Isu Selipar: Sentimen Ashobiyyah Dicuit Dan Digunakan Untuk Mendapatkan Sokongan

Isu selipar: Pemimpin BN, NGO bidas perwakilan MIC

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Tindakan seorang perwakilan MIC mencadangkan agar ‘kalungan selipar’ diletakkan pada gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus dibidas oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).  Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Noh Omar berkata, cadangan itu tidak sepatutnya dikemukakan oleh pemimpin daripada mana-mana parti terutama komponen BN sendiri.  Katanya, pihak yang terbabit harus menghormati jasa yang telah disumbangkan oleh Dr. Mahathir terhadap pembangunan negara dan seluruh rakyat termasuk kaum India sendiri. 

”Secara peribadi saya menganggap perwakilan itu tidak sepatutnya membuat cadangan sedemikian. Beliau perlu menunjukkan rasa hormat kepada Dr. Mahathir sebagai orang yang banyak berjasa sama seperti kita menghormati pemimpin lain,” ujarnya di sini hari ini.  Dalam pada itu, Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu ketika dihubungi berkata, cadangan berhubung kalungan selipar yang dikemukakan oleh seorang perwakilan MIC bukan mewakili keseluruhan isi hati ahli parti dan orang India.  Beliau menegaskan, pada perhimpunan agung parti berkenaan, seramai 1,500 perwakilan hadir dan hanya seorang yang mengeluarkan cadangan itu yang dianggapnya sebagai tidak senonoh.   ‘

‘Perwakilan itu bercakap terlalu emosi dan apabila emosi itu diluahkan, ia tidak lagi mengambil kira soal sensitiviti dan akibatnya boleh menggugat perpaduan kaum,” katanya.  Dalam pada itu, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bertemu dengan Dr. Mahathir dan memohon maaf dengan segera sebelum isu menghina bekas Perdana Menteri itu menjadi semakin serius.  Persatuan itu turut mencadangkan MIC dan BN menggantung atau memecat perwakilan terbabit kerana mencerca seorang negarawan negara dan memohon maaf secara terbuka sekali gus mampu meredakan perasaan orang Melayu.   Presiden Pemenang, Datuk Seri Yussof Latiff berkata: ‘

‘Desakan dan amaran yang tegas ini dibuat kerana kita tidak mahu ada pihak dengan sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang mampu mengguris perasaan rakyat negara ini”. 

Sementara itu, seorang ahli Pemenang, Zainol Abidin Hashim menyifatkan tindakan perwakilan tersebut sebagai memalukan kerana ia datang daripada sebuah parti komponen BN yang sanggup mencerca mantan Perdana Menteri dalam dewan yang diasaskannya.  ”

Kita yakin jika Samy Vellu tahu bagaimana perasaan orang Melayu beliau akan buat apa yang kita minta untuk mengelak tindakan balas daripada kita pada masa akan datang,” tegasnya.  

Presiden Gagasan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, pemimpin MIC perlu bersyukur dan tidak melupakan jasa para pemimpin Melayu terdahulu yang memberi hak kaum minoriti itu tinggal di negara bertuah ini.  

”Samy Vellu selalu meminta pertolongan Perdana Menteri berhubung kaum India dan kalau itu tidak diinsafi MIC, kita amat kesal sekali. Kenapa tidak hargai toleransi orang Melayu, malah berani mencaci dan menghina pemimpin Melayu seperti Dr. Mahathir,” katanya. 

Mengulas lanjut, Mohd. Hilmi berkata, semua ahli MIC juga perlu mengambil iktibar bahawa kemenangan calon mereka pada pilihan raya sebelum ini termasuk di kawasan Samy Vellu adalah kerana sokongan pengundi Melayu.   Bagaimanapun, katanya, sikap angkuh dan lupa diri yang diamalkan oleh pemimpin MIC itu kerana enggan berundur daripada politik menyebabkan pengundi meluat dan beralih arah.   ‘

‘Semua rakan seangkatannya sudah meletak jawatan tetapi beliau belum lagi. Jadi, kalau benar Samy Vellu seorang pejuang masyarakat India dan Presiden MIC, beliau perlu ambil tindakan tegas terhadap perwakilan berkenaan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 16/09/09

Isu Selipar: Sentimen Ashobiyyah Dicuit Dan Digunakan Untuk Mendapatkan Sokongan

Nampaknya puak-puak ashobiyyah Melayu mula bersuara menyatakan ketidakpuashatian mereka terhadap isu pengsyoran ‘kalungan selipar’ diletakkan pada gambar Mahathir oleh seorang perwakilan MIC baru-baru ini. Bagi puak-puak ashobiyyah Melayu ini, mereka menganggap ianya suatu tindakan yang kurang ajar dan tidak menghormati Mahathir selaku bekas pemimpin negara.  Mungkin pengesoran dan usulan itu benar-benar lahir dari perasaan benci dan marah kepada Mahathir begitu membuak-buak ekoran komen yang dibuat oleh Mahathir terhadap Samy Vellu dan MIC sebelum daripada ini. Atau mungkin ia hanya sekadar lakonan untuk menghidupkan kembali watak Mahathir agar aura Mahathir terus hidup bagi memastikan UMNO terus relevan dalam dunia politik Malaysia.

Inilah dunia politik Kapitalisme. Bagi dunia politik Kapitalisme, istilah kawan sejati itu tidak pernah wujud dalam kamus mereka tetapi apa yang ada hanyalah manfaat sejati yang perlu direbuti. Ya, bagi ahli politik Kapitalis seperti Samy Vellu sudah pasti dia mempunyai agendanya yang tersendiri bagi menarik sokongan kaum India untuk terus menyokongnya dan bagi Mahathir pula beliau juga ada agenda tersendiri untuk terus mendapatkan sokongan bagi memberikan tambah nilai kepada anaknya Mukhriz yang sedang bertapak dalam dunia politik UMNO.

Bagaimana dengan umat Islam? Bagi umat Islam, persoalan dan isu ini perlulah dilihat dengan pandangan yang jernih. Dalam Islam, persoalan tempoh masa memegang jawatan  bukanlah isu yang sebenar. Apa yang dipersoalkan oleh Islam adalah dasar dan sistem yang diterapkan dan yang diperjuangkan – itulah yang menjadi pertimbangan yang sebenarnya. Contohnya, tempoh masa pemerintahan Mahathir dan Pak Lah cukup berbeda. Mahathir berkuasa selama 22 tahun dan Pak Lah hanya selama 5 tahun. Namun hakikatnya kedua-dua mereka dan kini Najib masih menerapkan dan mempertahankan sistem kufur penjajah. Oleh itu, dari pandangan Islam, kesemua mereka sebenarnya mengundang murka besar dari Allah SWT. Begitu juga persoalan yang berlaku dalam MIC. 

Bagi kita sebagai Muslim, hidup ini adalah untuk memeperjuangkan Islam, lantas,  apakah kita perlu memberi fokus yang mendalam dengan apa yang berlaku dalam politik kaum kafir yang sebenarnya tidak memberikan apa-apa impak kepada Islam? Apa yang kita lihat adalah,  oleh  kerana MIC merupakan rakan dan talian hayat yang diperlukan oleh UMNO untuk memastikan mereka terus berkuasa, maka Mahathir terpaksa menyentuh perkara tersebut. Ianya adalah bertujuan agar UMNO dan BN terus relevan dan terus berkuasa untuk memastikan sistem peninggalan penjajah terus berdiri kukuh.

Wahai Mahathir! Ya, mungkin pandangan kamu terhadap MIC dan Samy Vellu itu ada kewajarannya tetapi kamu lebih wajib memuhasabah diri kamu sendiri yang sebenarnya sudah tidak lagi relevan untuk terus memperjuangkan ashobiyyah kerana ianya sudah akan pasti mengundang murka dari Allah SWT, Tuhan yang menghitung amal kamu selama 22 tahun kamu berkuasa di dunia ini. Ya, mungkin Samy Vellu sudah tidak releven kepada MIC dan kaum India tetapi bagaimana kedudukan UMNO di sisi Allah SWT? Apa yang pasti ialah bahawa perjuangan ashobiyyah dan UMNO tidak ada nilainya dan tidak ada relevannya di sisi Allah SWT.