Isu Doktor Kontrak: Mengapa terjadi dan bagaimana penyelesaiannya? (Siri 1/2)

Isu mengenai kebajikan dan laluan kerjaya doktor-doktor kontrak merupakan permasalahan yang telah sekian lama dibincangkan terutamanya dalam komuniti pekerja kesihatan khususnya para doktor.

Perbincangan demi perbincangan telah dilakukan bagi mencari jalan keluar, namun ternyata setakat ini menemui jalan buntu. Hartal yang disebut-sebut untuk dilaksanakan pada 26 Julai nanti merupakan antara langkah drastik yang dicadangkan bagi mendesak kerajaan untuk memberikan penyelesaian terhadap isu kebajikan doktor-doktor kontrak di negara ini. Namun kita masih belum mengetahui apakah akan diteruskan, dan jika ya, apakah akan menyelesaikan masalah.

Apa sebenarnya yang terjadi?

Isu kebajikan doktor kontrak ini merupakan kesinambungan terhadap kepincangan polisi negara dalam menguruskan keperluan sumber manusia. Permasalahan ini bermula apabila berlaku peningkatan secara mendadak dari segi pengambilan pelajar perubatan sekitar kira-kira 10 tahun lalu. Peningkatan tersebut antara lain bertujuan untuk mencapai nisbah doktor kepada populasi sebagaimana yang disasarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Namun, langkah tersebut seolah-olah tidak dirancang sebaik mungkin sehingga menyebabkan terjadi ‘lambakan’ graduan akibat ketiadaan tempat bagi melatih graduan tersebut di hospital-hospital milik kerajaan.

Keadaan diburukkan lagi apabila bercambahnya institusi-institusi swasta yang menawarkan pengajian dalam bidang perubatan tanpa kawalan yang ketat daripada pemerintah. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah graduan yang tidak mempunyai penempatan, bahkan sedikit-sebanyak menjejaskan kualiti graduan akibat jumlah pelajar yang tinggi berbanding pengajar yang ada.

Untuk rekod, graduan perubatan di negara ini diwajibkan untuk menjalani latihan siswazah di bawah bimbingan pakar di hospital kerajaan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum disahkan perkhidmatan. Mereka kemudiannya diwajibkan untuk berkhidmat di dalam fasiliti kerajaan selama dua tahun selepas disahkan dalam perkhidmatan.

Meskipun secara dasarnya terdapat keperluan terhadap sumber manusia dalam sektor kesihatan, namun masalah timbul akibat tiadanya perancangan jangka panjang demi menjamin kelancaran penghasilan tenaga kerja kesihatan dalam memenuhi keperluan tersebut.

Sedangkan latihan untuk seorang doktor memerlukan tempoh yang panjang serta perancangan yang teliti, kerana bidang ini memerlukan masa untuk mengumpul pengalaman di bawah tunjuk ajar daripada pakar. Proses ini tidak berakhir sesudah pelajar perubatan tamat pengajian di universiti, bahkan berterusan selepas mereka memulakan pekerjaan.

Maka di sinilah letaknya ‘bottleneck’ yang menyebabkan ramai graduan tertangguh daripada meneruskan perkhidmatan. Dalam pada itu, inisiatif untuk memenuhi keperluan sumber manusia pula tidak sejajar dengan penyediaan platform untuk melatih mereka baik dari segi bilangan pakar yang akan memantau dan membimbing mahupun dari segi fasiliti yang ada untuk menempatkan doktor-doktor pelatih.

Dari sudut lain pula, perjawatan yang ada untuk graduan-graduan ini juga terhad. Maka pelantikan secara kontrak telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini. Di sinilah bermulanya isu mengenai doktor-doktor kontrak ini. Perlu diketahui bahawa urusan perjawatan dan perkhidmatan terletak di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ketiadaan koordinasi antara kementerian dan agensi kerajaan lain boleh menyebabkan masalah ini timbul.

Bagaimana hendak menyelesaikannya?

Berbalik kepada isu kebajikan doktor-doktor kontrak, negara perlu memastikan agar kebajikan mereka terpelihara termasuklah dari segi penempatan dan peluang untuk perkembangan karier mereka. Negara mungkin memberi alasan bahawa dana tidak mencukupi untuk menyerapkan mereka ke dalam perkhidmatan. Kontrak tersebut juga tidak menjamin mereka akan diserap masuk ke dalam perkhidmatan tetap. Apa pun alasannya, kebajikan mereka tidak sewajarnya dipinggirkan.

Doktor-doktor kontrak merupakan antara petugas barisan hadapan dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan sumbangan mereka sudah semestinya besar ketika berdepan dengan krisis ini. Kebajikan mereka haruslah diberikan perhatian, termasuklah dengan menyediakan jalan untuk mereka melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran. Jalan ini perlu dilaksanakan dan dipantau secara teliti berdasarkan keperluan bagi memenuhi perkhidmatan kesihatan dalam masyarakat.

Dalam tempoh terdekat ini, pengambilan secara kontrak terpaksa diteruskan dengan mengambil kira situasi semasa di negara ini. Maka, langkah yang perlu diambil ialah menyediakan peluang pekerjaan bagi doktor-doktor kontrak, terutamanya ‘batch’ pertama doktor kontrak yang bakal berakhir pada tahun ini. Mereka perlu diberikan ruang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran atau setidak-tidaknya dilanjutkan kontrak mengikut keperluan semasa. Mereka juga perlu diberikan ganjaran dan gaji yang setimpal dengan sumbangan yang diberikan.

Dalam masa yang sama, pengambilan pelajar perubatan perlu dikawal agar menepati keperluan masa akan datang dan penempatan yang ada. Jumlah pengambilan di institusi-institusi swasta perlu dikawal dan diaudit agar tidak berlaku ‘lambakan’ sebagaimana yang telah terjadi pada hari ini. Dengan kata lain, negara perlu memastikan agar tiada ‘mismatch’ antara pengambilan pelajar jurusan perubatan dengan keperluan kesihatan negara.

Kerajaan juga perlu menyediakan penempatan yang mencukupi bagi melatih graduan-graduan yang telah menamatkan pengajian dan menawarkan kandungan kontrak yang berpatutan kepada mereka. Dalam keadaan krisis sebegini, mungkin sukar untuk menyediakan fasiliti baharu, tetapi setidak-tidaknya langkah-langkah yang telah diambil seperti menaiktaraf hospital-hospital tertentu bagi latihan siswazah perlu diperluas dan diperkemas.

Selain itu, antara isu yang turut perlu diberikan perhatian serius adalah dari segi pengagihan sumber manusia. Masalah pengagihan yang dimaksudkan ialah ketidakseimbangan jumlah tenaga kerja kesihatan dan fasiliti perkhidmatan kesihatan antara kawasan-kawasan bandar dan pedalaman. Nisbah petugas kesihatan kepada populasi semata-mata tidak menggambarkan pencapaian dalam memenuhi keperluan kesihatan masyarakat. Sebaliknya perlu mengambil kira pembangunan fasiliti, jenis kepakaran, serta kebolehcapaian penduduk kepada perkhidmatan kesihatan.

Semua ini memerlukan penstrukturan menyeluruh terhadap perkhidmatan kesihatan dan juga perkhidmatan awam secara amnya. Sudah semestinya artikel ini tidak akan mampu merungkai permasalahan secara terperinci, tetapi setidak-tidaknya diharapkan ia dapat membuka mata pihak yang berwajib ke arah mencapai jalan penyelesaian terhadap masalah yang melanda.

Antara perkara lain yang perlu diperhatikan ialah skim pencen yang merupakan salah satu pilihan yang ada bagi penjawat awam. Tanpa menafikan sumbangan yang diberikan oleh para penjawat awam, skim pencen yang dilaksanakan pada hari ini telah “memakan” banyak dana negara, sedangkan dana tersebut boleh disalurkan ke tempat yang lebih memerlukan. Negara perlu beralih daripada skim pencen yang ada kepada skim kontrak yang berpatutan.

Adapun mengenai kebajikan pesara dan keluarga mereka, perkara ini tidak akan timbul seandainya negara menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjamin keperluan-keperluan asas setiap warga negara. Dalam pada itu, Islam juga telah menggariskan kewajipan-kewajipan ahli keluarga dan kaum kerabat dalam menyantuni keperluan asas seseorang.

Malangnya, dalam sistem kapitalisme yang mencengkam umat Islam pada hari ini, pemerintah hanya mengambil berat mengenai penjawat awam sahaja di hari tua mereka (dengan skim pencen), manakala mereka yang bukan penjawat awam terpaksa menanggung derita di hari tua jika tidak ada sanak-saudara yang membantu. Kita menyaksikan di depan mata bagaimana penerapan sistem kapitalis pada hari ini telah menatijahkan kesempitan hidup serta menyebabkan golongan miskin semakin dihimpit kemiskinan akibat ketidaksetaraan ekonomi.

Sesungguhnya isu ini memerlukan perubahan sistemik yang menyeluruh agar dapat diselesaikan secara tuntas. Malangnya, masih ramai yang gagal menyedari hakikat ini, sehingga ada yang mencari-cari penyelesaian yang hakikatnya tidak mampu menyelesaikan masalah. Bahkan penyelesaian-penyelesaian yang diambil masih lagi dalam kerangka sistem kapitalisme yang rosak ini, tanpa mereka sedari bahawa sistem inilah yang menjadi punca kepada permasalahan yang timbul.

Sedangkan Islam, selaku sebuah mabda’ (ideologi) telah hadir dengan pakej yang sempurna sebagai mu’alajah li masyakil insan (penyelesaian kepada permasalahan manusia) jika diterapkan secara kaffah. Buat masa ini, umat Islam masih dirundung malang kerana negara tidak menerapkan Islam, dan sebuah negara Islam (Khilafah) masih belum muncul untuk menjaga kebajikan mereka.

Bersambung…