenar’ yang dimaksudkan oleh Najib itu?  Apakah sekadar berkisar persoalan bersedekah semasa bulan Ramadhan, bagi golongan yang berkemampuan? Apakah hanya sekadar persoalan ibadah ritual semata-mata? Apakah dengan berbuka puasa bersama-sama orang kafir, maka inilah ‘Islam sebenar’?

Bukankah Islam Hadhari yang dibawa oleh Pak Lah itu ‘Islam yang sebenar’, yang dulunya turut dilaung dan diperjuangkan oleh Najib?

Inilah padahnya apabila Islam itu dipandang dan dilaksanakan dari perspektif sekularisme. Islam hanya dilihat dari sudut-sudut tertentu sahaja khususnya sudut spritual. Mereka langsung tidak memandang perintah Allah SWT yang memerintahkan untuk menerapkan dan mengamalkan Islam  secara keseluruhan di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. FirmanNya, 

“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu”. [TMQ Al Baqarah (2) :208].

FirmanNya yang lain,

“Apakah kamu kamu hanya beriman kepada sebahagian (dari isi) Kitab dan kufur akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang ang berbuat demikian itu dari kalangan kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari Kiamat kelak akan dimasukkan ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan” [TMQ al-Baqarah (2):85].

Persoalannya, apakah Najib sebagai Perdana Menteri, telah menerapkan hukum Allah secara keseluruhan di Malaysia? Atau beliau hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain?

Sesungguhnya Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya (dalam persoalan aqidah dan ibadah,) hubungan manusia itu dengan dirinya sendiri (dalam persoalan akhlak, pakaian dan makanan) dan hubungan manusia itu dengan manusia yang lain (dalam persoalan ‘uqubat dan muamalat). Inilah Islam yang sebenar, yakni satu agama yang mencakupi segala sesuatu, bukan hanya masalah ibadat sahaja.

Untuk itu, Perdana Menteri Malaysia ini perlu memuhasabah diri dengan melihat sama ada dia telah memenuhi semua perintah dan larangan Allah di dalam Al-Quran. Apakah dia telah memerintah negara ini dengan hukum-hakam dari langit, sebelum dia menyeru orang lain untuk menunjukkan semangat Islam yang sebenar? 

Islam sebenar adalah Islam yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai standard kehidupan, sama ada kehidupan individu, masyarakat dan negara. Bukannya Islam sekular yang ditinggalkan oleh penjajah sepertimana hari ini.

Sempena Ramadhan ini, pemimpin No.1 Malaysia ini sepatutnya bertafakur dengan meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah di depan, dan tanyalah diri sendiri, setakat manakah tuntutan Al-Quran dan As-Sunah yang telah aku ikuti! Najib sepatutnya merebut peluang ini kerana kuasa ada ditangannya dan nyawa pun masih ada di badannya. Ramadhan adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan, dan Al-Quran itu turun bukanlah diturunkan oleh Allah hanya untuk sekadar dibaca dan ditilawah(pertanding)kan. 

Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia dan golongan yang bertakwa. Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT bukan hanya membicarakan persoalan bersedekah semata-mata tetapi ianya adalah kitab penjelas kepada seluruh persoalan kehidupan manusia. Firman Allah,

“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah (petunjuk) serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam”. [TMQ An Nahl (16) : 89].

Jika seorang pemimpin itu hanya tahu bercakap, namun tidak melaksanakan Islam yang sebenar, maka Allah SWT bertanya,

“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan.” [TMQ Ash Shaff  (61) : 2-3].