Isu Palestin itu Soal Akidah atau Kemanusiaan?
Sejak tercetusnya krisis terkini di Palestin di penghujung Ramadhan lalu, umat Islam dari pelbagai latar belakang di seluruh dunia telah tampil menyuarakan solidariti terhadap saudara mereka di Palestin di samping menyuarakan bantahan mereka atas kebiadaban dan kekejaman entiti haram Yahudi. Reaksi yang muncul secara umumnya jelas menunjukkan bahawa roh Islam dalam umat ini masih lagi ‘hidup’.
Sungguhpun demikian, masih ada dalam kalangan umat ini yang telah terpengaruh dek pemikiran assobiyah dan racun yang ditanam oleh Barat, sehingga mereka melihat isu ini hanya dari perspektif perjuangan penduduk Palestin untuk mendapatkan hak mereka mendirikan sebuah negara berdaulat atas dasar negara bangsa. Lalu tidak hairan apabila golongan ini mendukung aspirasi tersebut dalam kerangka penyelesaian dua negara.
Sebahagian umat Islam juga ada yang masih meletakkan kepercayaan kepada badan antarabangsa PBB, dengan harapan badan tersebut akan dapat menyelesaikan masalah umat Islam. Semoga golongan ini akan segera sedar dan berpijak di bumi nyata. Hakikatnya, dan dari segi sejarahnya, bukti cukup jelas menunjukkan betapa badan dunia ini gagal menyelesaikan kemelut yang melanda, bahkan kerananya masalah tidak pernah selesai. Ini kerana, PBB asalnya ditubuhkan dengan tujuan untuk menjatuhkan Khilafah dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Jadi bagaimana mungkin badan kufur ini akan menyelesaikan masalah umat Islam?
Dalam pada itu, terdapat juga segelintir umat Islam yang mempersoalkan pendirian pihak yang mereka labelkan sebagai “Islamis” kerana berpegang bahawa isu Palestin ini merupakan isu akidah umat Islam. Mereka beranggapan bahawa pendirian sedemikian telah menurunkan taraf (downgrade) isu ini, kerana bagi mereka isu Palestin merupakan isu kemanusiaan yang merentas akidah. Mereka mendakwa bahawa seseorang tidak perlu menjadi Muslim untuk membela nasib Palestin. Persoalannya, benarkah pemikiran dan pendirian seperti ini?
Pendirian tersebut bahkan terbalik! Dengan menyatakan bahawa isu ini sebagai isu kemanusiaan, merekalah yang sebenarnya telah meletakkan asas perjuangan ini lebih rendah berbanding kedudukannya yang mulia. Pendirian yang dibawa oleh kelompok sebegini juga sebenarnya bahaya kerana boleh menjadikan seseorang Muslim itu cenderung meletakkan pemikiran-pemikiran selain Islam sebagai sandaran dan tolok-ukur bagi pemikiran dan perbuatan mereka.
Sebagai seorang Muslim, sudah pasti akidah Islamlah yang wajib dijadikan sandaran dalam menjalani kehidupan, termasuk dari segi pemikiran. Daripada akidah Islam yang benar inilah, lahirnya aturan kehidupan yang mencorakkan pemikiran dan hala tuju hidup kita sebagai seorang Muslim. Dari akidah inilah terpancarnya setiap pemikiran, setiap pendirian dan setiap gerak-geri kita, redha atau bencinya kita terhadap sesuatu. Kesemuanya hal ini mencerminkan keimanan kita. Bahkan berasaskan akidah Islamlah kita dituntut untuk menyelesaikan segala masalah, termasuklah masalah Palestin.
Hadirnya Islam ke dunia ini adalah untuk mengeluarkan umat manusia daripada kegelapan menuju cahaya, membebaskan mereka dari kezaliman dan penjajahan menuju keadilan dan kesejahteraan. Maka, tidak selayaknya bagi seorang Muslim meletakkan pemikiran selain Islam sebagai sandaran dalam mengukur sesuatu atau dalam menilai keadilan dan kezaliman. Andai terdapat persamaan sekalipun dari segi prinsip kemanusiaan misalnya, sewajarnya pendirian kita sebagai seorang Muslim bukanlah berasaskan kepada persamaan tersebut yang dikatakan berdiri atas nilai yang bersifat universal.
Dengan menjadikan akidah Islam sebagai tolok ukur dalam berfikir dan berbuat, bukan bererti kita mengabaikan aspek kemanusiaan atau mengabaikan penindasan dan kezaliman yang menimpa penganut agama lain. Dengan memandang keadilan dan kezaliman dari aspek akidah Islamlah, yang menjadikan kita meletakkan ukuran yang benar apakah yang dimaksudkan dengan keadilan dan kezaliman dan cara menyelesaikannya.
Contohnya, akidah Islam yang kita miliki menyebabkan kita meyakini bahawa Islam memerintahkan kita berbuat baik kepada kafir zimmi (kafir yang tinggal dalam Daulah Islam). Lalu, kita berbuat baik kepada mereka dan tidak menzalimi mereka, kerana meyakini akidah dan ajaran Islam dalam hal ini, dan hal ini memang sesuai dengan aspek kemanusiaan. Bahkan Islam secara umumnya menekankan keadilan dan menyeru umatnya agar menyelamatkan golongan yang tertindas dan dizalimi, walaupun mereka bukan beragama Islam. Pokok pangkalnya, kita menilai dan mengukur segala sesuatu berdasarkan akidah Islam, bukan berdasarkan sifat kemanusiaan semata-mata atas dasar kita sebagai seorang manusia. Realitinya, kita adalah manusia yang beragama Islam dan wajib berpegang kepada akidah Islam.
Justeru, umat Islam tidak seharusnya terpedaya atau terkeliru dengan seruan-seruan ke arah penerimaan nilai-nilai kemanusiaan atau nilai-nilai universal, dengan memandang sesuatu isu dengan pandangan kemanusiaan semata-mata.
Berbalik kepada isu Palestin, Islam telah menetapkan bahawa haram menyerahkan tanah kita kepada perampas, apatah lagi jika yang merampas itu adalah musuh. Jika ia berlaku, maka menjadi kewajipan ke atas kita untuk mendapatkan tanah kita kembali. Inilah isu Palestin, yakni isu tanah umat Islam yang dirampas oleh Yahudi laknatullah. Maka wajib untuk umat Islam mendapatkan kembali tanah ini. Apabila musuh merampas dan mempertahankannya dengan tentera, maka wajib pula bagi umat Islam mengambilnya kembali dengan kekuatan tentera. Islam menegaskan bahawa umat ini wajib membela saudara mereka yang dizalimi, serta menunjukkan penyelesaian tuntas atas maslah ini.
Maka tidak sewajarnya, malah haram untuk kita mengambil penyelesaian selain yang datangnya dari Islam, seperti mendukung “penyelesaian dua-negara” yang hakikatnya mengiktiraf kewujudan entiti haram Yahudi bernama ‘Israel’ sekali gus bermaksud menyerahkan dengan sukarela tanah kita yang dirampas kepada si perampas!
Dengan menjadikan nilai universal sebagai sandaranlah, menyebabkan ada yang berpendapat bahawa orang-orang Yahudi berhak untuk hidup bernegara dan hak ini perlu dihormati dan pertahankan, walaupun sampai ke tahap mereka membunuh rakyat Palestin secara besar-besaran! Inilah bahayanya apabila menjadikan isu Palestin sebagai isu kemanusiaan bersandarkan nilai-nilai universal, bukannya bersandarkan kepada akidah Islam.
Sebagai Muslim, cukuplah akidah Islam menjadi asas pemikiran dan perbuatan kita tanpa perlu berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaan atau nilai-nilai universal yang dibawa oleh Barat, yang tujuannya sangat jelas iaitu untuk melarikan umat Islam daripada berpegang kepada akidah dan ajaran Islam.
Wallahu a’lam.