Jadikan Paris Pusat Fesyen Islam??

Jadikan Paris pusat fesyen Islam
 
Sebahagian fesyen pakaian Islam yang dihasilkan oleh pereka tempatan pada satu pertunjukan yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hasil kerja mereka dilihat mampu untuk diketengahkan ke pasaran dunia. – gambar hiasan

KUALA LUMPUR 25 Dis – Jadikan Paris pusat fesyen Islam? Inilah cadangan yang dibuat oleh pereka Malaysia di sana, yang mahu mempromosikan idea mudah yang belum dieksploitasi.

Ng Swee Kuang, 57, pereka jenama Ornel Soie menggesa para pereka fesyen Malaysia bekerja bersama-samanya dan menggunakan butik dan bengkelnya di Paris sebagai rujukan.

Kemudahan itu adalah tambahan selain menggunakan kepakaran dan pengalaman Swee Kuang dan mereka akan dilatih untuk menggabungkan potongan Eropah dalam fesyen Islam.

“Kita boleh jayakan bersama-sama. Inilah fesyen yang tidak wujud di sana.

Orang Eropah sukakan fesyen namun mereka tidak tahu keperluan fesyen Islam,” katanya kepada Bernama dalam panggilan telefon dari Paris.

Swee Kuang, anak pencetak kain sarung dari Muar, sudah menetap di Paris lebih 20 tahun. Syarikatnya menghasilkan pakaian di kilangnya sendiri, rue d”Aboukir yang menggunakan teknologi moden dalam pembikinan corak.

Pakaian berjenama Ornel Soie mendapat sambutan daripada pelanggan terkemuka, dari butik Marie Claire di Zurich, Gerard Brusse di Belanda, Louis Ferraud di Paris, Rosario Miner Maecet di Barcelona, Laura B di London, St Germaine di Berlin, Louis Blanc di Tokyo, Jenny Vo di Kobe dan Moga di New York.

Yang lain termasuk Itokin di Jepun, Cine International Co Ltd di Taiwan, Al-Akhawain Co Ltd di Arab Saudi, Krokus di Ukraine, Demtzheu Roman di Rusia dan Nelly Alexander Fashion di Kanada.

“Saya orang Cina tetapi tiada halangan dalam fesyen. Saya boleh bekerja dengan pereka Melayu yang lebih berpengetahuan memajukan fesyen Islam Malaysia,” kata Swee Kuang.

Idea fesyen Islam mendapat sokongan Olga Saurat, Presiden Kebangsaan Persatuan Ahli Kraf Terbaik Perancis, yang mahukan beliau menjadikannya fesyen couture, pakaian Islam kelas tinggi.

Katanya, Sauratlah yang mahukan beliau memindahkan pengetahuan teknikalnya kepada rakyat Malaysia kerana beliau masih muda untuk mempromosikan negara.

“Gedung fesyen Paris akan menjadi wadah antarabangsa dan untuk publisiti media dalam mempromosi ciptaan fesyen Islam oleh pereka fesyen Malaysia dan menjadikan Kuala Lumpur pusat fesyen untuk dunia Islam,” kata Swee Kuang.

Walaupun batik masih perlu dipromosikan, beliau berkata projek itu perlu mendapat sokongan bagi menghasilkan fesyen Islam.

“Baru-baru ini saya mengetahui isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mempromosikan fesyen Islam yang menarik minat saya. Ia adalah idea yang baik dan saya mahu menyokong beliau,” katanya.

Berdasarkan kemahiran potongan yang baik, beliau akan berupaya menjadikan fesyen Islam pakaian anggun.

Di Perancis, katanya, fesyen Islam berbeza kerana Paris mencetuskan inspirasi yang berjaya menarik ramai pembeli Islam yang mampu membayar pada harga yang tinggi.

Swee Kuang terkenal kerana menguasai seni membuat pakaian dan menggunakan pelbagai jenis kain dan rekaannya yang kaya dengan warna dan potongan.

Beliau juga mempunyai keupayaan untuk menghasilkan antara 15 dan 20 rekaan sebulan.

Ada rekaannya berada dalam pasaran selama lima tahun. Beliau pernah menghasilkan 40,000 helai pakaian dalam satu rekaan menerusi sejenis kain tertentu. — Bernama

Sumber: Utusan Malaysia Online 26/12/2009


ULASAN
Paris yang dianggap sebagai kota paling romantik di dunia amat sinonim dengan dunia fesyen. Fakta ini mendorong En Ng Swee Kuang, 57, anak kelahiran Muar, Johor yang merupakan pereka jenama Ornel Soie yang terkenal di Perancis dan di lain-lain negara di seluruh dunia menggesa para pereka fesyen Malaysia bekerja bersama-samanya dan menggunakan butik dan bengkelnya di Paris sebagai rujukan.

Hal ini adalah sesuatu yang tidak mengejutkan dalam dunia Kapitalis, yang mana apabila suatu perkara membawa keuntungan, segala usaha akan ditumpahkan walau ada halangan.  Menjadikan Paris pusat fesyen Islam pasti dapat menarik golongan elit Muslim untuk mengenakan “busana Muslimah” yang diadun dengan potongan Eropah. Anehnya, pada masa yang lebih kurang sama, laman web www.guardian.co.uk bertarikh 22hb Disember 2009 menyebut bahawa Perancis akan mengharamkan pemakaian niqab atau burka di tempat umum yang mana ia akan dikemukakan oleh parti pimpinan Nicolas Sarkozy di Parlimen pada bulan hadapan [http://www.guardian.co.uk/world/2009/dec/22/france-plans-burka-ban]. Senario ini pastinya akan menimbulkan konflik kepada umat Islam khususnya kerana niqab dan burka dilarang pemakaiannya di tempat umum, akan tetapi pada masa yang sama, Paris ingin dijadikan sebagai hub fesyen Islam.

Apa yang perlu difahami oleh umat Islam dalam hal ini adalah puak Kuffar Barat yang merupakan musuh Islam yang nyata akan berusaha sedaya upaya mereka untuk menghalang apa jua bentuk syiar Islam seperti menjaga aurat Muslimah di tempat umum.  “Dan sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu (Muhammad) mengikut agama mereka” [TQS Al-Baqarah (2):120]. 

Hak asasi dan kebebasan berperilaku yang merupakan inti pati ideologi Sekular-Kapitalis-Demokrasi yang mereka anuti akan diketepikan seandainya suatu perkara itu menjejaskan kepentingan mereka.  Usaha untuk menjadikan Paris sebagai hub fesyen Islam juga akan lebih mengelirukan umat Islam kerana sebahagian kaum Muslimah akan berpakaian kerana fesyen dan bukan untuk menutup aurat iaitu perintah mengenakan khimar (tudung) di hadapan laki-laki ajnabi sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah An Nur ayat 31: “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka”, perintah mengenakan jilbab dalam kehidupan umum iaitu “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” [TQS Al-Ahzab (33) :59] serta larangan bertabarruj. Amat malang kepada kaum Muslimah jika fesyen yang dianggap Islamik itu sebenarnya tidak menjauhkan mereka dari kemurkaan Allah.

Wallahu ‘alam bisshawab.