Isu Sebat: Inilah Hebatnya Perjuangan Feminisme Didikan Sekular-Kapitalisme

Sebat: NGO Wanita Bantah
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita hari ini membantah pelaksanaan hukuman sebat terhadap tiga wanita Islam yang diadakan pada 9 Februari lalu walaupun mengikut undang-undang syariah.

Malah mereka juga mempersoalkan tindakan kerajaan merahsiakan pelaksanaan hukuman berkenaan daripada pengetahuan masyarakat sehingga didedahkan melalui media hari ini.

Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan itu kerana dianggap melanggar prinsip hak asasi manusia terutamanya terhadap wanita.

“Sebagai NGO wanita kami amat kecewa dengan hukuman berkenaan, hukuman sebat terhadap kaum wanita adalah melanggari hukum hak asasi manusia,” katanya kepadamStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah.

Dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Jelas Maria lagi, kerajaan sepatutnya perlu mendedahkan kepada masyarakat berhubung hukuman berkenaan sebelum apa-apa tindakan diambil.

“Mengapa kerajaan jalankan hukuman sebat itu tanpa memberitahu rakyat terlebih dahulu, mengapa buat secara rahsia?

“Ini bukan perkara kecil, hukuman sudah dijalankan baru kerajaan dedahkan,” katanya.

Selain itu, Maria turut menggesa agar kerajaan mengkaji semula Undang-undang Syariah di negara ini.

“Kita harap kerajaan dapat mengkaji semula Undang-undang Syariah yang sedia ada sekarang.

“Memang ada masalah kalau negara kita ada dua undang-undang… sivil dan syariah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS), Dr Hamidah Marican berkata, pihaknya mengutuk hukuman sebat berkenaan kerana bertentangan dengan undang-undang sivil Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah yang menghalang hukuman sebat dijalankan terhadap wanita.

“Kami amat terkejut dengan tindakan pihak penjara melakukan hukuman sebat terhadap tiga wanita muslim itu.

“Kami juga ingin mempersoalkan motif kerajaan meneruskan hukuman sebat berkenaan walaupun isu mengenai kes Kartika (Sari Dewi Shukarno) masih belum selesai,” katanya.

Hamidah turut menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya mengambil tindakan berhubung perkara ini termasuk isu yang melibatkan Kartika.

Tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak, mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan hukuman berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini.

Sumber: Mstar


Inilah Hebatnya Perjuangan Feminisme Didikan Sekular- Kapitalisme!

Isu sebat Kartika belum menampakkan penyelesaiannya, muncul pula isu sebat yang baru. Bezanya kali ini, hukuman sebatan telah pun dilaksanakan sebelum perkara ini didedahkan kepada umum. Seperti cacing kepanasan, para pejuang feminisme dan hak-hak asasi manusia melatah sebaik sahaja ia disampaikan oleh media massa. Isu kali ini melibatkan tiga orang wanita dan hukuman tersebut sebenarnya tidak layak untuk dikategorikan sebagai hukum Islam.

Seperti yang diakui sendiri oleh Maria Chin Abdullah, sudah nampak ‘masalah’ jika ada dua undang-undang; sivil dan syariah yang diterapkan di dalam negara. Akan tetapi, persoalan lain pula muncul, beliau mencadangkan supaya undang-undang syariah dikaji semula. Mengapakah hanya undang-undang syariah sahaja yang perlu dikaji semula? Adakah untuk diperbaiki supaya menurut hukum-hukum uqubat Islam 100%, atau untuk diletakkan di dalam kandang pesalah sebagai ‘pihak’ yang melanggar hak-hak asasi manusia, menyeksa wanita, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Bagi mereka yang memahami perjuangan golongan feminis dan liberal ini, pastinya sudah dapat meneka bahawa motif mereka adalah untuk mengetepikan terus mahkamah syariah dan mengekalkan mahkamah sivil  sebagai satu-satunya mahkamah dan undang-undang yang diterapkan di negara ini.

Inilah padahnya apabila umat Islam semakin jauh dari kehidupan Islam yang kaffah. Hukum-hukum Islam semudah itu diperlecehkan dan dilemparkan pula dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Lebih menyedihkan, penghinaan tersebut dilakukan oleh umat Islam sendiri, kononnya atas nama hak asasi manusia yang menipu! Walhal, punca permasalahannya adalah bahana sistem kehidupan sekular-kapitalisme yang melahirkan golongan manusia rendah akhlak, terdedah kepada ancaman gejala sosial dan pengaruh hedonisme dan kontang budaya amar ma’ruf nahi mungkar. Malahan, penyelesaiannya pula ialah dengan sistem uqubat versi sekular yang tidak berkesan langsung dalam menangani masalah jenayah dan maksiat. Mana mungkin ‘racun’ diubati dengan ‘racun’ yang sama!

Allah SWT berfirman,

Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu…” [TMQ Al Maidah(5) : 49]

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”  [TMQ  Al Maidah(5) : 50]

Manusia yang paling dibenci Allah ialah orang yang menghendaki hukumi jahiliyah (hukum selain Islam) dan menuntut darah orang lain tanpa hak untuk menumpahkan darahnya.” [HR Bukhary]

Maka, belum tibakah peringatan Allah SWT bagi hamba-hambaNya yang beriman untuk berusaha menerapkan Islam yang kaffah, serta mencampakkan seluruh hukum-hukum ciptaan manusia?

Dan tidaklah layak bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya memutuskan sesuatu perkara – (tidaklah layak mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”  [TMQ al-Ahzab(33):36]

” Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”Berkatalah ia: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan”Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya adzab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.“  [TMQ Taaha: 124-127]

Wallahu ‘alam